SELAMAT JALAN STEVE, BERSEMADILAH DENGAN AMAN ..



Memang saya bukan pengguna produk Apple yang tegar, betul memang bukan. Sebabnya mudah ketika saya berura-ura mahu memiliki komputer peribadi sendiri, hasrat saya hanya satu – untuk melampiaskan nafsu terhadap kegilaan permainan komputer, itu sahaja!.

Ketika saya mula memiliki komputer peribadi sekitar awal 90an, dianggap agak mewah, memang pada bulan-bulan awal, saya teruja bermain permainan komputer di dalam bilik saya tanpa perlu ke arkid video ketika itu, yang menghidangkan permainan kuda. Tetapi permainan komputer saya memang tidak mempunyai unsur-unsur perjudian sama ada secara langsung mahupun tidak. Saya menjadi lebih cekap menggunakan komputer dengan pelbagai permainan, misalnya The Prince of Persia.

Tetapi minat saya merudum apabila saya terjaga pada tengah malam, dan kembali muhasabah diri saya, membeli komputer peribadi semahal itu hanya untuk bermain permainan komputer! Pada waktu itu, ketika dalam lebih kurang pukul dua pagi, saya termenung untuk beberapa ketika apabila membuat keputusan untuk memanfaatkan kemampuan saya memiliki komputer peribadi yang agak ‘mahal’ ketika itu. Saya pun memasang hasrat untuk lebih memanfaatkan dan menggunakan sepenuhnya komputer saya bagi membantu urusan yang berkaitan dengan perjalanan hidup saya ketika itu.

Usaha pertama saya ialah membuat program pengkalan data pelajar untuk pusat tuisyen yang saya kendalikan secara usahasama dengan seorang teman. Hanya selepas beberapa hari dengan berkat kesungguhan saya berupaya mempunyai sebuah sistem pengurusan pelajar untuk pusat tiusyen yang mempunyai kapasiti pelajar hampir 200 orang. Bayangkanlah jika seorang waris pelajar datang untuk membuat bayaran atau bertanya maklumat lain, saya mampu memberikannya dalam masa beberapa saat sahaja. Ketika itu, saya berasa seperti seorang hero yang mampu menyelamatkan dunia!

Apabila saya berumah tangga dan beralih kepada pekerjaan di sektor swasta, tugas pertama di sebuah syarikat sederhana besar, saya menemukan komputer peribadi Macintosh, produk Apple. Saya menjadi agak teruja kerana khabarnya komputer Macintosh dengan rupa bentuknya yang comel agak kebal jangkitan virus dengan pelbagai ciri lain yang menarik. Saya mula memasang angan-angan untuk memiliki komputer Macintosh, maka saya pun menjadi pengunjung tetap Plaza Imbi, ketika itu Low Yat belum wujud lagi. Ketika menemukan komputer Macintosh, hasrat saya terbantut kerana harganya jauh berkali-kali ganda daripada komputer peribadi yang pernah saya miliki.

Komputer Macintosh milik Apple memang di luar jangkauan saya, kerana ianya lebih sesuai untuk tugas-tugas grafik berbanding apa yang saya lakukan. Namun keterujaan saya terhadap produk-produk Apple tidak pernah padam, apabila syarikat saya terpilih melaksanakan tugas-tugas penerbitan buletin ketika Persidangan Komanwel pada tahun 2008, saya meminta pereka grafik saya membawa komputer Apple ke bilik hotel kami untuk melakukan kerja-kerja penerbitan tersebut.

Ketika dunia heboh dengan satu lagi produk Apple selepas kejayaan menghasilkan iPOD, kegilaan dan kecanggihan telefon pintar iPhone benar-benar meruntun naluri saya. Pada 1 Januari 2010, saya menjadi pengguna iPhone 3GS berkapasiti 32GB dan menjadi seorang lagi pengguna yang teruja dengan puluhan juta pengguna produk-produk Apple di seluruh dunia hingga ke negeri China. Sejak itu, iPhone dan saya menjadi begitu akrab dengan pelbagai aplikasi yang dimuat turun ke dalamnya.

Benarlah ada sesetengah orang menganggap iPhone sebagai ibu kepada segala telefon. Dengan kecanggihannya produk Apple ini berjaya dengan jualan puluhan juta unit di seluruh dunia.

Steve Jobs, pengasas Apple yang meninggal dunia akibat kanser semalam, adalah potret seorang pemasar yang tegar. Membawa jenama miliknya menjadi idola dan cemburu kepada pelbagai jenama di seluruh dunia. Kini selepas hampir dua tahun memiliki iPhone saya masih mencumbuinya seperti baru sahaja memilikinya semalam!

Steve, andalah adalah seorang lagenda. Kami akan terus merindui anda. Bersemadilah Bersemadilah dengan aman!

Ulasan

zalia berkata…
terujanya saya ...
nod berkata…
saya juga pengguna iPhone, sedih dengan kepergian mendiang steve..
siti berkata…
syabas...sy suka tulisan ini, jujur dan terus terang..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?