KEMELUT MCA – TAHNIAH DR. CHUA SOI LEK …

(Gambar Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek diambil dari www.thenutgraph.com)

Saya bukan penyokong Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang baharu sahaja dinobatkan sebagai Presiden MCA pada pemilihan parti semalam. Tetapi apabila ada sekumpulan yang menggunakan pelbagai cara bagi menidakkan proses demokrasi dalam parti terbesar Cina di negara kita, saya rasa terpanggil untuk menyatakan sokongan saya kepada Presiden MCA yang baru ini.

Datuk Seri Ong Tee Keat yang menerajui MCA selama 17 bulan tidak pernah sunyi dari pelbagai kecaman dari dalam dan luar partinya, dan kekalahan kepada Timbalannya bukanlah sesuatu yang mudah untuk ditelan.

Siapalah kita untuk menjadi hakim tentang skandal yang pernah menimpa Dr. Chua Soi Lek, tetapi keberanian dan kesungguhan beliau untuk mengakui kesilapannya akan tetap diingati oleh seluruh rakyat Malaysia. Kepada Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang tanpa jawatan hakiki dalam Kerajaan, bukan pun seorang Menteri, bukan juga seorang Ahli Parlimen (beliau memberikan laluan kepada anaknya) tetapi masih juga dipilih oleh perwakilan berbanding dua calon lain – Mantan Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting dan Presiden MCA sebelum ini yang juga merupakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Kepada Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Presiden MCA yang baru, selamat menggalas amanah baru dari masyarakat Cina di Malaysia! Tahniah Datuk Seri!

 

SELAMAT TINGGAL PBAKL 2010 ...



(Gambar-gambar yang sempat dirakam di PBAKL 2010)

Semalam berakhir sudah satu lagi edisi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2010 (PBAKL). Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur kali ke-29 yang bermula sejak 19 Mac lalu telah melabuhkan tirainya, dengan pelbagai kisah dan tauladan. Saya bukanlah orang yang paling layak mengatakan bahawa PBAKL pada kali ini dianggap berjaya. Saya tidak mempunyai ‘booth’ pada kali ini, namun masih mampu mempamerkan produk melalui jalinan kerjasama dengan pihak-pihak lain.

Walaupun begitu, penglibatan saya agak aktif pada tahun ini bukan sahaja kerana menggunakan pentas utama untuk berkongsi maklumat berhubung produk yang dipamerkan malah mengendalikan forum 1Malaysia Membaca yang dianjurkan bersama dengan Koperasi KedaiBuku Universiti Malaya (KKUM), Koperasi Buku Malaysia Berhad (KBMB) dan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa, Guru Nasional (PIBGN) pada hari terakhir pesta buku kali ini.

Kejutan yang lebih besar ialah apabila YAB Perdana Menteri (seingat saya ini kali pertama seorang Perdana Menteri menghadiri pesta buku antarabangsa Kuala Lumpur) sudi hadir pada sesi membaca bersama dengan membaca petikan dari buku beliau sendiri – Mendahului Zaman. Walaupun dalam kesibukan, YAB Perdana Menteri sempat melawat gerai-gerai pameran, walaupun difahamkan belum pulih dari demam.

Memang banyak cakap-cakap mengenai perjalanan PBAKL pada kali ini, tetapi memanglah sukar untuk memuaskan hati semua pihak, tetapi yang paling nyata ialah penglibatan Pakej Prabayar SOX sebagai salah sebuah penaja PBAKL pada kali ini, memang tidak salah menjadi penaja tetapi membiarkan si penaja mempromosikan pakej prabayar yang kemudiannya akan mengundang penggunaan telefon dan sistem pesanan ringkas bukankah akan mengabaikan usaha murni ke arah menyemarakkan budaya membaca di kalangan generasi muda.

Begitu juga kehadiran YAB Perdana Menteri di gerai pameran milik Institut terjemahan Negara Malaysia (ITNM), bukankah lebih manis jika penglibatan Perdana Menteri diaturkan di atas pentas UTAMA dan bukannya di ruang terhad gerai ITNM sendiri, tetapi siapalah saya dan para ‘pengomel’ yang lain untuk mempertikaikan aktiviti organisasi segah ITNM, mungkin mereka mempunyai alasan tersendiri, apa yang boleh dirakamkan ialah rasa terkilan kerana begitu ramai yang bersesak dalam ruang yang kecil. Walau apa pun usaha ITNM mengundang YAB Perdana Menteri ke PBAKL 2010 dan juga memulakan inisiatif pembacaan karya oleh serorang pemimpin tertinggi negara wajar diberikan pujian.

Saya percaya PBAKL 2011 yang bakal berlangsung samada dari 17-26 April 2011 atau 22 April – 1 Mei 2011 akan lebih mantap dengan kepimpinan penganjuran yang lebih ‘manusia’ dengan mengambilkira pandangan dan kritikan pelbagai pihak dari penerbit kecil hingga kepada penerbit atau syarikat gergasi dalam industri buku di negara kita, tidak lupa pandangan pengunjung yang merungut mengenai syarikat-syarikat jualan langsung yang kerap menarik tangan ibu bapa bagi mempromosikan ‘kursus bahasa’ mereka tanpa adab dan budi bahasa!

Mungkin boss baru di Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) akan berbuat sesuatu bagi mengembalikan kegemilangan PBAKL sehingga ada pihak-pihak mengganggap PBAKL sebagai Pesta Buku (Kanak-Kanak) Kuala Lumpur.

Apalah makna menjadi Pesta Buku yang terbesar bagi sekadar direkod dalam Buku Rekod tanpa benar-benar menjadi sebuah pesta mahupun pameran buku yang benar-benar dikagumi, dihormati dan bermaruah, dengan pengisian aktiviti dan pemamer yang benar-benar berjiwa buku dan mempunyai misi menggerakan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia!

 

CATATAN SEMASA GELAP …


Saya sengaja memilih untuk menulis ketika anak-anak saya sibuk untuk menyelamatkan dunia dari pemanasan global – menutup lampu dari jam 8.30 malam hingga 9.30 malam, pada malam Sabtu 27 Mac 2010. Sambil menonton separuh Buletin Utama dan 30 minit Cerekarama – Miah Oh Miah di kaca TV3, saya menulis catatan ini hanya dengan cahaya komputer riba dan cahaya dari televisyen.

Khabarnya bangunan Menara Berkembar Petronas dan Menara KL juga akan menutup lampunya bagi tempoh tersebut seperti yang dilakukan oleh mercu tanda di lain-lain negara. Negara kita yang mula menyertai kempen Earth Hour yang diinisiatif oleh World WildLife Fund (WWF) sejak tahun lalu sebagai satu usaha untuk menyokong perubahan iklim dan pemanasan global. Penyertaan pada tahun lepas telah menjimatkan lebih 550 megawatt tenaga elektrik yang mampu menerangi 170,000 buah rumah!

Masalah perubahan iklim dan pemanasan global bukan masalah yang kecil malah adalah perkara yang amat serius dan usaha yang disertai anak-anak saya untuk menyelamat bumi ini memang mengujakan.

 

LULUH HATI SEORANG IBU …

Minggu lepas kita dikejutkan oleh berita seorang artis terlibat dengan najis dadah. Dunia seni kita tidak pernah sunyi dengan pelbagai kisah artis yang terlibat dengan najis dadah. Namun begitu cerita mengenai seorang pelakon lelaki yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Terbaik pada Anugerah Skrin memang mencuri tumpuan, kerana penglibatan dan penahanan pelakon ini telah merobek hati ibunya yang juga seorang yang amat dihormati dalam dunia lakonan amnya dan dunia seni khususnya.

Anak lelaki berusia 31 tahun yang telah pun berumahtangga dan mempunyai seorang anak ditahan bersama teman wanitanya kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah serta menjadikan kediamannya di sebuah kondominium mewah di Kepong sebagai tempat memproses kokain dan syabu.

Mengikut laporan, polis menemui 800 gram kokain bernilai RM650,000 dan 1.4 gram syabu bernilai hampir RM2,000 tersembunyi dalam sebuah bilik di kediaman terbabit. Polis turut menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah berkenaan. Kedua-dua suspek kini ditahan reman tujuh hari sehingga Khamis ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Hati kecil saya merasa amat simpati dengan kisah ibu ini. Lain pula cerita seorang kenalan teman saya yang merupakan seorang ibu tunggal pula sedih dan benar-benar terkilan apabila dua orang anak lelakinya bertindak untuk tinggal bersama ibu saudara mereka hanya kerana ditegur oleh ibu mereka akibat leka menonton televisyen. Saya bukanlah mahu menyebelahi samada si ibu mahupun ibu saudara mereka, tetapi anak-anak apabila mereka mempunyai tempat atau rumah lain (dalam konteks ini rumah ibu saudara mereka) tentulah mereka akan terus menggunakan peluang ini untuk terus tinggal di rumah ibu saudara mereka dan mengenepikan ibu sendiri dengan alasan dimarahi oleh ibu mereka.

Saya merasa amat sedih dengan perlakuan anak-anak ini yang masing-masing akan menduduki peperiksaan UPSR dan PMR pada tahun ini. Lebih menyedihkan ialah sikap si ibu saudara yang memberi muka kepada perlakuan anak-anak saudaranya. Ironinya ialah si ibu saudara tidak mempunyai anaknya sendiri dan tentulah tidak dapat menyelami naluri seorang ibu, kekecewaan dan hancur hati sang ibu yang diperlakukan demikian oleh anak-anaknya.

Hanya mereka yang pernah menjadi ibu tahu dan faham perasaan seorang ibu yang lain. Menyayangi anak-anak saudara sebagai anak sendiri tidak salah tetapi apabila bersama-sama menyalahkan ibu sendiri dengan alasan yang remeh tentulah amat memilukan seorang ibu. Untuk kedua ibu ini moga akan terus tabah mengharungi hidup ini, apapun hidup mesti diteruskan!
 

ADAB SELEPAS KEMATIAN


Perkembangan beberapa minggu lalu, agak sedikit menggangu saya. Kisah bagaimana teknologi disalahgunakan untuk memburukkan peribadi seseorang. Ironinya cakap-cakap dan fitnah ini melibatkan orang yang telah mati dan tidak lagi boleh melawan cakap-cakap ini.

Kita teringat bagaimana penghibur No. 1 tanahair, Allahyarham Sudirman Hj. Arshad ditohmah dengan pelbagai penyakit sehingga memaksa Menteri Kesihatan pada ketika itu mengeluarkan kenyataan berhubung punca kematian beliau. Pada ketika itu, teknologi internet belum begitu meluas dan hanya cakap-cakap sahaja.

Selepas perkembangan internet pada masa kini, pelbagai laporan mengenai Almarhum Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Jaafar disebarkan begitu meluas sehingga memaksa pihak istana mengeluarkan amaran keras berhubung kenyataan ini. Teknologi maklumat sekali lagi disalahgunakan oleh blogger apabila pelbagai cerita selepas kemangkatan Sultan Johor, Sultan Iskandar pada awal tahun ini. Seorang blogger dihadapkan ke mahkahmah berhubung kes ini.

Adab selepas kematian seseorang bukan sahaja wajar dihormati malah dalam semua agama dan kepercayaan hal ini memang sentiasa ditekankan. Kita masih tidak lupa bagaimana sebuah akhbar tempatan menyiarkan tentang cerita mengenai Allahyarham Yasmin Ahmad, pengarah tersohor negara.

Terbaru ialah apabila Allahyarham Haslinda Mohd Zerain, Ketua Puteri UMNO Bahagian Ampang yang meninggal akibat sakit jantung telah ditohmah begitu teruk dalam laman sosial – Facebook. Ekoran kejadian itu, laporan polis telah dibuat oleh UMNO Bahagian Ampang.

Walauapapun realiti di sebalik hal-hal ini mengenai seseorang adalah tidak wajar didedahkan apatah lagi diaibkan selepas kematian seseorang itu. Apalah nilai sebuah berita atau entri jika melukakan sesuatu pihak khususnya pada keluarga simati. Bukankah tanggungjawab sebagai seorang manusia juga menuntut kita menghormati peribadi setiap orang apatah lagi jika orang tersebut telah pun meninggalkan dunia ini.

Semoga Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia (SKMM) bertegas mengenai gejala ini bagi memastikan kemudahan teknologi tidak disalah gunakan.

 

SAYA, AKU & WANITA ...

Kathryn Bigelow - Calon Pengarah Terbaik - The Hurt Locker

Bulan Mac memang bulan wanita untuk saya – ini kerana dua wanita dalam hidup saya merayakan ulangtahun kelahiran mereka dalam bulan Mac. Anak perempuan tunggal saya pada 10 Mac dan ibunya sehari selepas itu. Ironinya bulan Mac juga bulan meraikan Hari Wanita Antarabangsa, iaitu pada setiap 8 Mac saban tahun.

Hari Wanita Antarabangsa diraikan pada setiap 8 Mac untuk memperingati pencapaian ekonomi, sosial dan politik kaum wanita sejak dahulu, kini dan akan datang. Tema sambutan Hari Wanita Antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada tahun ini ialah Kesamarataan Hak dan Peluang: Kemajuan Untuk Semua. Walaupun di negara kita tidak diisytiharkan sebagai cuti umum seperti di China dan Rusia yang menjadikan Hari Wanita sebagai cuti umum, namun pengiktirafan pihak Kerajaan terhadap golongan wanita tidak perlu dipertikaikan.

Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan hari ini mungkin akan lebih bermakna jika pengarah wanita yang dicalonkan – Kathryn Bigelow melalui filem arahannya, The Hurt Locker dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik dalam Anugerah Akademi Ke-82, sekaligus melakar sejarah dalam penganjuran Oscar kerana buat pertama kali mengiktiraf wanita sebagai Pengarah Terbaik.

Walauapa pun, Selamat Hari Wanita untuk semua wanita di mana sahaja berada.

 

CERITA DARI BALAI ...

Balai Polis - perakam seribu cerita (Gambar Hiasan)

Dua hari lepas, saya menghabiskan separuh malam saya di sebuah Balai Polis. Bukan sebab saya ditahan atau menjadi OKT, tetapi kerana menemani rakan-rakan saya yang meminta bantuan pihak polis bagi menyelesaikan kemelut mereka. Kisah si bekas isteri meminta si bekas suami memulangkan kereta milik bekas isterinya. Oleh kerana pelbagai cara telah dilakukan secara baik, memohon si bekas suami memulangkan kereta tersebut, namun tidak diendahkan, malah pelbagai alasan tidak masuk akal diberikan dan yang terakhir – HARTA SEPENCARIAN!

Mulanya saya agak ragu-ragu dan ingin sahaja memberikan tabik spring kepada si suami tadi, namun kecewa kerana ternyatalah alasan si suami tadi tidak masuk akal. Sebabnya kereta yang menjadi punca perbalahan ini telah dibeli oleh bekas isterinya sebelum mereka menjadi suami isteri, malah menurut si isteri tadi, bekas suaminya telah menggunakan kereta tersebut sejak ianya dibeli dan telah menyebabkan lesen si isteri telah disenaraihitamkan kerana kesalahan jalanraya oleh suaminya, ooops maaf bekas suaminya.

Bukanlah niat saya menceritakan perihal suami dan isteri yang berbalah mengenai sebuah kereta berusia hampir sedekad, tetapi yang lebih menarik ialah peluang yang diberikan oleh rakan-rakan saya tadi untuk sama-sama menyertai misi mendapatkan semula kereta dari bekas suaminya. Kerana perbalahan ini tidak dapat diselesaikan melalui laporan polis yang dibuat di kaunter beberapa hari lalu, maka teman-teman saya telah memohon untuk menceritakan masalah mereka dan memohon pandangan dari pegawai atasan polis di Balai Polis tersebut.

Selama hampir dua jam saya ditinggalkan bersendirian di luar dan saya mula menyelami kehidupan singkat di dalam pekarangan Balai Polis. Rupanya Balai Polis yang tidak pernah tidur dan sepi sentiasa mempunyai pelbagai kisah menarik – sebutlah apa sahaja, kes rompak, ragut, kecurian, perbalahan dan pelbagai kisah jenayah samada berat mahupun jenayah kecil. Sambil menunggu rakan-rakan saya, ketika duduk di luar Balai Polis ada pula kisah si adik yang menunggu si abangnya kerana kononnya kesalahan mencuri barang kemas di rumah mereka, dan menurut si adik tadi, kecurian pelbagai barang telah berlaku di rumah mereka dan suspek utamanya ialah abangnya sendiri. Ironinya yang dituduh melakukan kecurian itu ialah abangnya yang juga merupakan seorang anggota polis di Balai Polis tersebut!

Kisah bagaimana si pelapor disergah ketika membuat laporan, juga tidak terlepas dari pandangan dan pengamatan saya, ketika Polis DiRaja Malaysia berslogankan Mesra, Cepat dan Betul, saya kira amalan berbudi bahasa patut dipanjangkan kepada anggota polis pelbagai peringkat dan pangkat khususnya mereka yang ditugaskan di kaunter melayani orang ramai yang membuat laporan di Balai Polis, saya amat yakin apa yang saya lihat adalah kes yang terpencil dan tidak menggambarkan sikap sebenar anggota polis.

Hampir jam 12 tengah malam, ketika rakan-rakan saya selesai dan keluar dengan penuh kelegaan, ada pula kisah si pengawal wanita yang dibawa anggota polis (saya tidak pasti atas kes apa) bertanyakan saya mengenai bagaimana mendapatkan khidmat Biro Bantuan Guaman, walaupun selepas menuliskan maklumat mengenai Biro bantuan Guaman seperti yang dipinta, saya tidak terlepas menjadi mangsa ‘kasihan buatan’ apabila cerita-cerita ‘tak makan dari pagi tadi’ keluar pula dari mulutnya – kerana tergesa-gesa mahu pulang segera kerana saya sendiri pun tidak menjamah makanan dari pagi tadi bergegas keluar sambil mengeluar sekeping not merah. Balai Polis - perakam pelbagai kisah yang tidak pernah tidur dan tidak pernah sunyi!



 

MINGGUAN mSTAR

Saya tidak tinggal di Lembah Kelang, tetapi tinggal di pinggir Lembah Kelang lebih tepat lagi di Semenyih, yang berada di bahagian paling selatan negeri Selangor dan lebih hampir kepada negeri jiran, Negeri Sembilan. Oleh kerana saya tidak tinggal di Lembah Kelang, saya tidak mendapat naskhah percuma akhbar mingguan terbaru – Mingguan mStar yang diedarkan di sekitar Lembah Kelang, namun itu tidak menghalang saya berusaha untuk mendapatkan untuk tujuan entri ini.

Pada pagi Ahad yang lalu, 28 Februari 2010, sebuah lagi akhbar mingguan berbahasa Melayu dilancarkan. Mingguan mStar, ahli keluarga terbaru Kumpulan Media Star, penerbit akhbar berbahasa Inggeris, the STAR. Mingguan mStar adalah lanjutan dari portal online mStar yang menyiarkan berita-berita berbahasa Melayu yang kompak dan terkini sejak lima tahun yang lalu.

Walaupun buat masa ini, akhbar Mingguan mStar akan diedarkan secara percuma bersama dengan the Sunday Star sehingga bulan Mei nanti dan selepas itu akan dijual secara berasingan sebagai sebuah akhbar mingguan.

Mingguan mStar edisi sulongnya memuatkan kisah Hambali Abdul Qadir, seorang anggota kumpulan militan yang kini menjadi penghuni penjara Teluk Guantanamo, melalui ruangan eksklusif dunianya. Uniknya akhbar terbaru ini diterbitkan oleh Kumpulan Media Star yang menerbitkan akhbar berbahasa Inggeris dan percaya serta yakin dengan kemampuan akhbar berbahasa Melayu di negara ini.

Walau apapun, tentulah hujung minggu saya ditambah pembacaan akhbar berbahasa Melayu yang kini didominasi oleh akhbar Mingguan Malaysia dan Berita Minggu, apakah dengan keberanian memasuki pasaran akhbar berbahasa Melayu yang kononnya begitu suram dan susah mendapatkan keyakinan pengiklanan, namun apa yang cuba dibuktikan oleh Kumpulan Media Star ialah pembaca akhbar bahasa Inggeris khususnya the Star diwakili oleh 32 peratus pembacanya adalah dari kalangan bangsa Melayu.

Membaca edisi sulung akhbar ini, saya percaya Mingguan mStar mampu melangkah jauh dengan kualiti pemberitaan yang jauh dari konsep pelaporan semata-mata. Apakah Mingguan mStar mampu menggugat dominasi dua akhbar mingguan terkemuka, Mingguan Malaysia dan Berita Minggu, sama-sama kita nantikan. Tahniah kepada Kumpulan Media Star kerana masih percaya dengan kemampuan Bahasa Melayu di negara kita, syabas!


 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger