MENUNTUT KEWAJARAN


Benar saya memang terganggu membaca laporan di dalam akhbar semalam, memberitakan tentang Naib Yang Dipertua 2 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Profesor Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah terhadap dana projek menaik taraf jalan raya yang bernilai RM3.7 juta milik pertubuhan itu antara tahun 2002 dan 2004.

Turut dituduh bersama-sama Ariffin, 74, yang juga bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas kesalahan itu ialah dua ahli Perkim Cawangan Damansara Utama, Datuk Baharin Baba, 58, dan Abas Adam, 60.

Saya bukanlah mahu mempertikaikan keputusan mendakwa ketiga-tiga mereka tetapi agak terganggu bagaimana dana projek menaik taraf jalan raya diberikan kepada PERKIM, atas dasar apa? Bukankah Perkim bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan dengan kebajikan umat Islam khususnya saudara baru di negara kita.

Adakah kontrak tersebut diberikan kepada Perkim? Jika ya atas alasan apa? Apakah kepakaran Perkim dalam projek menaiktaraf jalan atau adakah Perkim hanya sebagai broker projek bagi membolehkan sebahagian dana tersebut disalurkan kembali kepada Perkim?

Jika benarlah dakwaan tersebut, saya berpendapat orang yang patut didakwa bersama ialah pihak yang meluluskan bahawa projek menaiktaraf jalan tersebut kepada Perkim. Saya tidak nampak kewajaran projek ini dilakukan oleh Perkim, bukankah ada badan-badan lain yang lebih khusus misalnya Jabatan Kerja Raya atau pihak kontraktor yang berwibawa. Jika inilah kaedah pemberian kontrak tidak kiralah kontrak bernilai kecil atau besar, kepada entiti yang tidak sepatutnya maka akan terdapat lebih ketirisan kepada proses pemberian kontrak Kerajaan.

 

BERASAP KUBUR MEMBELI ZOO?

Naluri kanak-kanak memang menyukai binatang, sama ada binatang peliharaan mahupun binatang buas seperti yang terdapat di Zoo. Ketika kecil pun saya memang menyukai binatang peliharaan seperti kucing, itik atau anak ayam. Anak-anak saya pula kerana tinggal di taman perumahan, tidak berupaya membela binatang peliharaan selain ikan dalam akuarium namun kecintaan terhadap binatang tidak pernah pudar.

Malah percutian yang baru berlalu diisi dengan kunjungan mereka ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Pahang selain ke Taman Rusa dan juga Institut Biodiversiti Bukit Rengit. Bayangkan jika keluarga saya begitu mewah sehingga mampu membeli zoo sendiri. Itulah yang cuba diungkapkan oleh pengarah Cameron Crowe lewat filem yang diadaptasi dari autobiografi tulisan Benjamin Mee berjudul We Bought A Zoo.

We Bought A Zoo bertolak dari kisah Benjamin Mee lakonan mantap Matt Damon seorang bapa tunggal selepas kematian isterinya terpaksa membesarkan kedua anaknya, Dylan dan Rosie. Kerana gagal untuk menghapus kenangan manis bersama isterinya, Benjamin berpindah jauh dari kehidupannya sekarang dengan membeli sebuah kediaman yang sebenarnya merupakan sebuah zoo yang ditinggalkan.

Kerana percaya, hal ini akan mengembirakan anak lelakinya, Benjamin terus hanyut dengan impian untuk memberi kegembiraan kepada anak-anaknya sehinggalah dia tidak lagi mempunyai wang untuk meneruskan misi menghidupkan semula zoo yang dibelinya. Namun secara tidak sengaja dan kecintaan terhadap isterinya, Benjamin terjumpa surat peti besi keselamatan isterinya yang mengandungi sejumlah wang yang amat diperlukan bagi meneruskan penambahbaikan zoo nya menjelang sesi pemeriksaan dan pembukaan rasmi.

Konflik anak dan bapa adalah sebenarnya inti filem ini apabila, akhirnya Benjamin menyedari bahawa anak lelakinya sebenarnya tidak menyukai kehidupan barunya kerana tidak mempunyai teman-teman kecuali Lily adik kepada penjaga zoo Kelly yang berjaya memikat Dylan. Benjamin yang memberi galakan kepada anaknya untuk mencapai keberanian untuk meluahkan isihatinya kepada Lily, sama seperti yang dilakukan terhadap mendiang isterinya – You know, sometimes all you need is twenty seconds of insane courage. Just literally twenty seconds of just embarrassing bravery. And I promise you, something great will come of it”

Sebenarnya saya menonton sebuah filem Melayu bagi mengimbangi sesi tonton saya, malangnya filem Suatu Malam Kubur Berasap buah tangan pengarah Ernie Chen memang mengecewakan dan malu diangkat sebagai sebuah filem, malah saya berpendapat jika ada pihak seperti FINAS atau institusi pembiayaan yang berhasrat memberikan dana kepada filem semacam ini, haraplah dipertimbangkan semula.

Dengan jalan cerita seperti tempelan, filem (jika boleh dipanggil filem) ini sebenarnya tidak layak malah untuk mengisi slot secara percuma di televisyen pun!

We Bought A Zoo yang bertolak dari premis cerita yang mudah tidak sama dengan filem Suatu Malam Kubur Berasap kecuali lakonan bersahaja Angah Raja Lawak sebagai Atan, sipenggali kubur yang lurus bendul dan juga aktres veteran, Mak Mah. Saya kira amat beruntung kerana menonton filem Suatu Malam Kubur Berasap sebelum menonton We Bought A Zoo, jika tidak tentulah emosi saya masih terganggu.

We Bought A Zoo dengan jalan cerita yang mudah menyelami perasaan manusia dan keinsanan dilingkungi oleh haiwan-haiwan sekelilingnya, bagaimana watak pegawai perhilitan yang dilakonkan oleh John Michael Higgins yang begitu sebal dan terlalu obses dengan tugas sebagai pegawai pelulus zoo Benjamin Mee, akhirnya luluh dengan kejujuran anak kecil, Rosie dan memberikan kelulusan kepada Benjamin untuk membuka zoo nya. Dedikasi pekerja-pekerja dan sokongan abangnya sendiri, seorang akauntan yang begitu rigid mewarnai filem ini dengan latar yang begitu menyenangkan.

Menonton We Bought A Zoo, benar-benar memberikan ketenangan berbanding poket saya hampir terbakar dan berasap menonton Suatu Malam Kubur Berasap!

 

BERAMAL CARA MALAYSIA


Kisah peminta sedekah yang membanjiri negara kita bukan cerita baru.  Kisah peminta sedakah menjadikan Malaysia sebagai ‘hub’ mereka juga bukan cerita baru.  Peminta sedekah ada di mana-mana, pelbagai lokasi sama ada di medan selera bergerak dari meja ke meja atau juga di lampu isyarat bergerak dari kereta ke kereta.

Ada juga peminta sedekah dari kalangan yang kurang upaya menjadikan tempat tumpuan awam seperti pasar malam sebagai sumber mencari rezeki mereka.  Saya pernah melihat seorang lelaki yang bergerak menggunakan papan luncur di pasar malam meminta ihsan para pengunjungnya. 

Rakyat Malaysia memang pemurah dan tidak banyak karenah dalam menghulurkan derma ikhlas mereka.  Ada juga peminta sedekah dari kalangan yang kurang upaya misalnya yang cacat penglihatan diiring oleh seorang yang menjadi pemandunya.  Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa kumpulan peminta sedekah dari kalangan orang buta yang membawa tisu bergerak dari meja ke meja sebenarnya adalah yang begitu terancang dan sistematik.

Saya pernah ditawarkan untuk menjadi pemandu kumpulan peminta sedekah ini.  Mereka berkerja secara kumpulan tiga orang.  Si peminta sedekah yang cacat penglihatan, si tukang bawanya dan si pemandu yang membawa kedua mereka dari satu lokasi ke satu lokasi.  Dengan operasi bermula dari jam 8 malam hingga ke pukul dua pagi, setiap dari mereka mampu meraih sehingga RM200 seorang selepas pembahagian sama rata sesama mereka.

Selain itu ada pula sindiket yang mempergunakan anak-anak yatim bagi tujuan mengutip derma kononnya untuk pembinaan madrasah dan sebagainya.  Hari ini saya menyaksikan sendiri bagaimana pemurahnya rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan (kononnya dalam bentuk zakat) kepada penerima dari kalangan mereka yang mengendalikan rumah anak yatim. 

Teman saya, seorang kakitangan awam dari negeri Melaka, meminta saya menemaninya ke sebuah rumah anak yatim di Sendayan, selepas beberapa kali tersasar, kami akhirnya menemui taman yang dimaksudkan malah menemui pula rumah yang menjadi tempat penempatan anak-anak yatim.  Tetapi rumah yang dimaksudkan tidak pula dihuni oleh sesiapa pun, dengan alasan kesemua mereka bercuti sempena cuti sekolah.

Gambar Hiasan 
Selepas beberapa panggilan telefon, akhirnya teman saya tadi menemui salah seorang petugas rumah anak yatim yang dimaksudkan di perhentian bas, apabila saya berbual, banyak yang saya merasa agak ragu-ragu dengan penjelasannya.  Namun seperti rakyat Malaysia yang lazimnya begitu pemurah, teman saya tadi yang mungkin telah berniat untuk bersedekah menyerahkan sejumlah wang yang akhirnya saya ketahui sebanyak RM1000, dan diberikan resit oleh sipetugas tadi.

Kerana rasa ragu-ragu saya sempat menjengah resit yang ditulis oleh petugas tadi dan agak terganggu kerana cop yang berbeza daripada yang digunakan oleh petugas tadi.  Namun apabila hal ini saya utarakan kepada teman saya tadi, dia hanya mengatakan bahawa dia memang berniat untuk bersedekah kerana terdapat kumpulan dari rumah anak yatim tersebut pernah hadir ke tempat kerjanya bagi memohon sumbangan dan menjual biskut yang dihasilkan mereka.

Walaupun derma RM1000 hanya berlaku di pondok perhentian bas, teman saya tadi berpendapat bahawa dia memang ikhlas untuk bersedekah, jika si petugas tadi tidak jujur itu urusannya dengan  Allah SWT.  Potret rakyat Malaysia yang prihatin!
 

RINDU TSUNAMI


Saya sengaja memilih tajuk entri ini, bukan kerana sebenarnya merindukan tsunami yang melanda dunia pada 26 Disember 2004, itu tujuh tahun yang lalu.  Tsunami pada 26 Disember 2004 walaupun hanya meragut 68 nyawa di negara kita, tetapi lebih 160,000 penduduk Acheh terkorban akibat letusan tsunami pada tarikh itu. Tsunami pada ketika itu meragut lebih 230,000 nyawa di empat belas negara.

Sebenarnya tragedi tsunami yang melanda kebanyakan pantai lautan Hindi adalah kejutan, tidak siapa pernah menduga bahawa tsunami yang melanda mampu menjadikan keadaan begitu tragis. 

Pada tahun yang sama, Pilihanraya Umum ke-11 telah berlangsung pada 21 Mac 2004 selepas pembubaran Parlimen pada 4 Mac 2004.  Ironinya pada tahun itu, Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencatatkan kemenangan paling besar sejak 1978.

Barisan Nasional memenangi  198 kerusi dan hanya membenarkan 20 kerusi dimenangi pembangkang.  Pilihanraya umum diadakan kurang enam bulan daripada peralihan  tampuk pemerintahan daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Abdullah Badawi. 

Selepas empat tahun, pada pilihanraya umum yang ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, menyaksikan ungkapan tsunami politik pertama kali diucapkan.  Bayangkanlah dengan kemenangan besar pada PRU ke-11, kerusi yang dimenangi pembangkang melonjak naik kepada 89 buah daripada 20 yang dimenangi pada  2004 .  Barisan Nasional juga kehilangan empat lagi negeri di samping Kelantan yang gagal dirampas semula.  Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor terlepas ke tangan pembangkang.

Sejak PRU 12 pada 2008, lanskap politik Malaysia berubah sama sekali sama seperti yang berlaku kepada bumi Acheh akibat tsunami pada 2004.   

Tiba-tiba menjelang PRU 13 yang dijadualkan pada suku pertama 2012, saya rindukan tsunami, tapi bukan tsunami yang melanda bumi Acheh pada 2004 tetapi tsunami politik yang melanda Malaysia pada PRU 12 pada tahun 2008!

 

KEBERTANGGUNGJAWABAN SEBERANG TAMBAK



Minggu lepas sistem pengangkutan awam di Singapura mengalami gangguan teknikal yang agak meruncing, perkhidmatan Singapore Mass Rapit Transport (SMRT) tergendala menyebabkan lebih 127,000 penumpang terkandas dan 4000 penumpang pula terperangkap di dalam trennya. Khabarnya perkhidmatan SMRT kerap mengalami gangguan, menurut rekod pada tahun 2010 terdapat 28 gangguan dan sehingga Oktober tahun ini sebanyak 17 gangguan direkodkan.

SMRT yang merupakan nadi pengangkutan kepada warga Singapura adalah semacam ikon kepada reputasi Singapura sebagai antara yang paling efisyen. Namun insiden pada minggu lepas telah mengubah persepsi rakyatnya malah para pemimpinnya tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh SMRT.

Prestasi dan gangguan teknikal pada minggu lepas memaksa warga Singapura menilai kembali perkhidmatan efisyen SMRT nya sehingga ada juga suara-suara yang mahukan semua yang terlibat terutama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cik Saw Phaik Hwa, meletakkan jawatannya. Dalam sebuah negara yang mementingkan budaya kebertanggungjawaban (accountability), saya percaya meminta beliau meletakkan jawatan ada kewajarannya. Itu cerita di seberang tambak.

Di dalam negara pula sejak beberapa ketika masalah bas henti-henti di beberapa negeri khabarnya akan dihentikan terus kerana kerugian daripada laluan yang tidak menguntungkan. Malah salah satu pengendali terbesarnya Konsortium Transnasional Berhad telah mengumumkan pemberhentian perkhidmatan mereka kerana tidak dapat menanggung kerugian yang berterusan.

KTB juga khabarnya telah memaklumkan keputusan mereka kepada Kerajaan negeri yang terbabit di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, namun tiada sebarang maklum balas daripada Kerajaan Negeri. Namun semalam, Perdana Menteri mengumumkan dana interim berjumlah RM400 juta yang akan disalurkan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Cerita pengangkutan awam di negara kita khususnya di ibu kota Kuala Lumpur dan di bandar-bandar besar bukanlah sesuatu yang baru, malah cerita bas henti-henti di bandar-bandar dan pekan kecil yang beroperasi atas nama pengangkutan awam memang menyedihkan. Memanglah jika dilihat kepentingan pengangkutan awam seperti bas henti-henti bukanlah keutamaan bagi sebuah syarikat pengangkutan namun untuk meniadakannya pula akan mengundang masalah lain khususnya kepada rakyat yang amat bergantung kepada perkhidmatan ini.

Melihat masalah SMRT di seberang tambak dan keputusan jangka pendek yang diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam menangani kemelut yang membabitkan rakyatnya, tentulah kita dapat melihat pendekatan para pemimpin di dua buah negara yang dipisahkan oleh tambak yang beberapa kilometer jaraknya namun mentaliti penyelesaian masalah masih seperti langit dan bumi, selebihnya seperti kata Nabil – lu pikirlah sendiri!
 

CATATAN NOVEMBER


Saya sengaja memilih untuk tidak mengemaskini laman blog saya sejak sebulan yang lalu. Bukan apa-apa hanya kerana membina satu persepesi pada sesetengah pihak dan juga menggambarkan bahawa saya benar-benar sibuk untuk menjadi blogger sepenuh masa dan ber “GAJI” tetap saban bulan.

Hal yang lain pula, saya memang agak sibuk kebelakangan ini, dan rekod yang paling buruk sepanjang saya berblog ialah pada bulan November 2011, hanya DUA entri sahaja – betullah DUA entri sahaja sepanjang bulan November 2011 yang baru sahaja berlalu.

Kesibukkan saya memang tidak dapat dielakkan sehingga saya memilih untuk tidak mengemaskini laman blog saya. Selain dari tugas hakiki saya, kesibukan yang lain ialah berhubung dengan sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) pimpinan Sdr. Dr. Mohd Saleeh Rahamad. Saya ditugaskan membantu dalam pengumpulan dana bagi menjayakan majlis makan malam bersama YAB Perdana Menteri dan juga bagi aktiviti-aktiviti PENA yang bakal dijalankan sepanjang tahun 2012.

Sebagai penyelaras penajaan seperti yang diamanahkan oleh PENA, saya cuba di mana sahaja dana mungkin dapat dikumpulkan, ialah seingat saya ini kali pertama YAB Datuk Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri mendekati dan menghadiri majlis bersama penulis (tolong betulkan fakta ini).

Kesibukan November juga telah merencatkan kebiasaan saya yang saban minggu menonton filem dan pada bulan November seperti juga entri saya dalam laman blog saya, saya hanya menonton SEBUAH filem sahaja sepanjang November yang menyibukkan saya berbanding rekod peribadi saya menonton lebih 30 filem dalam sebulan!

Dalam bulan November yang meyesakkan juga saya lebih banyak berada di luar Kuala Lumpur kerana hambatan tugas dan hal-hal yang melibatkan penglibatan saya dalam badan-badan sukarela.

Disember menjelang dan tidak lama lagi tahun 2011 akan melabuhkan tirainya. Tahun 2012 bakal menjelang, moga laman blog saya akan terus segar dengan pandangan dan catatan saya tanpa perlu menjadi blogger berbayar!

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger