MENUNTUT KEWAJARAN


Benar saya memang terganggu membaca laporan di dalam akhbar semalam, memberitakan tentang Naib Yang Dipertua 2 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Profesor Emeritus Datuk Dr. Ariffin Suhaimi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah terhadap dana projek menaik taraf jalan raya yang bernilai RM3.7 juta milik pertubuhan itu antara tahun 2002 dan 2004.

Turut dituduh bersama-sama Ariffin, 74, yang juga bekas Timbalan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atas kesalahan itu ialah dua ahli Perkim Cawangan Damansara Utama, Datuk Baharin Baba, 58, dan Abas Adam, 60.

Saya bukanlah mahu mempertikaikan keputusan mendakwa ketiga-tiga mereka tetapi agak terganggu bagaimana dana projek menaik taraf jalan raya diberikan kepada PERKIM, atas dasar apa? Bukankah Perkim bertanggungjawab dalam hal ehwal berkaitan dengan kebajikan umat Islam khususnya saudara baru di negara kita.

Adakah kontrak tersebut diberikan kepada Perkim? Jika ya atas alasan apa? Apakah kepakaran Perkim dalam projek menaiktaraf jalan atau adakah Perkim hanya sebagai broker projek bagi membolehkan sebahagian dana tersebut disalurkan kembali kepada Perkim?

Jika benarlah dakwaan tersebut, saya berpendapat orang yang patut didakwa bersama ialah pihak yang meluluskan bahawa projek menaiktaraf jalan tersebut kepada Perkim. Saya tidak nampak kewajaran projek ini dilakukan oleh Perkim, bukankah ada badan-badan lain yang lebih khusus misalnya Jabatan Kerja Raya atau pihak kontraktor yang berwibawa. Jika inilah kaedah pemberian kontrak tidak kiralah kontrak bernilai kecil atau besar, kepada entiti yang tidak sepatutnya maka akan terdapat lebih ketirisan kepada proses pemberian kontrak Kerajaan.

 

BERASAP KUBUR MEMBELI ZOO?

Naluri kanak-kanak memang menyukai binatang, sama ada binatang peliharaan mahupun binatang buas seperti yang terdapat di Zoo. Ketika kecil pun saya memang menyukai binatang peliharaan seperti kucing, itik atau anak ayam. Anak-anak saya pula kerana tinggal di taman perumahan, tidak berupaya membela binatang peliharaan selain ikan dalam akuarium namun kecintaan terhadap binatang tidak pernah pudar.

Malah percutian yang baru berlalu diisi dengan kunjungan mereka ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Kuala Gandah, Pahang selain ke Taman Rusa dan juga Institut Biodiversiti Bukit Rengit. Bayangkan jika keluarga saya begitu mewah sehingga mampu membeli zoo sendiri. Itulah yang cuba diungkapkan oleh pengarah Cameron Crowe lewat filem yang diadaptasi dari autobiografi tulisan Benjamin Mee berjudul We Bought A Zoo.

We Bought A Zoo bertolak dari kisah Benjamin Mee lakonan mantap Matt Damon seorang bapa tunggal selepas kematian isterinya terpaksa membesarkan kedua anaknya, Dylan dan Rosie. Kerana gagal untuk menghapus kenangan manis bersama isterinya, Benjamin berpindah jauh dari kehidupannya sekarang dengan membeli sebuah kediaman yang sebenarnya merupakan sebuah zoo yang ditinggalkan.

Kerana percaya, hal ini akan mengembirakan anak lelakinya, Benjamin terus hanyut dengan impian untuk memberi kegembiraan kepada anak-anaknya sehinggalah dia tidak lagi mempunyai wang untuk meneruskan misi menghidupkan semula zoo yang dibelinya. Namun secara tidak sengaja dan kecintaan terhadap isterinya, Benjamin terjumpa surat peti besi keselamatan isterinya yang mengandungi sejumlah wang yang amat diperlukan bagi meneruskan penambahbaikan zoo nya menjelang sesi pemeriksaan dan pembukaan rasmi.

Konflik anak dan bapa adalah sebenarnya inti filem ini apabila, akhirnya Benjamin menyedari bahawa anak lelakinya sebenarnya tidak menyukai kehidupan barunya kerana tidak mempunyai teman-teman kecuali Lily adik kepada penjaga zoo Kelly yang berjaya memikat Dylan. Benjamin yang memberi galakan kepada anaknya untuk mencapai keberanian untuk meluahkan isihatinya kepada Lily, sama seperti yang dilakukan terhadap mendiang isterinya – You know, sometimes all you need is twenty seconds of insane courage. Just literally twenty seconds of just embarrassing bravery. And I promise you, something great will come of it”

Sebenarnya saya menonton sebuah filem Melayu bagi mengimbangi sesi tonton saya, malangnya filem Suatu Malam Kubur Berasap buah tangan pengarah Ernie Chen memang mengecewakan dan malu diangkat sebagai sebuah filem, malah saya berpendapat jika ada pihak seperti FINAS atau institusi pembiayaan yang berhasrat memberikan dana kepada filem semacam ini, haraplah dipertimbangkan semula.

Dengan jalan cerita seperti tempelan, filem (jika boleh dipanggil filem) ini sebenarnya tidak layak malah untuk mengisi slot secara percuma di televisyen pun!

We Bought A Zoo yang bertolak dari premis cerita yang mudah tidak sama dengan filem Suatu Malam Kubur Berasap kecuali lakonan bersahaja Angah Raja Lawak sebagai Atan, sipenggali kubur yang lurus bendul dan juga aktres veteran, Mak Mah. Saya kira amat beruntung kerana menonton filem Suatu Malam Kubur Berasap sebelum menonton We Bought A Zoo, jika tidak tentulah emosi saya masih terganggu.

We Bought A Zoo dengan jalan cerita yang mudah menyelami perasaan manusia dan keinsanan dilingkungi oleh haiwan-haiwan sekelilingnya, bagaimana watak pegawai perhilitan yang dilakonkan oleh John Michael Higgins yang begitu sebal dan terlalu obses dengan tugas sebagai pegawai pelulus zoo Benjamin Mee, akhirnya luluh dengan kejujuran anak kecil, Rosie dan memberikan kelulusan kepada Benjamin untuk membuka zoo nya. Dedikasi pekerja-pekerja dan sokongan abangnya sendiri, seorang akauntan yang begitu rigid mewarnai filem ini dengan latar yang begitu menyenangkan.

Menonton We Bought A Zoo, benar-benar memberikan ketenangan berbanding poket saya hampir terbakar dan berasap menonton Suatu Malam Kubur Berasap!

 

BERAMAL CARA MALAYSIA


Kisah peminta sedekah yang membanjiri negara kita bukan cerita baru.  Kisah peminta sedakah menjadikan Malaysia sebagai ‘hub’ mereka juga bukan cerita baru.  Peminta sedekah ada di mana-mana, pelbagai lokasi sama ada di medan selera bergerak dari meja ke meja atau juga di lampu isyarat bergerak dari kereta ke kereta.

Ada juga peminta sedekah dari kalangan yang kurang upaya menjadikan tempat tumpuan awam seperti pasar malam sebagai sumber mencari rezeki mereka.  Saya pernah melihat seorang lelaki yang bergerak menggunakan papan luncur di pasar malam meminta ihsan para pengunjungnya. 

Rakyat Malaysia memang pemurah dan tidak banyak karenah dalam menghulurkan derma ikhlas mereka.  Ada juga peminta sedekah dari kalangan yang kurang upaya misalnya yang cacat penglihatan diiring oleh seorang yang menjadi pemandunya.  Tetapi tidak ramai yang tahu bahawa kumpulan peminta sedekah dari kalangan orang buta yang membawa tisu bergerak dari meja ke meja sebenarnya adalah yang begitu terancang dan sistematik.

Saya pernah ditawarkan untuk menjadi pemandu kumpulan peminta sedekah ini.  Mereka berkerja secara kumpulan tiga orang.  Si peminta sedekah yang cacat penglihatan, si tukang bawanya dan si pemandu yang membawa kedua mereka dari satu lokasi ke satu lokasi.  Dengan operasi bermula dari jam 8 malam hingga ke pukul dua pagi, setiap dari mereka mampu meraih sehingga RM200 seorang selepas pembahagian sama rata sesama mereka.

Selain itu ada pula sindiket yang mempergunakan anak-anak yatim bagi tujuan mengutip derma kononnya untuk pembinaan madrasah dan sebagainya.  Hari ini saya menyaksikan sendiri bagaimana pemurahnya rakyat Malaysia yang menghulurkan bantuan (kononnya dalam bentuk zakat) kepada penerima dari kalangan mereka yang mengendalikan rumah anak yatim. 

Teman saya, seorang kakitangan awam dari negeri Melaka, meminta saya menemaninya ke sebuah rumah anak yatim di Sendayan, selepas beberapa kali tersasar, kami akhirnya menemui taman yang dimaksudkan malah menemui pula rumah yang menjadi tempat penempatan anak-anak yatim.  Tetapi rumah yang dimaksudkan tidak pula dihuni oleh sesiapa pun, dengan alasan kesemua mereka bercuti sempena cuti sekolah.

Gambar Hiasan 
Selepas beberapa panggilan telefon, akhirnya teman saya tadi menemui salah seorang petugas rumah anak yatim yang dimaksudkan di perhentian bas, apabila saya berbual, banyak yang saya merasa agak ragu-ragu dengan penjelasannya.  Namun seperti rakyat Malaysia yang lazimnya begitu pemurah, teman saya tadi yang mungkin telah berniat untuk bersedekah menyerahkan sejumlah wang yang akhirnya saya ketahui sebanyak RM1000, dan diberikan resit oleh sipetugas tadi.

Kerana rasa ragu-ragu saya sempat menjengah resit yang ditulis oleh petugas tadi dan agak terganggu kerana cop yang berbeza daripada yang digunakan oleh petugas tadi.  Namun apabila hal ini saya utarakan kepada teman saya tadi, dia hanya mengatakan bahawa dia memang berniat untuk bersedekah kerana terdapat kumpulan dari rumah anak yatim tersebut pernah hadir ke tempat kerjanya bagi memohon sumbangan dan menjual biskut yang dihasilkan mereka.

Walaupun derma RM1000 hanya berlaku di pondok perhentian bas, teman saya tadi berpendapat bahawa dia memang ikhlas untuk bersedekah, jika si petugas tadi tidak jujur itu urusannya dengan  Allah SWT.  Potret rakyat Malaysia yang prihatin!
 

RINDU TSUNAMI


Saya sengaja memilih tajuk entri ini, bukan kerana sebenarnya merindukan tsunami yang melanda dunia pada 26 Disember 2004, itu tujuh tahun yang lalu.  Tsunami pada 26 Disember 2004 walaupun hanya meragut 68 nyawa di negara kita, tetapi lebih 160,000 penduduk Acheh terkorban akibat letusan tsunami pada tarikh itu. Tsunami pada ketika itu meragut lebih 230,000 nyawa di empat belas negara.

Sebenarnya tragedi tsunami yang melanda kebanyakan pantai lautan Hindi adalah kejutan, tidak siapa pernah menduga bahawa tsunami yang melanda mampu menjadikan keadaan begitu tragis. 

Pada tahun yang sama, Pilihanraya Umum ke-11 telah berlangsung pada 21 Mac 2004 selepas pembubaran Parlimen pada 4 Mac 2004.  Ironinya pada tahun itu, Barisan Nasional di bawah pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencatatkan kemenangan paling besar sejak 1978.

Barisan Nasional memenangi  198 kerusi dan hanya membenarkan 20 kerusi dimenangi pembangkang.  Pilihanraya umum diadakan kurang enam bulan daripada peralihan  tampuk pemerintahan daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Abdullah Badawi. 

Selepas empat tahun, pada pilihanraya umum yang ke-12 yang berlangsung pada 8 Mac 2008, menyaksikan ungkapan tsunami politik pertama kali diucapkan.  Bayangkanlah dengan kemenangan besar pada PRU ke-11, kerusi yang dimenangi pembangkang melonjak naik kepada 89 buah daripada 20 yang dimenangi pada  2004 .  Barisan Nasional juga kehilangan empat lagi negeri di samping Kelantan yang gagal dirampas semula.  Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor terlepas ke tangan pembangkang.

Sejak PRU 12 pada 2008, lanskap politik Malaysia berubah sama sekali sama seperti yang berlaku kepada bumi Acheh akibat tsunami pada 2004.   

Tiba-tiba menjelang PRU 13 yang dijadualkan pada suku pertama 2012, saya rindukan tsunami, tapi bukan tsunami yang melanda bumi Acheh pada 2004 tetapi tsunami politik yang melanda Malaysia pada PRU 12 pada tahun 2008!

 

KEBERTANGGUNGJAWABAN SEBERANG TAMBAK



Minggu lepas sistem pengangkutan awam di Singapura mengalami gangguan teknikal yang agak meruncing, perkhidmatan Singapore Mass Rapit Transport (SMRT) tergendala menyebabkan lebih 127,000 penumpang terkandas dan 4000 penumpang pula terperangkap di dalam trennya. Khabarnya perkhidmatan SMRT kerap mengalami gangguan, menurut rekod pada tahun 2010 terdapat 28 gangguan dan sehingga Oktober tahun ini sebanyak 17 gangguan direkodkan.

SMRT yang merupakan nadi pengangkutan kepada warga Singapura adalah semacam ikon kepada reputasi Singapura sebagai antara yang paling efisyen. Namun insiden pada minggu lepas telah mengubah persepsi rakyatnya malah para pemimpinnya tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh SMRT.

Prestasi dan gangguan teknikal pada minggu lepas memaksa warga Singapura menilai kembali perkhidmatan efisyen SMRT nya sehingga ada juga suara-suara yang mahukan semua yang terlibat terutama Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cik Saw Phaik Hwa, meletakkan jawatannya. Dalam sebuah negara yang mementingkan budaya kebertanggungjawaban (accountability), saya percaya meminta beliau meletakkan jawatan ada kewajarannya. Itu cerita di seberang tambak.

Di dalam negara pula sejak beberapa ketika masalah bas henti-henti di beberapa negeri khabarnya akan dihentikan terus kerana kerugian daripada laluan yang tidak menguntungkan. Malah salah satu pengendali terbesarnya Konsortium Transnasional Berhad telah mengumumkan pemberhentian perkhidmatan mereka kerana tidak dapat menanggung kerugian yang berterusan.

KTB juga khabarnya telah memaklumkan keputusan mereka kepada Kerajaan negeri yang terbabit di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang, namun tiada sebarang maklum balas daripada Kerajaan Negeri. Namun semalam, Perdana Menteri mengumumkan dana interim berjumlah RM400 juta yang akan disalurkan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Cerita pengangkutan awam di negara kita khususnya di ibu kota Kuala Lumpur dan di bandar-bandar besar bukanlah sesuatu yang baru, malah cerita bas henti-henti di bandar-bandar dan pekan kecil yang beroperasi atas nama pengangkutan awam memang menyedihkan. Memanglah jika dilihat kepentingan pengangkutan awam seperti bas henti-henti bukanlah keutamaan bagi sebuah syarikat pengangkutan namun untuk meniadakannya pula akan mengundang masalah lain khususnya kepada rakyat yang amat bergantung kepada perkhidmatan ini.

Melihat masalah SMRT di seberang tambak dan keputusan jangka pendek yang diambil oleh Kerajaan Malaysia dalam menangani kemelut yang membabitkan rakyatnya, tentulah kita dapat melihat pendekatan para pemimpin di dua buah negara yang dipisahkan oleh tambak yang beberapa kilometer jaraknya namun mentaliti penyelesaian masalah masih seperti langit dan bumi, selebihnya seperti kata Nabil – lu pikirlah sendiri!
 

CATATAN NOVEMBER


Saya sengaja memilih untuk tidak mengemaskini laman blog saya sejak sebulan yang lalu. Bukan apa-apa hanya kerana membina satu persepesi pada sesetengah pihak dan juga menggambarkan bahawa saya benar-benar sibuk untuk menjadi blogger sepenuh masa dan ber “GAJI” tetap saban bulan.

Hal yang lain pula, saya memang agak sibuk kebelakangan ini, dan rekod yang paling buruk sepanjang saya berblog ialah pada bulan November 2011, hanya DUA entri sahaja – betullah DUA entri sahaja sepanjang bulan November 2011 yang baru sahaja berlalu.

Kesibukkan saya memang tidak dapat dielakkan sehingga saya memilih untuk tidak mengemaskini laman blog saya. Selain dari tugas hakiki saya, kesibukan yang lain ialah berhubung dengan sambutan Jubli Emas 50 Tahun PENA (Persatuan Penulis Nasional Malaysia) pimpinan Sdr. Dr. Mohd Saleeh Rahamad. Saya ditugaskan membantu dalam pengumpulan dana bagi menjayakan majlis makan malam bersama YAB Perdana Menteri dan juga bagi aktiviti-aktiviti PENA yang bakal dijalankan sepanjang tahun 2012.

Sebagai penyelaras penajaan seperti yang diamanahkan oleh PENA, saya cuba di mana sahaja dana mungkin dapat dikumpulkan, ialah seingat saya ini kali pertama YAB Datuk Sri Najib Tun Razak, Perdana Menteri mendekati dan menghadiri majlis bersama penulis (tolong betulkan fakta ini).

Kesibukan November juga telah merencatkan kebiasaan saya yang saban minggu menonton filem dan pada bulan November seperti juga entri saya dalam laman blog saya, saya hanya menonton SEBUAH filem sahaja sepanjang November yang menyibukkan saya berbanding rekod peribadi saya menonton lebih 30 filem dalam sebulan!

Dalam bulan November yang meyesakkan juga saya lebih banyak berada di luar Kuala Lumpur kerana hambatan tugas dan hal-hal yang melibatkan penglibatan saya dalam badan-badan sukarela.

Disember menjelang dan tidak lama lagi tahun 2011 akan melabuhkan tirainya. Tahun 2012 bakal menjelang, moga laman blog saya akan terus segar dengan pandangan dan catatan saya tanpa perlu menjadi blogger berbayar!

 

TALQIN UNTUK PPSMI ...



Hari ini, Menteri Pelajaran yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membuat pengumuman penting berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walaupun hal ini telah diumumkan pada Julai 2009, namun terdapat pelbagai usaha untuk menghidupkan semula dasar yang dianggap paling merugikan para pelajar melayu khususnya di luar bandar.

Dasar tempang ini yang diperkenalkan ketika mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad di hujung tempoh beliau memerintah Malaysia. Ketika pengumumannya pada tahun 2002 dan kemudiannya dikuatkuasa bermula 2003, dasar tempang ini tetap diteruskan walaupun terdapat pelbagai desakan untuk mengkaji semula pelaksanaannya.

Tanyalah mana-mana guru yang mengajarkan subjek Matematik dan Sains tentang pandangan mereka terhadap dasar tempang ini, tentu yang disuarakan ialah soalan mengapa Matematik dan Sains. Kita tidak pasti sama ada telah dibuat kajian mengenainya sebelum dasar tempang ini diperkenalkan tidak seperti pada masa ini ketika mahu memansuhkan pelbagai kajian, persidangan, rundingan, perbincangan dan pandangan di semua peringkat pihak-pihak berkepentingan telah diadakan sebelum dasar tempang ini dimansuhkan.

Kemuncak daripada penentangan dasar tempang PPSMI ini ialah protes 100 ribu rakyat yang berarak ke Istana Negara untuk menyampaikan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 7 Mac 2009. Perhimpunan besar-besaran ini telah diketuai oleh Datuk Hassan Ahmad (Allahyarham), SN A. Samad Said dan ribuan tokoh dan pecinta bahasa Melayu di negara kita.

Selain daripada bantahan secara besar-besaran, banyak usaha terancang telah dibuat bagi membuktikan bahawa dasar tempang PPSMI sebenarnya adalah bertentangan dan merugikan pelbagai pihak khususnya para pelajar dan anak-anak Melayu. Sebuah buku (buku merah) berjudul ‘Mengapa Kami Bantah’ telah diterbitkan dan disebar secara meluas bagi memberikan data-data dan kajian yang telah dibuat oleh tokoh-tokoh di IPTA mengenai ketidak berkesanan dasar tempang PPSMI ini.

Hari ini, dasar tempang PPSMI ini secara rasminya di’talkin’kan dan polemik mengenainya akan tersimpan kemas di dalam lipatan sejarah. Siapa yang boleh lupa bagaimana SN A. Samad Said dan Allahyarham Datuk Hassan Ahmad menyertai ribuan penentang protes mengenai dasar tempang ini.

Saya percaya ramai di antara kita kecuali beberapa pihak seperti PAGE dan beberapa organisasi lain yang mahukan dasar tempang ini dimansuhkan daripada sistem pendidikan negara.

Selamat Tinggal PPSMI, Selamat Datang MBMMBI!

 

seksualiti merdeka?


Tiba-tiba sahaja frasa Merdeka yang kita raikan sejak 54 tahun yang lalu, mengalami banyak perbezaan konotosi yang begitu hangat diperdebatkan. Sekitar dua bulan yang lalu, tiba-tiba kita dikejutkan oleh kenyataan sebilangan ahli Majlis Profesor Negara bahawa negara kita tidak pernah dijajah, maknanya sambutan Hari Merdeka yang kita raikan pada 31 Ogos saban tahun sebenarnya adalah hari pesta-pestaan sahaja!

Kini frasa Merdeka sekali lagi digunakan dalam konotasi yang agak negatif sifatnya dengan mengaitkan pula dengan hak-hak seksual yang melibatkan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender. Sehingga kini telah ratusan badan-badan bukan Kerajaan yang menentang penganjuran seksualiti merdeka ini sehingga pihak polis mengambil pendekatan untuk mengharamkan semua aktiviti dalam seksualiti merdeka ini.

Jika dilihat daripada istilahnya seksualiti merdeka bermakna ‘kebebasan seks’ jika itu yang dimaksudkan dalam konteks ini : “so seksualiti merdeka means "Sexuality Independence". Maka patutlah pun ia ditentang habis-habisan.

Saya percaya pihak polis mengambil langkah yang tepat selepas mengambilkira pandangan pelbagai pihak khususnya badan-badan bukan Kerajaan yang melihat impak negatif akibat daripada penganjuran program ini.

Nota kaki: Saya sengaja menggunakan huruf kecil bagi penulisan tajuk entri pada kali ini sebagai tanda protes saya terhadap penganjuran program ini.

 

RENCANA KHAS

Rencana Khas

Sudah Lama Aziz Bari Mendirikan Rumah Di Tepi Pantai

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menggantung tugas Pensyarah Kuliyyah Undang-Undang Abdul Aziz Bari (foto) mulai semalam. Penggantungan itu ekoran siasatan polis dan juga Suruhanjaya Komunikasi Multi Media (SKMM) terhadap penysrah kanan itu. Aziz Bari disiasat polis ekoran terdapat lima laporan polis berhubung kenyataanya yang dianggap sebagai menyentuh kedudukan sultan Selangor.

Salah seorang makhluk yang membuat laporan polis ke atas Aziz Bari ialah seorang senator dari Umno. Mudah-mudahan sempena ulang tahun sultan nanti senator itu akan dikurniakan gelaran Datuk memandangkan jasa-jasa dan bakti besarnya kepada Umno termasuk memburukkan bekas bosnya sendiri dan 'mendolor' bos barunya. Manusia seperti itulah yang mendapat sanjungan Umno.

Saya tidak mahu mengulas sebab musabab mengapa siasatan itu dibuat ke atas Aziz Bari dan apakah ianya relevan atau tidak. Umum sudah mengetahuinya serba sedikit sebab-sebabnya. Tetapi apa yang hendak saya ulas di sini ialah mengenai keberanian Aziz Bari dalam mengeluarkan suaranya berhubung bidang yang beliau arifi, iaitu perlembagaan. Juga keberaniannya dalam menyatakan sesuatu yang hak dan tidak hipokrasi seperti beberapa orang profesor kangkung menjalar lainnya.

Persoalannya apakah salah kalau Aziz Bari bercakap sesuatu dari sudut ilmu - perlembagaan yang beliau tahu? Jangan peduli apakah topik yang beliau sentuh itu sultan atau siapa? Yang penting apa yang beliau perkatakan itu kebenaran dari segi ilmunya. Islam menuntut kita memperkatakan kebenaran. Sebuah hadtih bermnaksud; katakan kebenaran itu walaupuin pahit.

Sebuah negara yang mengakui mengamalkan demokrasi dan memberi kebebasan kepada rakyat, salahkan tindakan Aziz itu? Apakah ilmu yang dipelajarinya hanya untuk dikenang semata-mata dan tidak boleh dimanfaatkan untuk umum. Sarjana yang dimilikinya bukan saja untuk membolehkan dia lulus periksa kemudian mendapat wang, tetapi mendauluatkan ilmu itu untuk kepentingan semua. Bahkah itulah matlamat sebenarnya mempergunakan ilmu untuk hidup.

Soal teguran itu menderhaka ia hanya persepsi pihak tertentu yang sudah lama membenci Aziz Bari kerana Aziz tidak pernah condong kepada bayangan politiknya dan juga membenci kepada keberanian dan kebenaran Aziz Bari. Tanggapan itu dari minda orang yang otat kemeto. Saya yakin kalau apa yang Aziz Bari cakapkan itu memberi untung kepada Umno beliau tidak dipengapa-apakan. Usahkan hendak dikenakan tindakan menggantungkan tugas, hendak siasat jauh sekali.

Sudah ada banyak contoh sebelum ini, sesiapa yang bercakap tidak menguntungkan Umno kalaupun benar dia akan dikenakan tindakan. Akan disiasat dan didatangi polis. Tetapi kalau dia bercakap menguntungkan Umno walaupun telah dipecat dari Umno tujuh kali dia akan dipuji melangit. Polis pula akan membisu untuk memanggil orang itu disiasat walaupun ada beratus laporan polis terhadapnya. Tindakan polis sebeginilah yang dianggap sebagai tidak profesional dan menjadi alat kepada Umno.

Sekitar tahun 1982 dulu hampir semua pemimpin Umno mempertikaikan kedudukan dan kuasa raja-raja Melayu. Ada raja yang diaibkan dengan mendedahkan harta dan juga skandal mereka di media massa. Tetapi anihnya tiada seorang pun yang terlibat dalam kerja mengaibkan raja-raja Melayu itu tidak dikenakan tindakan. Kenapa? Jawabnya kerana mereka Umno parti yang memerintah, bukan saja memerintah negara tetapi turut memerintah raja-raja Melayu.

Di Malaysia ini mudah saja kalau anda ingin mengkritik raja dan selamat tidak disiasat polis, masuk atau kritiklah raja-raja dari rumah Umno, nescaya anda akan selamat. Raja-raja juga tidak ada kuasa dan hak untuk mengambil tindakan ke atas orang mengaibkan mereka kerana tidak ada peruntukan undang-undang? Raja kita raja berperlembagaan. Perlembagaan pula bukan perlembagaan Malaysia tetapi perlembagaan Umno! Perlembagaan Umno pula bukan berlandas kepada tatabudi dan agama tetapi kepada nafsu pemimpin tertingginya.

Rasanya kita semua tahu akan hakikat ini. Tindakan ke atas Aziz Bari menunjukkan negara ini tidak menghormati ilmu yang ada kepada seseorang. Ilmu atau pun kebebasan dibenarkan hanya slogan sahaja. Di samping itu tindakan itu sebagai isyarat kepada yang lain. Kepada pensyarah yang cuba hendak bercakap benar dan mengkritik Umno perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku ke atas Aziz itu. Itulah tujuannya. Makanya kalau profesor yang hati 'kie' penakut akan urung ke belakang sebelas ini dan terpaksa mengajar anak muridnya menggunakan selibas Umno kembali.

Tindakan seumpama ini bukan baru berlaku, tetapi sudah lama terjadi. Orang yang cuba menegakkan kebenaran berlandaskan ilmu dan undang-undangnya akan dikenakan tindakan sekiranya ia bertentangan dengan kepentingan parti yang memerintah. Kecerdikan dan kelogikan akan mengatasi kuasa politik 'gedebe' di negara ini. Sebab itu di negara seperti Malaysia ini lebih baik jadi orang bodoh dan tolol dari jadi orang cerdik. Dalam kloni politik tidak kira Umno atau apa orang bodoh memimpin orang cerdik.

Mengenai masalah dan risiko dihadapi Aziz Bari ini, saya sudah lama menaruh kebimbangan. Saya sudah fikir dengan ketelusan dan keberanian beliau mentafsir sesuatu yang berlaku di dalam negara ini berdasarkan ilmunya tanpa 'perdamian', lama kelamaan beliau akan berhadapan dengan masalah. Kerajaan ini mana boleh menerima sesuatu yang benar dan hak.

Apabila beliau disiasat polis kemudian dikenakan tindakan tunjuk sebab oleh majikannya, apa yang saya bimbangkan sudah menjadi kenyataan. Tetapi tidak mengapa Aziz... mungkin ada pihak yang bergembira dengan tindakan itu walaupun natijah ia membodohkan diri sendiri, tetapi ada segolongan rakyat akan bersama anda. Saya sendiri sudah melalui apa yang baru terjadi ke atas Aziz Bari itu.

Mereka yang sihat otak berpegang kepada prinsip ilmu dan kebebasan bersuara akan menyanjungi apa yang Aziz lakukan. Pembawa kebenaran adalah Aziz. Keberanian ialah menyuarakan apa yang difikirkna betul berlandaskan ilmunya tanpa gayut kepada tekanan dan ugutan. Aziz dalam erti kata lain seorang pratikal, kerana dia mengamalkan ilmu yang ada kepadanya. Orang yang ikhlas, berani dan jujur beginilah pemimpin sebenarnya. Aziz juga bererti berani.

Kepada Aziz beliau jangan risau dan sedialah menerima apa sahaja hukuman. Umno berkuasa ke atas segala-galanya. Jalan terbaik bagi Aziz ialah turun ke gelanggang. Kalau kampus tidak membenarkan dan cuba memotong lidahnya dari menyatakan kebenaran beliau boleh tukar gelanggang. Terjunlah ke gelanggang siasah. Bukan pula bermakna bila terjun ke gelanggang siasah beliau terlepas dari menghadapu ujian. Siasah lagi banyak dan mencabar ujiannya.

Waktu ini adalah terbaik untuk Aziz memulakan gelanggang baru. Sementara UIA mengantung tugasnya, Aziz boleh menjelajah ke seluruh negara untuk memperkatakan kebenaran. Masa yang diberikan ini gunalah seluas mungkin untuk mempraktrik langkah baru dalam medan juang baru.

Saya tidak fikir orang seperti Aziz yang simple dan tawaduk, memikirkan soal wang. Beliau lebih memikirkan kebenarannya. Orang seperti beliau merasa bersalah kalau dia tidak mempraktikan ilmu yang ada kepadanya. Kalau beliau memikirkan soal wang pasti beliau akan menjejaki beberapa orang pensyarah universiti yang menjadi majikan beliau itu yang kini senang lenang dan kaya raya menurut kamus materialistik.

Sebenarnya orang macam Aziz Bari tidak ramai. Di universiti di kalangan pensyarah dan tenaga akademi hanya beberapa orang saja. Ada yang cuba melawan Umno tetapi bila umno menawarkan kerusi usang mereka kembali berpaling menjadi alat bukan penentang lagi. Mungkin ada mengatakan Aziz bodoh kerana tidak sedia untuk memutarkan lidah dan melacurkan ilmunya tetapi rakyat nun jauh di kampung merasa bertuah kerana memiliki seorang Aziz. Aziz telah menjadikan dirinya harta rakyat bukan menjadikan ilmunya mengejar kekayaan untuk dirinya.

Percaya dan yakinlah rezeki untuk hidup bukan bergantung kepada satu sumber sahaja. Allah telah memberi jaminan akan menyediakan rezeki dan kemudahan kepada mereka yang berjuang dijalan-Nya. Aziz tidak perlu gundah dan bimbang. Selagi nawaitunya betul dan hatinya ikhlas kepada Allah, Allah akan bersamanya. Kalau tidak percaya cubalah Aziz bertanding di mana-mana kerusi dalam pilihan raya akan datang, beliau tentu akan disokong rakyat. Sokongan rakyat itu adalah sokongan Allah kerana Allah menggerakkan hati dan kalbunya untuk berbuat begitu.

Saya mendoakana semoga Aziz tidak akan cemas dengan apa yang berlaku. Dan saya percaya Aziz sudah pun bersedia untuk berdepan dengan angin dan ombak, kalau tidak masakan dia berumah di tepi pantai; mendokong perjuangan rakyat menerusi Pakatan Rakyat samalah dengan pelaut yang berani mendirikan rumah di tepi laut. [wmkl.4:45 pm 20/10/11]

Tulisan ini ialah milik Tuan Mohd Sayuti Omar yang berblog di http://msomelayu.blogspot.com
 

MALANG STEVE JOBS


Ketika kecil malah sehingga kini pun saya masih mempercayai jika kita susah, tentu ada orang lain yang lebih susah dari kita, kalau kita miskin, ada lagi insan yang lebih miskin dari kita.

Beberapa bulan lalu, Timbalan Presiden PAS, Mat Sabu dalam satu ceramahnya mengungkapkan bahawa Mat Indera adalah sebenarnya wira dan bukannya polis-polis di Balai Polis Bukit Kepong seperti yang kita semua maklum selama ini. Tidak salah mempunyai tanggapan dengan bukti yang kukuh bagi menyokong hujah-hujah yang dikemukakan.

Tidak lama selepas kenyataannya itu, berduyun-duyun laporan polis dibuat sama ada oleh orang perseorangan mahupun organisasi. Jika Buku Rekod Malaysia mengambil kira laporan polis yang dibuat terhadap kenyataan Mat Sabu, saya yakin nama Timbalan Presiden PAS itu akan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai individu yang paling banyak laporan polis dibuat ke atasnya.

Walaupun nama Mat Indera yang ditimbulkan oleh Mat Sabu telah dicatat dalam buku Pengukir Nama Johor terbitan Yayasan Warisan Johor, namun ketokohannya terus dipertikaikan.

Beberapa hari lalu sewaktu saya ‘memunggah’ buku di sebuah jualan gudang saya terpandang sebuah buku yang kemudiannya saya beli atas sebab murah harganya dan kesungguhan untuk menerbitkan jenis buku yang sama seperti buku itu.

Buku ‘1001 People Who Made America’ menyenaraikan tokoh-tokoh yang telah memacu sejarah Amerika. Tokoh-tokoh yang tersenarai adalah dari pelbagai latar belakang, dari ketua samseng hinggalah kepada Presidennya. Buku kecil ini adalah terbitan National Geographics pada tahun 2007. Namun apa yang menarik, setelah menguliti buku tersebut, saya gagal menemui nama Steve Jobs dalam senarai 1001 orang yang merubah Amerika!

Malang bagi Steve Jobs yang meninggal dunia pada 5 Oktober yang lalu, Presiden Obama mengungkapkan Steve was among the greatest of American innovators - brave enough to think differently, bold enough to believe he could change the world, and talented enough to do it.

Namun tidak seperti Mat Indera yang diukir namanya dalam buku Pengukir Nama Johor, tetapi tidak mendapat pengiktirafan sewajarnya, Steve Jobs pula lebih malang kerana namanya tidak dicatat dalam buku 1001 Orang Yang Merubah Amerika. Betullah kata gemulah ayah saya, jika kita fikir kita malang, ada insan lain yang lebih malang!

 

ALAHAI PROTON!


Memang saya menggunakan kereta Proton, sejak daripada model Satria, kereta baru saya yang pertama pada tahun 1995 sehinggalah yang terakhir yang saya miliki iaitu model Savvy pada tahun 2007. Sudah banyak kereta yang saya pernah miliki sama ada kereta tempatan mahupun model luar negara.

Sudah menjadi pengetahuan umum, bagaimana rendahnya (baca: teruk) kawalan kualiti kereta-kereta Proton, malah kisah cermin tingkap yang mudah rosak selepas beberapa ketika semacam sudah menjadi bahan lawak kepada pemilik kereta Proton. Saya teringat dalam satu sesi the tarik dengan teman-teman, saya menjadi saksi kepada satu pertaruhan yang akan berlangsung selama 3 bulan.

Saya yang terpinga-pinga kemudian bertanyakan apa yang ditaruhkan oleh dua orang kenalan saya itu. Rupanya salah seorang daripada mereka membeli sebuah kereta Proton dari model Iswara dan temannya itu bertaruh berapa lama ketahanan cermin tingkap kereta barunya. Saya tidak dimaklumkan siapakah yang menang pertaruhan tersebut kecuali apabila pada satu hari saya dibelanja oleh kenalan saya yang bertaruh tadi. Katanya dia menang pertaruhan itu kerana meramal dengan tepat bahawa cermin tingkap kereta baru rakannya tadi rosak tidak sampai 3 bulan dibeli!

Walaupun kereta Proton model Satria yang saya miliki dari tahun 1995 hingga 1998 tidak pernah menimbulkan sebarang masalah yang serius namun penggunaan kereta Savvy saya sejak 2007 agak menjengkelkan kerana masalah tingkap kuasanya yang tidak berfungsi selepas beberapa ketika. Ketika membawanya untuk servis di pusat servis Proton, saya sentiasa tidak berpuas hati sehinggalah saya menggunakan khidmat pusat servis luar yang lebih meyakinkan saya. Masalah tingkap saya selesai hanya pada lawatan pertama dengan penukaran suis yang berharga RM48 berbanding anggaran 5 kali ganda di Pusat Servis Proton.

Beberapa hari lalu, telah ada pula iklan semuka penuh yang menjanjikan ketenangan fikiran kerana jaminan sepanjang hayat bagi tingkap kereta-kereta Proton. Tidak cukup dengan itu, kebanyakan akhbar menjadikan jaminan hayat bagi tingkap sebagai tajuk utama, mungkin sebahagian daripada iklan pengeluar kereta nasional itu.

Mungkin masalah tingkap yang menjengkelkan itu semacam menjadi keutamaan, kerana saya pernah membaca sebuah temuramah dengan pengarah urusan Proton mengenai pengalamannya menaiki teksi dari lapangan terbang, dimana si pemandu teksi membuka pintu keretanya untuk membayar duit tol, apabila ditanya, si pemandu memberitahu dia khuatir bahawa cermin tingkapnya tidak boleh dinaikkan. Pengarah Urusan kereta nasional itu menjadi bahan gelak isterinya yang turut serta dalam teksi tersebut.

Selepas lebih suku abad, pengeluar kereta nasional masih bertungkus lumus membetulkan cermin tingkap kereta-kereta Proton, sekurang-kurangnya ini permulaan yang baik, mungkin selepas ini saya akan bernafsu kembali untuk memiliki kereta oleh pengeluar kereta nasional!

 

KISAH SHIMA


Saya bukanlah kawan rapatnya sehinggalah saya melaporkan diri pada satu hari di bulan April pada tahun 1995 sebagai seorang petugas di Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3). Ketika itu, di Sri Pentas, dan sebagai eksekutif muda dalam sebuah stesen televisyen swasta yang ulung di negara ini, yang ketika itu di tahun ke-11 penubuhannya, saya memang amat teruja.

Sebagai seorang petugas di sebuah anak syarikat milik penuh TV3, kami semua adalah staf perintis kumpulan kedua (selepas pengurusan utama) yang diamanahkan mengendalikan usaha ‘home shopping’ di negara kita. Pada hari pertama, saya agak kaku dan tidak mempunyai teman, mungkin disebabkan bidang tugas saya sebelum ini yang lebih bersifat memencilkan diri dan obses dengan tugas sebagai pembantu penyelidik di sebuah syarikat swasta sederhana besar.

Syarikat baru itu tidak mempunyai ramai petugas pada awalnya, dan ketika itu seorang teman petugas menyapa saya. Selepas itu, saya dan Shima seperti rakan-rakan setugas yang lain menjadi begitu akrab sesama kami.

Selepas hampir sepuluh tahun meninggalkan syarikat tempat saya bertugas untuk menukar haluan sebagai usahawan, kisah teman-teman setugas dahulu kadang-kadang menjadi pengubat apabila sesi ‘reunion’ atau ketika menghadiri majlis-majlis yang melibatkan teman-teman setugas. Dalam tempoh lebih 10 tahun selepas meninggalkan syarikat tempat saya bertugas, pelbagai kisah dan coretan sama ada secara pertemuan fizikal atau pertemuan maya sering saja mengisi perjalanan hidup saya.

Sehinggalah dua minggu lepas, seorang teman setugas saya menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit saya – “Dalam fb, shima inform dia kena breast kanser stage 4. Dia minta maaf, kalu ada salah & silap pada kau org. No. phone XXX-XXXXXXX. Helmi”. Saya agak tersentak, kisah breast cancer bukanlah asing pada saya, jiran sebelah rumah saya ketika tinggal di Sri Petaling mengingatkan saya bagaimana ibu Afiq tewas dan kembali ke rahmatullah selepas beberapa ketika menderita kanser payu dara.

Pada malam Selasa yang lalu, terdapat pula pesanan daripada seorang petugas saya yang berbunyi – “ Salam En Nasser, Pesanan dr Shima. Teringin nk ckp dgn En Nasser pls call kak shima – XXX-XXXXXXX”. Saya agak sebak dan terkedu, pada hari Rabu sampai sahaja di tempat saya bertugas, saya memberitahu teman saya yang juga mengenali Shima akan hasrat untuk menziarahinya di Kuala Kangsar pada keesokan harinya.

Pada pagi Khamis, ditemani teman saya dan isterinya yang kebetulan mahu ikut serta, kami ke kediaman Shima di Kuala Kangsar berbekalkan alamat yang diperolehi oleh salah seorang teman setugas kami, sengaja kami tidak mahu menghubungi Shima dan berdoa dia berada di rumahnya bagi kami menziarahinya. Nasib memang menyebelahi kami, selepas agak tersasar (malu bertanya sesat jalan), kami akhirnya sampai di kediamannya. Benarlah Shima ada di rumahnya, selepas berbasa-basi, kisah penderitaan dirungkai sedikit demi sedikit.

Kisah penderitaannya walaupun tidak begitu diucapkan, namun raut wajah dan riaknya sudah cukup untuk menggambarkan penderitaan daripada penyakit yang ditanggungnya. Walaupun sesi ‘kimo’ baru berlangsung untuk kali pertama seminggu yang lepas, namun dia begitu pasrah dengan usaha perubatan moden dan tradisional demi meneruskan hidup untuk seorang anak perempuan dalam Tahun 4 yang baru sahaja dipindahkan ke sekolah di kampungnya di Kuala Kangsar.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, pertemuan lebih sejam dengan Shima pesakit kanser payu dara tahap empat walaupun dalam suasana riang namun tiada siapa yang tahu ketentuan Allah SWT. Semoga Shima akan terus tabah mengharungi hidup dan berjaya dalam pertarungan dengan kanser pembunuh ini.

Sebelum mengakhiri pertemuan kami, sempat saya mengusik ‘apa jadi dengan si Paul makan babi tu’ – betullah itulah ungkapan yang sebenarnya mengikat kemesraan kami. Doa semoga Shima terus tabah dalam pertarungan tanpa pemenang. Paul Makan Babi – itu kata kunci yang selalu saya ucapkan ketika mengingati Shima dan kemesraannya!

 

BERKIBLATKAN ARTIS?

Seorang teman yang menghadiri majlis pratonton teater muzikal terbaru Tiara Jaqueline, mengakui bahawa dia hampir sahaja berdengkur di atas kerusinya. Walaupun dia peminat tegar teater melayu namun menonton lambakan teater muzikal di Istana Budaya bukanlah prioritinya. Malah katanya jika itulah persembahan yang kononnya bertaraf antarabangsa, nyatalah Tiara selaku penerbit telah kena ‘kencing’ dengan pengarah dari Barat itu. Mungkin selepas ini Tiara harus belajar menghargai bakat dan keupayaan pengarah tempatan.

Apa tidaknya, jika majlis pratonton yang lazimnya dihadiri oleh para wartawan media dihentikan hanya selepas lebih sedikit dari satu jam, dan diakhiri dengan permohonan maaf oleh pengarahnya kerana beberapa masalah teknikal, saya agak tergamam dan sukar mempercayainya sebagai buah tangan seorang pengarah yang didatangkan dari West End bagi menghasilkan teater muzikal ala Broadway! Seorang teman melawak bahawa anak-anak muda dari Stor Teater DBP mampu melakukan lebih dari itu. Jika tidak kerana muzik dan alunan lagu-lagunya sudah pasti, teater muzikal itu lebih ‘hampeh’! (baca: didukungi oleh anak tempatan)

Kisah bagaimana Istana Budaya menjadi medan lambakan teater muzikal bukanlah cerita baru di kalangan penggiat mahupun penggemar teater di sekitar Lembah Kelang khususnya dan Malaysia amnya. Apa tidak, sebut sahaja Istana Budaya, apa yang terpacul dalam kotak ingatan kita ialah teater muzikal yang akan diselitkan pula seorang dua artis untuk tujuan komersil atau untuk menarik perhatian golongan muda meminati teater, suatu frasa eskapism!

Apakah pihak-pihak berkenaan beranggapan dengan tempelan seorang dua artis ini boleh menaikkan imej teater di negara kita? Mungkin pada permulaannya sebagai tarikan namun lama-kelamaan sifat meluat terhadap hal ini akan menyebabkan penggiat teater tulin akan meminggirkan diri dari istana ini kerana hanya diselaputi oleh ‘glamor buatan yang sementara’.

Kisah artis-artis digunakan sebagai tarikan bukan taktik dan strategi baru malah dianggap lapuk dan tidak membantu untuk jangka waktu panjang. Yang terkini ialah apabila saya terdengar sebuah iklan dalam sebuah radio yang menggelar stesen mereka ‘Muzik Retro Terbaik’ menyiarkan iklan sebuah pameran halal dengan bunyi iklannya “yang menariknya ada artis-artis terkenal … blah blah blah blah..”. Maaf, saya tidak menyalahkan stesen radio berkenaan!

Jika penganjur pameran halal yang diuar-uarkan akan menyediakan 700 ruang pameran, berkiblatkan artis untuk menarik pengunjung ke pameran, saya percaya ada sesuatu yang tidak kena dengan masyarakat Malaysia. Menghadiri sesuatu pertunjukan teater kerana ada artis sipolan-sipolan atau menghadiri pameran halal kerana ada persembahan artis sipolan-sipolan, saya kira rakyat Malaysia harus memuhasabah diri, menghadiri persembahan teater kerana nilai teaternya seperti juga menghadiri pameran halal kerana informasi yang bakal dikutip seusai pameran. Cukup-cukuplah kita meletakkan artis sebagai idola!

 

SELAMAT JALAN STEVE, BERSEMADILAH DENGAN AMAN ..



Memang saya bukan pengguna produk Apple yang tegar, betul memang bukan. Sebabnya mudah ketika saya berura-ura mahu memiliki komputer peribadi sendiri, hasrat saya hanya satu – untuk melampiaskan nafsu terhadap kegilaan permainan komputer, itu sahaja!.

Ketika saya mula memiliki komputer peribadi sekitar awal 90an, dianggap agak mewah, memang pada bulan-bulan awal, saya teruja bermain permainan komputer di dalam bilik saya tanpa perlu ke arkid video ketika itu, yang menghidangkan permainan kuda. Tetapi permainan komputer saya memang tidak mempunyai unsur-unsur perjudian sama ada secara langsung mahupun tidak. Saya menjadi lebih cekap menggunakan komputer dengan pelbagai permainan, misalnya The Prince of Persia.

Tetapi minat saya merudum apabila saya terjaga pada tengah malam, dan kembali muhasabah diri saya, membeli komputer peribadi semahal itu hanya untuk bermain permainan komputer! Pada waktu itu, ketika dalam lebih kurang pukul dua pagi, saya termenung untuk beberapa ketika apabila membuat keputusan untuk memanfaatkan kemampuan saya memiliki komputer peribadi yang agak ‘mahal’ ketika itu. Saya pun memasang hasrat untuk lebih memanfaatkan dan menggunakan sepenuhnya komputer saya bagi membantu urusan yang berkaitan dengan perjalanan hidup saya ketika itu.

Usaha pertama saya ialah membuat program pengkalan data pelajar untuk pusat tuisyen yang saya kendalikan secara usahasama dengan seorang teman. Hanya selepas beberapa hari dengan berkat kesungguhan saya berupaya mempunyai sebuah sistem pengurusan pelajar untuk pusat tiusyen yang mempunyai kapasiti pelajar hampir 200 orang. Bayangkanlah jika seorang waris pelajar datang untuk membuat bayaran atau bertanya maklumat lain, saya mampu memberikannya dalam masa beberapa saat sahaja. Ketika itu, saya berasa seperti seorang hero yang mampu menyelamatkan dunia!

Apabila saya berumah tangga dan beralih kepada pekerjaan di sektor swasta, tugas pertama di sebuah syarikat sederhana besar, saya menemukan komputer peribadi Macintosh, produk Apple. Saya menjadi agak teruja kerana khabarnya komputer Macintosh dengan rupa bentuknya yang comel agak kebal jangkitan virus dengan pelbagai ciri lain yang menarik. Saya mula memasang angan-angan untuk memiliki komputer Macintosh, maka saya pun menjadi pengunjung tetap Plaza Imbi, ketika itu Low Yat belum wujud lagi. Ketika menemukan komputer Macintosh, hasrat saya terbantut kerana harganya jauh berkali-kali ganda daripada komputer peribadi yang pernah saya miliki.

Komputer Macintosh milik Apple memang di luar jangkauan saya, kerana ianya lebih sesuai untuk tugas-tugas grafik berbanding apa yang saya lakukan. Namun keterujaan saya terhadap produk-produk Apple tidak pernah padam, apabila syarikat saya terpilih melaksanakan tugas-tugas penerbitan buletin ketika Persidangan Komanwel pada tahun 2008, saya meminta pereka grafik saya membawa komputer Apple ke bilik hotel kami untuk melakukan kerja-kerja penerbitan tersebut.

Ketika dunia heboh dengan satu lagi produk Apple selepas kejayaan menghasilkan iPOD, kegilaan dan kecanggihan telefon pintar iPhone benar-benar meruntun naluri saya. Pada 1 Januari 2010, saya menjadi pengguna iPhone 3GS berkapasiti 32GB dan menjadi seorang lagi pengguna yang teruja dengan puluhan juta pengguna produk-produk Apple di seluruh dunia hingga ke negeri China. Sejak itu, iPhone dan saya menjadi begitu akrab dengan pelbagai aplikasi yang dimuat turun ke dalamnya.

Benarlah ada sesetengah orang menganggap iPhone sebagai ibu kepada segala telefon. Dengan kecanggihannya produk Apple ini berjaya dengan jualan puluhan juta unit di seluruh dunia.

Steve Jobs, pengasas Apple yang meninggal dunia akibat kanser semalam, adalah potret seorang pemasar yang tegar. Membawa jenama miliknya menjadi idola dan cemburu kepada pelbagai jenama di seluruh dunia. Kini selepas hampir dua tahun memiliki iPhone saya masih mencumbuinya seperti baru sahaja memilikinya semalam!

Steve, andalah adalah seorang lagenda. Kami akan terus merindui anda. Bersemadilah Bersemadilah dengan aman!

 

BAJET RAKYAT ATAU BAJET PRU?

Kurang seminggu Perdana Menteri akan membentangkan BAJET 2012. Pedulilah apa yang akan dikatakan pakar ekonomi seusai pembentangan itu nanti. Menjelang PRU 13 yang akan diadakan pada bila-bila masa sama ada pada penghujung tahun ini mahupun pada suku pertama pada 2012 nanti, bajet 2012 akan sentiasa dilabel sebagai bajet PRU terutama oleh pembangkang.

Penjawat awam seramai 1.3 juta orang dikhabarkan akan mendapat imbuhan yang lumayan. Di samping kenaikan gaji sehingga 40%, Kerajaan juga khabarnya juga menimbangkan pemberian bonus mencecah dua bulan. Kalau itu menjadi kenyataan, CEUPACS mempunyai tugas berat memastikan penjawat awam memberikan sokongan padu pada usaha Kerajaan khususnya dalam melaksanakan aspek transformasi.

Selain menuntut kenaikan gaji dan bonus, CUEPACS juga berharap Kerajaan akan menimbang semula meningkatkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 tahun kepada 60 tahun. Sistem Saraan Malaysia yang diperkenalkan pada tahun 2002 juga khabarnya diminta dikaji semula menjelang Bajet 2012, di samping menggantikan peperiksaan PTK kepada satu lagi bentuk penilaian yang lebih bersepadu.

Harapan rakyat kecil seperti saya hanyalah mahukan Kerajaan meningkatkan usaha pemantapan ekonomi demi manfaat berpanjangan dan bukannya bersifat jangka pendek hanya untuk mendakap populariti menjelang PRU 13!

 

SEPTEMBER SEBELAS SELEPAS SEDEKAD



Ketika saya merangka tulisan bagi entri ini, bahang September Sebelas begitu terasa, selepas sedekad peristiwa yang khabarnya didalangi oleh Osama Ben Laden, perbahasan mengenainya masih seperti peristiwa itu baru sahaja berlalu. Sejak peristiwa tersebut persepsi warga Barat terhadap umat Islam menjadi begitu celaru.

Dalam serangan tersebut lebih 3000 mangsa terkorban, malah bandaraya New York dan kawasan sekitarnya dianggap selamat menjadi kosong dengan tumbangnya dua bangunan kembar yang menjadi mercu di bandaraya tersebut. Osama Ben Laden menerima tuduhan mendalangi namun menafikannya sehinggalah pada tahun 2004. Sejak itu, Amerika berusaha menjejaki Osama, namun tidak berhasil sehinggalah beberapa bulan sebelum mencapai usia sedekad peristiwa tersebut.

Walaupun khabarnya Osama Ben Laden telah ditewaskan pada Mei 2011, namun pelbagai pihak masih meragui kesahihan bahawa Osama telah terbunuh. Stigma Barat terhadap umat Islam terus dilabel sebagai pengganas, malah ada juga insiden di mana umat Islam yang berjambang diperiksa seperti menghadapi seorang pengganas.

Banyak versi dan tafsiran mengenai mengapa serangan tersebut disasarkan kepada Amerika, antaranya ialah sokongan Amerika terhadap Israel, di samping sekatan terhadap Iraq. Namun sehingga kini malah selepas Osama Ben Laden ditewaskan sebab sebenar serangan masih terus menjadi tanda tanya.

Peritiwa malang Sebelas September semacam telah menjadi institusi itu sendiri, malah kadang-kadang dilihat seperti telah menjadi satu industri. Selain daripada pelbagai penerbitan berhubung peristiwa Sebelas September ini, banyak lagi makalah, dokumentari, filem dan filem pendek malah kisah manusia-manusia yang terlibat di dalam peristiwa ini masih terus diperkatakan. Pada sisi lain pula pemerintahan Amerika sehingga ke hari ini masih dilabel sebagai merancang sendiri peristiwa Sebelas September ini, walaupun belum dapat dibuktikan secara nyata.

Malah dalam makalah tulisan David Ray Griffin yang berjudul ‘The American Empire and 9/11’, Presiden Bush menganggap peristiwa Sebelas September sebagai ‘peluang besar’ kepada Amerika. Laporan rasmi peristiwa ini juga yang diterbitkan pada 2004 juga diragui apabila satu undian bebas oleh Zogby International melaporkan hampir 42% percaya bahawa Kerajaan Amerika dan Suruhanjaya 9/11 percaya bahawa ada terdapat perkara-perkara yang disembunyikan.

Walauapapun tanggapan mengenai peristiwa Sebelas September namun apa yang pasti, peristiwa malang ini telah menjadi trauma bukan sahaja kepada warga dunia yang cintakan keamanan malah menjadi igauan ngeri Presiden Amerika dan rakyatnya. Tiada siapa pun warga dunia yang waras mengharapkan ulangan peristiwa ini yang telah meragut lebih 3000 mangsa dan menyebabkan kekalutan yang bukan sedikit.
 

DARI ATHEIST KE ISLAM – PERJALANAN SPIRITUAL



Lahir dan membesar sebagai seorang tanpa agama atau Atheist sehingga mencapai usia 21 tahun, tidak menghalang G. Willow Wilson untuk memeluk dan menjalani kehidupan sebagai seorang Islam. Segalanya bermula dari doanya supaya penyakitnya disembuhkan dalam masa tiga hari, namun ianya tidak menjadi kenyataan. Tetapi seperti telah ditakdirkan bahawa Willow Wilson yang mentatu bahagian bawah badannya dengan frasa Al-Haq yang bermaksud kebenaran, akhirnya memeluk Islam di awan biru dalam perjalanan ke Mesir untuk menjadi pengajar di Sekolah Bahasa.

Kembara Willow Wilson ke Mesir menemukan cintanya kepada Omar, kenalan sahabat karibnya, Ben. Kisah dia memeluk Islam tidak diketahui oleh Omar sehingga dia melafazkan cinta kepada pemuda Mesir yang berjaya menambat hatinya. Jo, rakan serumahnya yang mengikuti kembaranya sebagai satu eskapism juga tidak menyedari Islamnya sehingga dia membuat pengakuan. Kisah wanita muda ini diungkap begitu indah dalam ‘The Butterfly Mosques’ oleh Willow Wilson, graduan sejarah dari Universiti Boston.

The Butterfly Mosque bukan kisah cinta malah juga bukan novel fiksyen tetapi sebuah memoir yang merakamkan budaya dan agama Islam dari kacamata seorang Barat. Bezanya lakaran Willow Wilson lewat memoirnya menepikan tanggapan buruk atau label terroris yang sering digunakan kepada umat Islam. Namun sebagai seorang wanita muda di bumi Mesir, pun begitu terdidik, boleh pula terpengaruh dengan peringatan temannya bahawa dia perlu membawa bekalan tuala wanita seolah-olah wanita di Mesir tidak mengalami kedatangan haid!

Pengarang The Butterfly Mosque - G Willow Wilson

Saya mengakrabi The Butterfly Mosque sambil merangka projek baru, membaca memoir setebal 304 halaman dalam dua petang selepas waktu kerja. Sebagai seorang pencatat Willow Wilson melakarkan begitu rinci pertemuan dengan bakal ibu dan bapa mertuanya seorang penterjemah dan pelukis. Aspek kekeluargaan dalam The Butterfly Mosque memang begitu menyerlah, sesuai dengan diri Willow Wilson yang begitu akrab dengan ibu bapanya.

Dalam memoir ini, Willow Wilson begitu teliti mencatat mengapa dia begitu tertarik dengan Islam dan perincian kisah pemelukkannya langkah demi langkah. Kisah pengembaraan Willow Wilson dan rakannya Jo di kota di Mesir, persepsi mereka terhadap lelaki Arab Mesir yang melihat wanita Barat seperti Willow Wilson dan Jo dengan pandangan prejudis, apatah lagi ditemani lelaki Mesir.

The Butterfly Mosque adalah rakaman jujur Willow Wilson dalam perjalanan spiritualnya memeluk dan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim bermula di Mesir dan kemudiannya di negara kelahirannya di Amerika Syarikat. Membaca memoir ini sebagai seorang yang sejak lahirnya Islam, saya merasa amat kerdil bagaimana Islam saya tidak begitu teruji sebagaimana Willow Wilson lewat The Butterfly Mosque nya.

 

NORAMFAIZUL, ANDALAH HERO SEBENARNYA …

Ketentuan Ilahi tiada siapa dapat menyanggahnya. Ajal, maut, rezeki dan jodoh adalah ketentuanNYA juga. Begitu juga, Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama TV yang meninggal dunia ketika menjalankan misi negara bersama Kelab Putera 1Malaysia. Allahyarham yang menyertai Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia & Bakti di Somalia bersama lebih 50 petugas di Mogadishu, Somalia.

Misi Kemanusiaan pimpinan Datuk Abdul Azeez Rahim, Presiden Kelab Putera 1Malaysia yang berlepas pada 28 Ogos yang lalu dan dijangka pulang pada 8 September terpaksa memendekkan misi mereka ekoran kejadian yang tidak diingini pada anggota misi. Allahyarham Noramfaizul dikhabarkan terkena tembakan curi yang menyasarkan trak tentera Kesatuan Afrika. Misi kemanusiaan yang sebenarnya ingin membantu rakyat Somalia yang tersepit akibat kebuluran, penyakit dan pelbagai masalah kesihatan akhirnya terpaksa akur dengan pergolakan dalaman di Somalia.

Semoga insiden yang mengorbankan Allahyarham Noramfaizul, akan membuka mata dunia bagaimana negara kita atas nama kemanusiaan sanggup menghantar petugas bagi membantu rakyat Somalia meskipun terpaksa meninggalkan keluarga dan menyambut Aidil Fitri di bumi asing hanya untuk memastikan kebajikan sesama umat Islam di negara seperti Somalia.

Adakah kita memerlukan tragedi seperti ini yang mengorbankan nyawa yang tidak bersalah yang hadir untuk menghulurkan bantuan, untuk membuka mata dunia khususnya dunia Arab Islam bagi menghulurkan bantuan kepada rakyat Somalia atau mana-mana negara yang dilanda masalah kemanusiaan.

Harapannya insiden ini tidak akan mematahkan hasrat dan niat ikhlas rakyat Malaysia untuk terus menghulurkan bantuan atas nama kemanusiaan sesama umat Islam. Kepada keluarga Allahyarham Noramfaizul, salam takziah, sesungguhnya Allah SWT lebih menyayangi Allahyarham. Semoga roh Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor akan dicucuri rahmat Allah SWT. InsyaAllah. Amin. Sesungguhnya, Noramfaizul, andalah HERO sebenarnya!

Nota Kaki: Semoga selepas beberapa ketika tidak akan ada sesiapa yang akan mengatakan penembak curi di Somalia yang mengorbankan Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor adalah hero sebenarnya.

 

MENGENANG DATUK HASSAN AHMAD


Kali terakhir saya menemui beliau ialah ketika menghadiri Majlis Bahasa anjuran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan di mana beliau menyampaikan ceramah kepada penjawat awam Negeri Sembilan. Itu kira-kira dua minggu sebelum ketibaan Ramadan. Seusai majlis ceramahnya saya sempat menghantar hingga ke kereta sambil menitipkan pesanan yang selalu saya ulang ketika bersama beliau.

Sejak tahun 2005, sewaktu syarikat yang saya terajui diberi amanah untuk menjadi pengedar buku-buku terbitan Yayasan Karyawan di mana Allahyarham Datuk Hassan Ahmad menjadi penerajunya, saya sentiasa berusaha memenuhi sesi mengadap pada setiap hari Khamis. Seingat saya sesi ini tidak berlangsung hanya jika saya mempunyai mesyuarat rasmi yang tidak dapat dielakkan atau Datuk Hassan berada di luar Kuala Lumpur kerana urusan rasminya.

Sesi mengadap setiap Khamis adalah sesi yang sering saya hadiri di pejabat beliau hanya untuk berbual mengenai pelbagai perkara oleh Allahyarham. Kali terakhir sesi ini juga ialah pada awal bulan Julai yang lepas. Walaupun usia beliau telah menjangkau tujuh puluhan namun daya ingatan dan intelektualnya memang mengujakan. Banyak kisah yang dibualkan sepanjang beberapa tahun sesi mengadap saya, selain isu-isu semasa, politik, dan pelbagai perkara yang sering menggamit naluri ingin tahu saya.

Pada awal tahun ini, ketika dalam satu sesi mengadapnya, beliau bercerita tentang buku biografi mengenainya yang diusahakan oleh dua orang pensyarah Universiti Putra Malaysia. Katanya dalam biografi tersebut akan diceritakan pelbagai kisah perjalanan hidupnya mencakupi pengalaman beliau dengan beberapa orang Perdana Menteri khususnya yang dimulai ketika pemerintahan Tun Abdul Razak lagi.

Datuk Hassan Ahmad bukanlah seorang yang suka meminta-minta atau menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi. Bermula dari zaman Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib, beliau tidak pernah meminta sama ada untuk dirinya mahupun Yayasan Karyawan yang dipimpinnya. Hal ini kadang-kadang menimbulkan ketegangan dalam sesi mengadap kami, namun secara berseloroh saya sentiasa mengingatkan beliau mengenai peluang-peluang ini.

Datuk Hassan Ahmad bukan sahaja diingati sebagai tokoh pejuang bahasa malah tokoh intelektual Melayu malah beliau merupakan anak Melayu pertama dianugerahi Doktor Falsafah dari Universiti Leiden di Belanda. Ketika perhimpunan 100,000 menentang Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), beliau bersama Sasterawan Negara/Sasterawan Rakyat A. Samad Said mengetuai perhimpunan ini yang berjaya membuat pihak Kerajaan memansuhkan PPSMI kemudiannya.

Ketika bersama beliau untuk beberapa tahun terakhir sejak mula berurusan dengan beliau sekitar tahun 2005, Datuk Hassan Ahmad seorang yang berterus terang dan malah seorang yang berani mengatakan kebenaran walaupun pahit. Banyak perkara yang saya pelajari dalam masa singkat mengenali tokoh ini. Semoga semangat juang dan jati diri bangsa Melayunya akan sentiasa terpancar dan menjadi ikutan pemimpin Melayu. Semoga roh Allahyarham akan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. InsyaAllah. Amin.

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger