PENYENDAL ATAU UJI POPULARITI?
Itulah
tanggapan saya seusai menghadiri Himpunan Penulis Malaysia 2018, hujung minggu
yang lalu. Pada awalnya saya ingin saja
menyertai program ini dari awal pagi, namun kekangan yang tidak dapat dielakkan
saya hanya dapat hadir pada sebelah malamnya.
Dan saya tidak menyesal mengenai hal ini.
Himpunan
Penulis Malaysia (HPM), program yang diatur untuk membolehkan para penulis
bersemuka dengan Menteri Pendidikan atau sebaliknya,di samping menghimpun para
penulis tempatan untuk membincangkan halatuju dunia persuratan tanah air. Objektif
penganjurannya memanglah murni.
Ditunjangi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama
Universiti Kebangsaan Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Institut Terjemahan
dan Buku Malaysia dan Perbadanan Kota Buku.
Program
pada sebelah malamnya adalah Dialog Awam bersama Menteri yang sepatutnya
dimulai jam 8.00 malam, lewat selama sejam.
Menteri memberi peluang kepada persatuan penulis mengemukakan pandangan
seputar dunia perbukuan dan persuratan.
Dimulai oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia, mengemukakan
pandangan bagi merancakkan industri buku yang semakin suram.
Seperti
yang dikatakan menteri, beliau ingin mendengar pandangan dan pertanyaaan
daripada para penulis berbanding untuk beliau bercakap. Sekali lagi tampak mulus.
Pelbagai
isu ditimbulkan. Daripada baucer buku
yang tercicir dalam pembentangan belanjawan yang baru lalu. Isu royalti teks KOMSAS, kedudukan Bahasa
Melayu dalam sistem pendidikan negara, DLP, sokongan kepada penulis yang
menulis bukan dalam Bahasa Melayu, sokongan kepada penerbit kecil yang
merupakan soalan paling popular oleh Hafiz Latif seorang penerbit kecil. Selain itu sokongan kepada DBP, ITBM juga
menjadi persoalan.
Program
ini sejak awal lagi telah mengundang pelbagai polemik, misalnya Dinsman,
Presiden Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) sendiri berusaha bertemu Menteri untuk
memaklumkan bahawa beliau tidak mahu hadir pertemuan tersebut kerana
penglibatan Paksi tercicir dan diyakinkan oleh Menteri untuk hadir dan berjanji
untuk ‘mengiktiraf kehadiran Paksi’ dalam dunia sastera Malaysia.
Penerima
Anugerah Seni Negara 2006, Faisal Tehrani memulakan dengan menyatakan dia tidak
akan hadir ke pertemuan tersebut. Tidak
cukup dengan itu, dalam tulisannya menyebut “sastera adalah makanan anjing”. Seorang lagi penulis, Uthaya Sankar SB lewat
tulisannya dalam Malaysiakini mengungkapkan “Maszlee (Menteri) perlu bertemu
penulis bukan ‘penjilat’..”
Pada
pihak penganjur memanglah program ini dianggap berjaya dengan kehadiran hampir
300 penulis, penggunaan teknologi Slido yang benar-benar dimanfaatkan, namun
secara peribadi saya mengganggapnya sebagai program penyendal atau mahu menguji
populariti Menteri. Apa tidaknya tiada
satupun hasil yang konstruktif yang boleh dibawa pulang oleh para penulis,
semuanya ‘akan’ dan Menteri terus menabur janji.
Program
Baca Puisi bersama Menteri juga berlarutan ‘selama dua hari’ seperti yang
menjadi momokan, apabila berakhir hampir jam 12.30 tengahmalam. Ironinya Baca Puisi bersama Menteri hanya dalam
segmen pertama sehingga jam 11.15 malam apabila Menteri beredar pulang.
Sepatutnya,
untuk Himpunan seperti itu, tentulah Menteri dan Kementerian telah bersedia untuk
mengumumkan satu atau dua inisiatif yang telah bersedia untuk
dilaksanakan. Bukan menjadi medan untuk
melontar janji. Benarlah tanggapan di
luar sana yang mengatakan bahawa Menteri Pendidikan setakat ini memang rajin
merancang tapi kurang pelaksanaan!
Ulasan