BAJET GILA LEBUHRAYA?

Beberapa tahun yang lalu, saya diajukan sebuah teka-teki oleh seorang yang saya anggap sebagai ‘pesakit mental’ kerana dia pernah menjadi penghuni Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan dan Tampoi.  Pun begitu menurut keluarganya ini adalah kerana sifat banyak fikirnya.  Teka-tekinya adalah, apakah identiti negara kita. 

Banyaklah jawapan yang saya kemukakan, sambil menjamunya teh tarik dan mee goreng mamak, namun semua jawapan saya salah katanya.  Selepas menghabiskan dua pinggan mee goreng yang dijamu saya, dia memberikan jawapannya.  Identiti Malaysia katanya adalah – Lebuhraya dan Tol!

Saya membantah, namun hujahnya adalah jelas dan meyakinkan apabila memberikan fakta-fakta mengenai lebuhraya dan tol di negara kita.  Akhirnya, saya terpaksa akur dengan jawapannya sambil berikrar untuk memastikan sendiri fakta tersebut.

Ketika pembentangan bajet pada Jumaat lepas, Perdana Menteri telah mengumumkan beberapa projek besar antaranya adalah pembinaan Lebuhraya yang digariskan dalam Tindakan ke-8 - Merancakkan Pelaburan Awam dan Swasta.

Sekurang-kurang empat buah lebuhraya bakal dibina dalam bajet 2015.  Antaranya adalah Lebuhraya Sungai Besi – Ulu Kelang sepanjang 59 kilometer dengan kos RM5.3 billion, Lebuhraya Pantai Barat Taiping ke Banting sepanjang 276 kilometer dengan kos RM5 billion, Lebuhraya Damansara – Shah Alam sepanjang 47 kilometer dengan kos RM4.2 billion dan yang terakhir adalah Lebuhraya Lingkaran Luar Kuala Lumpur – Hubungan Timur sepanjang 36 kilometer dengan kos RM1.6 billion.

Kesemua 4 buah lebuhraya yang dicadangkan akan membabitkan kos lebih RM16 billion.  Walaupun pembinan lebuhraya ini adalah bagi merancakkan pelaburan awam dan pihak swasta misalnya melalui PFI atau Pembiayaan Inisiatif Swasta, namun jangan lupa pihak swasta yang mencadangkan pembinaan lebuhraya ini meletakkan aspek keuntungan sebagai matlamat mereka.

Kisah kenaikan tol setiap beberapa tahun juga telah menggangu lena rakyat selama ini.  Adakah kerajaan atas nama merancakkan pelaburan sewenang-wenang membenarkan rakyat saban kali tersepit dengan tol dan perjanjian yang menguntungkan sebelah pihak sahaja.

Adakah membina lebuhraya ini benar-benar mendesak, apakah kerajaan sudah lupa dengan iltizam untuk memperbaiki pengangkutan awam dan menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.  Anehnya, pembinaan lebuhraya melalui PFI dengan pulangan kebenaran mengutip tol pada kadar yang ditetap dengan kenaikan yang ditetapkan dan pampasan sekiranya tidak mencapai kutipan yang disasarkan amat merugikan rakyat. 

Bukankah kesemua ini menjadikan kerajaan sebagai pihak tidak bertanggungjawab dengan memajakkan kebajikan rakyat atas nama ‘merancakkan pelaburan awam dan swasta’?

Tidakkah kerajaan melakukan kajian secara terperinci mengenai keperluan membina lebuhraya atau adakah kerajaan bercadang membina seberapa banyak lebuhraya di negara kita supaya kos pembinaan dan penyelenggaraan ini akhirnya diswastakan dan rakyat menerima tempiasnya.

Jika dilihat di ibu kota sahaja, lebuhraya bersimpang siur dan masih menimbulkan kesesakan.  Bukan sahaja pengguna jalanraya seperti anda dan saya terpaksa membayar tol malah terpaksa pula memendam rasa merasai ‘nikmat’ kesesakan di lebuhraya.

Selain itu dalam Bajet 2015 juga dicadangkan pembinaan lebuhraya Pan Borneo sejauh 1,663 kilometer melibatkan jajaran Sarawak sepanjang 936 kilometer dan jajaran Sabah sepanjang 727 kilometer dengan kos sebanyak RM27 billion.

Pembinaan lebuhraya memanglah amat berguna, namun rasanya dengan kenaikan berterusan bahan api seperti petrol, ooops maafkan pengurangan subsidi bahan api, rakyat tentulah lebih menghargai jika kerajaan berterusan memperbaiki sistem pengangkutan awam serta melakukan usaha-usaha untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam.

Jangan lupa beberapa minggu yang lalu, rakyat di Sabah berusaha membina jalanraya mereka sendiri, kerana janji Kerajaan selama 15 tahun tidak tertunai, harapannya Lebuhraya Pan Borneo yang dicadangkan dalam Bajet 2015 tidak hanya tertinggal dalam dokumen Bajet yang dikeluarkan daripada beg hitam Perdana Menteri!

Biarlah rakyat Sabah dan Sarawak menikmati perjalanan lancar seperti kami yang mempunyai PLUS di Semenanjung.  Cukuplah sudah lebuhraya di sekeliling kita khususnya di ibu kota.  Jika tidak maka tepatlah apa yang disimpulkan kenalan ‘pesakit mental’ saya mengenai identiti Malaysia.


Moga Bajet 2015 tidak pula dilabel sebagai Bajet Gila Lebuhraya!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
masyuk..masyuk...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?