AKAUNTABILITI GAYA WUSHU

Perkataan akauntabiliti bukanlah terma yang baru di Malaysia.  Ianya telah begitu banyak digunakan, namun ianya menjadi popular ketika negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri Malaysia yang kelima, Datuk Seri (kini Tun) Abdullah Ahmad Badawi menerajui kepimpinan negara bermula Oktober 2003 sehingga Mac 2009.

Walaupun ia menjadi frasa yang kerap diungkapkan, tidak ramai pula yang mendakap dan menghayatinya, dalam erti kata lain – cakap tak serupa bikin.

Budaya akauntabiliti di negara-negara maju seperti Jepun bukan sahaja menjadi teras dan pegangan tetapi adalah yang tertinggi di dunia.  Malah kadang-kadang dalam menghayati budaya akauntabiliti, nyawa digadaikan dalam apa yang dikenali sebagai ‘harakiri’.

Malah insiden perletakan jawatan bukanlah sesuatu yang asing di negara Matahari Terbit itu.  Para pemimpin dan kakitangan awam atas rasa akauntabiliti akan meletakkan jawatan bukan sahaja kerana kesalahan mereka secara langsung malah yang melibatkan orang bawahan mereka.

Misalnya pada tahun 1998, Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Kewangan Jepun meletak jawatan masing-masing kerana mengambil tanggungjawab terhadap skandal yang melanda Kementerian Kewangan apabila dua orang  pegawai mereka didakwa mendapat imbuhan keraiaan bernilai ribuan dolar.

Di negara kita, budaya akauntabiliti memang rancak diungkapkan, namun daripada segi penghayatannya masih di tahap yang sangat rendah.

Misalnya pencapaian di dalam sukan dan lain-lain acara di pelbagai peringkat sering sahaja ada pihak yang dikorbankan sebagai kambing hitam atau pun budaya mencari salah pihak yang lain.

Pemenang pingat emas pertama negara di Sukan Asia Incheon yang baru lalu, yang ditarikbalik pingat emas kerana gagal ujian doping mengingatkan kita bagaimana pemimpin persatuan sukan mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan atlet di bawah mereka.

Presiden Persekutuan Wushu Malaysia, Datuk Martin Lim dikhabarkan bakal meletak jawatannya akhir bulan ini.

"Selaku presiden WFM saya mengambil tanggungjawab penuh. Apa yang berlaku adalah di luar kawalan kita dan saya harap imej tercalar ini dapat diperbaiki dalam satu tempoh singkat," katanya.

Ketika mutu sukan di Malaysia merudum dan menyebabkan gagal mencapai sasaran bagi dua temasya sukan iaitu Sukan Komanwel di Glassgow dan Sukan Asia di Incheon, rasa akauntabiliti amat dituntut agar kegemilangan sukan negara dapat ditebus kembali.

Jika dilihat prestasi sukan pada Sukan Asia yang lepas, prestasi sukan seperti Sepak Takraw (sekadar contoh) amat mengecewakan, apatah lagi dengan khabar ketidakhadiran pengurus pasukan sehingga ke akhir sukan tersebut.

Rasanya, Kementerian Belia & Sukan yang diterajui oleh YB Khairy Jamaluddin seharusnya menanamkan budaya akauntabiliti kepada semua pemimpin sukan bagi menjamin sukan negara lebih bermaruah.

Tindakan yang diambil oleh Presiden Persekutuan Wushu Malaysia adalah satu contoh bagaimana seorang pemimpin sukan mengambil tanggungjawab terhadap atlet di dalam persatuan mereka.


Rasanya kita masih belum ramai lagi pemimpin sukan yang benar-benar menghayati budaya akauntabiliti dalam kepimpinan mereka.  Apa yang ada sekarang adalah budaya menyalahkan pihak lain atau budaya senyap dan ‘menyapu ke bawah karpet’!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
mana ada org nak lewtak jawatan klau prestasi teruk pun mesia boleh..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?