SELAMAT HARI BAPA

Bapa Kemerdekaan Malaysia - YAM Tunku Abdul Rahman

Esok 21 Jun, hari Ahad ketiga dalam bulan Jun, itu tarikh sambutan Hari Bapa. Sebagai bapa memanglah mengharap ucapan dan hadiah tetapi yang lebih manis ialah kesungguhan anak-anak untuk menjadi anak-anak yang soleh. Itulah harapan arwah ayah saya ketika ditanya mengenai sambutan Hari Bapa sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah lagi.

Biar apa sahaja gelaran kepada seorang bapa berasaskan latar agama, sosio dan budaya seseorang, fungsi kebapaan tidak pernah terabai sungguhpun ibu dianggap insan utama seperti yang disebut dalam kitab suci Al-Quran.

Selepas menjadi bapa kepada lima orang cahaya mata, seorang teman saya yang sering menempelak kakaknya yang terlalu memanjakan anak-anaknya, kini baru terasa selepas diri menjadi bapa. Hati seorang bapa memang sukar diteka. Tidak seperti si ibu, tidak banyak puisi dan madah mengenai si bapa, namun bapa tetap kekal sebagai idola dan wira di hati si anak, sekurang-kurangnya itulah tanggapan saya kepada bapa saya.

Kepada semua yang bergelar bapa walau dalam frasa apa sekalipun: SELAMAT HARI BAPA!

 

HSKU, TETAMU KEHORMAT & INSOMNIA..

Tetamu Kehormat menyampaikan hadiah kepada pemenang -
ihsan akhbar Utusan Malaysia

Semalam saya memenuhi jemputan teman saya untuk menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 (HSKU). HSKU yang telah mamasuki tahun ke-24 penganjurannya memang unik dan dianggap berprestij. Apa tidaknya HSKU mencatat sejarah tersendiri dengan majlis berlangsung di Istana Budaya, ASTRO sebagai penyiar rasmi dan tambahan acara sampingan HSKU iaitu Majlis Baca Puisi yang berlangsung pada 12 Jun lalu dan acara Utusan Sukma Sepagi Bersastera yang bakal berlangsung pada 22, 23 dan 25 Jun nanti.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat: baca: TETAMU KEHORMAT. Tetamu Kehormat yang dimaksudkan ialah mantan Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Saya kira teman saya yang terlibat sebagai sekretariat HSKU tentu dapat tidur lena selepas majlis itu, lain pula dengan saya, saya meninggalkan majlis itu selepas SN/SR baca sajaknya. Bukan apa, saya sudah hilang tumpuan. Saya amat pasti, saya tidak mungkin dapat melelapkan mata kalaupun saya pulang sekitar jam 9.30 malam, dan tepat seperti jangkaan saya saya hanya tertidur sekitar jam 2.00 pagi, sesuatu yang jarang saya alami.

Ucapan Tuan Hugh W. Thomson, Pengerusi Subsidiari-subsidiari Exxon Mobil di Malaysia dan Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan menyebut tidak kurang dari 14 kali, ucapan terima kasih kepada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudi hadir ke majlis itu, sesuai dengan status sebagai Tetamu Kehormat.

Seusai ucapan Tan Sri Mohamed Hashim, ialah bacaan sajak oleh SN/SR A. Samad Said berjudul ‘Peludah Bahasa’. Kalaupun saya tidak yang mendapat pendidikan khusus dalam sastera tapi tahu kepada siapa sajak tersebut ditujukan walaupun bukan secara khusus, saya percaya hadirin juga dapat mengagaknya juga.

Saya tidak pasti apa betul pengamatan saya, tetapi meneliti bahasa badan YABhg. Tun dan Tan Sri, saya dapat mengagak sesuatu yang kurang senang dengan sajak SN/SR A. Samad Said tadi, dan emosi saya bergejolak meyebabkan saya hilang tumpuan dan memilih untuk permisi dari majlis itu.
Senarai pemenang HSKU 2008 -
ihsan akhbar KOSMO
Mungkin itu adalah wadah terbaik untuk menyampaikan hasrat SN/SR yang menentang PPSMI melalui sajak ‘Peludah Bahasa’. Tetapi memilih untuk menyampaikan hasrat dalam sesebuah majlis yang dihadiri oleh ‘mangsa’nya yang berstatus Tetamu Kehormat adalah di luar kewajaran dan norma budaya masyarakat Melayu kalaupun bukan Malaysia!

Mungkin ada rasional SN/SR A. Samad Said memilih atau mungkin menghasilkan sajak tersebut khusus untuk majlis tersebut, tetapi inilah pandangan peribadi saya (bukan bertujuan mempertikaikan SN/SR A. Samad Said).

Tuan Thomson yang baru menjejak kaki ke bumi Malaysia ini tahu adab dan sopan dalam majlis seumpama itu, dan memulakan ucapannya dalam Bahasa Melayu walaupun agak kaku tonanya.

Seperti SN/SR A. Samad Said yang memilih untuk membacakan sajak pilihannya, dalam negara demokrasi (pedulilah jika demokrasi NegaraKu semakin menipis dan tercalar), kesukaran saya melelapkan mata memaksa saya berkongsi catatan ini!


Catatan Kaki: Terima kasih kepada teman dari sekretariat HSKU yang memanjangkan jemputan kepada saya. InsyaAllah kalau ada kesempatan akan hadir dalam majlis tahun depan pula, itupun kalau dijemput!
 

20 JUN - MANIFESTASI PELARIAN

Gambar Ihsan UNHCR

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menetapkan 20 Jun pada setiap tahun sebagai Hari Pelarian Sedunia. Betullah kata pepatah: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, jika diberi pilihan tentulah lebih seronok di negeri sendiri daripada merantau ke negara orang, sekurang-kurangnya itulah yang diluahkan oleh warga Bangladesh yang membantu saya untuk mengisi minyak kereta ketika berkunjung ke stesen kerang saban kali. Itu cerita pendatang asing yang sah tinggal di negara ini, apa agaknya nasib pelarian yang lari dari sesebuah negara bergolak misalnya, pelarian Rohingya.

Hari Pelarian Sedunia dengan objektif untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat terhadap nasib dan masa depan golongan pelarian di seluruh dunia telah diraikan secara global sejak tahun 2000.

"Real People, Real Needs" Rakyat Sebenar, Keperluan Sebenar, tema yang dipilih untuk mengenang nasib pelarian pada tahun ini - pelarian adalah golongan yang berkeperluan sama seperti anda dan saya. Dengan angka lebih 42 juta pelarian di bawah kanta dan radar tanggungjawab Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), kekurangan keperluan asas dalam hidup – air bersih, makanan, sanitasi, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan perlindungan dari keganasan dan penderaan memaksa mereka sentiasa bergelut untuk terus hidup secara bermaruah di bumi ini.

Di Malaysia sahaja, mengikut statistik UNHCR setakat 31 Disember 2007, jumlah pelarian berdaftar ialah 164,400 yang mencakupi pelbagai kategori termasuk yang mengharapkan suaka politik. Pelarian Filipina yang kebanyakannya menghuni di perairan Sabah berjumlah hampir 70 ribu, pelarian Myanmar juga berjumlah hampir 70 ribu diikuti Indonesi yang berjumlah lebih 21 ribu orang.

Warga dunia menjadi pelarian melalui pelbagai konflik dalaman dan perang saudara dan perang sesama negara.

Khemah sementara di luar Stadium Nasional, Dili - Gambar ihsan UNHCR

Malaysia pernah menjadi rumah kepada lebih ramai pelarian malah pelarian Vietnam pernah ditempatkan di Pulau Bidung, juga di penempatan berhampiran tol Sungai Besi lebih dua dekad yang lalu. Namun begitu penarafan oleh Jawatankuasa Bagi Pelarian dan Pendatang Amerika Syarikat (USCRI) pada tahun 2008 meletakkan Gred F bersama-sama Thailand, Bangladesh dan China kerana pelarian yang ditahan berkemungkinan dihadapkan ke mahkamah!

Apakah peningkatan statistik pelarian saban tahun, nilai kemanusian warga dunia semakin menipis seperti lapisan ozon?

 

CINTA IBU HALIMAH SUJUD DI KAKI…

SN Arena Wati - meninggalkan khazanah sastera yang cukup gah dan bernilai
meninggal dunia pada 25 Januari 2009)


Selepas menyertai Seminar Pemikiran Sasterawan Negara: A Samad Said pada 13-15 Mei 2008, pada 9 dan 10 Jun pula seminar yang sama berlangsung dengan membincangkan pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati.

Memanglah banyak penambahbaikan berbanding seminar A. Samad Said pada tahun lepas, yang paling ketara ialah kehadiran Ketua Pengarah DBP yang turut merasmikan seminar pada kali ini.

Sepanjang dua hari berseminar (saya memang meluangkan masa bagi seminar ini) banyak yang dikupas mengenai SN Arena Wati yang sangat prolifik berkarya, puluhan novel, cerpen, esei, drama dan syair.

Saya tertarik dengan kisah cinta SN Arena Wati dan isterinya Ibu Halimah Sulong yang dinikahinya pada tahun 1954 dengan empat syarat yang harus dipenuhi oleh SN Arena Wati: hendaklah sanggup meninggalkan keluarga untuk tinggal bersamanya, sanggup menjadi rakyat Tanah Melayu, hidup bersamanya hingga mati, dan sedia untuk berbakti kepada Tanah Melayu.

Uniknya kisah cinta Ibu Halimah di tahun 50an ialah kesanggupan Ibu Halimah yang ketika itu menjadi guru untuk pergi ke Makasar seorang diri untuk mengambil dan seterusnya menikahi Arena Wati pada 20 Mei 1954 bersamaan 17 Ramadan 1373, selepas perkenalan hampir 5 tahun.

Sebagai seorang gadis melayu yang hidup dalam lingkungan adat, budaya dan tradisi tentulah dianggap tidak manis dan tindakan Ibu Halimah dianggap luar biasa.

Kisah cinta Ibu Halimah dan Arena Wati memang cukup membuka mata, apa tidaknya kalau hal ini berlaku pada masa ini (itupun ada yang tidak berani membelakangkan keluarga!) tentulah dianggap biasa, tetapi tindakan seorang gadis pingitan pada tahun 1954 memang luar biasa keberanian dan cintanya.

Seminar selama dua hari merangkumkan 30 kertas kerja yang mencakupi pelbagai aspek dalam karya Arena Wati, tetapi insiden pada hari pertama selepas ucaptama oleh Prof. Dr. Kamaruddin Mohd Said memang cukup menghibakan.

Episod memalukan ini berlaku pada sesi kedua selepas pembentangan semasa soal-jawab terhadap pembentang A. Halim Ali. Seorang peserta seminar dari Makasar, bertanya tentang tiga hujung yang menjadi falsafah dan ikutan masyarakat Makasar di perantauan. Tiga hujung yang dimaksudkan ialah hujung lidah (lisan), hujung pena (tulisan) dan hujung kemaluan (zuriat). Apakah ada kombinasi penggunaan tiga hujung ini terpancar dalam karya Arena Wati, khususnya dalam karya Endang Gulingku (1991- Penerbit UKM).

Sdr. A. Halim Ali yang membentangkan kertas kerja ”Kemudi Perjalanan Hidup Arena Wati Dalam Enda Gulingku” sebelum itu, baru sahaja ingin menjawab persoalan tadi, tiba-tiba terganggu (malah kami dalam dewan seminar itu turut tergamam) apabila anak lelaki Arena Wati dengan muka marah dan bengis (kayak orang Bugis), memanggil si peserta yang juga tetamu dari Makasar dan memaksanya bersujud memohon maaf dari ibunya – Ibu Halimah.

Tidak cukup dengan itu, si anak tadi mengarahkan peserta itu keluar dari dewan seminar serta merta. Akibat insiden menghibakan ini, kesemua peserta dari Makasar yang berjumlah 16 orang telah tiada dalam dewan seminar sehingga selesai pada hari kedua seminar tersebut.

Secara peribadi saya amat terganggu dengan insiden tersebut sehingga pada hari kedua, apabila Tuan Haji Razali Endun bertanya sesuatu dan memberi komen yang tidak begitu positif hingga menjadi usikan yang menyeronokkan ketika makan tenghari!

Paksaan untuk sujud di kaki memanglah mengaibkan si pelakunya atas alasan apa sekali pun, tiada hak memaksa seseorang sujud di kaki manusia. Manusia hanya berhak sujud pada Tuhannya. Apakah ini cakra waruga Bugis yang sangat dibangga-banggakan dan diwariskan oleh Arena Wati lewat karya-karyanya? Dewan Bahasa dan Pustaka selaku penganjur wajar di beri pujian mengendalikan seminar ini, tetapi insiden hitam memang sukar dikikis dari ingatan. Sebagai pencinta sastera Malaysia, saya memohon maaf kepada tetamu dari Makasar dan rombongannya atas penghinaan yang menimpa mereka.

”Ambil secawan ehsan. Adun dengan kasih sayang. Kukus dalam dandang kesabaran. Jerang atas tungku iman kepada Allah. Hidang dalam dulang senyum riang. Suap dengan tangan kemahiran. Kunyah dengan mulut yang bestari. Maka bergembira dan bersyukurlah, kerana dengan itu engkau telah menikmati rezeki yang direstui...”

(petikan dari novel Begawan (1996), m/s: 81)
 

MENUNGGU KATA DARI TUHAN..


Gambar-gambar diambil dari: http://www.flickr.com/photos/zahirudin/

Jumaat lepas, saya menerima pesanan ringkas awal pagi dari Sdr. Dinsman yang mahukan saya menguar-uarkan teater MENUNGGU KATA DARI TUHAN. Saya sendiri belum berkesempatan menghayatinya, hambatan tugas dan kesihatan sering tidak mengizinkan. Khabarnya teater ini telah dipentaskan di beberapa lokasi tetapi yang uniknya ialah inilah teater pertama (serasa saya, harap betulkan) yang dipentaskan di dalam masjid, kali pertama di Masjid Batu, Permatang Pauh pada 30 Mei lepas.


Pementasan dalam masjid kali ini akan diadakan seperti berikut:

Lokasi: Masjid Kg. Tunku, Sungai Way, Selangor

Tarikh: 27 Jun 2009 (Sabtu)

Masa: Selepas Solat Maghrib

Pelakon: Sabri Yunus Pemuzik: Sani Sudin

Harap dapat meluangkan masa untuk menghayati teater ini.

 

BINGKISAN DARI MUKTAMAR...



Hari ini saya meluangkan masa melawat Muktamar PAS ke-55 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, bukanlah atas tiket politik, bukan juga sebagai simpatis tetapi lebih sebagai pengunjung biasa-biasa sahaja untuk melihat gerai-gerai jualan yang mengambil peluang memperagakan bahan jualan - dari tudung, pakaian wanita, minuman kesihatan, buku-buku politik dan pelbagai jenis barangan.

Seperti juga ketika Perhimpunan Agung UMNO yang penuh sesak dengan pengunjung untuk melihat barangan yang dipamer, seperti pesta adanya memang menggamit hati.

Berkunjung ke Muktamar pada kali ini saya sempat membeli sejumlah buku sebagai bahan bacaan dan koleksi. Antaranya ialah Fenomena Nizar dan Wajah Baru Politik Malaysia.

Fenomena Nizar terbitan Jun 2009 melihat perjalanan politik bekas Menteri Besar Perak: Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin. Merakamkan perkhabaran dan pergolakan politik di Perak. Dua speaker, dua Menteri Besar, cabar mencabar di Mahkamah, mesyuarat bawah pokok, semua dirangkum dalam buku kecil ini. Nama Nizar sudah semacam ikon. Tidak ramai di luar lingkungan PAS mengenali dan tahu mengenai NIzar sebelum 8 Mac 2008, yakni sebelum PRU 12. Tetapi segalanya berubah apabila terpilih mengetuai Perak sebagai Menteri Besarnya selepas perkenan oleh DYMM Sultan Perak.

Rentetan peristiwa sehingga memaksa Perak berMenteri Besar dua, berspeaker dua. Yang lainnya telah kita semua faham dan maklum. Rakyat Perak dan seluruh negara masih menunggu tindakan pembubaran DUN Perak yang dianggap paling wajar bagi menyelesaikan kemelut ini.



Wajah Baru Politik Malaysia tulisan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa mengupas landskap politik Malaysia khususnya selepas Tsunami Politik pasca PRU 12 yang lalu.

Buku-buku terbitan Anbakri Publika (http://www.anbakri.com/) yang begitu prolifik menerbitkan buku-buku walaupun baru ditubuhkan. Syabas.
 

APA KHABAR PEMBULI JALAN RAYA..?

“APA khabar?Lupa banyak. Bicara sikit" kata Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang merupakan presiden kulit hitam pertama di Amerika dalam loghat Indonesia - catatan wartawan The Star, Shahnaz Habib.

Hari ini bacaan The Star saya terganggu kerana berita di muka surat 3 - Road bully in his 30s assaults 72 year old man. Pembuli Jalan cederakan warga tua berusia 72 tahun. Apa ini kata saya. Mana hilang rasa hormat kepada warga tua yang dilaungkan dalam kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita! Sekadar slogan?

Walauapapun saya benar-benar terganggu dengan berita itu. Sdr. Rocky Bru (http://www.rockybru.com.my/) dalam blognya memberikan butiran mengenai pemandu yang biadap dan menakutkan. Pihak polis seharusnya menggiatkan usaha untuk menahan pemandu ini. Butirannya:



TOYOTA AVANZA




WARNA HIJAU

NO. PENDAFTARAN: WRW 8402

PEMANDUNYA: USIA 30AN
LOKASI KEJADIAN: DAMANSARA DAMAI


Jika anda tahu mengenai pemandu ini atau kenderaan yang dinyatakan anda mungkin berhadapan dengan pembuli jalan. Laporkan segera ke balai polis berhampiran.

Apa khabar pembuli jalan raya, lenakah tidurnya?

 

ASAM PEDAS GULA MELAKA, AKUKAH GURU, BRONTOK..

Seronok juga sesekali mengambil cuti dari meng'update' blog. Saya sengaja memilih untuk memencilkan diri buat seketika. Selain daripada hambatan kesihatan yang tidak begitu mengizinkan ialah kerana mahu berehat dari berfikir.

Masa hibernasi ini saya gunakan untuk menonton, membaca dan menulis untuk kerja-kerja dan urusan rasmi. Selama lebih dari seminggu, saya gunakan untuk membaca misalnya ada tiga naskhah buku yang dibawa pulang dari menghadiri satu seminar oleh seorang bekas pendidik, pengetua dan pentadbir di peringkat Jabatan Pelajaran Negeri.

Asam Pedas Gula Melaka bukanlah cerita-cerita luar biasa tetapi cerita biasa yang diceritakan dari perspektif seorang guru. Lebih merupakan catatan peribadi, Asam Pedas Gula Melaka memaparkan suka duka perjalanan hidup seorang guru, pengetua dan kemudiannya pentadbir.




Gurukah Aku atau...? buku kedua oleh penulis yang sama adalah kesinambungan dari buku Asam Pedas Gula Melaka. Kalau selama ini kerjaya guru dianggap kerjaya yang senang dan kerja sekerat hari, selepas membaca buku ini, tentu kita kagum nilai dedikasi yang diperlukan untuk menjadi seorang guru dan pendidik yang efektif. Buku ini menceritakan pengalaman penulis dari menjadi seorang pelajar di hari pertama persekolahan sehingga akhirnya berjaya menjadi pentadbir di peringkat Jabatan.




Brontok - Virus yang merosakkan sesebuah pentadbiran, buku ketiga tulisan Hajah Norbi Haji Husin mendasari pengalaman beliau menjadi pentadbir dan melihat kebobrokan dalam pentadbiran khususnya di sekolah. Rakaman pengalaman ini dilihat dari perspektif sebagai Ketua Sektor Pengurusan Akademik di JPN memang memeranjatkan dengan catatan pengalaman penulisnya berhadapan dengan pelbagai masalah samada di sekolah ataupun dengan petugas di Jabatannya sendiri. Memanglah virus boleh menjadi barah yang melumpuhkan keampuhan sebuah pentadbiran.



Dengan pengalaman lebih 31 tahun dalam dunia pendidikan bermula dari guru biasa, pengetua dan akhirnya sebagai pentadbir, trilogi Asam Pedas Gula Melaka, Gurukah Aku dan Brontok memang mampu membuat kita menghargai tugas dan iltizam seorang pendidik khususnya yang melengkapkan diri dengan dedikasi yang tinggi. Rasanya tidak rugi saya menghabiskan bacaan ketiga-tiga buku dalam tempoh hibernasi saya!
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger