TENANG YANG GELORA …

Pecahan pengundi DUN Tenang, ihsan daripada http://bigdogdotcom.wordpress.com

TENANG YANG GELORA …

Beberapa hari lagi menjelang penghujung bulan pada 30 Januari akan berlangsung Pilihanraya Kecil DUN Tenang yang menjadi kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sulaiman Taha yang meninggal dunia pada awal Disember yang lalu.

Nasib calon Barisan Nasional, Mohd Azahar Ibrahim mahupun bekas guru Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan Kemelah, Normala Sudirman yang mewakili PAS akan ditentukan oleh 14,753 pengundi di DUN Tenang. Walaupun negeri Johor dikatakan sebagai kubu kuat Barisan Nasional tetapi dengan gaya dan cara kedua-dua mereka berkempen seolah-olah masing-masing mempunyai peluang yang sama rata.

Calon Barisan Nasional, Mohd Azahar Ibrahim bekas Penolong Pegawai Daerah yang lebih dikenali sebagai Tok Ai, dikatakan calon yang tepat bagi memastikan kerusi DUN Tenang kekal di tangan Barisan Nasional.

Majoriti yang menurun pada Pilihanraya Umum 2008 berbanding pada tahun 2004 bukanlah suatu isu yang besar kerana pada tahun 2008 yang dianggap tahun tsunami politik Malaysia bukanlah ukuran yang tepat. Namun begitu apabila terdapat desas-desus yang mengatakan tidak banyak yang dilakukan oleh ADUN sebelum ini sekurang-kurangnya agak memberikan ruang kepada calon PAS.

Banyak yang akan dilihat oleh rakyat Malaysia khususnya pemerhati politik berhubung Pilihanraya Kecil DUN Tenang. DUN Tenang menjadi gelanggang ujian politik kepada Datuk G. Palanivel yang menerajui MIC pada 6 Disember yang lalu. Barisan Nasional pula mengharapkan kemenangan sebagai bukti sokongan rakyat terhadap kerajaan malah kemenangan ini juga akan dilihat sebagai kesinambungan apatah lagi menjelang satu lagi Pilihanraya Kecil di DUN Merlimau dalam waktu terdekat.

Jika mengutip tulisan Pekan Ramli, Pensyarah Komunikasi UITM, yang juga anak jati DUN Tenang mengenai pembangunan di DUN Tenang tiada apa yang boleh dibanggakan oleh calon Barisan Nasional sebelum ini.

“Sebagai anak jati Tenang yang telah membesar di sini lebih 20 tahun dan kemudian selama lebih 20 tahun lagi sering berulang-alik pulang ke kampung di Tenang, tidak banyak yang dilakukan untuk penduduk Tenang oleh kebanyakan wakil rakyat sebelum ini termasuk Ahli Parlimen (Labis).

Beberapa kawasan DUN Tenang seperti Felda Chemplak, Felda Redong, Felda Maokil dan juga di beberapa kawasan lain terutamanya di perkampungan Melayu sekitar Pekan Labis, keadaannya terus tenang. Kekal seperti mana sedia ada.

Ibarat kalau ada pun tidak menambah dan kalau tiada pun tidak terasa kurangnya. Tetapi hakikatnya pengundi-pengundi Melayu menyumbang hampir 50 peratus atau separuh daripada hampir 15,000 jumlah pengundi di DUN Tenang”

Calon Pas, Normala Sudirman yang dilaporkan oleh akhbar kerana tidak mahu bersalaman dengan orang bukan muhrim (bukankah itu sebenarnya tuntutan sebagai seoang muslimah) memberikan penjelasan berhubung pendiriannya. Malah PAS dilihat menggunakan taktik rayuan bagi mengurangkan majoriti, kaedah ini dilihat sebagai satu strategi merbahaya kepada Barisan Nasional.

Walauapapun strategi berkempen Barisan Nasional seperti biasa yang menggerakkan seluruh jentera Kerajaan, dengan hampir semua Presiden parti, Menteri Kabinet membantu bagi menjamin kejayaan mereka di DUN Tenang, tetapi pendirian Badan Perhubungan UMNO Johor yang diketuai oleh Menteri Besarnya, Datuk Abdul Ghani Othman yang menjadikan Pilihanraya Kecil DUN Tenang pada 30 Januari sebagai medan ujian menghadapi suasana pilihanraya umum nanti adalah satu langkah berani dan terpuji. Semua bahagian UMNO Johor berjumlah 24 menjadikan 12 peti undi di DUN Tenang sebagai anak angkat masing-masing.

Kepada semua pengundi di DUN Tenang, diharapkan dapat bertenang dan sentiasa melihat kehadapan pencapaian dan kemakmuran negara selama lebih setengah abad ini, begitu juga lebih 1700 pengundi India tidak terpalit emosi novel Interlok yang sedang ditangani kemelut sebijaknya oleh Kerajaan. Selamat bertenang ketika memangkah undi!

 

WACANA BUKU II, AMIRUL FAKIR & SALEHA AHMAD …

Koperasi Buku Malaysia Berhad (KOBUKU) dengan kerjasama Koperasi Kedaibuku Universiti Malaya Berhad (KKUM), Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) bakal menganjurkan Wacana Buku pada 26 Januari 2011 (Rabu) bermula dari jam 9.30 pagi hingga 4.15 petang.

Wacana II ini adalah rentetan daripada Wacana I yang membicarakan buku Natrah – Cinta, Rusuhan & Airmata karya Fatini Yaacob pada 12 Disember 2010 yang lalu. Sebanyak tiga buah buku telah dipilih bagi mengisi sesi wacana pada kali ini. Kumpulan puisi remaja, Aku Hanya Mahu Ke Seberang dan koleksi lukisan, Lukisan Kata, kedua-duanya karya Prof. Datuk Dr. Hashim Yaacob. Dr. Rahman Shaari akan membicarakan kumpulan puisi Aku Hanya Mahu Ke Seberang manakala, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Malaya, Dr. Sabzali Musa Kahn pula akan memperkatakan buku Lukisan Kata.

Namun apa yang pasti, novel Interlok yang kini menjadi isu nasional akan mengisi slot pembicaraan pada sesi petang bermula jam 2.00 petang. Barisan pembicara dalam sesi wacana Interlok ialah Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan, Pengarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya yang juga Setiausaha I, GAPENA, Prof. Madya Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Pengerusi KOBUKU dan Presiden Mimbar Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Sdr. C. Sivarraajh, Setiausaha Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan dan Cikgu Abdul Ghalib Yunus, Guru Cemerlang DG 48 yang juga merupakan Munsyi Dewan.

Wacana novel Interlok diharap dapat membetulkan persepsi umum berhubung novel ini dan dapat dibincangkan secara ilmiah dan tanpa emosi. Jika diteliti ini adalah kali pertama seorang pemimpin MIC menyertai perbincangan mengenai novel ini secara terbuka, di samping berpeluang mendengar perspektif para guru dan ibu bapa dalam wacana ini.

Wacana II pada 26 Januari 2011 ini juga akan melancarkan derma kilat bagi membantu dua orang penulis , Amirul Fakir dan Saleha Ahmad yang lebih dikenali dengan nama pena Halisa Sayangku yang kini menderita sakit.

Penerbit buku, Makan Untuk Hidup karya Ramli Mat Nor, Iman Muafakat Group akan memperuntukkan sebanyak 100 naskhah buku tersebut yang akan dijual pada harga RM10.00 yang kesemua hasil jualannya akan didermakan kepada kedua penulis ini yang akan diserahkan kepada Sdr. Saleeh Rahamad, Presiden PENA untuk disampaikan kepada Sdr. Amirul Fakir dan Saleha Ahmad.

 

APA KHABAR INTERLOK DI TANGAN PERDANA MENTERI ...?

Isu novel Interlok yang kononnya didakwa oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah memperlekeh kaum India di negara ini, kini telah memasuki fasa yang terakhir. Sekurang-kurangnya itulah yang dilaporkan di dalam akhbar apabila laporan kajian semula penggunaan novel tersbut yang akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet sama ada hari ini atau minggu hadapan.

Fasa terakhir bermaksud Kabinet yang diketuai oleh YAB Perdana Menteri akan membuat keputusan berhubung perkara ini. Malah telah juga dikhabarkan bahawa telah ada ura-ura bahawa pengunaan novel Interlok sebagai teks KOMSAS para pelajar tingkatan lima akan dikekalkan. Itu berita yang amat memberangsangkan. Tetapi yang tidak manisnya ialah apabila terdapat juga khabar-khabar yang mengatakan bahawa telah ada kumpulan para pegawai dari Kementerian Pelajaran yang telah menemui Sasterawan Negara yang juga pengarang novel Interlok yang telah berusia hampir 90 tahun di kediamannya. Tujuannya ialah bagi meminta persetujuan pengarang tersohor ini bagi mengubah frasa yang dimaksudkan dalam novel tersebut. Jika itulah sebenarnya yang cuba dilakukan bagi mengakhiri kemelut ini, saya kira ini adalah satu lagi malapetaka kepada dunia sastera Malaysia!

Malah jika diteliti, telah banyak suara-suara yang sebenarnya mahukan novel Interlok ini dikekalkan sebagai teks tanpa sebarang perubahan (baca: TANPA PINDAAN). Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menegaskan tiada langsung elemen rasis yang menghina mana-mana kaum. Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan juga meminta supaya tiada pindaan dilakukan kepada novel berusia lebih empat dekad itu. Dalam kelompok masyarakat India sendiri yang kononnya menentang kandungan novel ini pada bahagian tertentu yang didakwa menghina kaum India juga telah ada suara-suara sebaliknya.

Kolumnis akhbar The Star, Baradan Kuppusamy dalam tulisannnya di akhbar The Sunday Star keluaran 9 Januari 2011, menegas tiada sebarang bentuk penghinaan kerana kesemua kandungan buku ini harus dibaca secara keseluruhan dan bukan secara terpisah-pisah. Dalam akhbar Utusan Malaysia pada hari ini pula, dilaporkan bahawa, Persatuan Dinamik India 1Malaysia juga menentang sebarang usaha menidakkan keutuhan novel Interlok dan juga usaha ekstrim seperti membakar dan memijak novel tersebut adalah sebagai biadab dan terpesong dari ajaran agama Hindu yang sebenarnya.

Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan Koperasi Buku Malaysia Berhad (KOBUKU) bersama 17 NGO (badan bukan kerajaan) menentang sebarang usaha menarik balik atau meminda sebarang frasa dalam novel Interlok, bantahan ini telah dizahirkan melalui penyerahan memorandum kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan Menteri Pelajaran yang telah diterima oleh Dr. Khair Mohamad Yusof yang merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan Pendidikan) bagi pihak Menteri Pelajaran.

Moga novel Interlok di tangan YAB Perdana Menteri akan tetap utuh dan terus dipertahankan tanpa sebarang campur tangan mahupun sentimen politik murahan dan ugutan!

 

Interlok: Kenyataan Akhbar PAKSI, Seniman Paksi Rakyat Malaysia

Kenyataan akhbar mengenai novel ‘Interlok

1. Kita mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, kerana menimbulkan isu berkaitan novel Interlok karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussein. Beliau telah melakukan sesuatu yang mengakibatkan orang ramai di Malaysia memberi perhatian luar biasa kepada sebuah karya sastera.

2. Bukan senang orang di Malaysia hendak memberikan perhatian sedemikian besar kepada sebuah novel. Dan bukan senang media di Malaysia hendak menyiarkan berita mengenai peristiwa sastera.

3. Dikatakan ia mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang menghina kaum India dan juga orang Melayu. Apakah yang dikatakan menghina itu? Bahagian mana yang menghina orang India dan juga orang Melayu? Apakah kerana ada menyebut ‘kasta paria’, dan menyebut orang Melayu bodoh dan malas? (Bagaimana pula dengan orang Cina yang hendak menjual anak perempuan?)

4. Novel Interlok adalah satu daripada karya yang mendapat hadiah saguhati dalam peraduan menulis novel sempena 10 tahun merdeka, anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. (Sandera mendapat hadiah ketiga. Tidak ada hadiah pertama dan kedua). Dan sejak itu tidak pernah ada pembaca yang merasa tersinggung dengan adanya bahagian yang dikatakan menghina itu. Kenapa tiba-tiba sekarang, setelah kira-kira 40 tahun, timbul perasaan dan fikiran sedemikian?

5. Paksi berpendapat, itu adalah kerana kita melihatnya dari sudut kepentingan politik perkauman. Masyarakat kita hari ini masih tebal dengan pemikiran dan sikap prasangka perkauman. Masing-masing berfikir untuk kepentingan politik masing-masing, bukan untuk kepentingan nasional.

6. Berbanding dengan dulu, pemikiran dan sikap prasangka perkauman kita sekarang lebih teruk. Isu yang ditimbulkan sekitar novel ini menjadi buktinya. Dulu tak apa-apa. Tak ada pembaca yang tersinggung, baik India, Melayu mahupun Cina; sedangkan kalau nak difikir secara prasangka perkauman, dulu lagi isu ini boleh timbul.

7. Novel ini satu rakaman realiti semasa yang cukup baik, mengenai masyarakat Malaysia waktu itu, zaman pra-Merdeka. Ia sangat sesuai dijadikan teks sekolah. Pelajar boleh mempelajari dan memahami asal-usul terbentuknya masyarakat Malaysia seperti komposisinya hari ini. Ia satu rakaman sejarah dalam bentuk fiksyen.

8. Sepatutnya novel hendaklah dilihat sebagai sebuah karya seni, bukan dilihat sebagai bahan atau alat politik. Masyarakat kita hari ini terlalu sangat berpolitik. Semua perkara hendak dipolitikkan, dan segalanya hendak ditelan oleh politik.

9. Paksi tidak bersetuju dengan cadangan supaya novel Interlok ditarik balik daripada menjadi buku teks untuk SPM. Tidak ada sebab untuk berbuat demikian.

10. Paksi berharap supaya pelbagai pihak di negara ini dapat berusaha secara betul bagi mengurangkan pemikiran dan sikap prasangka perkauman di kalangan masyarakat.

11. Paksi juga menyeru rakan-rakan penulis dan budayawan supaya memainkan peranan untuk menjernihkan suasana dalam masyarakat, dan memberi penjelasan kepada yang mengelirukan, supaya masyarakat tidak berfikiran dan bersikap prasangka perkauman.

Dinsman dan kawan-kawan

Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI)

Kuala Lumpur. 5 Januari 2011.



Nota Kaki: Ini adalah tulisan yang dipetik daripada www.barajiwa.blogspot.com

 

KEMELUT PERSATUAN SUKAN ...

Kemenangan pasukan bola sepak muda negara di dalam Piala AFF Suzuki yang baru selesai minggu lepas masih lagi terasa apatah lagi kemenangan dengan agregat 4-2 diriingi pula cuti umum pada penghujung tahun, adalah hadiah terbaik bagi seluruh rakyat Malaysia. Malah pada pandangan saya cuti yang diberikan bukanlah sebab kemenangan dalam pertandingan dwi tahunan tersebut tetapi lebih menjurus sebagai hadiah kemenangan moral rakyat Malaysia yang berada di tahap paling tinggi.

Awal tahun pula dikejutkan pengumuman oleh jurulatih badminton kebangsaan, Datuk Misbun Sidek meletakkan jawatannya sebagai jurulatih kebangsaan Persatuan Badminton Malaysia (BAM). Tiada siapa yang tahu apa sebenarnya permasalahan Datuk Misbun Sidek dan Persatuan Badminton Malaysia, sehingga menuntut jurulatih yang sangat komited itu terpaksa mengambil keputusan yang mengejutkan. Kita semua tentu masih ingat bagaimana Datuk Misbun masih memberikan tunjuk ajar kepada anak didiknya meskipun terlantar sakit suatu ketika dahulu.

Rekod cemerlang Datuk Misbun membimbing skuad badminton negara khususnya Datuk Lee Chong Wei memang sukar dinafikan walaupun terdapat suara-suara sumbang yang mempertikaikan kewibawaannya sebagai jurulatih. Gandingan Misbun Sidek dan Lee Chong Wei dilihat sebagai gandingan yang mantap yang mampu membuahkan hasil tuaian emas pertama di Sukan Olimpik berikutan pengenalan program Road To London oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Jika Datuk Misbun Sidek mengumumkan perletakan jawatannya sebagai hadiah tahun baru buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM), lain pula dengan nasib seorang lagi jurulatih dalam disiplin karate yang tidak disambung kontrak sebagai jurulatih kebangsaan. Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) telah bertindak tidak menyambung kontrak P. Arivalagan selaku jurulatih kebangsaan kerana mahu digantikan dengan jurulatih import dari Iran.

Kedua-dua mereka, sama ada Datuk Misbun Sidek mahupun P. Arivalagan mempunyai rekod cemerlang sebagai jurulatih dalam disiplin masing-masing dan dalam kedua-dua keadaan, atlet-atlet yang mendapat bimbingan dari mereka menentang keras tindakan persatuan sukan masing-masing.

Sebenarnya tidak salah menggantikan jurulatih tempatan dengan tenaga import jika rakyat tempatan tidak mampu menggalas tanggungjawab selaku jurulatih yang berkebolehan, tetapi dalam kes jurulatih karate, P. Arivalagan telah menunjukkan prestasi yang cemerlang yang bukan sahaja diakui oleh atlet di bawah bimbingannya malah oleh Menteri sendiri. Sepatutnya persatuan sukan seperti Persekutuan Karate Malaysia (Makaf) memang sewajarnya boleh, perlu dan mampu mengambil jurulatih import tetapi sebagai gandingan kepada jurulatih sedia ada supaya dapat memberikan dimensi baru kepada atlet-atlet mereka namun apabila memilih untuk menghentikan khidmat jurulatih tempatan, seperti ada sesuatu yang tidak kena.

Sama ada jurulatih tempatan mahupun jurulatih import memang terdapat perbezaan daripada semua aspek, tetapi bukanlah jaminan bagi kejayaan sesebuah pasukan mahupun atlet, contoh terbaik ialah pasukan Indonesia yang dibimbing oleh jurulatih import berbanding S. Rajagobal yang membimbing skuad bola sepak kebangsaan.

Kemelut persatuan sukan dan jurulatih mereka bukanlah satu permulaan yang baik selepas sukan negara mengharungi rekod cemerlang pada tahun 2010. Semoga Persatuan Badminton Malaysia mahupun Persekutuan Karate Malaysia akan menemui penyudah yang menggembirakan semua pihak, walaupun bukanlah mudah memuaskan hati semua pihak dalam satu masa!

 

FESTIVAL PUISI & LAGU RAKYAT ANTARABANGSA 2011 …


Saya berada di Pulau Pangkor tidak sampai 24 jam kerana menghadiri Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa 2011 yang dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan yang merupakan satu badan pemikir yang bertanggungjawab merancang dasar dan memajukan sosio ekonomi negeri Perak. Walaupun begitu dalam jangkamasa singkat dan pembentangan oleh enam orang tokoh dari kalangan anak Perak dan juga oleh Pak Budi Darma dari Universitas Negeri Surabaya, saya merasa amat selesa dan begitu yakin komitmen yang sedang dan bakal dilandasi oleh Kerajaan Negeri Perak di bawah pimpinan YAB Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Festival ini yang julung-julung kalinya dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Perak dan Pulau Pangkor dipilih sebagai lokasi pelaksanaannya. Seperti yang dihasratkan oleh Institut Darul Ridzuan yang diterajui oleh Sdr. Aminuddin Hashim, pelajar terbaik dunia Chartered Institute Management Accountants yang mula beroperasi pada 1 Mei 2009 yang lalu. Pemenang Hadiah Perdana Sastera Malaysia bagi kategori novel, menerusi novel berjudul ‘Daun’, Sdr. Malim Ghozali PK, yang merupakan Felo di Institut Darul Ridzuan bertindak sebagai Pengarah Program ini.

Walaupun saya hanya mampu mengecapi separuh daripada keseluruhan program festival ini kerana terpaksa akur kepada hambatan keibubapaan memandangkan memerlukan kehadiran saya bagi mengurusi hari pertama persekolahan pada pagi Ahad ini. Difahamkan juga YAB Menteri Besar yang akan turut mendeklamasikan puisi pada acara malam ini di samping mengumumkan beberapa ‘kejutan’ kepada warga seniman khususnya di Negeri Perak dan seluruh Malaysia amnya.

Melalui pembentangan oleh Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan, pelbagai usaha bagi memartabatkan karya, kesenian dan pengkaryaan jelas menjadi halatuju yang telah dan sedang dirangka oleh Kerajaan Negeri bagi melonjakkan martabat seni, budaya dan sastera di negeri ini. Festival tiga hari dua malam menghimpunkan nama-nama besar dalam dunia kesusateraaan khususnya puisi, antaranya SN Datuk Dr. Anwar Ridwan, Puzi Hadi, Khalid Salleh, Dr. Ahmad Razali, SM Zakir, Rajeswari Seetha Raman, Marsli N.O, Aripin Said dan ramai lagi yang telahpun berkampung di Puteri Bayu Beach Resort seawal hari Jumaat. Penyair serantau dari Thailand, Singapura dan Indonesia juga diterbangkan bagi menjayakan festival ini.

Sebagai acara kesenian pertama bagi tahun ini, saya amat yakin hasrat dan impian para penggiat seni budaya dan sastera bukan sekadar anjakan, malah boleh dianggap sebagai lonjakan, doa saya usaha seperti ini akan diteruskan dengan bentuk dan pendekatan yang lebih ampuh! Syabas kepada Institut Darul Ridzuan dan Kerajaan Negeri Perak!

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger