TAMAK MENJELANG PRU!


Beberapa hari lagi akan berlangsung proses penamaan calon yang dijadualkan pada 20 April nanti.  Menariknya sehingga kini sama ada parti Barisan Nasional yang mendakwa telah memerintah Malaysia selama setengah abad mahupun Pakatan Rakyat yang menguasai empat negeri masih belum selesai mengenalpasti calon-calon mereka.

Tentulah ada pertimbangan yang sewajarnya yang diambilkira untuk menamakan seseorang ahli parti untuk menjadi calon dalam Pilihanraya Umum ke-13 nanti.  Jika BN yang telah berpeluang menyertai pilihanraya umum selama 12 kali pun tercungap-cungap untuk menamakan calon mereka apatah lagi oleh Pakatan Rakyat yang baru sahaja menyerlah selama beberapa tahun ini.

Pemilihan calon oleh parti juga harus berhati-hati untuk tidak menimbulkan keadaan di mana calon yang terpilih dan menang bertanding dengan tidak semena-mena beralih arah, seperti apa yang terjadi kepada dua orang ADUN ‘katak’ di Perak selepas selesai PRU ke-12 yang lalu.

Pun begitu seolah-olah terdapat ketandusan pemimpin khususnya oleh pakatan pembangkang yang terdiri daripada DAP, PAS dan Pakatan Rakyat.  Ini kerana sejak beberapa PRU yang lalu, terdapat kecenderungan para pemimpin pembangkang untuk bertanding di dua kawasan iaitu di Parlimen dan DUN.  Misalnya, pada PRU yang lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim daripada Pakatan Rakyat bertanding di kerusi DUN Ijok dan di Parlimen Bandar Tun Razak, sesuatu yang menafikan hak ahli parti yang lain.

Tidak ada satu pun alasan yang begitu munasabah dan boleh diterima bagi mewajarkan kecendurungan untuk bertanding di lebih dari satu kerusi.  Pemimpin dan ahli parti serta bakal calon sepatutnya menumpukan kepada satu sahaja kerusi yang diperuntukkan kepada mereka supaya mereka boleh lebih fokus untuk memberikan khidmat kepada rakyat kawasan yang diwakili mereka.

Telah juga kedengaran daripada kalangan calon-calon Pakatan Rakyat yang cenderung untuk bertanding di dua kawasan Parlimen dan DUN.  Dalam nada yang sinis, kecenderungan ini adalah seolah-olah mereka tidak yakin dengan satu kerusi yang diperuntukkan oleh parti untuk mereka.  Alasan kekurangan calon yang berkaliber adalah satu alasan yang sangat dangkal.  Apa yang nyata ialah sikap dan sifat tamak bakal calon seperti ini yang cenderung bertanding lebih dari satu kerusi.

Para pengundi atau rakyat juga boleh memainkan peranan untuk menolak mana-mana calon yang bertanding di lebih daripada satu kerusi, ini kerana adalah tidak mungkin untuk memberikan khidmat yang lebih baik dengan bertanding di dua buah kerusi.

Kepada para pemimpin Pakatan Rakyat, berhentilah untuk berasa tamak dan bertanding di dua kerusi, sebenarnya anda hanya mementing diri dengan bertanding di kerusi Parlimen dan DUN, serta  menunjukkan anda sebenarnya tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan diri anda.  Jika anda berasa tidak yakin, seeloknya anda berhenti menawarkan diri menjadi calon!

Ulasan

anep berkata…
setuju...sangat..
Tanpa Nama berkata…
harus ditolak pemimpim mcm tu..
SIS berkata…
bknkah pencalonan dr pucuk pimpinan parti...bkn diri sendiri yg menentukannya sendiri?..(betulkan sy jika sy salah)

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?