APA MAKNANYA KITA MENJADI AHLI PBB?


Semalam kita meraikan kejayaan negara terpilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bagi tempoh 2015 – 2016.  Lebih manis lagi adalah undi yang diperolehi adalah agak tingg iaitu 187 daripada 192 buah negara yang mengundi.

Ini bukanlah kali pertama, negara kita terpilih sebagai anggota tidak tetap.  Malaysia pernah menjadi anggota tidak tetap UNSC pada tahun 1965, 1989-1990, dan kali terakhir pada 1999-2000.

Dalam pemilihan itu, Malaysia merupakan calon tunggal rantau Asia Pasifik dan akan diganti  oleh Fiji bagi dua tahun berikutnya.

Menariknya, negara kita terpilih ketika pelbagai isu khususnya Akta Hasutan yang dimomok sebagai menyanggah hak asasi kemanusiaan.

Malaysia ditegur kali pertama pada pertengahan September lalu oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Hak Asasi Manusia yang khabarnya menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang dilihat sebagai peningkatan penindasan untuk bersuara secara aman di negara ini.

Tiga minggu kemudian, pada 9 Oktober lalu, Malaysia sekali lagi ditegur oleh PBB dalam isu yang sama mengenai Akta Hasutan.

Dengan tema ‘Keamanan dan Keselamatan melalui Kesederhanaan’, negara berjaya mendapat perakuan 10 buah negara jiran dalam Asean pada September 2013 dan Kumpulan Serantau Asia Pasifik pada Januari yang lalu.

Peranan Malaysia dengan pendekatan kesederhanaan sebenarnya membuka mata banyak pihak khususnya berkaitan dengan konflik di Timur Tengah sama ada perang saudara mahupun konflik berpanjangan Israel dan Palestin.

Sebagai anggota UNSC, Malaysia mempunyai tanggungjawab dan amanah yang besar membawa suara sejagat khususnya daripada kalangan negara-negara Asean, umat Islam dan rakyat Malaysia sendiri.

Walaupun bukan kali pertama menduduki kerusi ini, namun cabaran pada kali ini tentulah lebih besar berbanding beberapa kali sebelum ini.  Konflik dunia pada masa ini tentulah jauh lebih meruncing berbanding 40 atau 50 tahun yang lalu.

Majlis Keselamatan PBB adalah satu badan yang penting dalam cabang PBB kerana kerusi yang disandang memberikan negara anggota suara yang kuat dalam menangani isu-isu berkaitan keamanan dan keselamatan dunia. 

Penyertaan dan pendapat negara-negara yang menduduki kerusi UNSC akan sentiasa ditunggu dan didengar malah akan menjadi perhatian negara-negara lain di dunia.  Ketegasan Malaysia dalam isu-isu berkaitan keamanan dan keselamatan memang jelas selama ini apabila kita secara konsisten menghulurkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

Selain itu, tindakan Perdana Menteri selepas insiden nahas MH17 yang bertegas meminta puak pemisah memberikan laluan kepada pasukan penyelamat dianggap sesuatu usaha yang berani memandangkan kuasa-kuasa besar lebih kepada ‘tunggu dan lihat’ semata-mata.

Dengan menduduki kerusi UNSC untuk sekian kalinya, tindak tanduk dalam negara juga akan sentiasa dalam radar PBB khususnya dan warga dunia amnya. 
Sebagai negara yang mendakap kesederhanaan dalam pendekatan mencapai keamanan dan keselamatan, usaha ini juga haruslah seiring, jika tidak rakyat Malaysia akan menganggap kita melebihkan orang luar berbanding rakyat sendiri, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. 

Begitu juga rakyat luar khusunya pendatang asing dari lebih sedozen negara di Malaysia dikhuatiri akan mengambil kesempatan daripada pendekatan kesederhanaan negara. 


Nampaknya Malaysia mempunyai tugas berat mengimbangi dan menonjolkan aspek kesederhanaan seperti yang dilaungkan, supaya tidak pula dilabel sebagai ‘cakap tak serupa bikin’!
Share this article :
 

+ komen + 1 komen

Tanpa Nama
18 Oktober 2014 10:11 PTG

elok la dah ke pbb...

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger