SALAM HARI PEKERJA!

Esok, 1 Mei, golongan pekerja di seluruh dunia akan meraikan Hari Pekerja yang disambut dihampir 80 buah negara di seluruh dunia, namun begitu terdapat juga  negara di dunia meraikannya  secara tidak rasmi.




Di negara kita, ianya mula diraikan pada tahun 1972, apabila pengumuman dibuat oleh Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri ketika itu.  Sejak daripada itu, 1 Mei telah ditetapkan sebagai Hari Pekerja dan dianggap sebagai hari cuti umum.

Di seluruh dunia, 1 Mei dianggap sebagai hari sambutan Hari Pekerja Antarabangsa, malah dalam tahun 1990an, di China, Hari Pekerja diraikan selama tiga hari, namun ianya dijadikan satu hari sejak tahun 2008.

Nasib pekerja di negara kita telah jauh berubah, apabila Kerajaan menetapkan gaji minimum sebanyak RM900 di bawah Perintah Gaji Minimum 2012 yang telah diwartakan pada 16 Julai 2012.  Kadar gaji minimum bagi pekerja di Semenjung Malaysia ialah sebanyak RM900 sebulan dan RM800 sebulan bagi pekerja di Sarawak, Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan.

Para majikan diberikan sehingga tempoh 12 bulan daripada tarikh diwartakan bagi melaksanakan gaji minimum dalam organisasi mereka.  Majikan yang benar-benar tidak dapat melaksanakan gaji minimum pada masa yang ditetapkan boleh memohon kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) untuk perlanjutan tarikh permulaan melaksanakan Perintah Gaji Minimum.

Di negara kita, nasib para pekerja adalah jauh lebih baik daripada pelbagai aspek, misalnya kebajikan para pekerja, mahkamah buruh, undang-undang yang melindungi kaum pekerja, latihan dan pelbagai sokongan kepada para pekerja sama ada dalam sektor swasta mahupun awam.

Keadaan ini adalah jauh lebih baik dan terjamin daripada para pekerja di sesetengah negara di mana kebajikan para pekerja kurang diambil peduli oleh kerajaan khususnya pekerja di sektor bukan kerajaan.

Para pekerja di Malaysia, seperti anda dan saya seharusnya lebih menghargai sumbangan kerajaan dan majikan dalam menyediakan lebih banyak kemudahan dan peluang-peluang peningkatan kerjaya dan kebebasan bersuara dengan penubuhan kesatuan sekerja.  Sebagai sebuah negara yang sedang menuju status negara maju menjelang tahun 2020, keharmonian hubungan pekerja dan majikan adalah elemen yang amat penting.

Tema yang dipilih untuk sambutan Hari Pekerja pada tahun ini ialah: Pekerja Pemangkin Transformasi Negara.

Salam Hari Pekerja!
 

MEROYAN GAYA BN!


Jika ada kursus meroyan di peringkat pengajian tinggi, rasanya yang paling layak menyediakan sukatan pelajaran ‘subjek meroyan’ ini adalah BN.

Gambar hiasan untuk tafsiran. Ihsan dari: milosuam.blogspot.com
Jelas sekali menjelang PRU ke-13 yang disifatkan paling sengit dalam sejarah Pilihanraya Umum di negara ini, maka BN jauh lebih meroyan daripada mana-mana parti yang menyertai PRU pada kali ini.

Selepas PRU ke-10  pada tahun 1999, kesan yang begitu ketara adalah pertambahan kerusi Parlimen pembangkang  meningkat daripada 30 kerusi pada tahun 1995 kepada 44 kerusi, satu protes senyap orang-orang Melayu terhadap apa yang terjadi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dipecat daripada kerajaan setahun sebelumnya.

Kesan daripada peningkatan kerusi Parlimen oleh pembangkang pada tahun 1999, populariti Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO, Pengerusi BN dan Perdana Menteri menjadi sangat teruk, sehingga terpaksa melepaskan jawatan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi untuk memimpin negara pada Oktober 2003, sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh beliau “berhenti sebelum kenyang”!

Pada PRU ke-11, yang diadakan pada 21 Mac 2004, BN di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencapai kejayaan besar dalam pilihanraya sulung beliau.  BN memenangi 198 daripada 220 kerusi Parlimen, mengurangkan kerusi yang dimenangi oleh pembangkang kepada hanya separuh daripada yang dimenangi pada tahun 1999.  Apa yang lebih manis dan tercatat dalam sejarah adalah kembalinya Terengganu yang dipimpin oleh PAS ke pangkuan BN.

Pilihanraya Umum 2008 yang diadakan pada 8 Mac 2008 menyaksikan prestasi terburuk BN selepas Pilihanraya Umum pada 1969 dan 1999.  Pilihanraya Umum 2008 juga dilabel sebagai ‘tsunami politik’ apabila ramai tokoh-tokoh besar BN kalah di kawasan mereka, antaranya adalah presiden parti Gerakan, PPP, MIC yang merupakan gabungan parti dalam BN.

Selain itu, majoriti undi yang dimenangi oleh pemimpin BN pada PRU sebelum ini juga berkurangan dalam PRU 2008.

Pilihanraya Umum 2008 juga menyaksikan BN menambah senarai negeri yang terlepas ke tangan pembangkang kepada lima negeri, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Kelantan.  Selepas sesi ‘meroyan’ ekoran daripada kekalahan ini, Perak dapat direbut kembali oleh BN hasil daripada tiga orang ‘badut politik’ di Perak.

Dengan hanya memenangi kurang daripada majoriti selesa 2/3 iaitu 140 kerusi berbanding 82 kerusi oleh Pakatan Rakyat, kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dikecam hebat.   Kesan daripada ‘tsunami politik’ pasca PRU ke-12, kepimpinan negara diambil alih oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, satu perlantikan yang menggembirakan mentor politiknya – Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Pertambahan kerusi yang dimenangi secara mendadak oleh pembangkang dalam PRU ke-12 sebanyak 82 kerusi daripada hanya 21 kerusi dalam PRU 2004.  Dengan terlepasnya negeri-negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang, BN telah meneruskan usaha untuk menawan semula kedua-dua negeri ini.  Pelbagai usaha ‘meroyan’ di peringkat pusat dan negeri telah diadakan.

Tsunami politik pada tahun 2008 sebenarnya membawa rahmat yang bukan sedikit kepada rakyat Malaysia, ini kerana akibat daripada hal ini, BN mula memperkenalkan pelbagai bentuk ‘hand out’ dengan jenama dan label tersendiri, sesuatu yang tidak pernah dinikmati oleh rakyat sebelum ini. 

Seperti yang diungkapkan oleh Leftenan Jeneral (B) Datuk Ir. Ismail Samion mantan Naib Canselor Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang menyertai PAS baru-baru ini “mengapa kerajaan sekarang ini memberikan BR1M, TR1M, BB1M, kenapa, sebab ada persaingan hebat, sejak 50 tahun, tak de apa yang ditawarkan, sekarang kenapa ditawarkan”.

Ini adalah salah satu keuntungan kepada rakyat akibat daripada BN yang ‘meroyan’ pasca prestasi buruk dalam PRU 2008.  Selangor yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat memberikan 20 metrik padu air secara percuma, sejak mentadbir Selangor pada tahun 2008, sesuatu yang tidak pernah dinikmati selama ini, malah Perak dan BN juga bakal mengikut jejak langkah yang dibuat oleh Pakatan Rakyat.

Sesi ‘meroyan’ BN menjadi lebih parah apabila semua saluran media seperti RTM 1, RTM 2 serta saluran televisyen dalam kumpulan Media Prima yang memiliki TV3, TV9, NTV 7, 8 TV, serta akhbar Berita Harian, New Straits Times dan Harian Metro seperti berlumba-lumba menjadikan sesi ‘meroyan’ BN lebih cemerlang.

Program bual bicara seperti Mandat di TV3, Heat di TV2, dijadikan wadah ‘meroyan’ BN menjelang PRU ke-13, tidak cukup dengan itu, Majlis Profesor Negara (MPN) juga digerakkan bagi melengkapkan sesi ‘meroyan’ BN dalam PRU pada kali ini.

Kajian oleh pemikir di pusat pengajian tinggi dianggap tidak mencerminkan keadaan sebenarnya, satu lagi keadaan yang mengesahkan bagaimana ‘meroyan’ nya BN pada PRU kali ini.

Selain itu, usaha meroyan oleh BN menjelang PRU dengan pelbagai kaedah dan cara, malah kadang-kadang menjadi sangat lucu apabila BN mengulangi janji yang tidak mereka tepati, sebagai contoh, pembinaan hospital di Kuala Selangor dan laluan bas di Ijok yang diuarkan ketika Pilihanraya Kecil di Ijok pada tahun 2007, tidak menjadi realiti untuk jangkamasa yang lama sehingga perlu meroyan lagi untuk menagih undi.

Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang membangun menuju status negara maju memerlukan penglibatan pembangkang yang proaktif seperti pada keadaan sekarang bagi menjamin proses ‘semak dan imbang’ supaya ketirisan, rasuah, manipulasi, amalan monopoli dan kronisme dapat dibendung. 

Sejak 2008, sekurang-kurang BN telah menunjukkan prestasi cemerlang sebagai pembangkang yang proaktif khususnya di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat, maka sewajarnya BN yang gigih ‘meroyan’ dinaikkan taraf untuk menjadi pembangkang di Malaysia.   Ini kalilah!
 

KAKI SAKAT LIMA TAHUN!

Diam tak diam, blog kaki sakat yang dimayakan pada 17 April 2008 telah berusia lima tahun.  Ini adalah tahun keenam blog ini.  Sehingga kini sebanyak 470 entri telah dimuatnaik ke laman blog ini.


Para pengunjung blog kaki sakat datangnya daripada beberapa negara selain Malaysia ialah dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Rusia, Indonesia, Jerman, Brunei, Sweden, Singapura dan negara China.

Blog ini dimayakan dengan tujuan untuk berkongsi pandangan khususnya mengenai hal-hal semasa, sama ada dunia perbukuan, filem dan teater atau lain-lain isu semasa seperti politik, ekonomi dan sosial.

Menariknya, blog ini dimayakan dengan bantuan seorang teman sewaktu berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008, lima tahun yang lalu.  Setiap kali hadirnya PBAKL, maka blog ini akan meraikan satu lagi peningkatan usianya.

Sama ada anda penggemar buku, filem teater atau apa-apa aktiviti budaya, kaki sakat akan cuba mewarnakan dalam tulisan seadanya.

Selama lima tahun memayakan blog ini, kaki sakat telah melalui pelbagai pandangan sinis sama ada daripada  teman-teman mahupun pengunjung ke laman maya.  Ada juga yang tidak gemar kehadiran ‘catatan blog’ yang dimuatnaik ke dalam laman muka buku, sama ada kumpulan-kumpulan khusus, yang terkini adalah apabila dikecam hebat kerana memuatnaik catatan dalam blog ini ke dalam grup ‘apresiasi filem’.

Tentulah ianya menimbulkan kemarahan pengunjung grup ini kerana catatannya adalah di luar lingkup dan matlamat grup ini iaitu apresiasi filem.  Saya tidak menyalahkan mereka malah menghargai setiap pandangan mereka.  Menghargai kepelbagaian pendapat adalah sebahagian daripada objektif blog ini.

Kepada pengunjung, pembaca dan penggemar blog ini, hanya ucapan jutaan terima kasih yang boleh diberikan kepada anda semua.  Walaupun tidak banyak komen yang dirakamkan, namun kehadiran pengunjung dan pembacanya meningkat saban hari.

Walaupun tulisan dalam blog ini akhir-akhir ini lebih menjurus kepada isu-isu politik, tapi siapakah yang dapat menolak hakikat perubahan yang kian menjadi tuntutan majoriti rakyat negara ini.  Berpegang kepada prinsip kebenaran, tulisan dalam blog ini akan lebih memberikan input dan fakta demi meraikan kepelbagaian pendapat.  Selamat menikmati.  Selamat berkunjung ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013.  Ini kalilah!

(Nota Kaki: Entri ini sepatutnya dimuatnaik pada hari Khamis, namun kerana masalah teknikal, ianya hanya dapat dimayakan pada hari ini)
 

BR1M @ BROOOOM?


Ramai yang percaya PRU ke-13 adalah yang paling sengit pernah dilalui oleh mana-mana pemimpin politik kita sama ada daripada pihak Kerajaan apatah lagi pembangkang.  Ini kerana selepas tsunami politik yang melanda negara pasca  PRU ke-12 pada Mac 2008, landskap politik Malaysia telah sama sekali berubah.

Bayangkan tiada siapa menyangka begitu buruk prestasi BN dalam PRU ke-12 sehingga beberapa tokoh yang merupakan pemimpin tertinggi parti kalah dalam pilihanraya 2008 yang lalu.  Nama-nama besar seperti Datuk Seri Samy Veloo, Presiden MIC, Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden Gerakan, Datuk Kayeas, Presiden PPP yang semuanya merupakan parti komponen BN kalah di kawasan yang mereka tandingi.

Kini selepas lebih lima tahun, selepas puas berteka-teki dan sekurang-kurang menyempurnakan empat tahun pemerintahan Perdana Menteri yang keenam, Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran parlimen dengan ‘tersasul’ pada 3 April 2013. 

Apa yang menarik selepas itu adalah perang manifesto di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Najib. Manifesto Barisan Najib yang bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’  tidak membawa sebarang perkara baru selain mengiyakan bantuan yang bersifat jangkapendek seperti BR1M, BB1M, BAP1M, malah terdapat janji untuk menambahkan BR1M menjadi RM1200 daripada nilai sekarang sebanyak RM500.

Mengurangkan harga kereta secara berperingkat juga diumumkan di dalam manifesto BN yang sebelum ini dikecam hebat oleh para pemimpin BN.    BN juga berjanji akan membina 1 juta rumah dengan 500,000 unit rumah PR1MA, anehnya harga rumah dalam PR1MA yang paling murah adalah sekitar RM120,000 dengan keluasan 815 k.p.  Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan pada 4 Julai 2011, disasarkan kepada isi rumah berpendapatan RM2500 hingga RM7000 sebulan.

Jika dikira, sebuah isi rumah yang berpendapatan RM2500, tentulah tidak layak untuk memohon pinjaman bank jika ingin membeli rumah yang paling murah dalam program PR1MA iaitu RM120,000.  Jadi janji di dalam manifesto BN seolah-olah tidak mungkin dinikmati oleh majoriti rakyat Malaysia yang layak menerima BR1M!

BN menempelak Pakatan Rakyat dengan mengatakan mewujudkan peluang pekerjaaan sehingga 1 juta adalah mustahil, namun yang lebih mustahil ialah membina 1 juta unit rumah untuk rakyat, jika separuh yang dibina di bawah PR1MA adalah sukar untuk dimiliki oleh majoriti rakyat Malaysia. 

Berbeza dengan manifesto Pakatan Rakyat yang lebih realistik dengan  cadangan untuk menghapuskan tol secara berperingkat, ini adalah lebih dekat dengan majoriti rakyat yang terbeban dengan tol saban hari, saya sendiri membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 untuk tol setiap bulan, maka jika dapat dikurangkan sebanyak satu pertiga, saya dapat menjimat sehingga RM1800 setiap tahun!

Tawaran lain oleh Pakatan Rakyat ialah memberikan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti, sesuatu yang kelihatannya sukar dicapai namun bukanlah sesuatu yang mustahil, jika pun tidak dihapuskan kadar faedah boleh dikurangkan atau tanpa faedah bagi pinjaman pelajaran.

Sistem penguatkuasaan Automatik (AES) adalah salah satu yang hangat diperdebatkan sehingga memaksa kerajaan BN menangguhkan pelaksanaannya, namun dalam manifesto Pakatan Rakyat, ia dijanjikan untuk dihapuskan sama sekali, sesuatu yang bersifat lebih menyeluruh.

Yang paling menarik ialah apabila Barisan Najib mendahului dengan menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya yang tidak diambil peduli oleh para pemimpin pembangkang kerana mereka menjanjikan Dasar Banteras Rasuah Negara (DEBARAN).

Negeri Selangor misalnya telah pun mengamalkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu yang bernilai RM11 setiap bulan yang tidak pernah kita mimpikan sepanjang 50 tahun BN memerintah.  Begitu juga tidak siapa yang tahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor juga adalah pemegang saham dalam konsesi tol Besraya di Cheras sehinggalah dimaklumkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat ketika krisis laluan di Bukit Mahkota Cheras, sesuatu yang cuba diselindungkan oleh pemerintahan BN selama ini.

Dengan manifesto yang dipenuhi pelbagai ‘hand out’ yang bersifat semantara dan jangka pendek, BN tidak pun menawarkan sebarang benda yang ‘baru’ dalam manifesto ini berbanding Pakatan Rakyat yang menawarkan penyelesaian ‘jangka panjang’ yang lebih bermanfaat kepada seluruh rakyat dan bukan kumpulan kecil dan tertentu.

Jika harga minyak diturunkan, tol dikurangkan secara berperingkat, pendidikan percuma sehingga ke universiti, pengiktirafan kaum wanita di semua peringkat, apa lagi yang mahu ditagih daripada BN selepas lebih setengah abad memerintah negara ini.  Jika analogi BR1M untuk jangka pendek dan BROOOOM untuk penyelesaian jangka panjang, siapa yang patut dipilih.  Jom  beralih arah perubahan.  Ini kalilah!
 

DEMI KELANGSUNGAN, APA SAHAJALAH LABU!


Nampaknya realiti politik di negara kita lebih menarik daripada program realiti di kaca televisyen.  Benarlah kata seorang ‘otai’ yang satu ketika dahulu menyanjung mantan Perdana Menteri ke-empat Malaysia, rakyat Malaysia kini ‘terlalu berpolitik’ sehingga semua benda ditentukan oleh orang politik.

Lihat sahaja, ‘perkahwinan’  Barisan Najib dengan Pertubuhan Hak Asasi Kaum India (Hindraf), sehingga membentuk satu memorandum persefahaman.  Dalam majlis menandatangani ‘Blueprint – A New Dawn For Malaysians Indians’ , Najib menyatakan langkah ini adalah satu perkembangan positif dalam politik Malaysia khususnya BN.  Nampak sangat Barisan Najib begitu terdesak untuk mengekalkan kuasa dengan mengadakan ‘marriage of convenience’ bersama Hindraf.

Apa yang gagal diselami oleh BN adalah ‘perkahwinan’ dengan Hindraf adalah satu tamparan kepada sekutu mereka dalam BN iaitu MIC.  Apakah ini menggambarkan bahawa MIC sebenarnya gagal memperjuangkan nasib kaum India di negara ini sehingga memerlukan sebuah pertubuhan yang baru seperti Hindraf?

Parti induk kaum India di Malaysia, MIC nampaknya seperti gagal untuk berfungsi membantu kaum India di negara ini, sekurang-kurangnya itulah tafsiran apabila Barisan Najib menerima Hindraf sebagai rakan sekutu mereka.

Pakatan Rakyat yang sebelum ini menolak pelan tindakan Hindraf di mana Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim bertegas tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dengan mereka.  Nampaknya Barisan Najib lebih terkehadapan untuk menjadikan Hindraf rakan sekutu mereka, dengan harapan untuk memulihkan sokongan kaum India bagi mencapai hasrat memenangi majoriti dua pertiga dalam PRU ke-13.  Hindraf adalah ‘kuda tunggangan’ baru BN, selepas MIC menjadi selipar buruk.

BN dikatakan akan membentuk unit khas kerajaan persekutuan untuk masyarakat India di bawah Jabatan Perdana Menteri yang merangkumi Special Implementation Task Force (SITF) yang memfokus kepada isu dokumen pengenalan diri seperti kewarganegaraan, kad pengenalan dan sijil kelahiran.

Selain itu, fokus kepada sekolah Tamil juga dijanjikan oleh BN, di samping meningkatkan penyertaan masyarakat India dalam sektor Kerajaan dan GLC.  Ini janji oleh BN.

Jika selama lebih 55 tahun, masyarakat India terabai di bawah MIC dan BN, apakah ini langkah terdesak Barisan Najib untuk memenangi hati masyarakat India menjelang PRU ke-13.  Bukankah, Najib dan Muhyiddin melaungkan di sana-sini bahawa selama ini masyarakat India tidak dipinggirkan, sekolah Tamil tidak diabaikan.

Jika janji selama ini ditepati, mengapa perlu berjanji dengan Hindraf?  Inilah contoh bagaimana BN sangat terdesak untuk memenangi PRU ke-13, dan sebenarnya apa yang dilaungkan oleh Najib bahawa kaum India tidak pernah dipinggirkan hanyalah ‘retorik’ semata-mata. 

MIC atau Najib dan BN sebenarnya tidak banyak melakukan apa-apa untuk kaum India, yang dilaungkan hanyalah ‘janji dicapati’! 

Selain Hindraf, Barisan Najib pun sanggup memberikan laluan kepada orang yang pernah menghina parti ‘keramat’ mereka dan penghinaan terhadap kaum India oleh calon kerusi Parlimen P108 Shah Alam , Zulkifli Nordin dengan alasan calon ini telah pun memohon maaf daripada kaum India, namun adakah orang UMNO boleh memaafkan ‘parasit politik’ seperti calon Parlimen Shah Alam?  Nampaknya PRU ke-13 adalah masanya untuk memulakan perubahan.  Ini kalilah!
 

SPR & MOMOKAN DEMOKRASI!


Kini kurang daripada dua minggu, rakyat Malaysia yang telah mendaftar sebagai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk melaksanakan amanah untuk memilih para pemimpin mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Pada 5 Mei nanti, seramai 13,268,002 pengundi berdaftar setakat yang diwartakan oleh SPR pada 11 April yang lalu akan membuang undi.  Daripada jumlah tersebut, seramai 161,251 adalah daripada kalangan tentera dan pasangan mereka, di samping 111,136 pengundi pula daripada kalangan polis dan pasangan mereka.  Selain itu, seramai 2954 pula mendaftar sebagai pengundi luar negara.  Kesemua mereka akan mengundi awal pada 30 April.

Apa yang menarik dalam PRU pada kali yang ke-13 ini adalah penggunaan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundi berulang kali.  Usaha ini adalah sebahagian daripada desakan dalam tiga siri Bersih iaitu pada 10 November 2007, 9 Julai 2011 dan yang terakhir pada 3 April 2012.

Walaupun sebanyak lapan tuntutan dikemukakan dalam tiga siri bersih yang antara lain adalah: bersihkan daftar pemilih, reformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas & adil, tempoh berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah, dan hentikan politik kotor.

Tuntutan pertama – bersihkan daftar pemilih, masih belum sepenuhnya kerana masih terdapat keraguan, misalnya yang dihebahkan baru-baru ini mengenai ‘ab rapar awang’ dan ‘fatimah ismail’ serta bilangan pengundi ‘melebihi usia lebih seratus tahun’ yang meragukan, masih menjadi igauan kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan integriti.

Tuntutan kedua – reformasikan undi pos, walaupun bilangan undi pos pada PRU ke-13 adalah hanya 2954 orang, namun satu lagi istilah yang menggerunkan adalah ‘pengundi awal’ yang merangkumi pihak tentera dan polis serta pasangan mereka dan petugas SPR yang kesemuanya berjumlah 512, 387 mengambilkira petugas SPR sebanyak 240,000 orang dalam PRU ke-13 ini.  Pendedahan oleh mantan pegawai atasan tentera bagaimana mereka menandakan kertas undi dalam PRU yang lepas tentulah akan menimbulkan kesangsian apakah perlakuan yang sama bakal berulang dalam PRU kali ini.

Penggunaan dakwat kekal, salah satu tuntutan oleh Bersih, telah pun diambilkira oleh SPR dan pada kali ini penggunaan dakwat kekal akan pertama kali digunakan.  Namun yang menjadi persoalannya apakah ini dapat menjamin, pengundi seperti ‘ab rapar awang’ tidak mungkin dapat mengundi lebih dari sekali.  SPR juga tidak menunjukkan kepada rakyat umum bagaimanakah proses penggunaan dakwat kekal ini atas faktor keselamatan.  Adakah ia benar-benar kekal memandangkan SPR kelihatan seperi ‘komponen’ BN yang ke-15 selepas PERKASA.

Akses kepada media secara bebas dan adil, masih jauh panggang dari api, walaupun tawaran Menteri untuk memberikan ruang selama 10 minit kepada parti pembangkang ditolak mentah-mentah, namun usaha membuka ruang media secara bebas dan adil khususnya di rangkaian televisyen dan radio milik kerajaan terus dinafikan.
 
Pada PRU kali ini, tempoh berkempen rasmi adalah selama  15 hari selepas proses penamaan calon pada 20 April yang lalu agak munasabah walaupun yang dituntut adalah tempoh minima selama 21 hari.

Rasuah dan politik kotor masih menjadi mainan para pemimpin lebih-lebih lagi para pemimpin BN yang menjadi peneraju ‘kerajaan sementara’ pada masa ini.  Apakah janji-janji oleh para pemimpin tinggi BN boleh dianggap ‘rasuah politik’ terpulanglah pada tafsiran kerana menawarkan sesuatu pada ketika berkempen jelas sebagai rasuah politik.

SPR sebagai badan yang diberi amanah untuk mengendalikan pilihanraya umum di negara kita sepatutnya bertindak memantau dan menguatkuasakan keadilan dan kebebasan media serta akses kepada media kerajaan secara lebih terbuka.  Selain itu, daftar pemilih yang bersih (istilah yang digunapakai adalah pendaftar yang sah) sebenarnya tidak banyak dilakukan dalam usaha mewujudkan daftar pemilih yang bersih.

Ini kerana selepas daftar pemilih diwartakan masih terdapat nama-nama pengundi yang meragukan seperti yang dilaporkan dalam media oleh parti-parti lawan.  Jika tiada tindakan proaktif diambil oleh SPR untuk membetulkan dakwaan-dakwaan ini, benarlah seperti yang dilabel oleh rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi tulin bahawa SPR adalah komponen ke-15 BN.  Rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi tulin seharusnya menolak ‘penipuan terancang’ seperti ini oleh SPR.  Ini kalilah!
 

GENDANG SUDAH DIPALU


Gendang Pilihanraya Umum ke-13 yang dijadualkan pada 5 Mei telah selesai  fasa kedua iaitu penamaan calon pada hari semalam.  Seramai 1900 orang calon akan berjuang untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Contoh daftar SPR pincang - ihsan malaysiakini.com
Selain itu, inilah pertama kali dalam sejarah penyertaan calon bebas yang terbanyak iaitu seramai 270 orang.  Malah juga tercatat dalam sejarah, bagaimana terdapat ahli-ahli parti yang bertanding atas tiket calon bebas kerana tidak terpilih dan merasakan mereka adalah ‘calon boleh menang’.

Di kerusi Parimen P42, Tasek Gelugor, misalnya menyaksikan Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang pernah mewakili parlimen tersebut pada tahun 1999 dan 2004 bertanding atas tiket Bebas kerana tidak dipilih oleh pucuk pimpinan walaupun pernah dijanjikan secara lisan oleh pucuk pimpinan sebelumnya.

Ini penyokong tegar BN!
Begitu juga, Naib Ketua Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim yang mengumumkan perletakan jawatannya dalam UMNO melalui laman sosial mukabuku semalam, bertanding atas tiket Bebas kerana tidak berpuas hati dengan tawaran oleh Pengerusi BN, sebagai calon DUN Bukit Chandan dan kemungkinan terpilih sebagai Exco.  Namun semua ini diketepikan oleh Datuk Kamilia yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

Namun, suara akar umbi masih diambil kira oleh pucuk pimpinan BN apabila, calon N32 Seri Setia di Parlimen P104 Kelana Jaya, digantikan oleh Datuk Abdul Halim Samad, apabila calon sebelumnya yang dipilih oleh pucuk pimpinan ‘menarik diri’.

Di N25, Kajang pula menyaksikan mantan ADUN sebelum ini, Cikgu Lee tidak terpilih dan digantikan oleh Lee Chin Cheh, malah disertai oleh tiga calon bebas dan seorang calon BERJASA dan BN, menjadikan pertandingan enam penjuru di sini.

Menariknya pada PRU kali ini ialah, penyertaan dua pemimpin tertinggi kumpulan pendesak Melayu, PERKASA yang bertanding atas tiket BN, iaitu Datuk Ibrahim Ali di P 22 Pasir Mas, yang merupakan ‘kubu’ beliau sejak menyertai politik.  Manakala, di P108 Shah Alam pula menyaksik seorang lagi pemimpin kumpulan pendesak Melayu, Zulkifi Nordin bertanding di atas tiket BN menentang calon PAS, Khalid Samad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula ditentang oleh Mohd Faris Musa dalam perlawanan satu lawan satu di P85 Pekan, manakala Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditentang oleh calon PAS di P143 Pagoh.  Apakah kedua-dua kerusi ini akan terus kekal di tangan pimpinan tertinggi UMNO dan BN ini?  Atas kertas, memangnya kelihatan mudah bagi mereka memenanginya, namun dalam PRU 13, kemungkinan bagi para pemimpin tertinggi BN untuk terlepas kerusi bukan sesuatu yang tidak mustahil.

Dalam PRU pada kali ini juga menyaksikan sekurang-kurangnya ada tiga  orang artis menawarkan diri sebagai calon.  Namun begitu, kesemua mereka merupakan calon Pakatan Rakyat dan Bebas, apakah ini bermakna bahawa artis-artis di bawah naungan pemerintah selama lebih setengah abad ‘tidak begitu berani’ untuk menawarkan diri sebagai pemimpin?

Penyanyi dan pelakon, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin yang mewakili PAS akan bertanding satu lawan satu dengan mantan  Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad di  P127 Jempol.  Seorang lagi artis, Dayangku Intan akan bertanding di P157 Pengerang, menentang calon dua kali ‘menang tanpa bertanding’ Datuk Seri Azalina Othman yang tidak terpilih sebagai menteri cabinet dalam kepimpinan Perdana Menteri!

Di P95 Tanjung Karang pula penyanyi 80an anak kelahiran Tanjung Karang, Herman Tino bertanding atas tiket Bebas menentang Datuk Noh Omar calon BN dan mantan Ahli Parlimen dan Menteri Pertanian dan Agrotani serta Mohd Rashdi Deraman dari PAS.

PRU ke-13 pada kali ini juga menyaksikan nama-nama besar parti bertanding untuk menentukan karier atau ‘kubur’ politik masing-masing misalnya penasihat DAP, Lim Kit Siang bertanding di kerusi Parlimen P162 Gelang Patah menentang Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang beralih ke kerusi Parlimen.
Walauapapun, PRU ke-13 yang begitu lama dinantikan oleh rakyat Malaysia yang telah mual dengan aksi para pemimpinnya, akan menjadi penentu dan hala tuju sistem politik dan demokrasi tulin di negara kita. 

PRU ke-13 juga bakal melakarkan sejarah jika calon-calon Bebas yang memilih untuk meninggalkan parti mereka seperti Datuk Seri Mohd Shariff Omar dan Datuk Kamilia Ibrahim menang dalam perhitungan politik mereka bagaimana pucuk pimpinan parti masing-masing supaya tidak memperlekehkan aspirasi dan tuntutan akar umbi terhadap bakal pemimpin yang mereka mahukan.

Sungguhpun dikhabarkan banyak kepincangan dalam daftar pemilih SPR, ini adalah masa yang terbaik bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan SPR untuk melihat kepincangan ini dan menampilkan daftar pemilih yang tidak berulang dengan nama seperti ‘ab rapar awang’ atau ‘fatimah ismail’ atau pengundi melebihi usia 100 tahun yang meragukan.  Jika Perdana Menteri tidak melakukkannya, rakyatlah sepatutnya bertindak bijak.  Ini kalilah!
 

MARUAH UMNO DI TAPAK KASUT ZULKIFLI NORDIN!


Bersatu UMNO bersatu
Pemuda jadi kuda kayu
hidup macam kalkatu
tipu bangsa tipu melayu
bersama puteri wanita
dulu, kini selamanya
umpat fitnah, mengata
itu cara mereka
UMNO nama dah punah
dipandang hina dan nista
bersatu bersetia
berkhidmat untuk si tua
Umno pasti musnah bersama si mahatua!


Itu lirik yang digubah oleh Zulkifli Nordin, calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Shah Alam.  Zulkifli Nordin yang menang melalui tiket PKR pada Pilihanraya Umum 2008 di Kulim Bandar Baru, kemudiannya menjadi calon bebas  ‘mesra BN’ kerana dipecat oleh PKR pada tahun 2010.

Selepas itu, beliau terpilih sebagai Timbalan Presiden, NGO kumpulan pendesak Melayu, PERKASA.  Pada sesi pemilihan calon pada Selasa lalu, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional menamakan beliau sebagai calon ‘rakan BN’ untuk bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang akan berlangsung pada 5 Mei nanti.

Menariknya, Zulkifli Nordin dikatakan bukan sahaja menghina UMNO melalui lirik yang digubahnya, yang kini tersebar luar di dalam internet, tetapi juga menghina Dr. Mahathir dengan menggelarnya ‘si mahatua’.  Anehnya, orang yang menghina UMNO kini dianggap sebagai rakan dan taruhan mereka untuk merampas kembali kerusi Parlimen Shah Alam.

Saya bukanlah seorang ahli UMNO atau mana-mana parti politik, namun merasa amat sedih kerana mempunyai ramai rakan di dalam UMNO yang mungkin merasa ‘terhina’ dengan pemilihan Zulkifli Nordin sebagai calon malah dilabel pula sebagai ‘model transformasi’. Hebatnya, Zulkifli Nordin sehingga menjadi taruhan di Shah Alam.

Tidak cukup dengan itu, Zulkifli Nordin juga dikatakan pernah menghina kaum India di negara ini dalam satu lagi insiden yang dikhabarkan berlaku lebih sedekad yang lalu.  Kini kaum India di Selangor mendesak Presiden MIC untuk meminta Perdana Menteri mengkaji semula pemilihan Zulkifli Nordin sebagai calon kerusi Parlimen Shah Alam.

Adakah BN akan meneliti semula pemilihan calon mereka bagi kerusi Parlimen Shah Alam?  Apa lagi yang tinggal untuk calon BN seperti Zulkifli Nordin?  Ini kalilah!
 

BE END MENUJU KEHANCURAN?

Mungkin takdir telah menulis bahawa kata singkat Barisan Nasional = BN = Be eNd.  Tiada siapa pun tahu, apa nasib BN pasca PRU ke-13.


Dengan pelbagai kemelut selepas pemilihan calon untuk bertanding, saya merasa amat kasihan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, ini adalah kerana, kelihatannya beliau seorang sahaja yang menanggung semua kemelut dalaman parti yang dipimpinnya.

Yang terkini ialah apabila, MCA Wangsa Maju mengkhabarkan akan memboikot kempen pilihanraya pada kali ini kerana calon mereka Datuk Yew Teng Look, yang telah membelanjakan wang sebanyak RM2.5 juta untuk kebajikan dan program di kawasan  Wangsa Maju  tidak terpilih sebagai calon kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Gambar ihsan: malaysiakini.com
Pada malam semalam pula, mantan Timbalan Menteri Pertanian dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Seri Mohd Shariff  Omar,  mengkhabarkan akan terus bertanding sebagai calon bebas, atau bersama Pakatan Rakyat kerana tidak terpilih sebagai calon kerusi Parlimen Tasik Gelugor.

Imbas kembali: Pada malam 21 Februari 2008, saya berada bersama ketika sesi memperkenalkan calon kerusi Parlimen Tasik Gelugor, iaitu  Tan Sri Mohamed Nor Yakcop yang ketika itu merupakan Menteri Kewangan II. 

Apabila, mantan Ahli Parlimen, Datuk Seri Mohd Shariff Omar diberi peluang untuk berucap, raut wajahnya kelihatan sugul, namun kembali ceria apabila dia mengungkapkan bahawa dia memberikan laluan kerana diminta oleh pucuk pimpinan yang ketika itu diketuai oleh Tun Abdullah Badawi yang juga berasal dari Pulau Pinang, malah menegaskan kerusi itu akan dikembalikan semula kepada beliau pada  pilihanraya umum yang akan datang jika beliau panjang umur, selorohnya.

Secara peribadi, saya juga sudah lupa mengenai kerusi Parlimen Tasik Gelugor sehinggalah timbul berita bahawa Datuk Seri Mohd Shariff Omar tidak terpilih sebagai calon bagi mempertahankan kerusi tersebut pada PRU kali ini. 

Tentulah agak mengecewakan kepada orang seperti saya yang turut berada pada bulan Februari 2008 yang lalu, apabila pucuk pimpinan tidak berusaha meneruskan kesinambungan dalam menepati janji yang telah dimeterai, walaupun tidak bertulis tetapi merupakan ‘gentleman’s agreement’, janji lelaki budiman.

Kelihatannya, janji oleh ahli-ahli parti Barisan Nasional dan UMNO serta parti komponen lainnya untuk tidak mensabotaj parti atau hanya merajuk selama 24 jam, seperti tidak terkesan gara-gara pemilihan calon oleh pucuk pimpinan parti yang tidak mendengar suara dan aspirasi akar umbi mereka.

Malah menurut MCA Wangsa Maju yang menghantar memorandum kepada pucuk pimpinan BN, usaha mereka seperti tidak langsung dihargai.  Menariknya, calon Bebas, Zulkifli Nordin terpilih sebagai calon bagi bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam atas tiket ‘rakan BN’, malah dilabel pula sebagai ‘satu model transformasi’ oleh Kerajaan BN, sesuatu yang boleh menjadi pujaan ramai sekiranya diletakkan dalam ‘carta lawak hari ini’!

Selepas ini apa lagi yang tinggal untuk Be eNd?  Ini kalilah!
 

MARI KITA MULAKAN!


Minggu ini adalah minggu yang paling sibuk bagi calon dan bakal calon parti-parti politik di Malaysia.  Ini adalah kerana, pemimpin tertinggi parti masing-masing akan mula mengumumkan calon bagi kawasan Parlimen dan DUN masing-masing.


Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN menjadi rebutan dalam Pilihanraya Umum ke-13 yang akan diadakan pada 5 Mei 2013 nanti.  Penamaan calon pula akan berlangsung pada 20 April nanti.

Bantahan akar umbi - gambar ihsan Malaysiakini.com
Sebenarnya parti Pakatan Rakyat telah mula mengumumkan calon-calon mereka secara berperingkat sejak awal minggu yang lalu, berbeza dengan Barisan Nasional yang mula mengumumkannya pada hari ini selepas Ketua Perhubungan Barisan Nasional negeri-negeri menerima watikah calon mereka daripada Perdana Menteri semalam.

Seperti biasa, telah ada suara-suara sumbang mengenai ketidakpuasan hati kerana calon-calon yang sepatutnya menjadi calon akhirnya tidak terpilih, hal ini adalah kebiasaan bagi calon-calon sama ada dalam Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. 

Selain itu, telah ada juga ura-ura parti komponen Barisan Nasional memboikot PRU pada kali ini kerana calon parti komponen telah diganti dengan calon parti komponen yang lain.  Kes yang paling ketara sejak awal lagi adalah kerusi Parlimen Wangsa Maju yang menjadi rebutan di antara UMNO dan MCA. 

Walaupun dikhabarkan bahawa MCA ‘memulangkan’ kerusi Parlimen Wangsa Maju kepada UMNO, namun MCA Wangsa Maju dikhabarkan bersama kira-kira 120 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Wangsa Maju memutuskan memboikot Barisan Nasional sepanjang kempen PRU ke-13 berikutan Datuk Yew Teng Look tidak dicalonkan di kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Ketua Bilik Gerakan Pilihanraya MCA, Lim Choong Hong pula dikhabarkan akan mengadakan bantahan bersiri kepada pucuk pimpinan MCA bagi mengutuk tindakan Presiden MCA tidak mempertahankan kerusi Parlimen Wangsa Maju.

Malah calon MCA, Datuk Yew Teng Look pula dikhabarkan telah membelanjakan sebanyak RM2.5 juta tanpa bantuan parti komponen yang lain untuk penduduk di Wangsa Maju, tetapi kerja kerasnya tidak dinilai oleh pucuk pimpinan BN. 

Semalam juga dikhabarkan bagaimana ada bantahan bagi kerusi N32 Seri Setia yang meletakkan calon ‘payung terjun’ di kawasan tersebut yang dibantah keras oleh penduduk tempatan yang mahukan calon daripada kalangan pemimpin yang telah berkerja keras selama ini untuk mereka.

Soalnya, sampai bila pemilihan calon diputuskan oleh pucuk pimpinan tanpa mendengar suara akar umbi, malah slogan ‘rakyat didahulukan’ semacam tidak terpakai untuk pemilihan calon dalam PRU pada kali ini.

Mentaliti ‘kami tahu semua’ atau ‘kami tahu apa yang terbaik’ untuk rakyat seharusnya telah lama dipinggirkan, ini kerana suara-suara protes semacam ini, sama ada oleh MCA di Wangsa Maju, UMNO di Seri Setia dan di

Gambir, seharusnya menjadi pembuka mata bagi pucuk pimpinan Barisan Nasional untuk menambah kemenangan mereka.

Jika kerajaan Barisan Nasional yang telah mempunyai prestasi menyertai pilihanraya umum sebanyak 12 kali sebelum ini dan telah menjadi kerajaan selama lebih setengah abad dilanda krisis keyakinan oleh parti komponennya sendiri,  malah sering mendabik  bahawa mereka tidak bertelagah mengenai kerusi dalam PRU,  apa lagi yang boleh diharapkan? Ini kalilah!
 

TAMAK MENJELANG PRU!


Beberapa hari lagi akan berlangsung proses penamaan calon yang dijadualkan pada 20 April nanti.  Menariknya sehingga kini sama ada parti Barisan Nasional yang mendakwa telah memerintah Malaysia selama setengah abad mahupun Pakatan Rakyat yang menguasai empat negeri masih belum selesai mengenalpasti calon-calon mereka.

Tentulah ada pertimbangan yang sewajarnya yang diambilkira untuk menamakan seseorang ahli parti untuk menjadi calon dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.  Jika BN yang telah berpeluang menyertai pilihanraya umum selama 12 kali pun tercungap-cungap untuk menamakan calon mereka apatah lagi oleh Pakatan Rakyat yang baru sahaja menyerlah selama beberapa tahun ini.

Pemilihan calon oleh parti juga harus berhati-hati untuk tidak menimbulkan keadaan di mana calon yang terpilih dan menang bertanding dengan tidak semena-mena beralih arah, seperti apa yang terjadi kepada dua orang ADUN ‘katak’ di Perak selepas selesai PRU ke-12 yang lalu.

Pun begitu seolah-olah terdapat ketandusan pemimpin khususnya oleh pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan Pakatan Rakyat.  Ini kerana sejak beberapa PRU yang lalu, terdapat kecenderungan para pemimpin pembangkang untuk bertanding di dua kawasan iaitu di Parlimen dan DUN.  Misalnya, pada PRU yang lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim daripada Pakatan Rakyat bertanding di kerusi DUN Ijok dan di Parlimen Bandar Tun Razak, sesuatu yang menafikan hak ahli parti yang lain.

Tidak ada satu pun alasan yang begitu munasabah dan boleh diterima bagi mewajarkan kecendurungan untuk bertanding di lebih dari satu kerusi.  Pemimpin dan ahli parti serta bakal calon sepatutnya menumpukan kepada satu sahaja kerusi yang diperuntukkan kepada mereka supaya mereka boleh lebih fokus untuk memberikan khidmat kepada rakyat kawasan yang diwakili mereka.

Telah juga kedengaran daripada kalangan calon-calon Pakatan Rakyat yang cenderung untuk bertanding di dua kawasan Parlimen dan DUN.  Dalam nada yang sinis, kecenderungan ini adalah seolah-olah mereka tidak yakin dengan satu kerusi yang diperuntukkan oleh parti untuk mereka.  Alasan kekurangan calon yang berkaliber adalah satu alasan yang sangat dangkal.  Apa yang nyata ialah sikap dan sifat tamak bakal calon seperti ini yang cenderung bertanding lebih dari satu kerusi.

Para pengundi atau rakyat juga boleh memainkan peranan untuk menolak mana-mana calon yang bertanding di lebih daripada satu kerusi, ini kerana adalah tidak mungkin untuk memberikan khidmat yang lebih baik dengan bertanding di dua buah kerusi.

Kepada para pemimpin Pakatan Rakyat, berhentilah untuk berasa tamak dan bertanding di dua kerusi, sebenarnya anda hanya mementing diri dengan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN, serta  menunjukkan anda sebenarnya tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan diri anda.  Jika anda berasa tidak yakin, seeloknya anda berhenti menawarkan diri menjadi calon!
 

APABILA RAKYAT LETIH!


Ketika penyiaran video mengenai unsur rasuah yang melibatkan Ketua Menteri Sarawak oleh badan NGO antarabangsa, Global Witness, ramai yang ‘seolah-olah’ terperanjat dengan pendedahan tersebut.
Gollum dalam The Lord the of Rings - gambar hiasan
Beberapa siri video yang ditunjukkan seolah-olah membenarkan terdapat  pelakuan rasuah oleh pemimpin yang dikatakan paling kaya dalam Malaysia di samping yang paling lama memimpin sebuah negeri. 

Ketika pilihanraya umum negeri Sarawak pada 16 April 2011, dikhabarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak bahawa pemimpin Sarawak tersebut akan meletakkan jawatan selepas mengemudikan kejayaan Sarawak dalam pilihanraya umum tersebut.

Ini janji yang diberikan oleh Ketua Menteri kepada Perdana Menteri dan dikhabarkan kepada seluruh rakyat Malaysia, nampaknya janji ini tidak ditepati oleh kedua-dua pemimpin Barisan Nasional ini.

Sama ada dakwaan oleh Global Witness ini boleh diterima adalah satu soal lain, namun apabila Ketua Menteri Sarawak itu, bukan sahaja memperlekehkan pihak Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dengan mengatakan “Mereka tidak layak terima kerjasama dari saya kerana mereka nakal dan tidak bertindak jujur, biarkan mereka buat kerja”.

Tuduhan ini amat serius apatah lagi dilakukan oleh seorang pemimpin tertinggi Barisan Nasional di peringkat negeri.  Jika orang seperti Ketua Menteri Sarawak tidak diambil tindakan oleh Perdana Menteri berhubung dakwaan ‘tidak jujurnya’ SPRM, apa lagi yang boleh diharapkan oleh rakyat keseluruhannya.

Adakah Perdana Menteri akan berterusan mempertahankan Ketua Menteri Sarawak yang bukan sahaja gagal menunaikan janji untuk berundur seperti yang dinyatakan sebelum Pilihanraya Umum Negeri pada April 2011, tetapi juga memperlekehkan SPRM sebagai badan induk pencegahan rasuah di negara ini.

Sesuatu yang memalukan ialah apabila pihak-pihak berkenaan seperti tidak merasa apa-apa apabila SPRM diperlekeh, adakah SPRM akan berdiam diri dengan keengganan Ketua Menteri atau adakah SPRM akan memohon waran tangkap kepada Ketua Menteri Sarawak dari Barisan Nasional ini?

SPRM sepatutnya mempraktikkan slogan mereka untuk bertindak tegas kepada siapa sahaja dan tidak hanya kepada pemimpin pembangkang, sesuatu yang sangat meletihkan rakyat negara ini.

Dengan tindakan pemimpin Barisan Nasional memperlekehkan SPRM dan sifat berdiam diri Perdana Menteri adakah transformasi kerajaan ke arah pengurangan rasuah seperti yang digariskan dalam NKRA Membanteras Rasuah sekadar retorik dan momokan Kerajaan Barisan Nasional!
 

SIAPA YANG KENA?


Tarikh penamaan calon dan pilihanraya umum telah pun diumumkan selepas penantian dan teka-teki bodoh selama lebih setahun.  Ironinya tarikh pembubaran yang ‘tersasul’ oleh Perdana Menteri sepertinya dilakukan pada ulangtahun ke-empat Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-6 pada 3 April 2009.

Selepas sahaja pengumuman  oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang menetapkan 20 April 2013 sebagai tarikh penamaan calon manakala 5 Mei 2013 pula ditetapkan sebagai tarikh mengundi bagi pilihanraya umum ke-13, debar bakal-bakal calon bertambah kencang.
Gambar hiasan - Suara rakyat

Sebanyak 202 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri menjadi rebutan dalam PRU ke-13 ini.  Selepas pembubaran, selepas pengumuman tarikh penamaan calon dan tarikh rakyat Malaysia mengundi, parti-parti politik kini sibuk untuk mengenalpasti calon-calon  dan juga membuat pengumuman calon bagi semua kawasan yang bakal ditandingi.

Menariknya, sama ada parti Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat perebutan dan suara yang mahukan kerusi-kerusi tertentu, selepas ini akan menjadi lebih lantang.  Selepas ini sehingga tarikh penamaan calon pada 20 April 2013, lebih banyak suara-suara yang akan kedengaran apabila seseorang calon atau mantan ahli Parlimen, Menteri, Timbalan Menteri mahupun ADUN digugurkan dan digantikan dengan calon-calon lain, yang pada fikiran mereka bukanlah ‘calon boleh menang’ atau winnable candidates.

Misalnya bagi kerusi Parlimen Sungai Siput, yang disandang oleh mantan Presiden MIC sehingga ditewaskan pada PRU-12 pada 2008, calonnya Datuk Seri S. Samy Veloo masih beranggapan beliau adalah calon boleh menang, sesuatu yang sangat mengejutkan!

Selain itu, Barisan Nasional juga khabarnya akan mempertimbangkan calon-calon Bebas yang mesra Barisan Nasional untuk terpilih bertanding dalam PRU ke-13 ini, nama-nama seperti Wee Choo Keong, yang mewakili Wangsa Maju adalah sebagai contoh calon bebas yang sangat rapat dengan pucuk pimpinan Barisan Nasional, malah calon Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishan juga dikhabarkan calon bebas yang sangat mesra Barisan Nasional, namun atas tiket apa mereka bakal bertanding adalah satu tanda tanya yang besar.

Malah dikhabarkan juga ada sesetengah kerusi yang menjadi rebutan sesama parti komponen dan istilah seperti ‘dipulangkan semula’, ‘pertukaran’ adalah istilah-istilah yang lebih lunak bagi mengabui rakyat berhubung pergeseran dalaman parti-parti politik.

Di Kelantan pula, budaya ‘cah keting’ yang merujuk kepada unsur sabatoj oleh kumpulan yang tidak terpilih menjadi satu igauan ngeri khususnya kepada UMNO, dan apabila manifesto dilancarkan pada hari ini oleh Datuk Sri Mustapha Mohamad, Pengerusi Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional Kelantan, satu upacara ‘bai’ah’ atau angkat sumpah telah juga diadakan, bagi mengelakan sabotaj oleh ahli parti.

Menariknya dalam PRU ke-13 adalah bagaimana ramai yang berhasrat menjadi calon terpaksa akur kepada pemilihan oleh pucuk pimpinan masing-masing atau merasakan diri bukan ‘calon boleh menang’ mengambilkira landskap politik pasca tsunami pada PRU ke-12 pada tahun 2008.  Yang lebih selamat ialah tidak mengada-ngada menawarkan diri atau membayangkan diri untuk tidak bertanding seperti yang dilakukan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Sharizat Jalil dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Mungkin mereka-mereka ini mempunyai sebab-sebab kukuh untuk tidak menawarkan diri atau mengelakkan rasa malu kerana bakal tidak terpilih oleh pucuk pimpinan dan tidak dianggap ‘calon boleh menang’.  Walauapapun menjelang tarikh penamaan calon dan tarikh PRU ke-13 yang menariknya adalah melihat ‘siapa yang kena’!
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger