SEKOLAH VERNAKULAR: ADAKAH UMNO MASIH BERTARING?

Saranan untuk menghapuskan sekolah vernakular, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan India (SJKC & SJKT) bukanlah sesuatu yang baru.  Ia akan muncul secara bermusim, kecoh dan akhirnya dilupakan.  Baru-baru ini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara mencadangkan supaya isu SJKC dibincangkan pada perhimpunan agung UMNO yang bakal berlangsung pada 25 – 29 November nanti.

Beberapa hari selepas itu, Ketua UMNO Bahagian Cheras pula menggesa kerajaan memansuhkan sekolah vernakular dan menubuhkan sekolah satu aliran yang menurutnya boleh membantu memupuk perpaduan nasional.

Alumni Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung pula menyokong cadangan ini supaya isu SJKC dibincangkan pada perhimpunan agung UMNO nanti.

Ini bukanlah kali pertama pemimpin UMNO membuat gesaan sedemikian, namun jika ada desakan oleh pemimpin UMNO, mungkin ini adalah kali pertama ianya dibincangkan secara rasmi dalam perhimpunan agung UMNO.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir juga pernah menyarankan agar sistem sekolah vernakular dihapuskan dan gesaan semua murid di semua peringkat menghadiri sekolah yang menggunakan sukatan pelajaran Kementerian Pelajaran sepenuhnya.
 
Itu saranan beliau ketika menjadi Exco Pemuda dan Ahli Parlimen Jerlun pada Disember 2008.  Ketika itu beliau mencadangkan konsep ‘Bangsa Malaysia’ yang mengamalkan satu pendidikan, satu bahasa pengantar dan satu cara hidup. 

Selain itu, Ahli Parlimen Bebas bagi Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim juga pernah membuat saranan yang serupa supaya sistem pendidikan negara diolah semula dengan menghapuskan sistem sekolah pelbagai aliran atau vernakular kerana mendakwa ianya punca polarisasi kaum di negara kita.

"Malaysia bukan negara Cina, Malaysia bukan negara India dan Malaysia juga bukan negara Arab. Malaysia kita adalah satu negara majmuk dan seharusnya sistem pendidikan kita diolah kembali” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 di Parlimen.

Ahad lepas, ketika merasmikan Perhimpunan Agung MCA kali ke-61, Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO memberi jaminan bahawa masyarakat Cina tidak perlu risau tentang masa depan sekolah vernakular kerana hak mereka termaktub dalam perlembagaan Persekutuan.  Ironinya jaminan ini adalah bagi menutup mulut daripada kalangan ahli UMNO yang menggesa sekolah vernakular dimansuhkan.

Selain pemimpin politik khususnya dari UMNO, ahli akademik juga mendesak supaya sekolah vernakular dihapuskan.

Pro-Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad menegaskan bahawa perkauman dilihat berkembang dengan luas melalui sekolah vernakular.

“Hanya 10 peratus bukan Melayu belajar di sekolah kebangsaan, yang lainnya di sekolah vernakular, jelas bahawa perkauman berkembang dengan luas, ia diteruskan dengan sekolah menengah swasta yang memfokus kepada sekolah jenis kebangsaan”.

Profesor Emiritus Tan Sri Dr. Khoo Khay Kim tokoh akademik bukan Melayu juga menyokong usaha menghapus sekolah vernakular dengan meletakkan aspek intergrasi kaum sebagai asasnya.

“Kita tidak perlu kepada sekolah banyak aliran, bahasa ibunda setiap kaum boleh diselitkan sebagai sebahagian daripada kurikulum di bilik darjah”

Nampaknya isu sekolah vernakular tidak akan selesai dibahaskan walaupun oleh jaminan Perdana Menteri kepada masyarakat Cina.  Ini kerana apa yang diungkapkan sebagai ‘termaktub dalam perlembagaan’ masih boleh didebatkan.

Tafsiran perlembagaan mengenai hak sesuatu kaum mempelajari bahasa ibunda mereka juga masih boleh didebatkan.  Ironinya selepas jaminan terbuka Perdana Menteri kepada masyarakat Cina, akan adakah para pemimpin UMNO khususnya berani untuk membincangkannya di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2014 pada November nanti.


Jangan sekadar tepuk meja, tepuklah dada tanyalah bangsa!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
tunggu nobember nanti..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?