KISAH SHIMA


Saya bukanlah kawan rapatnya sehinggalah saya melaporkan diri pada satu hari di bulan April pada tahun 1995 sebagai seorang petugas di Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3). Ketika itu, di Sri Pentas, dan sebagai eksekutif muda dalam sebuah stesen televisyen swasta yang ulung di negara ini, yang ketika itu di tahun ke-11 penubuhannya, saya memang amat teruja.

Sebagai seorang petugas di sebuah anak syarikat milik penuh TV3, kami semua adalah staf perintis kumpulan kedua (selepas pengurusan utama) yang diamanahkan mengendalikan usaha ‘home shopping’ di negara kita. Pada hari pertama, saya agak kaku dan tidak mempunyai teman, mungkin disebabkan bidang tugas saya sebelum ini yang lebih bersifat memencilkan diri dan obses dengan tugas sebagai pembantu penyelidik di sebuah syarikat swasta sederhana besar.

Syarikat baru itu tidak mempunyai ramai petugas pada awalnya, dan ketika itu seorang teman petugas menyapa saya. Selepas itu, saya dan Shima seperti rakan-rakan setugas yang lain menjadi begitu akrab sesama kami.

Selepas hampir sepuluh tahun meninggalkan syarikat tempat saya bertugas untuk menukar haluan sebagai usahawan, kisah teman-teman setugas dahulu kadang-kadang menjadi pengubat apabila sesi ‘reunion’ atau ketika menghadiri majlis-majlis yang melibatkan teman-teman setugas. Dalam tempoh lebih 10 tahun selepas meninggalkan syarikat tempat saya bertugas, pelbagai kisah dan coretan sama ada secara pertemuan fizikal atau pertemuan maya sering saja mengisi perjalanan hidup saya.

Sehinggalah dua minggu lepas, seorang teman setugas saya menghantar pesanan ringkas ke telefon bimbit saya – “Dalam fb, shima inform dia kena breast kanser stage 4. Dia minta maaf, kalu ada salah & silap pada kau org. No. phone XXX-XXXXXXX. Helmi”. Saya agak tersentak, kisah breast cancer bukanlah asing pada saya, jiran sebelah rumah saya ketika tinggal di Sri Petaling mengingatkan saya bagaimana ibu Afiq tewas dan kembali ke rahmatullah selepas beberapa ketika menderita kanser payu dara.

Pada malam Selasa yang lalu, terdapat pula pesanan daripada seorang petugas saya yang berbunyi – “ Salam En Nasser, Pesanan dr Shima. Teringin nk ckp dgn En Nasser pls call kak shima – XXX-XXXXXXX”. Saya agak sebak dan terkedu, pada hari Rabu sampai sahaja di tempat saya bertugas, saya memberitahu teman saya yang juga mengenali Shima akan hasrat untuk menziarahinya di Kuala Kangsar pada keesokan harinya.

Pada pagi Khamis, ditemani teman saya dan isterinya yang kebetulan mahu ikut serta, kami ke kediaman Shima di Kuala Kangsar berbekalkan alamat yang diperolehi oleh salah seorang teman setugas kami, sengaja kami tidak mahu menghubungi Shima dan berdoa dia berada di rumahnya bagi kami menziarahinya. Nasib memang menyebelahi kami, selepas agak tersasar (malu bertanya sesat jalan), kami akhirnya sampai di kediamannya. Benarlah Shima ada di rumahnya, selepas berbasa-basi, kisah penderitaan dirungkai sedikit demi sedikit.

Kisah penderitaannya walaupun tidak begitu diucapkan, namun raut wajah dan riaknya sudah cukup untuk menggambarkan penderitaan daripada penyakit yang ditanggungnya. Walaupun sesi ‘kimo’ baru berlangsung untuk kali pertama seminggu yang lepas, namun dia begitu pasrah dengan usaha perubatan moden dan tradisional demi meneruskan hidup untuk seorang anak perempuan dalam Tahun 4 yang baru sahaja dipindahkan ke sekolah di kampungnya di Kuala Kangsar.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, pertemuan lebih sejam dengan Shima pesakit kanser payu dara tahap empat walaupun dalam suasana riang namun tiada siapa yang tahu ketentuan Allah SWT. Semoga Shima akan terus tabah mengharungi hidup dan berjaya dalam pertarungan dengan kanser pembunuh ini.

Sebelum mengakhiri pertemuan kami, sempat saya mengusik ‘apa jadi dengan si Paul makan babi tu’ – betullah itulah ungkapan yang sebenarnya mengikat kemesraan kami. Doa semoga Shima terus tabah dalam pertarungan tanpa pemenang. Paul Makan Babi – itu kata kunci yang selalu saya ucapkan ketika mengingati Shima dan kemesraannya!

Share this article :
 

+ komen + 2 komen

wanman68
7 Oktober 2011 9:41 PTG

Semoga shima senantisa tabah dan kuat menghadapi dugaan yang hebat ini. kata-kata " paul makan babi " tu... memang sinonim dengan shima he...he..saya berdoa agar allah memberi ketabahan dan kekuatan kepadanya

mascitra
8 Oktober 2011 12:52 PTG

Salam En Nasser,
Thanks kerna sudi melawat sahabat kite..

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger