AKIBAT BERTOLAK ANSUR


Datuk Dr. Hassan Ahmad, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kelantangan beberapa pihak daripada kalangan kelompok bukan Melayu termasuk parti-parti politik dalam soal berkaitan hak dan kedudukan orang Melayu mula menimbulkan banyak polemik. Malah selain tuntutan agar ekuiti 30 peratus kepada bumiputera dihapuskan tulisan Jawi yang dipamerkan di papan-papan tanda juga turut diancam. Keadaan ini sudah tentulah menimbulkan keresahan di kalangan pelbagai pihak terutamanya orang Melayu.
Mereka mempertikaikan kenapakah kelantangan seumpama itu semakin kerap didengari biarpun sesetengah perkara yang dibangkitkan itu sudah termaktub dalam Perlembagaan dan tidak sewajarnya diganggu-gugat. Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan ZULKIFLEE BAKAR, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Hassan Ahmad merumuskan bahawa segala-galanya berlaku kerana sikap orang Melayu yang suka bertolak-ansur serta kedudukan politik Melayu kini yang dilihat semakin melemah.

‘‘Kesudahannya orang lain mengambil kesempatan di atas sikap kita itu sedangkan mereka sendiri tidak mahu bertolak ansur terhadap hak dan kepentingan mereka,’’ katanya yang juga Ketua Pegawai Yayasan Karyawan Malaysia.

Oleh itu Dr. Hassan berharap pemimpin-pemimpin Melayu bertegas dalam soal yang menyentuh perkara-perkara yang sudah termaktub dalam Perlembagaan. Pada pandangan beliau, ketegasan yang hendak ditunjukkan bukanlah bererti orang Melayu bersikap perkauman tetapi mempertahankan dasar kebangsaan yang digubal dalam Perlembagaan melalui persetujuan semua kaum.

Walaupun tidak terlibat dalam politik dan bukan ahli UMNO, Dr.Hassan juga turut melontar sedikit nasihat kepada ahli parti itu berhubung pemimpin seperti manakah yang mereka perlu bagi memastikan hak dan kepentingan Melayu mampu terus diperjuangkan.

MINGGUAN: Bagaimanakah Datuk melihat tindakan sesetengah pihak yang semakin kerap menggugat kepentingan Melayu?



DR. HASSAN: Bangsa Melayu sejak 700 tahun dahulu telah meninggalkan satu pusaka atau warisan yang luar biasa. Saya berani mengatakan bahawa jarang ada bangsa-bangsa lain di dunia yang mempunyai begitu banyak kelebihan seperti bangsa Melayu. Pertama, satu kelebihan yang ada kepada bangsa Melayu sejak abad ke-12 ialah bahasa Melayu. Bahasa itu mampu berkembang sebagai bahasa merentas semua sempadan. Ia menjadi bahasa persuratan lingua franca bukan sahaja dalam soal perdagangan tetapi juga politik. Itulah kelebihan Melayu yang berjaya mengembangkan bahasanya bukan melalui penjajahan seperti bahasa Inggeris, bahasa Perancis dan beberapa bahasa penjajah yang lain. Kelebihan kedua ialah agama Islam yang menjadi agama sejagat dan mampu merentas sempadan serta membentuk satu tamadun ummah yang besar. Jadi warisan ini ditinggalkan kepada kita sampai ke hari ini. Tetapi persoalannya kenapa kita biarkan kaum- kaum lain yang datang dari luar budaya dan sosial Melayu seperti dari China, India dan Arab mencabar warisan ini? Oleh itu saya berpendapat cabaran yang kita hadapi hari ini bukanlah cabaran daripada orang luar tetapi daripada bangsa Melayu sendiri.


Kenapa Datuk berkata demikian?


DR. HASSAN: Saya berpendapat mulai tahun 1980-an sistem nilai Melayu berubah. Kita sudah tidak lagi mementingkan warisan kita. Orang Melayu meninggalkan semangat kebangsaan. Saya menggunakan istilah semangat kebangsaan kerana orang Melayu tidak bersikap perkauman. Semangat ini yang memberi tenaga kepada kita untuk menentang British atau Malayan Union mati selepas merdeka dan ia digantikan oleh apa yang disebut nilai baru iaitu nilai globalisasi atau globalisme. Justeru segala dasar kita disesuaikan dengan kehendak globalisasi itu. Contohnya peraturan perdagangan bebas, saya tidak percaya ada perdagangan bebas kerana ia sebenarnya dikawal oleh Amerika Syarikat (AS) melalui Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Justeru orang Melayu mesti faham dan diberitahu bahawa globalisasi ini sudah bermula sejak 400 tahun dahulu di dunia Melayu iaitu ketika kedatangan bangsa Portugis menawan Melaka. Selepas Portugis, dua lagi kuasa barat membawa proses globalisasi dalam bentuk penjajahan ke dunia Melayu tetapi bangsa Melayu sejak 1511 kekal identitinya sampai sekarang. Ini termasuklah dalam soal institusi raja-raja dan bahasa Melayu yang terkenal di seluruh dunia dan diketahui lebih 280 juta manusia. Inilah bahasa yang membentuk tamadun di rantau ini. Orang menghasilkan karya besar dalam bahasa Melayu. Ia termasuklah dalam menulis sejarah Aceh dan sebagainya. Begitu juga Islam dikembangkan dalam bahasa Melayu. Malah bahasa Melayu juga digunakan dalam mengembangkan agama lain seperti menterjemahkan kitab Injil.


Jadi saya hendak menyatakan bahawa bahasa Melayu adalah bahasa berpengaruh dan dominan di kawasan ini. Ia sudah banyak mencipta ilmu justeru kenapa sekarang kita membiarkan orang lain atau keadaan memusnahkan, bahasa ini? Kalau bahasa kita dimusnahkan bangsa itu akan turut termusnah, pemikiran dan ilmu mereka akan termusnah. Akhirnya ia menjadi seperti bangsa penduduk asli di AS yang terpaksa mengikut bahasa Inggeris. Bagi saya, kalau ada kaum yang cuba hendak menggantikan atau membantah tulisan Jawi pada papan-papan tanda jalan kita mesti mencegah dan membantah secara tegas kerana ia akan memusnahkan budaya kita yang sudah bertapak sejak 700 tahun lalu. Apa salahnya tulisan Jawi? Kenapa pula kita tidak pernah membantah tulisan Cina dan Tamil?


Dalam soal ini sejauh manakah kuasa politik Melayu boleh bertindak tegas?


DR. HASSAN: Ini bukan soal mempertahankan tetapi mesti tegas mengekal dan memelihara warisan ini. Namun kita tidak melakukan itu. Contohnya, Dasar Bahasa Kebangsaan kita semakin melemah. Kita menggantikan pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, ini memusnahkan nilai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sedangkan selama 30 tahun bahasa Melayu digunakan dalam subjek berkenaan ia sudah terbukti mampu melahirkan banyak ahli sains dan perubatan serta pakar-pakar dalam pelbagai bidang. Orang bukan Melayu pula tidak lagi mempersoalkan dasar ini kerana mereka tidak rugi dan tidak dipinggirkan. Tiba-tiba pemimpin Melayu memusnahkan dasar ini tanpa sebab munasabah. Ini contoh bagaimana bangsa Melayu memusnahkan budaya atau kelebihan atau kekuatan yang sudah ada kepada kita sejak berabad lalu.

(Rencana ini adalah petikan daripada akhbar Mingguan Malaysia - 02/11/2008) Untuk rencana lengkap sila kunjungi : www.hasmad.blogspot.com


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
MASALAHNYA ORG UMNO SNDIRI X DA TELUR!
Tanpa Nama berkata…
ini bermula di bangku sekolah lagi,anak-anak melayu didedahkan dengan sistem pelajaran yang mengagungkan bahasa dan bangsa lain.Apa sudah tiadakah para cendiakawan di M'sia ini nutuk mewujudkan suatu sistem pembelajaran tanpa menelanjangi bahasa sendiri.Tiada hujah menyatakan bahawa negara maju jika sekiranya kita menggunakan bahasa yang digunakan di negara yang maju.Contohnyanya negara Jepun, China dan Dunia Arab boleh maju berdengung.Di Jepun anak-anak sudah diajar nilai kejepunan dalam diri.
Mempelajari pelbagai bahasa tidak salah,namun jangan sampai mengagungkan bahasa bangsa yang menzalimi umat Islam kerana bahasa itu kelak akan mempengaruhi kehidupan anak-anak kita.
Tanpa Nama berkata…
Setuju dgn saranan Menteri Luar ' Politik melayu kena diperkukuh dan diperkasa untuk elak bangsa lain ambil kesempatan'.. Senang aje nak cemuh dan mempersendakan orang melayu..Titik tolaknya Bangsa Melayu sendiri.masih lena dibuai mimpi2 indah. Silap haribulan Melayu mengemis di Tanah Air sendiri..Bangunlah Bangsaku..Lihat dunia bangsamu sedang dimamah dan terhakis kemalayuannya. 'Dilema Melayu' masih kuat melekat...
bungaraya berkata…
Datuk Dr Hassan berkata benar. Sebagai tambahan blog juga menambahkan kecelaruan suasana pada masa kini. Yang ramainya hanya bermain blog tanpa memikirkan akibat yang bakal menimpa. Saya menjadi celaru pemikiran akibat penulisan blog yang tidak berketentuan. Contohnya kakisakat. Yang sepatutnya disokong dan diberikan galakan kerana tindakan yang diambil oleh kerajaan itu baik dan murni, masih kakisakat kutuk berhabis-habisan. Mana boleh macam ini. Mungkin Menteri Kerja Raya diserahkan kepada kakisakat. Baru senang dan lawa penulisannya.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?