ADAB BERGURU

Gambar dari akhbar The Star - http://thestar.com.my
benar-benar menyentuh naluri saya!

Saya sedikit tersentuh melihat foto jaguh badminton dunia, Datuk Lee Chong Wei dan teman wanitanya pemain beregu negara Wong Mew Choo mengunjungi jurulatih badminton negara Datuk Misbun Sidek yang terlantar sakit di Hospital Tawakal.

Saya teringat kisah isteri saya, seorang guru ketika mengajar di sebuah sekolah menengah di ibu kota beberapa ketika dahlulu, ialah bagaimana pelajar-pelajar bukan Islam khususnya dari kaum China begitu menghormati guru-guru mereka dan ironisnya pelajar-pelajar Islam pula menjadi ‘bongkak’ selepas mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan seolah-olah kejayaan mereka itu adalah kejayaan total mereka. Pelajar-pelajar bukan Islam pula akan terus menghormati guru-guru mereka walaupun isteri saya telah tidak lagi mengajar mereka, rasa hormat sentiasa terpahat dalam diri mereka.

Saya amat yakin, semua agama di dunia menyenaraikan hormat kepada ibu bapa, guru dan orang-orang lebih tua dari kita sebagai satu keutamaan, namun kepercayaan masyarakat Cina menghormati guru (sifu) mereka ternyata begitu ditekan dan dituntut bagi menikmati kejayaan dalam hidup, lihat sahaja bagaimana para pelajar kaum Cina begitu memberi tumpuan kepada ‘alma matter’ mereka, tanpa perlu ada surat sokongan berjela-jela, surat rayuan dengan kepala surat pejabat Menteri atau perlu majilis untuk menerima serahan ‘mock cheque’ dari mereka.

Semua ini bertolak dari adab berguru yang begitu dipraktikan dan tidak hanya retorik. Kepada Lee Chong Wei, saya percaya anda juga telah dididik untuk menghormati dan menyanjungi guru anda, syabas!

Catatan Kaki: Doa kepada Datuk Misbun Sidek, moga akan cepat sembuh dan kembali ke gelanggang bagi menyemarak lagi anak muda seperti Lee Chong Wei dan Wong Mew Choo.
 

NEGARA RESOLUSI

Sajak ini tidak mungkin tersiar dalam akhbar arus perdana! Akhiran yang rasanya sesuai untuk penghujung tahun 2008. Nikmati.

negara resolusi
(apologi buat saudara seislamku – hishamuddin hussein)


saban hari
saban minggu
saban bulan
saban tahun

lelaki itu
dari janggut sejemput
hingga sepanjang bayi
delapan hari

dia terus
berdiskusi
berseminar
bersidang
bermultaqa

acapkali di bawah pokok ketapang
dengan teman-teman sealiran
rakan seangkatan
sambil menghirup teh tarik
atau terkadang kopi tawar
ketika negara dilanda krisis gula
sambil mengulangbaca
resolusi empat belas perkara

terkadang pula
di hotel tiga atau empat bintang
menghadiri seminar
bertaraf kebangsaan
dirasmi datuk menteri
sambil dalam ucapan berapi
menyeru peserta menghasil resolusi
yang mampu menganjak generasi!

selepas tiga hari dua malam
berkurung diri dalam hotel mewah
dibiayai dana kerajaan
timbalan menteri
penuh istiadat
menerima resolusi dua puluh satu perkara
antaranya:
memperkasa bahasa kebangsaannya!

lelaki itu dalam keterharuan
hampir menitis airmata
sempat berdoa
moga menteri tidak bertukar
atau resolusi tidak terdampar

sesekali pula
di pulau percutian
hotel bertaraf lima atau enam bintang
dalam persidangan antarabangsa bertaraf dunia
maaf lelaki itu tidak turut serta
kerana menurut urusetia
hanya jemputan kepada
yang terbilang saja.

lelaki itu tetap bangga
mengikuti perkembangan
dalam akhbar berdada bidang
persidangan antarabangsa
dirasmi datuk menteri perdana
dihadiri pelbagai ketua
dalam dan luar negara

persidangan antarabangsa bertaraf dunia
dialihbahasa lewat sepuluh saat
penterjemah berimbuhan
empat bulan gaji kerani bank
yang dinafikan
hak bonus kontraknya.

akhirnya selepas tiga malam empat hari
berkurung diri hotel lima atau enam bintang
berulit kemewahan
timbalan menteri perdana
dalam upacara penuh istiadat berwacana budaya
atas nama menjual negara ke mata dunia
menerima resolusi empat puluh satu perkara pelbagai bahasa
antaranya:
mengurus kekayaan secara berhemah!

lelaki itu
selepas enam puluh lapan tahun
menghirup udara hayatnya
selepas lima puluh tahun merdeka negara kecintaannya
dia kira masih terjajah
sambil menghitung
jumlah resolusi simpanannya
telah dua puluh dua puluh resolusi
dalam koleksinya!

lelaki itu
sambil memanggung kepala
berkerut dahinya
memikirkan dedikasi buku terbarunya:
'2020 Kompilasi Resolusi: Hadiah Negara Merdeka'
sambil merangka pula
kertas cadangan
buat teman-teman jerung politik
merencana penubuhan
YAYASAN RESOLUSI NEGARA
buat menyedut dana
yang masih begitu banyak
hasil sumber kekayaan negara.

lelaki itu akhirnya tersentak
bisiknya lemah:
ini negara merdeka
ini negara resolusi!




mohamed nasser mohamed
desa mewah, semenyih
disember 2007
 

KEGANASAN ISRAEL LAKNAT!


(Gambar-gambar dari Aljazeera)

Untuk kesekian kalinya, bumi Palestin bermandi darah, menurut laporan 220 terbunuh manakala 400 yang lain cedera, apabila Israel (baca: Israel laknat) melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Genting Gaza.

“Sedang saya menulis rencana ini, jet-jet Israel sedang mengebom kawasan-kawasan sekitar Zeitoun dan Rimal di tengah-tengah Bandar Gaza. Keluarga yang saya tinggal bersama telah berpindah ke bahagian tengah serambi rumah mereka demi mengelakkan dari dibom. Tingkap hampir sahaja musnah berikutan letupan kuat menggegar rumah tersebut.

Siren berbunyi kuat di jalanan. Bekalan elektrik yang terputus menjadikan bandar ini gelap gelita saban malam dan malam ini juga tidak terkecuali melainkan penduduk di sini merasakan malam ini adalah yang paling gelita pernah mereka tempuhi.

Lebih 220 orang terbunuh dan lebih 400 yang lain pula cedera dalam serangan mengejutkan Gaza yang berlanjutan lebih 15 minit. Hospital menjadi sesak dan tidak mampu menampung. Serangan ini adalah tambahan daripada segala krisis kemanusiaan yang sedang mereka alami: kekurangan perubatan, roti, tepung, gas, elektrik, bahanapi dan kebebasan untuk bergerak ke sana ke mari.”
- Ewa Jasiewicz

Apakah yang sedang dilakukan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU), Rusia, Liga Arab, Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Moga akan ada ketetapan bagi menghalang lebih banyak nyawa yang tidak berdosa menjadi mangsa.

Tidakkah ada sebuah pihak atau pihak-pihak yang lebih ampuh dari Israel? Tulisan ini mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dalam apa jua alasan dan kewajaran. Doa akhir tahun Hijriah dan awal tahun Hijriah 1430: semoga dunia keseluruhan akan lebih aman damai. Amin. InsyaAllah.

Ewa Jasiewick adalah seorang wartawan berpengalaman, penyelaras komuniti, kesatuan dan pekerja soladariti. Beliau adalah Penyelaras Bersama Projek Gaza untuk Pergerakan Pembebasan Gaza pada masa ini. Petikan ini dipetik dan diterjemahkan secara bebas dari artikel beliau yang tersiar di http://www.palestinechronicle.com
 

50 DAYS


Kulit buku 50 Days

Marina Mahathir dengan teman-teman blogger: Minaq Jinggo (minaq-jinggo.fotopages.com) &
Engku Emran (eeblog08.blogspot.com) ketika menghadiri Himpunan 100 Hari Para Bloggers - July 2008


Tiba-tiba sahaja kisah penswastaan Institut Jantung Negara (IJN) menjadi senyap dengan kenyataan YAB Timbalan Perdana Menteri untuk menangguhkan penswastaannya.

50 Days sebuah kisah bagaimana seorang anak menjadi penghubung mengenai kesihatan seorang bapa yang menjalani pintasan jantung buat kali kedua. Menariknya bapa tersebut adalah YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamed, bekas Perdana Menteri yang kita kasihi.

Marina Mahathir lewat blognya http://rantingsbymm.blogspot.com/ yang bermula dengan posting pertama pada 5 Disember 2006, telah secara bijaksana menggunakan blognya untuk berkongsi maklumat mutakhir mengenai keadaan kesihatan ayahnya kepada seluruh rakyat Malaysia dan juga dunia.

Sesuai dengan judulnya 50 Days – ialah himpunan catatan selama 50 hari Tun Dr. Mahathir berada di IJN bermula dari 2 September 2007 sehingga 25 Oktober 2007, dengan posting pertama pada hari keesokkannya. Mengimbangi keperluan untuk memberi maklumat terkini kepada rakyat Malaysia, teman-teman dan kenalan, di samping menghormati maklumat-maklumat sulit di IJN, Marina Mahathir lewat 50 Days berjaya memberi gambaran sebagai sebuah agensi ‘perhubungan awam’ yang boleh diyakini! Sungguhpun 50 Days tidak menyertakan komen-komen para pengunjung blognya kerana hambatan ruang dan keizinan, buku ini berjaya menyelami hubungan istimewa seorang anak dan ayahnya.

50 Days terbitan Zi Publications – http://www.zipublications.com.my/ bakal berada di kedai-kedai buku hujung minggu ini dengan pelancaran dan sesi bertemu penulisnya bakal berlangsung sekitar Januari dan Februari 2009. Buku ini berharga RM19.50, begitu berpadanan untuk menghayatinya.
 

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?

Si penggali kubur tidak pernah mendoakan kematian siapa pun!

Beberapa hari lalu saya menerima pesanan ringkas dari seorang teman, mengenai sebuah nama yang teman tersebut berurusan dalam kerjanya. Tiba-tiba sahaja saya mengucap syukur kepada arwah orang tua saya kerana memberikan nama yang baik kepada saya.

Sewaktu kecil saya adalah anak manja ayah saya: yalah yang paling menyusahkan, yang sering sakit, yang sering menangis, yang sering berbelanja besar dan pelbagai lagi kesulitan – termasuk membuli ayah saya! Dan dalam masa tersebut saya menjadi ‘broker’/jurucakap kepada abang-abang saya – ialah ayah saya tidak pernah menolak permintaan saya hatta menolak permintaan abang-abang saya yang disampaikan oleh saya. Senarainya panjang – daripada membeli buku baru, meminta duit yang diminta cikgu, pergi rombongan, nak pergi rumah kawan, nak pergi klinik, nak beli ‘boot’ bola yang baru dan pelbagai permintaan lagi.

Dengan persekitaran berkedai – semangat keusahawanan telah mulai menyubur dalam diri saya dan setiap permintaan tadi bukan tanpa upahnya, malah upah pun kadang-kadang terpaksa berhutang oleh abang-abang saya dan ironisnya hutang-hutang tersebut mesti dicatit oleh sipenghutang dan bukan sipiutangnya – kes buli la ni!

Selepas saya memasuki Tahap 2 persekolahan saya sekitar umur 11 atau 12 tahun, horizon pembacaan saya meluas dan antara buku yang saya baca ialah ‘1001 nama-nama Islam untuk anak’ – rasionalnya ialah buku tersebut milik seorang guru perempuan di kelas kami yang sedang sarat menunggu hari untuk bersalin – naluri ingin tahu saya yang tinggi (baca:menyebuk) sewaktu berada di meja guru – saya sempat mencari makna nama saya, masyaAllah nama saya bermaksud: penolong, yakni sepatutnya saya menjadi penolong kepada orang yang memohon bantuan dan menghulurkan pertolongan kepada yang memerlukan.

Rasa bersalah menghantui saya: saya pun mengambil keputusan melupuskan semua hutang-hutang abang-abang saya dan tanya pula pada mereka ada apa-apa lagi permintaan kepada ayah saya pada masa itu, dan mereka pun pelik mengapa pulak jadi begini dan sejak saat tersebut saya sentiasa mengambil pendekatan untuk menolong siapa sahaja hatta orang yang tidak dikenali mahupun yang baru bertemu tanpa sebarang prasangka, walaupun pertolongan saya sering disalahguna dan menimbulkan kemudaratan kepada saya.

Catatan Kaki: Nama yang teman saya nyatakan memang mempunyai konotasi yang kurang enak yang membawa maksud suka marah-marah/melenting dalam bahasa Tionghua ataupun sejenis mee – ada siapa-siapa nak cuba jawab ke? Memberi nama yang baik kepada anak-anak adalah sesuatu yang sangat dituntut.
 

MAAL HIJRAH 1430 vs TAHUN BARU 2009

"aku mencintai mu seperti ini, setahun 365 hari (masihi lagi)
berdenyut tak berhenti dan menyerah dalam bakti!"

Pada 29 Disember nanti kita akan menyambut Maal Hijrah 1430 dan beberapa hari selepas itu pula tahun 2009 akan menjelang. Sejak dua minggu lalu saya dihujani pelbagai soalan mengenai azam tahun baru 2009, malah tiada langsung mengingati tahun Hijrah 1430.

Seingat saya, telah menjadi amalan saya menulis tarikh hijrah bersebelahan dengan tarikh masihi dalam semua urusan termasuk surat menyurat oleh saya.

Adakah sambutan Maal Hijrah di Negara ini dipandang sepi, malah penyertaan para pemimpin pada sambutan Maal Hijrah seperti tempelan berbanding sambutan Tahun Baru masihi- saya teringat beberapa tahun lalu, seorang pemimpin tinggi Kerajaan berkejar dari satu lokasi ke lokasi yang lain bagi menyambut tahun baru. Ironisnya sambutan Maal Hijrah hanya sekadar biasa-biasa sahaja (mungkin mengambil pendekatan sederhana selaras dengan prinsip Islam Hadhari!). Sambutan Tahun Baru pula dengan konsert mega di beberapa lokasi di ibu Negara malah sambutan yang sama di peringkat negeri. Sambutan di ibu kota telah beberapa tahun ditaja oleh sebuah institusi perbankan yang menyatakan diri mereka – sebuah bank untuk semua urusan kewangan Islam!

Walau apa pun kepercayaan dan pendekatan oleh seseorang, saya yakin keazaman memperbaiki diri akan sentiasa menjadi keutamaan dalam hidup seseorang.

Catatan Kaki: Mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430 untuk semua pengunjung, peminat, teman-teman berblog, pembaca, pengkagum dan pengkritik. Doa dan azam saya – untuk terus menjadi Muslim yang lebih baik, InsyaAllah.
 

SANTAI HARI NATAL - PERTEMUAN PENULIS & AKTIVITIS SENI SELANGOR

Tuan Hj. Saring Sirad (Ismas Saring)


Kartunis Zunar


Sdr. Sani Sudin (Kopratasa)


Sdr. Dinsman & Dr. Ibrahim Ghaffar

YB Puan Rodziah Ismail - Exco Selangor

Apa yang diminta bukanlah hak Kerajaan tetapi hak rakyat yang sebahagian mereka adalah budayawan dan seniman. Anggapan bahawa sikap meminta-minta dari Kerajaan sebenarnya ialah meminta hak seniman dan budayawan dikembalikan kepada yang berhak.

Menangani isu budaya dan kesenian bukan sekadar menuntut kesungguhan budaya yang tinggi (cultural will) malah juga mendambakan iltizam politik (political will). Sdr. Zunar mempersoalkan perihal iltizam di kalangan negeri-negeri Pakatan Rakyat khususnya di Negeri Selangor sendiri. Menguit bajet seperti mengait rambutan bila diperlukan tentulah menggambarkan bahawa kebudayaan dan kesenian di mata Kerajaan adalah bersifat jangka pendek dan bukan perancangan jangka panjang sejajar dengan hasrat kerajaan PR membangunkan modal insan.

Sdr. Dinsman, Pengerusi PAKSI – dalam kertas kerjanya bertajuk ‘Cadangan Program dan Aktiviti Seni Selangor 2009’ dengan tegas merencanakan hala tuju aktiviti kesenian khususnya di negeri Selangor rentetan daripada persidangan penubuhan PAKSI pada 6-7 Jun 2008 yang lalu. Antara lainnya ialah: memastikan bahawa pementasan secara konsisten pada setiap bulan dengan bajet disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Memastikan bahawa hak penulis dan penggiat seni khususnya teater terus dihormati dan dipenuhi sewajarnya.

Penubuhan Akademi Muzik dan Teater Selangor, menganjurkan Festival Muzik dan Teater Rakyat, Festival Seni Jalanan, Acara Bulanan Puisi dan Lagu, Pembudayaan Melalui Buku – Pelancaran Buku Setiap Bulan, Buku Sebagai Hadiah, Majlis Pengenalan Buku, Hadiah Buku Tahunan dengan panel penilai buku yang berwibawa antara cadangannya.

YB Puan Rodziah Ismail, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi & Inovasi memberikan penjelasan panjang lebar serta menjawab pelbagai persoalan yang ditimbulkan oleh para peserta seramai hampir 40 orang. YB Puan Rodziah telah menjelaskan hala tuju aktiviti kebudayaan dan kesenian di negeri Selangor bagi tahun 2009. Di samping memberi jaminan bahawa aktiviti kebudayaan tidak akan terpinggir di negeri termaju ini.

Program setengah hari anjuran PAKSI memang menjadi pembuka mata terhadap kemelut bahawa aktiviti kesenian dan kebudayaan seolah-olah terpinggir di Negara ini khususnya di Negeri Selangor dan program ini berjaya merungkai kemelut dan mencartakan hala tuju aktiviti kebudayaan dan kesenian di negeri Selangor.

Sdr. Ismas Saring menyarankan bahawa dana disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi membolehkan para penulis negeri ini berkarya dan mampu menerbitkan karya mereka.

Dr. Irwan Abu Bakar mencadang proses pembinaan generasi pelapis seni dan budaya di Selangor diadakan secara berterusan dan sistematik.

Program ini dihadiri oleh hampir 40 aktivitis seni dan budaya di Negeri Selangor antaranya: Ismas Saring, Zainal Abas, Sani Sudin (Kopratasa), Abu Hassan Ashari, Prof. Siti Zainon Ismail, Pak Ahmad Sarju, Dr. Ahmad Razali, Saloma Lajis, Suria Janib, Hasni Abas, Razali Endun, dan juga barisan penulis Selangor. Cuti Natal saya menjadi amat bermakna walaupun terpaksa berkejar dari Perlis dan tiba di ibu kota jam lima pagi dan menghadiri majlis PAKSI jam sembilan pagi!

Berita baik bahawa bajet aktiviti kebudayaan di negeri Selangor telah ditambah menjadi lima kali ganda, tentulah dapat melegakan budayawan dan seniman di negeri ini! Harapan saya negeri-negeri lain (khususnya negeri-negeri di bawah Pakatan Rakyat) dapat mencontohi usaha Kerajaan Negeri Selangor memartabatkan budaya dan seni di kalangan rakyatnya.

 

JUALAN AKHIR TAHUN GERAKBUDAYA


Penerbit dan pengedar buku, Gerakbudaya akan meneruskan tradisi saban tahun dengan menawarkan buku-buku bermutu terbitan dan edaran mereka dengan harga diskaun. Diskaun tidak terhad hanya pada buku-buku lama, malah buku-buku terbaru juga. Jualan ini akan berlangsung dari 26 – 28 Disember 2008.

Buku-buku berkaitan sains sosial yang meliputi subjek politik, ekonomi, gender, pengajian Malaysia & Asia, isu-isu global dsb. Selain itu, karya-karya fiksyen dan buku-buku dari Indonesia serta banyak lagi juga ada dijual.

Gerakbudaya berlokasi di 11, Lorong 11/4E 46200 Petaling Jaya Selangor berdekatan dengan Hospital Universiti. Hubungi 03-7957 8342/8343 atau 019-389 3804 untuk bercakap dengan Zulhabri atau 016-379 7231 dengan Pak Chong.
 

BILIK SULIT


"Saya tahu apa yang suami saya lakukan. Suami saya tahu apa yang dia lakukan. Polis tidak perlu putarbelitkan. Suami saya tak makan tipu".

Ini antara dialog isteri tahanan ISA dalam teater Bilik Sulit.

Harbes Corpus, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Ikut Suka Aku, Rompin, Bar Raba-Raba, Itu Siksaan Aku, Melayu, Islam, Mahathir, Razak Baginda, C4, itu antara ungkapan dalam teater : Bilik Sulit. Dipentaskan sempena Hari Hak Asasi Antarabangsa oleh Teater Bukan Teater dengan kerjasama Majlis Peguam. Bilik Sulit ditulis dan diarahkan oleh Hishamuddin Rais, arahan bersama Mislina Mustafa yang turut berlakon sebagai isteri tahanan ISA.

Bilik Sulit sebuah pementasan yang memaparkan kisah soalsiasat tahanan ISA oleh pihak polis berdasarkan kisah benar dan testimoni tahanan ISA sendiri.

Dengan prop dan tatacahaya yang sederhana serta set yang ringkas, Bilik Sulit sebenarnya sebuah drama kata-kata (word play), empat orang sebagai pegawai polis yang mengendalikan soalsiasat, si tahanan ISA dan suara latar isteri tahanan sendiri sudah cukup menggambarkan bagaimana proses soalsiasat polis terhadap tahanan ISA. Pengalaman soalsiasat terhadap tahanan ISA dan penderaan mental dan fizikal bukanlah suatu yang asing, sekurang-kurangnya itulah yang dapat disimpulkan selesai pementasan selama sejam ini!

Bilik Sulit dipentaskan selama empat malam bermula 20 hingga 23 Disember 2008, juga bakal dipentaskan di Pulau Pinang bermula 9 Januari 2009.
 

RAKYAT DULU UNTUNG KEMUDIAN

Kulit buku 'Rakyat Dulu Untung Kemudian'

Tiba-tiba sahaja saya semacam diserang sakit jantung. Alhamdullillah setakat ini, saya masih dianggap sihat ataupun ‘clean bill of health’ tetapi ura-ura sebuah konglomerat berkaitan Kerajaan berhasrat mengambil alih Institut Jantung Negara (IJN) dengan membeli 51% kepentingan di dalam IJN, boleh menyebabkan siapa sahaja diserang sakit jantung serta merta.

Ular yang menyusur akar tidak mungkin kehilangan bisanya!

Agaknya konglomerat berkenaan nampak duit sahaja setiap kali tuan-tuan besarnya mengurut dada, sama seperti mengepam minyak dari pokok kelapa sawit – tiada yang mustahil, dengan hubungkait yang macam isi dengan kuku.

Saya percaya pengumuman YAB Timbalan Perdana Menteri tepat pada masanya dan amat berharap bahawa pengambilalihan ini bukan sahaja akan ditangguhkan malah akan dibatalkan sama sekali. Syabas dan tahniah di atas pendirian Kerajaan berhubung perkara ini.

Saya kurang yakin bahawa isu penswastaan IJN sebenar-benarnya terjadi atau bakal terjadi tetapi sekadar ‘test water’ sahaja oleh pihak Kerajaan bagi mengukuhkan moto ‘tradisi membela rakyat’ oleh Kerajaan Barisan Nasional. Justifikasi kepada kepercayaan ini ialah bahawa konglomerat yang diuar-uarkan untuk mengambilalih 51% kepentingan dalam IJN sebenarnya bukanlah pihak yang paling berkelayakan, malah ada pihak lain yang lebih berkelayakan, yang telah sedia teruji dan mempunyai rangkaian hospital di seluruh negara – KPJ Healthcare milik Johor Corporation (JCorp)! Mungkin strategi menghadapi pilihanraya kecil di Kuala Terengganu yang ditulis skrip dan lakonlayarnya oleh ‘spin doctor’ kerajaan Barisan Nasional.

Kepada konglomerat berkenaan, saya cadangkan kalau sebenarnya memang berhasrat untuk melaksanakan tanggungjawab sosial kononnya selepas pengambilalihan tersebut eloklah dermakan sahaja sejumlah wang, yang mungkin telah dikira sebagai laba jika pengambilalihan tersebut berjaya dilaksanakan misalnya – RM50 juta setahun selamanya, agar kemudahan rawatan jantung kepada rakyat biasa seperti saya akan lebih menjadi murah! Amin!

Buku ‘Rakyat Dulu Untung Kemudian – Hak Komuniti-komuniti Malaysia Dalam Pembangunan’ adalah terjemahan dari buku bahasa Inggeris yang bertajuk ‘People Before Profits:The Rights of Malaysian Communities in Development’. Buku ini yang menghimpunkan kertas-kertas kerja dalam satu persidangan nasional dengan tajuk yang sama.

Catatan Kaki : Sewaktu kemelut IJN ini, saya segera mencari buku ‘Rakyat Dulu Untung Kemudian’ yang telah saya miliki dan baca dalam koleksi saya – sekadar mengingatkan kembali tanggungjawab sesebuah Kerajaan sesuai dengan moto – ‘Tradisi Membela Rakyat’. Buku ini terbitan tahun 2003 dan masih terdapat di pasaran, juga boleh didapati di www.gerakbudaya.com
 

RAKAMAN KEMBARA

Saya baru sahaja kembali dari kembara ke negeri Melaka Bandaraya Bersejarah, menghabiskan 1600 minit menjadi pendengar dan pengamat yang setia. Saya sengaja tidak mahu menulis mengenai kembara ini atas sifat peribadi, namun rakaman dua gambar di bawah mungkin akan lebih bermakna jika dapat dikongsi untuk manfaat semua. Renungkanlah!


(Kain rentang ini saya temui dalam perjalanan balik di Pekan Masjid Tanah)

(Ini ditemui di Pantai Tanjung Bidara - surau pelancong (an)nya ? lebih layak dipanggil tandas!)

 

MENCARI KEBAHAGIAAN 2


Petikan dari ruang BUKA MINDA dalam Majalah MIDI, 15 Dis 2008. Siapakah orang yang bahagia:-

Orang yang dapat sediakan waktu untuk MEMBACA kerana
ia SUMBER HIKMAH

Orang yang dapat sediakan waktu TERTAWA kerana
ia MUZIK JIWA

Orang yang dapat sediakan waktu untuk BERFIKIR kerana
ia POKOK KEMAJUAN

Orang yang dapat sediakan waktu untuk BERAMAL kerana
ia PANGKAL KEJAYAAN

Orang yang dapat sediakan waktu untuk BERSENDA kerana
ia membuat kita MUDA SELALU

dan yang paling UTAMA ialah
Orang yang dapat sediakan waktu untuk BERIBADAT
kerana ia IBU SEGALA KETENANGAN JIWA

Catatan Kaki: Petikan di atas ialah yang disediakan oleh SIS dalam komennya. Terima kasih. Perkongsian yang diharap mampu memberi manfaat kepada semua.
 

BLOG, BLOGGER, PEMBACA, KOMENTAR = KAKI SAKAT

SIS : Tuan KS jarang jawap kpd komen2 peminat KS ..Jwpla sekurang2nya gembira gak hati peminat2 KS..

Salam kepada semua peminat/pengunjung/pembaca/komentar. Blog ini mengambil pendirian untuk tidak menjawab atau mengulas komen-komen dari peminat Kaki Sakat (sekurang-kurangnya pada masa ini) bagi mengelakkan polemik yang berpanjangan mengenai sesuatu isu, tujuan blog ini selain berkongsi pandangan ialah bagi mewujud budaya kritis dan berfikir di kalangan pengunjungnya, di samping menjadi wadah penambahbaikan kepada pihak-pihak berkenaan terhadap sesuatu isu yang dipaparkan.

Blog ini juga (sekurang-kurangnya pada masa ini) mengambil pendirian untuk tidak menapis dan menepis sebarang komentar yang diutarakan oleh pengunjung bagi membudayakan sikap bertanggungjawab - akauntabiliti. Blog ini tidak mampu menggembirakan semua pihak kerana maksud dan idea blog ini berhala tuju yang positif. Selamat menikmati! Jutaan Terima Kasih di atas sokongan semua.
 

APA KHABAR PARA IMIGRAN?

Cuba renungkan kehidupan sekeliling kita: di rumah kita mungkin ada pembantu rumah dari kalangan warga asing mungkin dari Indonesia, Filipina atau mungkin juga pembantu rumah dari Negara China.

Bila kita pergi mengisi minyak kenderaan, kita berhadapan lagi dengan pembantu jualan atau pam atendan, juga dari kalangan warga asing – mungkin Indonesia, Nepal atau Bangladesh.

Melangkah sahaja ke pejabat, hatta pejabat Perdana Menteri sekali pun, lihatlah siapa yang melakukan kerja-kerja pembersihan – mungkin dari kalangan warga Indonesia dan Bangladesh.

Bila kembali dari kerja dan melihat taman penuh dengan lalang yang meninggi, kita pun usahakan si pemotong rumput – siap dengan kad nama: YOUSOUP SULTAN – PUTUNG ROMPUT- warga Pakistan!

Apabila keluar dari pejabat untuk sesekali menjamu kari kepala ikan, kita pun mungkin menambah kantung si mamak yang menggaji pekerja-pekerja dari India pula.

Senarainya mungkin berterusan: si tukang gunting, pekerja di pasaraya besar, pekerja binaan, pekerja ladang, pelayan restoran, pelayan restoran makanan segera, jurujual produk ICT di Low Yat, dan senarai ini mungkin panjang.

Menurut statistik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, hampir dua peratus daripada populasi dunia adalah pendatang, maknanya hampir 150 juta populasi dunia adalah pendatang atau yang berhijrah ke negara lain.

Di Malaysia sahaja (maklumat seperti pada 31 Mac 2008), pendatang asing dianggarkan berjumlah hampir dua juta orang dari lebih sepuluh buah Negara: Bangladesh, Kemboja, India, Indonesia, Myanmar, Nepal, Pakistan, Filipina, Sri Lanka, Thailand, Vietnam. Dan jika bagi setiap pendatang sah ada terdapat seorang lagi pendatang asing tanpa izin, bayangkanlah berapakah bilangan pendatang asing di negara kita.

Pada 18 Disember pada setiap tahun, Hari Imigran Antarabangsa di raikan selepas resolusi mengenainya diterima oleh Perhimpunan Agung Bangsa-bangsa Bersatu, pada tahun 1990. Pada tarikh ini setiap tahun sumbangan dan peranan pendatang diiktiraf sebagai memperkaya aspek sosial, ekonomi dan budaya merentas sesebuah negara. Melalui kerja keras, dedikasi dan kreativiti, mereka menjadi jambatan menyatukan budaya negara asal dan negara destinasi penghijrahan mereka.

Soalnya berapa lama kita mampu bertahan membangun negara dengan kebanjiran warga asing di negara kita. Peranan dan sumbangan warga asing di negara kita sukar untuk dinafikan, Kerajaan juga telah bersedia dengan perancangan jangka panjang dan bersepadu bagi meminimakan pendatang asing pada tahun-tahun mendatang. Cuba renungkan kehidupan sekeliling kita! Apa khabar para imigran?
 

MENCARI KEBAHAGIAAN


(Datuk Dr. Hashim Abdul Wahab (kanan) ketika berusia 65 tahun (2003) menyertai acara berbasikal demi keamanan Peace Through Tourism: 2003 Seoul Beijing Bicycle Tour)

Apa lagi yang diimpikan oleh seseorang insan, apabila usia telah menjangkau hampir tujuh dekad. Apatah lagi apabila kerjaya dan keluarga telah mencapai tahap kemuncak – ‘pinnacle of life’ – hanyalah mencari dan mengecapi kebahagiaan.

Minggu lepas, sahabat editor saya – Sdr. Rozlan Mohd Noor (http://www.celikhuruf.blogspot.com/) memberikan senaskhah buah tangan terbarunya – Mencari Kebahagiaan karya Hashim Abdul Wahab. Tajuk kecilnya – ‘Memoir seorang ahli pertanian, pengurus penyelidik, pengembara, pekerja kemasyarakatan dan pemimpin korporat’.

Apabila saya pulang bercuti sempena Hari Raya Aidil Adha yang lalu, saya terus menghayati tulisan dalam buku terbitan Utusan Publications & Distributors (http://www.mybooks.com.my/) setebal 414 halaman. Terbahagi kepada 14 bab yang tidak sekata kerana ada bab yang agak panjang misalnya Bab 8 – Perjalanan ke Luar Negara, mencakupi hampir satu perlima buku ini!

Sewaktu membelek buku ini ketika diberikan oleh sahabat tadi, hati saya terdetak, siapa Hashim Abdul Wahab, apabila melihat saya berkerut memikirkan siapakah penulisnya, semacam tahu riak ingin tahu saya, sahabat saya mencelah – bacalah dulu!

Menyelami buku ‘Mencari Kebahagiaan’ selama beberapa hari cuti saya di utara, saya terus terpaku menghabiskan setiap halaman, malah mengulang baca sesetengah halaman kerana keperincian butirannya misalnya dalam Bab 8 – Perjalanan Ke Luar Negara, semacam mengikuti taklimat dari pemandu pelancong, tulisan penulis ini begitu mengujakan apatah lagi bagi mereka yang tidak pernah melawat negara-negara asing.

Urutan kisah dalam ‘Mencari Kebahagiaan’ memang dalam kronologi yang tersusun, dari kelahiran sebagai anak kampung yang ‘nakal’, menjadi pelajar di Kolej Sultan Abdul Hamid, menjadi siswa di Kolej Pertanian Serdang (kini UPM), melanjutkan pelajaran ke luar negara, memulakan kerjaya dalam bidang pertanian, menjadi pentadbir, sebagai Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, dan akhirnya sebagai pemimpin korporat. Kisah manis beliau juga disulami dengan minat beliau terhadap kerja-kerja kemasyarakatan, pengembaraan di samping penglibatan dalam menyuburkan ‘senaman minda’ – aspek intelektualisme.

Menyelusuri perjalanan hidup Datuk Dr. Hashim Abdul Wahab, memang mengasyikan kerana selesai membacanya keinginan saya untuk menemui penulis ini membuak-buak, bukan kerana dirinya tetapi tulisannya yang mampu menjadi cermin dirinya seolah-olah kita telah mengenali peribadi beliau, seorang yang lembut, berwawasan, mencintai alam sekitar dan sentiasa mahukan yang terbaik untuk dirinya mahupun orang bawahannya - selepas menamatkan halaman terakhir buku ini!

Alam adalah guru yang terbaik – itulah kesimpulan saya selesai membaca ‘Mencari Kebahagiaan’- syabas dan tahniah kepada penulisnya – Datuk Dr. Hashim Abdul Wahab kerana memoirnya yang mampu memberikan dimensi baru kepada pertanian!
 

BOLA SEPAK KITA, MARUAH KITA!

Saya bukanlah peminat nombor wahid permainan bola sepak khususnya yang melibatkan penyertaan negara ataupun pasukan tempatan. Namun begitu selepas SUKOM 98, dan hampir enam tahun selepas itu, saya berjiran dengan Kompleks Sukan Bukit Jalil, hampir semua perlawanan besar yang berlangsung di Stadium Bukit Jalil akan menjadi kemestian bagi saya anak beranak. Siapa yang boleh lupa perlawanan pasukan Malaysia menentang Manchester United atau perlawanan akhir Piala Malaysia saban tahun. Malah perlawanan akhir My Team menentang Pasukan Pilihan Malaysia juga tidak terlepas dari radar tontonan kami.

Namun sejak dari anak sulong saya boleh berjalan sehingga sekarang dia berada di Tingkatan 1, seingat saya, ranking bola sepak negara sentiasa menurun jika adapun macam yoyo, kejap naik kejap turun, yang banyak adalah turunnya ranking kita.

Tulisan ini bukanlah bertujuan untuk menuding jari untuk mencari kesalahan pihak mana pun, tetapi saya amat bersimpati dengan birokrat persatuan-persatuan bola sepak kita, yang sering dirundung igauan mengenai mutu bola sepak di negara ini.

Ranking bola sepak Malaysia bagi bulan November 2008 ialah di tangga 151 naik 9 anak tangga dari kedudukan pada bulan Oktober 2008. Jiran terdekat, Singapura menduduki tangga 136 dan turun 4 anak tangga dari kedudukan bulan Oktober 2008. Rujukan: http://www.fifa.com/worldfootball/ranking/

Dalam statistik FIFA, hanya tiga rekod (kalau boleh dianggap rekod) yang tercatat dalam sejarah FIFA. Ini petikan rekod/statistik FIFA mengenai Malaysia.

Pertandingan Piala Dunia bawah 20 tahun - 1997
Pertandingan Futsal Piala Dunia - 1996
Pertandingan Bola Sepak Olimpik - 1972

Bola sepak negara bukan sahaja memerlukan suntikan kepimpinan muda yang telah pun ada melalui penglibatan antara lain seperti, Sdr. Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang kini memegang jawatan Timbalan Presiden FAM, tetapi saya amat yakin penglibatan peringkat tertinggi kepimpinan negara mampu merubah suasana dan senario bola sepak negara kita, mungkin YAB Perdana Menteri sendiri boleh diajak untuk melakukan lonjakan bagi mengembalikan maruah bola sepak negara.

Takkan kita perlukan Kementerian Bola Sepak Malaysia untuk menaikkan mutu bola sepak di negara ini. Apakah kita memerlukan seorang Senator dari kalangan ahli sukan ataupun pemain bola sepak di Dewan Negara bagi menjamin mutu bola sepak negara, mungkin YB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob – Menteri Belia & Sukan yang proaktif mampu melakukan sesuatu demi bola sepak negara. Malaysia Boleh!
 

BLOG DAN PENDEMOKRASIAN DI MALAYSIA

Sebelum Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12), para blogger mendominasi pelbagai gelaran sinis kerana pandangan dan kritikan mereka terhadap Kerajaan. Malah menurut Sdr. Rocky (Ahiruddin Attan) bahawa blogger yang dahulunya hanya dari kalangan anti Kerajaan, kini diseimbangi juga oleh para penyokong Kerajaan, siapa yang menyangka, Datuk Seri Dr. Khir Toyo, Datuk Seri Ali Rustam dan Tan Sri Mohamamad Mat Taib (sekadar beberapa nama) berubah menjadi blogger juga!


Menurut Dr. Wan Zawawi Wan Ibrahim seorang pengkaji dan antropolgis sosial, fenomena ‘blogging’ telah merubah senario politik di Malaysia, sekurang-kurangnya itulah yang dirumuskan oleh mereka yang memberikan pelbagai gelaran sinis kepada para blogger. Malah para blogger dianggap ‘penyumbang’ kepada kekalahan Barisan Nasional dan ‘penghijrahan’ empat negeri di bawah kekuasaannya ke tangan pembangkang.


June-E Tan, penulis bersama buku ini dengan Dr. Wan Zawawi telah menjalankan kaji selidik mengenai fenomena ‘blogging’ sebagai usaha memahami peranan blog sebagai media baru. Kaji selidik ini yang mencakupi pelbagai dimensi : siapa yang berblog, mengapa, latarbelakang pendidikan, tabiat membaca, masa yang dihabiskan untuk aktiviti berblog, dan pelbagai lagi.

YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Politik YAB Menteri Besar Selangor merangkap ADUN Seri Setia telah menyampaikan ucaptama dan melancarkan buku – ‘Blogging and Democratization in Malaysia – A New Civil Society in the Making’. YB Nik Nazmi yang mengenali Internet ketika berusia 15 tahun dan mula mempunyai blognya sendiri pada usia 21 tahun memang mengakui Internet dan Blog adalah wadah utama dalam kempen Pilihanrayanya pada PRU 12 malah juga dimanfaatkan sebaiknya oleh parti-parti pembangkang di Malaysia.

Majlis pelancaran buku ‘Blogging and Democratization in Malaysia – A New Civil Society in the Making’ terbitan SIRD (Strategic Information and Research Development Centre) dan forum 'New Media & Democratization in Malaysia' telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur/Selangor pada 5 Disember yang lalu - walaupun hanya dihadiri oleh kurang daripada 30 orang - where only less than 30 people turned up, which was good for the butterflies in my stomach but not so good for the forum in general. I sat at the panel and felt secretly mischievous as the whole thing felt so much like a fake stage, a rehearsal, because of the empty hall (http://junex2.blogspot.com/).

Catatan Kaki: Saya juga tidak mendapati teman-teman berblog khususnya yang berblog dalam Bahasa Malaysia, mungkin sibuk kot. Apa pun aktiviti berblog sudah semacam diiktiraf oleh Kerajaan mungkin lepas ini Kementerian Belia & Sukan menerusi Menteri nya yang proaktif boleh memperkenal Rakan Muda Blog tambahan kepada Rakan Muda Siber! Buku terbitan SIRD setebal 153 halaman berharga RM25.00 boleh didapati di http://www.gerakbudaya.com/
 

SALAM AIDIL ADHA

Gambar diambil dari: http://www.breastfeedingproject.com

Salam Aidil Adha. Salam Hari Raya Korban. Salam Hari Raya Haji. Walauapapun cara pengucapannya.

Saya mengharapkan semoga Aidil Adha ini akan lebih menginsafkan diri saya untuk sentiasa menghargai pengorbanan orang-orang di sekeliling saya tanpa mengira agama, bangsa dan keturunan, hubungan persaudaraan, kenalan mahupun musuh (sekiranya ada), pengkagum mahupun pengkritik (Alhamdulillah).

Aidil Adha ini moga akan sentiasa menginsafkan kita semua terhadap pengorbanan semua pihak dari yang kita kenali sehingga yang tidak pernah kita temui (mungkin doa-doa orang jauh, doa-doa orang Islam kepada Islam yang lain). Seperti Obama berkorban untuk menempuh halangan ke persada kepimpinan di Rumah Putih atau Osama yang terus berkorban demi memastikan Islam terus bermaruah! Walauapapun, Selamat Menyambut Aidil Adha dan Selamat Menjalani Ibadah Korban.
 

KHABAR DARI MERSING

Minggu lepas, 1 - 3 Disember, saya telah berkesempatan melakukan lawatan kerja dan peribadi ke Mersing. Selain melawat pusat-pusat pendidikan di daerah ini antaranya: MRSM Mersing, Institut Latihan Perindustrian Mersing (ILP) dan sekolah-sekolah di sekitarnya di samping Pejabat Pelajaran Daerah Mersing saya juga berkesempatan melawat tempat-tempat menarik sekitar daerah Mersing.

Pusat Pumuliharaan Burung Kuang merupakan satu projek yang memfokuskan kepada pembiakan spesis burung kuang. Terdapat lima jenis burung kuang yang dibiakkan di sini iaitu: Kuang Raya, Merah Mata, Merak Pongsu, Ayam Pegar dan Merak Hijau.


Sungguhpun Pusat ini ditutup kepada umum pada masa ini khususnya pada awal Disember kerana proses pengeraman burung-burung kuang yang akan terganggu. Namun, banyak maklumat disampaikan oleh para petugas di pusat ini mengenai habitat ini. Terima kasih kepada semua petugas khususnya En. Fauzi.

Mersing memang terkenal dengan pantai-pantainya yang indah. Pantai Air Papan yang sering menjadi tarikan para pengunjung tidak gagal menggamit kerinduan saya terhadap pantai walaupun lebih 15 KM dari bandar Mersing.


(Pantai Air Papan - 15 KM dari Bandar Mersing)

Di samping menyelusuri Bandar Mersing, saya juga berkesempatan mengunjungi pekan kecil Jemaluang, tetapi yang lebih memeranjatkan saya ialah pemandangan satu projek terbengkalai di kiri jalan dalam perjalanan ke pekan Jemaluang. Malah tinjauan saya, ini ialah Projek Perumah Polis Mersing dan telah beberapa ketika terbengkalai atau masih tidak digunakan. Mungkin ada sesiapa yang nak jawab, tolong angkat tangan!









Mersing terkenal dengan yang indah dan yang jelek tentulah tidak menyumbang, apatah lagi pada ketika YAB Perdana Menteri melaungkan penambahbaikan sistem penyampaian awam. Mungkin Menteri berkenaan patut melawat kerana tidak sampai 70 KM dari Bandar Kota Tinggi, Kuang! Kuang! Kuang!
 

ALAHAI TABUNG HAJI!


(Struktur syarikat Tabung Haji - sumber : www.tabunghaji.gov.my)

Sejak penubuhannya pada tahun 1966, Tabung Haji yang diilhamkan oleh Prof. DiRaja Ungku Aziz pada tahun 1963, telah berjaya membantu rakyat negara ini untuk menunaikan ibadat haji ke Mekah.

Tetapi apa yang mengecewakan ialah matlamat asal penubuhan Tabung Haji – dahulunya dikenali sebagai Lembaga Urusan Tabung Haji (LUTH) dan kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji atau Tabung Haji, ialah kegagalan memastikan tambang haji lebih kompetif berasaskan ‘economies of scale’ – makin ramai yang menunaikan haji berdasarkan populasi sesebuah negara misalnya pada tahun ini lebih 27,000 rakyat kita menunaikan haji melalui Tabung Haji, sepatutnya menjadi lebih murah dan bukan sebaliknya, namun hal ini tidak berlaku dan saban tahun Tabung Haji dilaporkan terpaksa menanggung subsidi bagi memastikan urusan haji para jemaah berjalan lancar.

Perdana Menteri sudah bertukar sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman sehinggalah ke zaman Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi. Menteri yang bertanggungjawab terhadap urusan haji juga telah ramai bertukar dengan yang terbaru YB Dato’ Dr. Ahmad Zahid Hamidi, malah ketika zaman YB Datuk Abdullah Md. Zin, sebuah jabatan khusus berhubung urusan haji telah ditubuhkan – JAWHAR (Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji) pada 1 Ogos 2004. JAWHAR yang ditubuhkan ini ekoran cadangan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa pembentukan kabinet pada 27 Mac 2004, selepas kemenangan besar Barisan Nasional.

Malah Pengerusi Tabung Haji juga telah ramai yang memegang tampuknya seperti Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman yang pernah memegang jawatan Pengerusi Tabung Haji di samping nama-nama antara lainnya seperti Tan Sri Zainol dan Datuk Hanafiah Ahmad.

Pada tahun haji 2002, kenaikan juga berlaku dengan pelbagai alasan seperti peningkatan tambang kapal terbang dan kos penempatan jemaah haji di Tanah Suci.

Pada mesyuarat 1 Ogos 2001 lepas, kabinet bersetuju dengan cadangan Tabung Haji menaikkan kadar mengerjakan haji daripada RM8,585 seorang kepada RM9,445 untuk jemaah Semenanjung, RM9,530 (Sarawak) dan RM9,575 (Sabah).

“Kenaikan ini adalah sederhana dan berdasarkan penelitian yang terperinci setelah mengambil kira masalah yang akan dihadapi oleh bakal jemaah dan mengambil kira tanggungjawab Tabung Haji” - Senator Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin, Menteri Jabatan Perdana Menteri

(Utusan Malaysia - 16 Ogos 2001)


Tabung Haji pernah menaikkan perbelanjaan mengerjakan haji pada 1998 iaitu daripada RM6,000 bagi jemaah Semenanjung kepada RM7,831, jemaah Sarawak pula dari RM6,150 kepada RM8,051 manakala jemaah Sabah dari RM6,310 kepada RM8,211.

Dengan pendeposit berjumlah hampir 5.67 juta, dan pelaburan di pelbagai sektor khususnya perladangan, pembangunan hartanah, pembinaan, teknologi maklumat, perkhidmatan haji dan umrah, dan pengeluaran dan pengedaran makanan halal - adalah sukar mempercayai bahawa kos mengerjakan haji meningkat saban tahun! Dan yang agak malang ialah selain peningkatan tersebut, Tabung Haji masih lagi berterusan memberikan subsidi pada setiap tahun di samping pelbagai sumbangan barangan oleh korporat melalui Program Sahabat Korporat Tabung Haji.

Adalah agak sukar mempercayai setelah Tabung Haji berusia lebih empat dekad, dan telah membantu berjuta umat Islam di negara ini memenuhi rukun Islam yang kelima itu masih tidak dapat memikirkan faktor meminimakan kos mengerjakan haji. Seharusnya cabaran ini disahut oleh pengurusan Tabung Haji!

Dilaporkan bahawa kos mengerjakan ibadat haji bagi musim 1430 pula akan meningkat sebanyak RM2600 menjadikan kosnya ialah RM11500.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata bahawa tiada jaminan bahawa kadar tambang haji akan kekal seperti pada musim ini berikutan kenaikan kos penginapan serta bahan makanan di Mekah dan Madinah.

"Dalam pada itu pula hasil pelaburan TH dalam perladangan sawit berkurangan berikutan harga minyak sawit turun, syukur Alhamdulillah bagi tahun ini, harga minyak sawit yang tinggi sebelum ini membolehkan TH berupaya mengekalkan kadar wang naik haji bagi musim ini dengan mengeluarkan subsidi hampir RM100 juta, dengan harga minyak sawit turun sekarang, agak mustahil bagi TH mengeluarkan subsidi sebanyak itu bagi tahun depan,". Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.


(Utusan Malaysia -30 Nov 2008)

Apakah dengan kenaikan yang kerap, monopoli hak eksklusif Tabung Haji sebagai pengendali tunggal urusan haji di negara ini, patut dikaji semula?

Mungkin YB Dato’ Dr. Zahid Hamidi, mampu merubah senario pengurusan Tabung Haji pada masa ini. Beliau pernah menjadi ahli korporat malah pernah menjadi Pengerusi beberapa syarikat tersenarai di samping pernah menjadi Pengerusi Bank Simpanan Nasional. Perlu ada keazaman politik kot!
 

HARI AIDS SEDUNIA - KHUTBAH JUMAAT


(Petikan Khutbah Jumaat - 28 Nov 2009, teks disediakan oleh JAKIM)


Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua memperkasakan takwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat.

Sempena dengan sambutan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember 2008 ini, maka mimbar ini akan membicarakan khutbah bertajuk "ISLAM PRIHATIN PADA HIV/AIDS".

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

AIDS ialah Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit yang disebabkan oleh virus HIV melalui pelbagai cara seperti perhubungan seks, perkongsian jarum suntikan dan pemindahan darah. Mereka yang dijangkiti HIV positif dikatakan pesakit AIDS.

Di Malaysia, kes pertama HIV/AIDS dikesan pada tahun 1986, dan sehingga 2007 terdapat seramai 80,938 orang pembawa HIV dan 13,635 orang penghidap AIDS direkodkan. Sehingga kini seramai 11,539 orang penghidap AIDS telah meninggal dunia dan kira-kira 72% daripada mereka adalah orang Islam. Purata sehari pembawa baru HIV yang dikesan ialah 13 kes sehari, AIDS pula 3 kes sehari dan yang melibatkan kematian 5 kes sehari.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat ini perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah dikenalpasti menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 57.39% dan diikuti perhubungan seks dan melalui jangkitan ibu hamil sebanyak 32.9% dalam penyebaran HIV/AIDS. Pada masa ini penawar penyembuhan HIV/AIDS, belum ditemui.

Penghidap HIV/AIDS sama halnya dengan pesakit-pesakit yang lain seperti pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain penyakit kronik yang mengharapkan bantuan dan simpati orang ramai. Walau bagaimanapun berdasarkan pemerhatian masih terdapat di kalangan masyarakat yang menganggap penghidap HIV/AIDS seorang yang sangat hina dan menjijikan sehingga kehidupan mereka dipinggirkan.

Apa yang menyedihkan kita, terdapat laporan penghidap HIV/AIDS yang beragama Islam ini mencari perlindungan di pusat-pusat jagaan bukan Islam dan meninggal dunia di situ. Persoalan besar timbul ialah apakah pandangan jijik ini selari dengan ajaran Islam?.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa bersangka buruk dan memandang hina kepada orang yang dalam keadaan sakit sangat dibenci di dalam Islam. Prasangka buruk terhadap pembawa HIV/AIDS menyebabkan mereka menyisihkan diri daripada masyarakat dan mencari perlindungan di tempat yang lain.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia. Dalam usaha menunjukkan Islam adalah agama rahmat, maka Islam menyuruh umatnya agar sentiasa menghormati sesama insan dan menolong mereka yang mengalami musibah. Prinsip 'menolong dalam hal kebajikan' sangat dituntut oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 71:

Maksudnya: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Pada masa ini terdapat 22 buah pertubuhan sukarela bukan Islam (NGOs) yang menjaga dan mengambil berat terhadap kebajikan penghidap HIV/AIDS ini. Manakala pertubuhan sukarela Islam yang prihatin tentang isu yang sama adalah 3 buah sahaja. Jika orang bukan Islam bersungguh-sungguh bersifat prihatin dan ihsan, mengapa pula umat Islam tidak bersifat sedemikian?.

Sejajar dengan semangat ajaran Islam dan menjaga nama baik umat Islam, maka mimbar menyeru ibubapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan umat Islam sekalian bersikap prihatin membantu mereka yang menerima musibah HIV/AIDS ini agar tidak terjebak kepada akidah yang lain. Sebagai kesimpulannya, beberapa pengajaran yang dapat dipetik daripada khutbah hari ini ialah:

Islam menegah sikap memandang hina, prasangka dan menindas kepada mangsa HIV/AIDS demi masa depan mereka;
Islam menuntut kita mengasihi insan lemah dan menghulurkan bantuan setiap masa; dan
Islam menuntut tanggungjawab bersama dalam menegakkan kebenaran dan meruntuh kemungkaran.

Mengakhiri khutbah mimbar ini menyeru, marilah kita bersama-sama menyemai perasaan kasih sayang dan memberi layanan secara adil kepada individu yang dijangkiti HIV/AIDS supaya mereka dapat menjalani kehidupan sepertimana insan-insan yang lain; di samping berusaha bersama-sama mencegah anggota masyarakat daripada ancaman dadah dan AIDS.

 

CATATAN PERJALANAN I


Saya temui lebih 20 buah 'bill board' seperti di atas dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu. Mungkin lepas ini, saya mungkin mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu untuk memasang 'bill board' yang mungkin berbunyi lebih kurang seperti ini: Kalau nak pe(r)juangkan Bahasa Melayu masuk UMNO ataupun yang berbunyi seperti ini: Kalau nak pe(r)juangkan Melayu masuk UMNO. Harap-harap dapat sokongan dari Kerajaan Negeri. Renungkan.

(Ini pula ialah laporan yang memungkinkan pemasangan 'bill board' seperti di atas, dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia bertarikh 11 Februari 2008)

Abang Mustapa Ali masuk UMNO

MARANG 10 Feb. - Kedudukan Pas di Terengganu terus goyah apabila semakin ramai penyokongnya hilang keyakinan terhadap perjuangan Islam yang dilaungkan sebelum ini.
Terbaru, parti itu menerima tamparan hebat apabila abang kepada Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Mustapa Ali mengambil keputusan menyertai UMNO setelah kecewa dengan tindakan-tindakan pemimpin Pas yang tidak mencerminkan perjuangan Islam sebenar.

Zakaria Ali, 63, dari Alur Tuman bersama 20 penyokong Pas berikrar menyokong UMNO setelah berasa Pas telah lari daripada matlamat asal untuk memperjuangkan Islam dan tidak mampu membela kebajikan rakyat di negara ini.
Borang penyertaan Zakaria dan penyokong Pas yang lain ke dalam UMNO diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh pada majlis Penutup Perkampungan Hadhari Peringkat Daerah Marang di sini malam tadi. Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Abdul Rahman Bakar selaku Ahli Parlimen Marang dan Ketua UMNO Bahagian Marang. Zakaria ketika ditemui selepas itu berkata, Pas tidak berupaya untuk mentadbir sebuah negara kerana parti serta diri mereka pun tidak mampu ditadbir mengikut cara Islam.

''Kita patut mengekalkan pemerintah yang ada pada masa ini kerana hanya mereka yang mampu membela nasib rakyat.
''Jangan kita biarkan kerajaan yang ada sekarang dimusnahkan oleh mana-mana pihak dan beri mereka (BN) kepercayaan untuk terus memenangi pilihan raya akan datang," ujarnya.

Katanya, parti Pas tidak akan mampu mentadbir sebuah negara serta melaksanakan kesemua perkara yang dilakukan oleh BN selagi pemimpinnya tidak memperbaiki kepincangan dan memperbetulkan tindakan-tindakan mereka mengikut kehendak Islam sebenar.

Zakaria yang merupakan seorang pesara guru berkata, beliau berjaya menyekolahkan kesemua enam anaknya sehingga ke universiti hasil pelbagai dasar dan peluang pendidikan yang disediakan oleh kerajaan BN untuk membantu golongan memerlukan sepertinya.

''Jika kita lihat, kerajaan pada masa ini banyak membantu golongan miskin seperti anak-anak nelayan dan petani dengan menyediakan bantuan persekolahan sehingga ramai di kalangan mereka mampu menjadi doktor, arkitek dan peguam.

''Negara juga kini mempunyai sistem perbankan Islam serta Tabung Haji yang membantu meningkatkan ekonomi umat Islam," ujarnya yang merupakan anak kedua daripada enam beradik manakala Mustapa merupakan anak ketiga.

Menurut Zakaria, beliau yang membuat pemerhatian sejak tahun 1969 berharap Pas akan berubah, namun kecewa kerana perkara itu tidak pernah berlaku. Ketika ditanya sama ada Mustapa mengetahui penyertaannya ke dalam UMNO, katanya, hubungan mereka adik beradik tidak begitu rapat dan jarang berhubungan.

Mengenai anak-anaknya, jelas beliau, ia terserah kepada mereka untuk membuat keputusan sama ada menyokong UMNO atau Pas apabila tamat belajar nanti.
''Saya berasa mereka cukup bijak untuk menilai sendiri kerajaan mana yang lebih baik untuk mentadbir negara," ujarnya.
 

PALESTIN, OH PALESTIN!

"Saya ingin menyampaikan sanjungan kepada semua rakyat Palestin dalam perjuangan mereka untuk hidup bebas dan bermaruah dalam sebuah negara yang dapat mereka panggil negara sendiri"..
YAB Dato' Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi - Perdana Menteri Malaysia
"Tanpa tanah dan tanpa air, manusia sukar hidup di dunia ini. Kerana inilah sejak dahulu hingga hari ini, tanah dan air sering menjadi punca peperangan. Rakyat Palestin, misalnya, sanggup mati untuk mempertahankan tanah mereka, walaupun seinci, atau untuk mendapatkan semula tanah yang telah dirampas oleh Israel, sama ada melalui peperangan ataupun melalui taktik dan muslihat lain yang lebih halus"

Y Bhg. Dato' Dr. Hassan Ahmad - Ketua Eksekutif, Yayasan Karyawan

Selama enam dekad, rakyat Palestin masih mencari-cari tanah tumpah darah mereka, selepas diambil oleh Israel pada tahun 1947. Israel lahir pada tahun 1948, namun sehingga kini rakyat Palestin terus tanpa bumi kelahiran mereka! Dan warga dunia masih bernada sama: kasihan, kasihan.



Dan kelihatannya Israel semacam lebih berkuasa dari Pertubuhan Bangsa-bangsa (Tidak) Bersatu (PBtB), saya kira sewajarnya kita tambahkan perkataan 'tidak' sesuai dengan ketidak pedulian dan ketidakberdayaannya terhadap rintihan dan tangsian lebih 8 juta rakyat Palestin.

Palestin mempunyai kedudukan yang istimewa dalam hati setiap orang Islam. Dalam al-Quran, bumi Palestin ini dianggap suci dan penuh barakah kerana terdapatnya Masjid al-Aqsa, sebuah masjid yang menjadi kiblat pertama untuk orang Islam dan merupakan masjid yang ketiga paling suci bagi umat Islam. Di bumi ini jugalah peristiwa Isra’ & Mikraj berlaku, di mana Nabi Muhammad SAW melakukan pengembaraan malam yang penuh keajaiban ke langit.

Pada setiap 29 November, untuk kesekian kalinya warga dunia ditunjangi Pertubuhan Bangsa-bangsa (Tidak) Bersatu, akan sekali lagi meraikan Hari Perpaduan Antarabangsa Bersama Rakyat Palestin. Semoga pada tahun ini, dunia berjaya mengembalikan bumi Palestin kepada rakyatnya. InsyaAllah.

Catatan Kaki: Tulisan ini menyumbang kepada Tabung Aman Palestin: http://www.amanpalestin.org/
Anda juga boleh menyumbang Dana dan Sumbangan :
BIMB 12029010047880, MayBank 562263010787
Dana Pengurusan : Muamalat 12070005133717

 

DEFINISI BARU PLUS?

Menteri Kerja Raya melancarkan logo baru PLUS ketika majlis sambutan Raya,
23 Oktober 2008 yang lalu.

PLUS = PROJEK LEBUH RAYA UTARA SELATAN
PLUS = PANTANG LALU ULUR SAJA
PLUS = POTONGAN LU UNTUK SAPA?

Saya teringat pesan arwah ayah saya: HIDUP INI MESTI IKHLAS!. Entahlah tiba-tiba sahaja saya semacam berperang dengan diri saya: Ikhlaskah saya?

Flashback: Kisah laluan masuk ke Bandar Mahkota Cheras yang diarahkan buka oleh YB Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed, Menteri Kerja Raya memang meninggalkan kesan yang bukan sedikit, kerana lebih 2 bulan kemelut laluan itu menjadi punca sengketa para penduduk dan syarikat konsesinya. Tiba-tiba semacam hero Hindustan muncul YB Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed, Menteri Kerja Raya, yang baru beberapa bulan mengambil alih tugas dari hero Tamil yang tewas pada PRU ke-12 tempohari.

Fast Forward: Tiba-tiba sahaja berita gempar bahawa pengguna kenderaan persendirian Kelas 1 yang menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Elite dari 12 tengah malam hingga 7 pagi akan menerima diskaun tol 10 peratus untuk tempoh dua tahun mulai 1 Januari tahun depan. Waduh semacam ada kesedaran sosial korporat, sahaja syarikat ini.

Katanya, PLUS Expressways Berhad yang mengendalikan kedua-dua lebuh raya itu memberikan insentif tersebut bagi mengurangkan beban orang ramai yang menggunakan lebuh raya tersebut. Menurutnya, pemberian diskaun tol oleh PLUS itu mencatat sejarah kerana kerajaan tidak membayar sebarang pampasan. Dianggarkan 800,000 kenderaan menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan sehari dengan 10 peratus daripadanya pada luar waktu puncak.

Soalnya apa perlu memberikan diskaun pada waktu luar puncak. Semacam tak ikhlas aja pemberian diskaun ini.

Insentif lain pula ialah melalui program Loyalti PLUS dengan pengguna kedua-dua lebuh raya boleh menikmati rebat tol lima peratus daripada nilai terkumpul bulanan minimum RM200 bermula 1 Januari.

Soalnya berapa ramai yang akan mencapai penggunaan RM200 sebulan bagi menikmati potongan RM10.00!


Dan si Hero Hindustan tadi pun dengan bangganya bersekongkol memperlekehkan rakyat. Hidup Malaysia!
 

AKIBAT BERTOLAK ANSUR


Datuk Dr. Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kelantangan beberapa pihak daripada kalangan kelompok bukan Melayu termasuk parti-parti politik dalam soal berkaitan hak dan kedudukan orang Melayu mula menimbulkan banyak polemik. Malah selain tuntutan agar ekuiti 30 peratus kepada bumiputera dihapuskan tulisan Jawi yang dipamerkan di papan-papan tanda juga turut diancam. Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan keresahan di kalangan pelbagai pihak terutamanya orang Melayu.
Mereka mempertikaikan kenapakah kelantangan seumpama itu semakin kerap didengari biarpun sesetengah perkara yang dibangkitkan itu sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak sewajarnya diganggu-gugat. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad merumuskan bahawa segala-galanya berlaku kerana sikap orang Melayu yang suka bertolak-ansur serta kedudukan politik Melayu kini yang dilihat semakin melemah.

‘‘Kesudahannya orang lain mengambil kesempatan di atas sikap kita itu sedangkan mereka sendiri tidak mahu bertolak ansur terhadap hak dan kepentingan mereka,’’ katanya yang juga Ketua Pegawai Yayasan Karyawan Malaysia.

Oleh itu Dr. Hassan berharap pemimpin-pemimpin Melayu bertegas dalam soal yang menyentuh perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Pada pandangan beliau, ketegasan yang hendak ditunjukkan bukanlah bererti orang Melayu bersikap perkauman tetapi mempertahankan dasar kebangsaan yang digubal dalam Perlembagaan melalui persetujuan semua kaum.

Walaupun tidak terlibat dalam politik dan bukan ahli UMNO, Dr.Hassan juga turut melontar sedikit nasihat kepada ahli parti itu berhubung pemimpin seperti manakah yang mereka perlu bagi memastikan hak dan kepentingan Melayu mampu terus diperjuangkan.

MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk melihat tindakan sesetengah pihak yang semakin kerap menggugat kepentingan Melayu?



DR. HASSAN: Bangsa Melayu sejak 700 tahun dahulu telah meninggalkan satu pusaka atau warisan yang luar biasa. Saya berani mengatakan bahawa jarang ada bangsa-bangsa lain di dunia yang mempunyai begitu banyak kelebihan seperti bangsa Melayu. Pertama, satu kelebihan yang ada kepada bangsa Melayu sejak abad ke-12 ialah bahasa Melayu. Bahasa itu mampu berkembang sebagai bahasa merentas semua sempadan. Ia menjadi bahasa persuratan lingua franca bukan sahaja dalam soal perdagangan tetapi juga politik. Itulah kelebihan Melayu yang berjaya mengembangkan bahasanya bukan melalui penjajahan seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan beberapa bahasa penjajah yang lain. Kelebihan kedua ialah agama Islam yang menjadi agama sejagat dan mampu merentas sempadan serta membentuk satu tamadun ummah yang besar. Jadi warisan ini ditinggalkan kepada kita sampai ke hari ini. Tetapi persoalannya kenapa kita biarkan kaum- kaum lain yang datang dari luar budaya dan sosial Melayu seperti dari China, India dan Arab mencabar warisan ini? Oleh itu saya berpendapat cabaran yang kita hadapi hari ini bukanlah cabaran daripada orang luar tetapi daripada bangsa Melayu sendiri.


Kenapa Datuk berkata demikian?


DR. HASSAN: Saya berpendapat mulai tahun 1980-an sistem nilai Melayu berubah. Kita sudah tidak lagi mementingkan warisan kita. Orang Melayu meninggalkan semangat kebangsaan. Saya menggunakan istilah semangat kebangsaan kerana orang Melayu tidak bersikap perkauman. Semangat ini yang memberi tenaga kepada kita untuk menentang British atau Malayan Union mati selepas merdeka dan ia digantikan oleh apa yang disebut nilai baru iaitu nilai globalisasi atau globalisme. Justeru segala dasar kita disesuaikan dengan kehendak globalisasi itu. Contohnya peraturan perdagangan bebas, saya tidak percaya ada perdagangan bebas kerana ia sebenarnya dikawal oleh Amerika Syarikat (AS) melalui Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Justeru orang Melayu mesti faham dan diberitahu bahawa globalisasi ini sudah bermula sejak 400 tahun dahulu di dunia Melayu iaitu ketika kedatangan bangsa Portugis menawan Melaka. Selepas Portugis, dua lagi kuasa barat membawa proses globalisasi dalam bentuk penjajahan ke dunia Melayu tetapi bangsa Melayu sejak 1511 kekal identitinya sampai sekarang. Ini termasuklah dalam soal institusi raja-raja dan bahasa Melayu yang terkenal di seluruh dunia dan diketahui lebih 280 juta manusia. Inilah bahasa yang membentuk tamadun di rantau ini. Orang menghasilkan karya besar dalam bahasa Melayu. Ia termasuklah dalam menulis sejarah Aceh dan sebagainya. Begitu juga Islam dikembangkan dalam bahasa Melayu. Malah bahasa Melayu juga digunakan dalam mengembangkan agama lain seperti menterjemahkan kitab Injil.


Jadi saya hendak menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa berpengaruh dan dominan di kawasan ini. Ia sudah banyak mencipta ilmu justeru kenapa sekarang kita membiarkan orang lain atau keadaan memusnahkan, bahasa ini? Kalau bahasa kita dimusnahkan bangsa itu akan turut termusnah, pemikiran dan ilmu mereka akan termusnah. Akhirnya ia menjadi seperti bangsa penduduk asli di AS yang terpaksa mengikut bahasa Inggeris. Bagi saya, kalau ada kaum yang cuba hendak menggantikan atau membantah tulisan Jawi pada papan-papan tanda jalan kita mesti mencegah dan membantah secara tegas kerana ia akan memusnahkan budaya kita yang sudah bertapak sejak 700 tahun lalu. Apa salahnya tulisan Jawi? Kenapa pula kita tidak pernah membantah tulisan Cina dan Tamil?


Dalam soal ini sejauh manakah kuasa politik Melayu boleh bertindak tegas?


DR. HASSAN: Ini bukan soal mempertahankan tetapi mesti tegas mengekal dan memelihara warisan ini. Namun kita tidak melakukan itu. Contohnya, Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Kita menggantikan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, ini memusnahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu digunakan dalam subjek berkenaan ia sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Orang bukan Melayu pula tidak lagi mempersoalkan dasar ini kerana mereka tidak rugi dan tidak dipinggirkan. Tiba-tiba pemimpin Melayu memusnahkan dasar ini tanpa sebab munasabah. Ini contoh bagaimana bangsa Melayu memusnahkan budaya atau kelebihan atau kekuatan yang sudah ada kepada kita sejak berabad lalu.

(Rencana ini adalah petikan daripada akhbar Mingguan Malaysia - 02/11/2008) Untuk rencana lengkap sila kunjungi : www.hasmad.blogspot.com


 

BUDAK KELANTAN - REALITI ANAK MUDA DI KOTA?


Kita jahat pun, jangan sekat orang nak buat baik – Jaha

Menonton Budak Kelantan – buah tangan Wan Azli Wan Jusoh, pendatang baru memberi dimensi segar mengenai anak-anak Kelantan di perantauan. Saya bukanlah anak Kelantan tetapi mempunyai ramai teman samada lingkungan kerja atau kenalan santai dari kalangan anak Kelantan.

Budak Kelantan, kisah jujur (filem harus jujur!) Jaha dan Buchek di Kuala Lumpur, dua sahabat karib sekampung yang terpisah mengikut alunan rentak hidup masing-masing. Buchek (Danny X-Factor) graduan lepasan Universiti Malaya, masih menganggur dan mencari pekerjaan. Menumpang di rumah teman yang telah lama tinggal di ibukota. Lingkungan teman-temannya adalah orang yang baik dan berwawasan. Berbeza dengan Jaha yang gagal persekolahannya merantau ke ibu kota dan menjadi watak hitam penghuni kota. Tinggal bersama teman-teman sekufu yang menggelarnya ‘Mr. Amerika’. Sinis kerana tuntutan anak muda di kota: seluar Levis, baju Nike, minum Coca-Cola, MTV, rokok Marlboro ...

Gusti, daun terup, perempuan, ubat batuk, pil kuda bukanlah kelaziman anak-anak Kelantan tetapi keberanian pengarahnya memperlihatkan kebobrokan anak-anak Kelantan harus dipuji. Inilah realiti anak-anak muda (sekurang-kurangnya pada masa ini) di ibu kota tanpa mengira negeri asal mereka.

Saya kira Budak Kelantan adalah sekadar perlambangan watak anak muda di kota yang ada sisi terang dan gelapnya. Masalah pergaulan dan persahabatan di kota menjadi asas kekuatan Budak Kelantan, watak Jaha memang banyak terdapat di kota-kota besar dan adaptasi watak Jaha adalah cukup menyakinkan apatah lagi dilakonkan secara bersahaja oleh Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman.

Melalui Budak Kelantan, Wan Azli Wan Jusoh membiarkan kamera menyelusuri perjalanan hidup Jaha dan Buchek, lihat saja adegan ketika Jaha bersama Ana membeli belah dan Buchek melintasi mereka sambil tertoleh-toleh.

Difahamkan filem ini dibuat dalam bajet yang 'ciput' – RM600,000 dan dalam bentuk digital. Saya teringat satu lagi filem berbajet rendah iaitu filem Pensil buah tangan M. Subash. Mungkin FINAS dengan Pengerusinya yang baru, YB Datuk Razali boleh merubah senario penghasilan oleh pengarah-pengarah berpotensi seperti Wan Azli dan M. Subash. InsyaAllah.

p/s: Watak Buchek mengingatkan kepada sahabat saya Sdr. Rozelan (www.celikhuruf.blogspot.com) anak kelahiran Tumpat, Kelantan! Lawatan kerja ke Kelantan, InsyaAllah 18-20 November 2008.
 

INPUMA, ACHEH & TSUNAMI 2004

Petang Selasa lalu, saya menemankan seorang sahabat saya menyampaikan ceramah yang dianjurkan oleh INPUMA (Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan).

INPUMA - http://www.inpuma.org.my/ ditubuhkan pada tahun 1999 dan berpusat di Universiti Malaya. Kisah ini bukanlah mengenai INPUMA mahupun sahabat saya yang menyampaikan ceramah tersebut. Khalayak yang menjadi sasaran ceramah yang dianjurkan oleh INPUMA dan Universiti Malaya ialah Pegawai-pegawai dari Acheh. Ceramah dari 11-18 November 2008 yang mencakupi pelbagai perkara yang perlu diketahui oleh penjawat awam ini dibiaya oleh Pemerintah Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam.

Tiba-tiba sahaja semacam menonton filem benak saya mengimbas tragedi Tsunami yang melanda Acheh di penghujung 2004 lalu. Hati siapa yang tidak tersentuh melihat mangsa Tsunami 2004 samada di Acheh, Kuala Muda, Phuket, Pulau Pinang, Sri Lanka atau di Kepulauan Maldives.

Kelompok penjawat awam ini yang dihantar ke Malaysia untuk Program Latihan mengatakan mereka adalah yang bernasib baik dan ketika perbualan saya mengenai tragedi 2004, mereka tidak sudah-sudah mengucap kesyukuran kerana masih mampu bernyawa dan terselamat dari menjadi mangsa Tsunami 2004.

Tsunami dan Acheh tidak mungkin hanya menjadi lakaran sejarah rakyatnya malah di seluruh dunia kerana bahang Tsunami yang melanda Asia pada 2004 memang meninggalkan kesan, trauma dan menginsafkan bagi semua bangsa dan agama.


p/s: Kebesaran ALLAH swt - kerana biarpun dilanda Tsunami, masjid Abdul Rahman tetap utuh tersergam. Allahu Akbar!
 

OBAMA, OSAMA & 'SEMAK' - Surat Terbuka Untuk Tuan Barack Obama


Tahniah kepada tuan kerana terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44, tapi saya sedikit keliru apabila tuan dilabelkan sebagai Presiden kulit hitam yang pertama memandangkan tuan adalah kacukan hitam Kenya dan putih Kansas, tapi itu hanyalah sedikit yang lebih bersifat teknikal.

Walaupun saya hanya mengenali tuan melalui buku Dreams from My Father · The Audacity of Hope dan The Audacity of Hope, saya percaya wawasan perubahan yang tuan canangkan dalam kempen-kempen tuan mampu ditunai dan direalisasikan.

Saya secara peribadi percaya ramai rakyat dunia berharap dan mendoakan kemenangan tuan demi perubahan yang tuan janjikan kerana saya telah lebih dua dekad tertipu dengan janji manis pemimpin-pemimpin saya kerana gagal berfungsi seperti pada awalnya bak kata pepatah bahasa kami 'hangat-hangat tahi ayam'. Pernah doa panjang saya untuk mendapatkan seorang pemimpin yang dianggap 'Tuan Bersih' berakhir dengan kekecewaan yang amat tragis. Ungkapan sulongnya: 'Bekerja Bersama Saya' kini menjadi momokan dan gurauan yang mendukacitakan saya.

Kejayaan tuan malah saya yakin seluruh warga dunia beranggapan sebagai kejayaan demokrasi dunia amnya dan demokrasi Amerika Syarikat khususnya.

Adalah tidak adil bagi saya merencanakan tugas dan keutamaan tuan sebagai seorang Presiden Amerika Syarikat tetapi sayugia suka saya berkongsi dengan tuan bahawa negara tuan sentiasa dilabel sebagai 'Polis Dunia'! Harapan saya, imej sebagai 'Polis Dunia' yang tuan warisi dari Presiden tuan sebelum ini dapat diperbetul dan diperindahkan ataupun tuan boleh mencadangkan penubuhan 'Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja' seperti yang dilakukan oleh pemimpin negara kami. Suruhanjaya ini amat berkesan dengan lebih 125 cadangan yang baik namun dari segi implementasinya masih ditahap minima! Saya percaya cadangan ini tidak mungkin dianggap meniru atau menciplak idea sebuah negara kecil seperti negara kami.

Saya bukanlah seorang yang tidak berhati perut untuk melihat perubahan yang tuan janjikan dilaksanakan dalam sekelip mata, tapi sekurang-kurangnya tuan janganlah bercita-cita untuk menghapuskan Osama sehingga ke lubang cacing kerana Presiden tuan sebelum ini bercita-cita sedemikian, saya khuatir dia tentu tidak dapat melelapkan mata kerana hajat yang tidak sampai selepas lapan tahun memegang tampuk kuasa dan kerakusan.

Akhir sekali tuan, saya ingin berkongsi bahawa perkataan Syarikat dalam Amerika Syarikat membawa maksud 'Company' dan di negara kami semua perlakuan 'Syarikat' samada 'Berhad' atau 'Sdn. Bhd.' tertakluk kepada Akta Syarikat 1965! Dengan penjelasan itu harapan saya tuan tidak akan sekadar menjadi Presiden 'Syarikat' tetapi menjadi Presiden Amerika Syarikat!

Saya percaya semangat Timur tuan masih menebal memandangkan tuan pernah bermastautin di Jakarta, Indonesia- jiran serumpun kami, malah lawatan tuan ke negara-negara Timur Tengah sewaktu berkempen menguatkan lagi semangat ini. Hubungan baik Timur-Barat memang telah sedia bercambah dengan subur dalam diri tuan, memandangkan ibu bapa tuan adalah penuntut di Pusat Timur-Barat, Universiti Hawaii. Pertemuan dan perpisahan memang kerja Tuhan, tetapi apabila tuan mendapat seorang ayah baru, Lolo Soetoro, semangat Timur dalam diri tuan berterusan. Harapan saya sebagai seorang Presiden sebuah negara yang dianggap paling berkuasa, tunjang ketimuran akan sentiasa terpelihara dalam diri tuan!

Meminjam kata Tuan Nicholas Sarkozy, Presiden Perancis : "rakyat Amerika Syarikat sebenarnya memilih perubahan, keterbukaan dan harapan baru"

Sebelum saya terlupa, tuan Presiden sebelum tuan: Tuan Bush yang dalam bahasa kami bermaksud 'Semak' dan tuan telah berjaya menebas 'semak' dan membuka lorong dan laluan perubahan untuk ke Rumah Putih, tahniah sekali lagi!
 

SANTAI PUISI 'PAKSI-NELAYAN PERAHU KECIL'



Masyarakat Nelayan Perahu Kecil Kuala Pahang

23 Oktober lalu, saya menerima pesanan ringkas dari Sdr. Dinsman: Paksi buat aktiviti d Kuala Pahang, Pekan, Pahang, sabtu 1 nov depan (brsma dg Persatuan Prahu Kecil Kuala Pahang). Acara 'santai puisi' mulai 10.30 pagi. Tghari makan. 2.3optg bicara seni. 5.30 ptg jalan2 d kg nelayan. Jom kita k sana -

PAKSI, Puisi, Kuala Pahang, Nelayan, Perahu Kecil yang menambat saya menyusuri lebuhraya LPT ke Pekan pada pagi, 1 November lepas. Tiba lebih kurang jam 11.00 majlis baru saja dimulakan, pentasnya seperti ceramah politik dengan jalur gemilang di kiri dan kanan. Rupanya usaha PAKSI (Badan Seniman Paksi Rakyat) bukan retorik, mendekati rakyat, dalam konteks ini nelayan perahu kecil di Kuala Pahang sebagai usaha merakyatkan seni, membawa seni ke riba rakyat menuntut kecekalan bukan kepalang apatah lagi golongan nelayan di Kuala Pahang.

Menurut Sdr. Wan Khasmadi Wan Omar (Pengerusi Persatuan Nelayan Perahu Kecil Kuala Pahang), Sdr. Rosli Rani (Setiausaha) dan Sdr. Mazlan (Bendahari - yang membacakan sajak 'Hari Raya' karya Dinsman) sajak seperti lagu hindustan, enak didengar tapi tak faham.

Sdr. Rosli Rani & Wan Khasmadi

Majlis yang dimulakan dengan santai puisi di tepi pantai memang unik, antara yang hadir majlis ini ialah Sdr. Dinsman (Presiden PAKSI), Sifu Puan Ainon Mohd (bos PTS), Prof. Abdullah Hassan, Ustaz Azizi Hj. Abdullah, HMS Bakar, Razali Endun, Sdr. Hasni Abas & Sdri. Suria Janib (DBP), Sdr. Azli Lee Abdullah, Sdri. Amruszati, Sdr. Shahrulnizam Talib & Sdr. Daeng Ramli Akil (DPMP), juga DJ Iskandar (Pahang FM).

Ustaz Azizi Hj. Abdullah - bakal Sasterawan Negara, InsyaAllah -
tidak bersajak tetapi seronok di Kuala Pahang

Aktiviti PAKSI di Serandu, Tanjung Selangor (lebih kurang 6 kilometer dari Kuala Pahang), adalah usaha Tuan Haji Kassim Muhammad, seorang penulis cerpen dan rencana kritis. Kini bertugas (Sebagai seorang Insiyur satu syarikat ternama, bekas Pengarah JPS Perlis, asal Sg. Petani Kedah) dengan harapan masyarakat nelayan mampu menghadam sastera.

Tuan Haji Kassim Muhammad - penggerak aktiviti PAKSI setempat
Gambar di ambil dari blog: aziziabdullah.blogspot.com

Masyarakat nelayan di Kuala Pahang yang berperahu kecil untuk kelangsungan hidup tiba-tiba sahaja diajak bersajak dan berpuisi, bergurindam dan berpantun, ombak laut yang sering menjadi mainan mereka seolah-olah cemburu apabila nelayan-nelayan ini bersama PAKSI bersantai puisi, dan bergelak tawa melupakan sejenak keperitan hidup yang terpancar di wajah mereka. Cikgu Aziz menceritakan sejarah Kuala Pahang sebagai pemula acara.

Selesai 'santai puisi' kami dijamu makan tengahari 'ala kenduri' dengan ikan masin dan sambal belacan sehinggakan ada tetamu dari KL yang bertekad untuk mendapatkan ikan masin yang dihidangkan sebagai ole-ole.

Merentas laut ke muara Sungai Pahang dengan kemudi oleh Pak Mat yang katanya pernah terdampar selama 8 jam apabila botnya dilambung ombak, kisah Pak Mat yang berusaha melarang anak-anak buahnya terjun ke laut untuk mengurangkan risiko kelemasan memang meruntun hati kami. Mengelilingi pulau-pulau pasir, memerhati habitat seperti memerang, mendengar kisah Tun Teja dan Hang Tuah, gagal merawat kecut perut kami kerana lambungan ombak.

'Posing' sebelum turun ke laut!


Pak Mat - menyimpan pelbagai kisah laut

Aktiviti PAKSI juga melihat dua pasangan adik beradik Ahmad Tajuddin & Siti Fatimah (masih di bangku sekolah rendah) mendeklamasikan sajak dengan begitu lancar secara hafalan! Moga PAKSI akan mampu melahirkan generasi pelapis dunia sastera Malaysia.
Deklamator Cilik Pekan

Pada malamnya dengan selang-seli ikan bakar, ketam rebus, nasi lemak kukus dan angin Laut Cina Selatan yang pemurah, santai seni dilangsungkan sesuai dengan santainya, kaum nelayan diajak mengenali sajak, pantun, gurindam dan syair. Sajak 'Melayu' karya SN Datuk Usman Awang dan sajak nukilan Sdri. Suria Janib dikupas bagi menerangkan sajak kepada masyarakat nelayan di situ. Jelas satu kepuasan kerana misi merakyatkan seni kepada masyarkat nelayan perahu kecil ini berjaya meninggalkan kesan puitis kepada mereka, walaupun akan ada program susulan selepas ini.

Kepada teman-teman nelayan perahu kecil Kuala Pahang, Tuan Haji Kassim Muhammad dan anak-anak buahnya dan petugas 'chalet' Pinang Sebatang, AJK Persatuan Nelayan Perahu Kecil Kuala Pahang, DPMP, jutaan terima kasih. Kenangan ini sukar dilupakan, InsyaAllah kalau ada kesempatan saya akan ke sana lagi! Syabas kepada PAKSI!
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger