Kulit Buku Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah


Minggu lepas selepas Jumaat, saya dipelawa oleh sahabat saya si celikhuruf: http://www.celikhuruf.blogspot.com/ menghadiri majlis pelancaran buku Utusan Karya di Bandar Baru Bangi. Buku Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah-Mastika adalah kompilasi pengalaman menunaikan fardu haji di Mekah. Kisah-kisah ini yang disiarkan dalam majalah Mastika sejak 1996 merupakan himpunan pengalaman suka duka ketika berada di bumi Mekah.

Buku Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah-Mastika setebal 189 halaman memuatkan 27 cerita adalah pilihan terbaik bagi Edisi Pertama. Buku ini dilancarkan bersama oleh penyanyi rock terkenal negara, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman.

27 kisah yang dimuatkan dalam edisi pertama Koleksi Terbaik Cerita Dari Mekah-Mastika yang berharga RM7.50 merangkumi pelbagai dimensi bertujuan mengajak bakal jemaah supaya melengkapkan diri dengan persediaan fizikal, jiwa, mental dan ilmu sebelum menjejakkan kaki ke tanah suci. Pelbagai ujian yang dialami dan diceritakan dalam buku kecil ini mampu mengundang keinsafan kepada pembaca agar lebih berhati dan beradab semasa berada di tanah suci.
 

CERAMAH TANPA TAULIAH ...?

Gambar petikan dari Harakah 23-26 Nov 2009

Selepas berita penahanan Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin yang juga bekas Mufti Perlis oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah pada 1 November lepas, saya agak terganggu dan keliru. Ini bukanlah kerana saya peminat dan pengkagum Dr. Mohd Asri, malah saya tidak pernah berpeluang mendengar ceramah agama atau bersua kelibat bekas Mufti Perlis ini.

Beberapa hari selepas penahanan beliau, saya banyak menghubungi teman-teman saya di negeri-negeri lain. Saya boleh dikatakan mempunyai teman di serata tempat di Malaysia kecuali di Sabah dan Sarawak, dan teman-teman saya adalah dari pelbagai agama dan kaum dan latar kehidupan. Pada teman-teman saya yang beragama Islam saya bertanyakan samada bilangan rakaat solat yang mereka lakukan saban hari berbeza dengan saya di Selangor ini atau adakah mereka tidak perlu berpuasa dalam bulan Ramadhan atau ucapan dua kalimah syahadah mereka berbeza dari yang saya amalkan. Jawapannya semua amalan saya dan teman-teman Islam saya di merata negeri di Malaysia adalah sama dan tidak punya perbezaan kecuali waktu solat yang ‘lari’ beberapa minit berdasarkan lokasi.

Selepas Negara merdeka lebih setengah abad dan pengiktirafan sebagai Negara Islam, wujudnya Jabatan kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) saya rasa tidak keterlaluan jika Islam di Negara kita masih tercari-cari kesamaan di antara negeri-negeri. Bayangkan seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah memberikan khidmat kepada negeri dengan restu seorang Sultan mahupun Raja memerlukan tauliah bagi menyampaikan ceramah di sesebuah negeri yang lain. Bukanlah niat saya mahu mempertikaikan tugas dan tanggungjawab jabatan agama islam negeri-negeri tetapi yang lebih mendukacitakan ialah ketiadaan penyelarasan seragam sesama mereka. Saya berpendapat tauliah di sesebuah negeri tentulah boleh digunapakai (dengan sedikit rujukan dan perakuan) di negeri lain pula.

Raja-Raja Melayu dan Sultan selaku Ketua Agama sesebuah negeri tentulah boleh dinasihatkan bagi tujuan penyelarasan Jabatan-jabatan Agama negeri-negeri di Malaysia. Adakah amalan Islam di Perlis tidak sama dengan amalan seorang Islam di Selangor? Malah ada juga kes-kes Mahkahmah Syariah yang tertangguh begitu lama hanya kerana mereka yang diadu berpindah dari satu negeri ke negeri yang lain dan tidak memungkinkan notis disampaikan kerana tiada keselarasan di antara Jabatan Agama Islam negeri-negeri di Malaysia!


Proses pentauliahan seseorang arif agama bukanlah satu proses yang mudah malah adalah proses yang cukup teliti sebelum watikah tauliah diberikan oleh Sultan mahupun Raja sesebuah negeri, adalah kewajaran bagi sipenerima tauliah di sesebuah negeri diakui oleh negeri yang lain atas dasar kefahaman, amalan dan pegangan agama Islam yang sama!

Adakah penceramah agama yang bertauliah di sesebuah negeri menyesatkan apabila berceramah di negeri yang lain pula? Bukan budaya hedonisme yang hebat lebih menyesatkan?


Nota Kaki: Tulisan ini bukanlah bertujuan mempertikaikan pegangan dan pendirian Jabatan Agama negeri-negeri malah bukan juga mempertikaikan kuasa Raja-Raja Melayu dan Sultan selaku Ketua Agama bagi sesebuah negeri.
 

PROJEK BUKU & DISKAUN 10 PERATUS ...

Adab menyembelih yang betul - Gambar hiasan
diambil dari kamisentiasabersama.blogspot.com



Saya sudah lama terlibat dalam industri buku, sejak dari lahir lagi, apa tidaknya sejak saya dilahirkan saya sudah terdedah kepada dunia perbukuan. Ketika di bangku sekolah saya juga mewah buku sebabnya abang sulong saya bekerja di kedai buku hinggalah saya menamatkan persekolahan menengah saya.

Selepas tidak bekerja makan gaji saya terlibat secara tidak sengaja dalam industri buku (bolehkah disebut industri?), saya terlibat mengedarkan buku-buku bacaan tambahan bagi keperluan pusat sumber sekolah. Secara tidak sengaja pula saya ‘dipaksa’ menjadi penerbit apabila seorang sahabat saya memperkenalkan abang Ramli Mat Nor yang telah siap menghasilkan sebuah buku yang diharap dapat diterbitkan sebagai satu kepuasan dan perkongsian pengalaman. Di sisi lain pula saya bersyukur dengan keterpaksaan ini, kerana ini adalah peningkatan kepada dunia perbukuan saya.

Walaupun baru hanya satu buku yang telah saya terbitkan, tetapi rasanya pengalaman sepak terajang industri buku kita yang kecil ini cukup mengujakan. Iltizam saya ketika berusaha untuk menerbitkan buku yang pertama ialah memberi peluang kepada pengedar dan kontraktor buku supaya diskaun perniagaan mencapai tahap yang memuaskan. Alhamdulillah, Iltizam itu dapat saya penuhi ketika buku saya terpilih untuk dibekalkan kepada Perpustakaan Desa di seluruh negara. Kini buku saya juga terpilih pula untuk dibekalkan kepada sebilangan sekolah-sekolah terpilih.

Bukanlah niat saya mahu memperlekehkan industi buku kita yang kecil ini, tapi kekesalan saya ialah apabila ada penerbit atau pembekal yang buku mereka terpilih memberikan diskaun perniagaan yang tidak masuk akal, saya ulangi tidak masuk akal! Contoh terbaik ialah sebuah penerbit masa hadapan yang hampir sedozen bukunya terpilih dalam kuantiti yang agak lumayan bertindak memberikan diskaun perniagaan yang hanya berjumlah 10 peratus, saya ulang 10%. Diskaun serendah itu agak memalukan industri kita kerana membeli buku sebagai orang awam sahaja pun kita layak mendapat diskaun lebih tinggi dari itu. Saya agak terkejut apabila dimaklumkan perkara ini, ini adalah contoh bagaimana industri buku kita yang kecil ini menjadi medan ‘sembelih’ dan kerakusan.

Samada si penerbit masa hadapan itu tidak faham tentang aspek asas perniagaan atau memang didakap rasa tamak dan kerakusan tahap gaban. Saya kira pihak BBT atau mana-mana agensi yang terlibat dalam pemilihan buku-buku memastikan bahawa kadar diskaun yang diberikan kepada kontraktor-kontraktor buku biarlah berpadanan dan munasabah. Atau mungkin si penerbit masa hadapan ini patut diselidik mengapa dan kenapa hanya diskaun ‘ciput’ sahaja yang ditawarkan kepada kontraktor? Satu lagi ketegasan yang patut diambil oleh pihak BBT ialah menggugurkan penerbit-penerbit seperti si penerbit masa hadapan kerana tidak layak untuk terlibat dalam dunia perbukuan! Apa yang boleh dilakukan oleh para kontraktor buku dengan diskaun niaga serendah itu, diskaun 20 peratus oleh sebuah syarikat yang terlibat dalam proses penswastaan sebuah agensi bahasa pun dipertikaikan, apa tah lagi si penerbit masa hadapan dengan tawaran 10 peratus! Pihak BBT, berbuat lah sesuatu!
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger