PENYENDAL ATAU UJI POPULARITI?



Itulah tanggapan saya seusai menghadiri Himpunan Penulis Malaysia 2018, hujung minggu yang lalu.  Pada awalnya saya ingin saja menyertai program ini dari awal pagi, namun kekangan yang tidak dapat dielakkan saya hanya dapat hadir pada sebelah malamnya.  Dan saya tidak menyesal mengenai hal ini.


Himpunan Penulis Malaysia (HPM), program yang diatur untuk membolehkan para penulis bersemuka dengan Menteri Pendidikan atau sebaliknya,di samping menghimpun para penulis tempatan untuk membincangkan halatuju dunia persuratan tanah air. Objektif penganjurannya memanglah murni.  Ditunjangi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia dan Perbadanan Kota Buku. 

Program pada sebelah malamnya adalah Dialog Awam bersama Menteri yang sepatutnya dimulai jam 8.00 malam, lewat selama sejam.  Menteri memberi peluang kepada persatuan penulis mengemukakan pandangan seputar dunia perbukuan dan persuratan.  Dimulai oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia, mengemukakan pandangan bagi merancakkan industri buku yang semakin suram. 

Seperti yang dikatakan menteri, beliau ingin mendengar pandangan dan pertanyaaan daripada para penulis berbanding untuk beliau bercakap.  Sekali lagi tampak mulus.

Pelbagai isu ditimbulkan.  Daripada baucer buku yang tercicir dalam pembentangan belanjawan yang baru lalu.  Isu royalti teks KOMSAS, kedudukan Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara, DLP, sokongan kepada penulis yang menulis bukan dalam Bahasa Melayu, sokongan kepada penerbit kecil yang merupakan soalan paling popular oleh Hafiz Latif seorang penerbit kecil.  Selain itu sokongan kepada DBP, ITBM juga menjadi persoalan.

Program ini sejak awal lagi telah mengundang pelbagai polemik, misalnya Dinsman, Presiden Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) sendiri berusaha bertemu Menteri untuk memaklumkan bahawa beliau tidak mahu hadir pertemuan tersebut kerana penglibatan Paksi tercicir dan diyakinkan oleh Menteri untuk hadir dan berjanji untuk ‘mengiktiraf kehadiran Paksi’ dalam dunia sastera Malaysia. 

Penerima Anugerah Seni Negara 2006, Faisal Tehrani memulakan dengan menyatakan dia tidak akan hadir ke pertemuan tersebut.  Tidak cukup dengan itu, dalam tulisannya menyebut “sastera adalah makanan anjing”.  Seorang lagi penulis, Uthaya Sankar SB lewat tulisannya dalam Malaysiakini mengungkapkan “Maszlee (Menteri) perlu bertemu penulis bukan ‘penjilat’..”

Pada pihak penganjur memanglah program ini dianggap berjaya dengan kehadiran hampir 300 penulis, penggunaan teknologi Slido yang benar-benar dimanfaatkan, namun secara peribadi saya mengganggapnya sebagai program penyendal atau mahu menguji populariti Menteri.  Apa tidaknya tiada satupun hasil yang konstruktif yang boleh dibawa pulang oleh para penulis, semuanya ‘akan’ dan Menteri terus  menabur janji.

Program Baca Puisi bersama Menteri juga berlarutan ‘selama dua hari’ seperti yang menjadi momokan, apabila berakhir hampir jam 12.30 tengahmalam.  Ironinya Baca Puisi bersama Menteri hanya dalam segmen pertama sehingga jam 11.15 malam apabila Menteri beredar pulang.

Sepatutnya, untuk Himpunan seperti itu, tentulah Menteri dan Kementerian telah bersedia untuk mengumumkan satu atau dua inisiatif yang telah bersedia untuk dilaksanakan.  Bukan menjadi medan untuk melontar janji.  Benarlah tanggapan di luar sana yang mengatakan bahawa Menteri Pendidikan setakat ini memang rajin merancang tapi kurang pelaksanaan!



Ulasan

Unknown berkata…
sebenarnya aku juga kecewa, kerana dua hari bergelandangan di Bangi dan Kuala Lumpur menteri meninggalkan aku dalam syok sendiri.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

SELAMAT BERANGKAT KE NEGERI ABADI, SAUDARAKU