SIFAR SUBSIDI KAYA, PRAKTIKAL KE?

Awal bulan ini, minyak RON95 dinaikkan harga sebanyak RM0.20, maaf bukan dinaikkan harga cuma dikurangkan subsidi sebanyak RM0.20 maka harganya distrukturkan semula kepada RM2.30 seliter.

Khabarnya bermula Jun 2015 dua bulan selepas pelaksanaan GST, golongan berpendapatan tinggi perlu membeli bahan bakar RON95 pada harga pasaran dunia dan tiada lagi subsidi oleh kerajaan untuk mereka.

Ini berikutan langkah kerajaan untuk melaksanakan sifar subsidi bagi petrol RON95 kepada golongan kaya.  Kelihatannya mudah, tetapi apakah takrif kaya dan miskin, pendapatan tinggi dan rendah.  Semuanya adalah subjektif.

Tidak pasti apakah penanda aras yang digunapakai untuk menentukan pendapatan untuk menikmati petrol bersubsidi manakala yang lain pula terhukum dengan subsidi sifar.

Adakah semata-mata dengan merujuk kepada slip gaji seperti yang dilakukan untuk menentukan penerima BR1M, atau adakah kesemua penerima BR1M layak secara automatik. 

Jika itulah penanda aras bagi menentukan golongan kaya dan miskin untuk menikmati petrol RON95 bersubsidi, maka kerajaan sekali lagi bakal dilanda masalah.

Selain itu, kerajaan juga sedang mengkaji penggunaan MyKad bagi melayakkan pembelian bahan bakar bersubsidi.  Pendekatan ini dilihat agak praktikal bagi mengehadkan hanya rakyat negara ini layak membeli bahan bakar bersubsidi. 

Namun adakah kerajaan juga menyediakan pelan bagi menghalang supaya rakyat negara ini tidak diperalatkan untuk membeli bahan bakar bagi pihak rakyat asing.

Jangan lupa bagi setiap pendekatan mahupun peraturan, mereka yang mahu melanggarnya akan menyediakan sepuluh lagi pelan bagi mengatasi peraturan kerajaan.

Penanda aras kaya dan miskin adalah tidak sama, mungkin Pak Abu yang tinggal di Kerdau mengusahakan kebun kelapa sawit miliknya jauh lebih senang daripada Imran Ali yang tinggal di Kuala Lumpur dengan suami isteri bekerja dan menangggung empat anak di sekolah menengah.

Jika silap langkah, kerajaan bakal menyebabkan jurang yang lebih besar di antara miskin dan kaya, dan yang lebih malang akan terdapat sifat regresif di kalangan orang kaya yang terpaksa tidak menikmati subsidi. 

Hasilnya, akan timbul pula pertanyaan ‘mahu apa lagi orang kaya’ apabila kalangan mereka tidak lagi menyokong kerajaan.

Sekarang ini pun sokongan kerajaan adalah daripada kalangan pengundi pinggir dan luar bandar.  Misalnya di ibukota Kuala Lumpur pun hanya dua kerusi daripada 10 kerusi di menangi Barisan Nasional berbanding pakatan pembangkang.  Begitu juga di kebanyakan bandar-bandar besarnya.

Kerajaan haruslah mencari satu mekanisme bagi meyeragamkan harga bahan bakar untuk semua rakyat dan tidak harus membezakan harga bagi sesuatu golongan.  Apa yang sewajarnya dilakukan adalah usaha haruslah dipergiatkan bagi membanteras penyeludupan dan salah guna subsidi di sektor-sektor tertentu.

Adalah satu langkah yang tidak bijak mengehadkan subsidi bagi golongan tertentu di negara kita.  Jika itulah yang berlaku maka, akan jauhlah juga pihak-pihak yang menerima tempias penafian subsidi daripada terus menyokong kerajaan.


Dikhuatiri juga kos bagi pengurusan golongan tidak layak menikmati subsidi akan mengatasi nilai subsidi yang cuba dijimatkan oleh kerajaan, akhir menjadi seperti lebai malang!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
ni mcm pak kaduk je..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?