HARAMKAN MOTORSIKAL DI LORONG KANAN!

Isnin lalu berita sedih menghiasi akhbar apabila dilaporkan kemalangan ngeri membabitkan penunggang motorsikal maut sehari sebelumnya.

Kemalangan ngeri membabitkan penunggang motorsikal khususnya bukan sesuatu yang asing.  Namun pihak berkuasa seolah-olah hilang ‘kuasa’ apabila membabitkan penunggang motorsikal.  Lihat sahaja bagaimana penunggang motorsikal ini memandu di lebuhraya atau di jalan persekutuan. 

Kebanyakan mereka menggunakan lorong paling kanan malah ada di antara mereka yang menggunakan laluan yang tidak dibenarkan kepada motorsikal khususnya di tempat-tempat  yang terdapat laluan motorsikal disediakan.

Saya bukanlah bermaksud tidak sensitif dengan keperluan penunggang motorsikal, memang ada laluan motorsikal yang tidak boleh digunakan, berlubang dan dinaiki air ketika hujan lebat, namun majoriti penunggang motorsikal adalah mereka yang sewenang-wenang menggunakan laluan paling kanan.

Rasanya sudah sampai masanya Kerajaan melakukan sesuatu yang drastik terhadap penunggang motorsikal misalnya mengharamkan penggunaan laluan kereta di lokasi terdapatnya laluan motorsikal yang disediakan.  Selain itu Kerajaan haruslah bertegas dengan mengharamkan motorsikal berada di laluan selain daripada yang paling kiri.

Perlindungan insuran juga boleh mengehadkan supaya tidak melindungi para penunggang motorsikal yang menggunakan laluan selain daripada yang paling kiri.

Pada masa ini pengguna jalanraya mempunyai tanggapan bahawa para penunggang motorsikal mempunyai sikap yang buruk majoritinya di jalanraya.

Saya sendiri pernah menjadi mangsa apabila cuba menukar laluan dengan memberi isyarat yang agak lama, namun hampir dirempuh oleh penunggang motorsikal berkuasa tinggi sambil menunjukkan isyarat lucah.

Para penunggang motorsikal khususnya yang berkuasa tinggi mungkin beranggapan mereka lebih laju dan selamat berbanding kenderaan seperti kereta.  

Namun hakikatnya jikapun kuasa motorsikal mereka adalah lebih 1000 cc, ia masih tidak sama daripada struktur pemanduan kenderaan beroda dua dan beroda empat walaupun hanya 600 cc seperti kereta Kancil.

Tragedi yang menimpa penunggang motorsikal pada hari Ahad lepas tidak akan menjadi yang terakhir, kebanyakan penunggang motorsikal khususnya yang berkuasa tinggi mempunyai kelab mereka sendiri dan sering melakukan perjalanan jauh. 

Mungkin selain membina lebih banyak laluan motorsikal, Kerajaan juga boleh menimbang semula mewajibkan para penunggang motorsikal berkonvoi  menggunakan khidmat marsyal terlatih dalam setiap konvoi yang melibatkan penunggang motorsikal.

Maut dan ajal memang tidak dapat dihalang namun usaha mendisiplinkan para penunggang motorsikal sepatutnya menjadi keutamaan kepada Kerajaan memandangkan minat dan keterpaksaan generasi muda menggunakan motorsikal sama ada sebagai satu kaedah pengangkutan mahupun untuk pemanduan santai.

Selain dari meningkatnya, insiden kebankrapan generasi muda, statistik menunjukkan angka kemalangan melibatkan generasi muda khususnya penunggang motorsikal meningkat secara mendadak. 


Saya percaya ramai di antara kita pernah berhadapan dengan gelagat membahayakan penunggang motorsikal malah mungkin para pemimpin juga pernah mengalaminya.  Maka lakukan sesuatu selain dari menggeleng kepala sahaja!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
SUKA SUKA AJE
Tanpa Nama berkata…
cadang naikan cukaijalan ..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?