KEBERTANGGUNGJAWABAN SEBERANG TAMBAK



Minggu lepas sistem pengangkutan awam di Singapura mengalami gangguan teknikal yang agak meruncing, perkhidmatan Singapore Mass Rapit Transport (SMRT) tergendala menyebabkan lebih 127,000 penumpang terkandas dan 4000 penumpang pula terperangkap di dalam trennya. Khabarnya perkhidmatan SMRT kerap mengalami gangguan, menurut rekod pada tahun 2010 terdapat 28 gangguan dan sehingga Oktober tahun ini sebanyak 17 gangguan direkodkan.

SMRT yang merupakan nadi pengangkutan kepada warga Singapura adalah semacam ikon kepada reputasi Singapura sebagai antara yang paling efisyen. Namun insiden pada minggu lepas telah mengubah persepsi rakyatnya malah para pemimpinnya tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh SMRT.

Prestasi dan gangguan teknikal pada minggu lepas memaksa warga Singapura menilai kembali perkhidmatan efisyen SMRT nya sehingga ada juga suara-suara yang mahukan semua yang terlibat terutama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cik Saw Phaik Hwa, meletakkan jawatannya. Dalam sebuah negara yang mementingkan budaya kebertanggungjawaban (accountability), saya percaya meminta beliau meletakkan jawatan ada kewajarannya. Itu cerita di seberang tambak.

Di dalam negara pula sejak beberapa ketika masalah bas henti-henti di beberapa negeri khabarnya akan dihentikan terus kerana kerugian daripada laluan yang tidak menguntungkan. Malah salah satu pengendali terbesarnya Konsortium Transnasional Berhad telah mengumumkan pemberhentian perkhidmatan mereka kerana tidak dapat menanggung kerugian yang berterusan.

KTB juga khabarnya telah memaklumkan keputusan mereka kepada Kerajaan negeri yang terbabit di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, namun tiada sebarang maklum balas daripada Kerajaan Negeri. Namun semalam, Perdana Menteri mengumumkan dana interim berjumlah RM400 juta yang akan disalurkan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Cerita pengangkutan awam di negara kita khususnya di ibu kota Kuala Lumpur dan di bandar-bandar besar bukanlah sesuatu yang baru, malah cerita bas henti-henti di bandar-bandar dan pekan kecil yang beroperasi atas nama pengangkutan awam memang menyedihkan. Memanglah jika dilihat kepentingan pengangkutan awam seperti bas henti-henti bukanlah keutamaan bagi sebuah syarikat pengangkutan namun untuk meniadakannya pula akan mengundang masalah lain khususnya kepada rakyat yang amat bergantung kepada perkhidmatan ini.

Melihat masalah SMRT di seberang tambak dan keputusan jangka pendek yang diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam menangani kemelut yang membabitkan rakyatnya, tentulah kita dapat melihat pendekatan para pemimpin di dua buah negara yang dipisahkan oleh tambak yang beberapa kilometer jaraknya namun mentaliti penyelesaian masalah masih seperti langit dan bumi, selebihnya seperti kata Nabil – lu pikirlah sendiri!

Ulasan

anep berkata…
kalau kat jepun dah lama dah Menteri berkaitan letak jawatan @ harakiri

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?