TALQIN UNTUK PPSMI ...



Hari ini, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman penting berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walaupun hal ini telah diumumkan pada Julai 2009, namun terdapat pelbagai usaha untuk menghidupkan semula dasar yang dianggap paling merugikan para pelajar melayu khususnya di luar bandar.

Dasar tempang ini yang diperkenalkan ketika mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad di hujung tempoh beliau memerintah Malaysia. Ketika pengumumannya pada tahun 2002 dan kemudiannya dikuatkuasa bermula 2003, dasar tempang ini tetap diteruskan walaupun terdapat pelbagai desakan untuk mengkaji semula pelaksanaannya.

Tanyalah mana-mana guru yang mengajarkan subjek Matematik dan Sains tentang pandangan mereka terhadap dasar tempang ini, tentu yang disuarakan ialah soalan mengapa Matematik dan Sains. Kita tidak pasti sama ada telah dibuat kajian mengenainya sebelum dasar tempang ini diperkenalkan tidak seperti pada masa ini ketika mahu memansuhkan pelbagai kajian, persidangan, rundingan, perbincangan dan pandangan di semua peringkat pihak-pihak berkepentingan telah diadakan sebelum dasar tempang ini dimansuhkan.

Kemuncak daripada penentangan dasar tempang PPSMI ini ialah protes 100 ribu rakyat yang berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 7 Mac 2009. Perhimpunan besar-besaran ini telah diketuai oleh Datuk Hassan Ahmad (Allahyarham), SN A. Samad Said dan ribuan tokoh dan pecinta bahasa Melayu di negara kita.

Selain daripada bantahan secara besar-besaran, banyak usaha terancang telah dibuat bagi membuktikan bahawa dasar tempang PPSMI sebenarnya adalah bertentangan dan merugikan pelbagai pihak khususnya para pelajar dan anak-anak Melayu. Sebuah buku (buku merah) berjudul ‘Mengapa Kami Bantah’ telah diterbitkan dan disebar secara meluas bagi memberikan data-data dan kajian yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh di IPTA mengenai ketidak berkesanan dasar tempang PPSMI ini.

Hari ini, dasar tempang PPSMI ini secara rasminya di’talkin’kan dan polemik mengenainya akan tersimpan kemas di dalam lipatan sejarah. Siapa yang boleh lupa bagaimana SN A. Samad Said dan Allahyarham Datuk Hassan Ahmad menyertai ribuan penentang protes mengenai dasar tempang ini.

Saya percaya ramai di antara kita kecuali beberapa pihak seperti PAGE dan beberapa organisasi lain yang mahukan dasar tempang ini dimansuhkan daripada sistem pendidikan negara.

Selamat Tinggal PPSMI, Selamat Datang MBMMBI!

 

seksualiti merdeka?


Tiba-tiba sahaja frasa Merdeka yang kita raikan sejak 54 tahun yang lalu, mengalami banyak perbezaan konotosi yang begitu hangat diperdebatkan. Sekitar dua bulan yang lalu, tiba-tiba kita dikejutkan oleh kenyataan sebilangan ahli Majlis Profesor Negara bahawa negara kita tidak pernah dijajah, maknanya sambutan Hari Merdeka yang kita raikan pada 31 Ogos saban tahun sebenarnya adalah hari pesta-pestaan sahaja!

Kini frasa Merdeka sekali lagi digunakan dalam konotasi yang agak negatif sifatnya dengan mengaitkan pula dengan hak-hak seksual yang melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender. Sehingga kini telah ratusan badan-badan bukan Kerajaan yang menentang penganjuran seksualiti merdeka ini sehingga pihak polis mengambil pendekatan untuk mengharamkan semua aktiviti dalam seksualiti merdeka ini.

Jika dilihat daripada istilahnya seksualiti merdeka bermakna ‘kebebasan seks’ jika itu yang dimaksudkan dalam konteks ini : “so seksualiti merdeka means "Sexuality Independence". Maka patutlah pun ia ditentang habis-habisan.

Saya percaya pihak polis mengambil langkah yang tepat selepas mengambilkira pandangan pelbagai pihak khususnya badan-badan bukan Kerajaan yang melihat impak negatif akibat daripada penganjuran program ini.

Nota kaki: Saya sengaja menggunakan huruf kecil bagi penulisan tajuk entri pada kali ini sebagai tanda protes saya terhadap penganjuran program ini.

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger