NOSTALGIA AMBANG ANIKA JALAN LIKU...






Setelah 10 tahun kita meninggalkan zaman kegemilangan ambang anika jln liku..Teman2 & sahabat2 sekeluarga dijemput untuk menghadirkan diri di majlis hi-tea pd 31 Jan 09 bertempat di singgahsana hotel petaling jaya.kehadiran anda amat2 dialu-alukan agar hubungan ukhwah antara kita dpt dieratkan lg..Sila jawab utk kehadiran sebelum 24 Jan. Maklumat lanjut hubungi rozaimi 012-XXXXXXX, wan 012-XXXXXXX, khanca 017-XXXXXXX


Itulah pesanan ringkas yang saya terima pada 16 Jan 2009 yang lalu menjemput bekas kakitangan Ambang Anika (anak syarikat TV3) yang terpisah sejak tahun 1999. Nostalgia Jalan Liku, memang sukar dikikis dari ingatan kami, kakitangan Ambang Anika seramai hampir 80 orang memang amat rapat kerana semangat setiakawan TV3.

Kilang Rempah, Pejabat NST, Nasi beringin, gadis-gadis seksi Vision Four, APT, Kalari Payat, Studio C, rakaman Muzik-Muzik, Grand Brilliance, warong Jai – inilah yang mewarnai Jalan Liku sepanjang Ambang Anika beroperasi dari Jalan Liku selama hampir 4 tahun sebelum berpindah ke Wangsa Maju. Nota: Jalan Liku ialah di Bangsar, Kuala Lumpur.

Keinginan untuk bertemu sahabat-sahabat sekerja dan anak-anak buah saya memang benar-benar menggamit saya untuk meluangkan masa ke Hotel Singgahsana di Petaling Jaya. Walaupun agak lewat hampir 40 minit, hujan lebat sepanjang perjalanan tidak mampu mematahkan keinginan saya menyertai pertemuan pada kali ini.

Sampai sahaja di lobi hotel, saya terpaku melihat seorang bekas petugas Ambang Anika, Rahizal yang berdengkot-dengkot kerana kemalangan dan kini menerima pencen ilat seumur hidup dari PERKESO, dia dipimpin oleh Roshaly seorang lagi petugas bahagian produksi.


Pertemuan secara santai ini dihadiri oleh 20 orang antaranya: Jamariza, Thila, Maslina, Kancha,Rozaimi, Wan Norazlin, Cik Mat, Zakir, Helmi, Zahida, Hafizah, Zahread, Fazlida, Rizal, Nizam, Chaah, Zul Azri, Rahizal dan Ramli.


Selang-seli menjamu selera ala-buffet kami bertukar-tukar kisah pasca Ambang Anika, masa berlalu begitu cepat walaupun buffet RM35.00 untuk selama 3 jam dari pukul 3 petang.

Seusai hi-tea di hotel Singgahsana, masih ada yang mahu menyambung kisah pasca Ambang Anika, lalu bersantai pula di restoran di Jalan Othman, kami berenam, saya, Roshaly, Wan Norazlin, Rozaimi, Khancha, Rahizal, walaupun hanya dengan minum, kisah pasca Ambang Anika dan teman-teman lain terus bertukar-tukar kisah.

Yang paling membanggakan saya ialah kisah anak-anak buah saya yang dahulunya hanya berkelulusan SPM dan bertugas sebagai pembantu logistik, kini dengan berkat usaha mereka kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar misalnya Zul Azri kini telah menjawat jawatan sebagai Penolong Pengurus di sebuah agensi Kerajaan dan Chaah (Azhar) menjadi penyelaras IT di sebuah syarikat Petroleum. Malah saya difahamkan ada juga kakitangan Ambang Anika kini menjadi ulat buku kerana cambahan minat yang dibajai ketika di Ambang Anika. Kisah seorang pembantu jualan di lapangan menyambung pelajaran ke peringkat Doktor Falsafah memang menguja.

Kisah perkahwinan tanpa anak, perpisahan, kahwin dua, pengalaman kerja di tempat baru, anak autisme, pengalaman tanpa kerja berbulan-bulan, cerita perniagaan, MLM, rumah terbuka, kisah jadi ‘guarantor’ dan ‘blacklist’, kisah bagaimana menganjurkan pertemuan petang itu memang sangat mengujakan, mahu sahaja saya menghentikan gerak waktu dan merakamkannya dalam ‘time machine’ agar mudah untuk diimbas kelak.
Sesuai dengan semangat setiakawan TV3, sambutan ulangtahun kelahiran pada hari ini secara tidak dijangka, kek dua potong dan lilin sebatang menjadi saksi sambutan kelahiran Thila pada hari ini! Happpy Birthday! Happy Birthday! Happy Birthday to Thila!

Kepada semua yang berusaha untuk hadir, semua yang berusaha menganjurkan pertemuan pada kali ini khususnya – Wan Norazlin, Khancha, dan Rozaimi – jutaan terima kasih kepada kalian, moga akan ada usaha sebegini di lain masa dan ketika, InsyaAllah.

Catatan Kaki: Bekas petugas Ambang Anika adalah hasil daripada Skim Perpisahan Sukarela (VSS) TV3 - kumpulan pertama, dan kini akan ada ketidakstabilan ekonomi dunia,dan syukur kepada semua yang masih punya pekerjaan kerana di luar sana ramai yang masih bergelut mencari sesuap buat mengisi perut!
 

LOMPAT-LOMPAT & KUDIS BUTA


Gambar Hiasan: Minuman jenama 'Bota Best' keluaran dari Pekan Bota!

Lompat-lompat lompat katak lompat
Lompat-melompat dalam kolam
Berenang-renang bersukaria
Sambil menyanyi riang
Berenang-renang bersukaria
Sambil menyanyi riang

Karya Mohd Dawam Daldiri
Petikan dari buku :
Skor Lengkap Lagu-lagu Untuk Pendidikan Muzik KBSR,
Hj Abu Hassan Haji Ali – Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd. (2000)

Tiba-tiba sahaja nama Bota menjadi terkenal, apa tidaknya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bota, Datuk Nasaruddin Hashim mengisytiharkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Pelbagai ulasan dan kritikan dilontarkan oleh pelbagai pihak tetapi yang paling mencuri tumpuan ialah komen YAB Perdana Menteri yang kecewa dengan tindakan lompat parti menyifatkan "Orang yang melompat parti pada saya dia telah mengenepikan perjuangan. Kalau orang kuat perjuangan (parti), dia akan menghadapi apa juga keadaan.

"Orang yang begini (lompat parti) memang lemah, satu contoh bukti kelemahan dan kegagalan dalam perjuangan," jelas beliau.

"Jangan hendak jawatan sahaja tetapi tidak sanggup menghadapi masalah. Kita menghadapi pelbagai masalah, masalah yang dihadapi oleh parti, masalah yang kita hadapi sendiri sebagai pemimpin atau ahli parti.

"Kita perlu ingatkan diri bahawa kalau kita hendakkan kejayaan, maka banyak juga pengorbanan yang terpaksa kita lalui," ujarnya.

Dan akhirnya YB Datuk Nasaruddin Hashim yang pernah menjadi Ahli Parlimen Parit, menjadi Ketua Bahagian UMNO dilabel sebagai orang yang lemah perjuangan!

Cadangan saya ialah UMNO dan BN Perak sepatutnya mengadakan Jamuan Rakyat dan kenduri kesyukuran kerana selepas wakil-wakil rakyat yang 'lemah perjuangan' keluar dari partinya, tentulah parti tersebut akan menjadi lebih kuat dan ampuh.

Sepatutnya UMNO dan BN Perak mengambil ruang iklan satu muka surat di akhbar-akhbar untuk mengucapkan terima kasih kepada YB Datuk Nasaruddin Hashim kerana memilih untuk keluar dari parti kerana tindakannya bakal menguatkan UMNO dan BN Perak.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang juga Menteri Luar pula menegaskan tindakan ADUN Bota itu tidak akan menjejaskan usaha-usaha BN memperkasakan parti. ''Saya nak katakan BN masih kuat serta boleh bangkit, dan penyakit 'kudis buta' (keluar parti) itu, insya-Allah, kita akan hapuskannya tidak lama lagi kerana kita ada kemahuan dan kekuatan serta niat yang ikhlas.''

Catatan Kaki: Tahniah kepada YB Bota yang keluar parti yang diwakili untuk menyertai parti pilihannya tetapi yang lebih manis ialah 'membotakkan' kerusi yang diwakilinya untuk memberi laluan kepada rakyat membuat pilihan, itu barulah Yang Berkhidmat!
 

NILAI BERITA & KASUT TIGA PASANG

Gambar Hiasan: Pengilat Kasut (Shoe Polish)

Seingat saya antara kerjaya awal saya yang saya menghadiri temuduga ialah untuk menjadi seorang wartawan di Kumpulan Utusan ketika saya berumur sekitar 21 atau 22 tahun. Antara yang menemuduga saya ialah Sdr. Johan Jaafar (kini Datuk), dan ringkasnya saya gagal mendapatkan pekerjaan tersebut.

Setelah hampir dua dekad selepas itu, ketika saya mempunyai pejabat di Petaling Jaya, terserempak dengan Datuk Johan Jaafar, dan saya sempat berkongsi bahawa saya pernah menghadiri temuduga untuk menjadi wartawan dan ditemuduga oleh beliau. Selepas beberapa kali saya menemui beliau, saya berpuas hati dan bersyukur kerana tidak menjadi wartawan. Seperti kata SN/SR A. Samad Said dalam dedikasi bukunya Hujan Pagi kepada Dr. Harun Derauh: wartawan jati jarang makan gaji, tanpa makan hati.

Dan ketika dunia masih berkecamuk dengan penderitaan rakyat Palestin atau masih menunggu-nunggu apakah langkah Presiden Negara 'Polis Dunia' yang baru, Barrack Hussein Obama ke arah keamanan sejagat. Berita kehilangan kasut bekas Menteri Kewangan – Tun Daim Zainuddin mengisi ruang berita di akhbar Utusan Malaysia. Dua hari berturut-turut akhbar Utusan Malaysia menyiarkan berita kehilangan tiga pasang kasut milik Tun Daim.

Saya bukanlah mempersoalkan mengenai kehilangan kasut dari kediaman yang dikawal oleh empat pengawal keselamatan warga asing ataupun nilai kasut yang hilang mahupun Tun Daim sendiri, tetapi yang lebih mengharukan ialah apakah asas yang menjadikan berita kehilangan kasut tiga pasang ini menjadi berita.

Mungkinlah ilmu kewartawanan saya tidak mencapai tahap Jean Servan-Schreiber, wartawan Perancis yang terkenal mahupun Nicholas Tomalin, wartawan Sunday Times yang tajam dalam laporannya, tetapi naluri pembacaan dan intuisi saya sekurang-kurangnya dapat membezakan nilai berita sebenarnya. Selepas dua hari berturut membaca laporan kehilangan kasut, saya lantas membuat kesimpulan peribadi: berita itu hanyalah sekadar penyendal, yakni 'filler'.

Seperti yang ditegaskan oleh Charles A. Dana, seorang editor yang terkenal, "jika seekor anjing mengigit manusia, itu bukanlah berita, tetapi jika manusia menggigit anjing, itulah berita!"

Catatan Kaki: Tahniah kepada Sdr. Zin Mahmud kerana menerajui Mingguan Malaysia sebagai editornya. Moga wajah baru Utusan dan Mingguan Malaysia mampu menganjak minda Malaysia.
 

EAN, EON, AGRO BANK, ALOR STAR & ALOR SETAR..


Ketika kecoh mengenai bantahan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengajaran Mata Pelajaran Sains dan Matematik, ‘pejuang-pejuang’ bahasa yang telah lima tahun berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu di Negara kita, akhirnya bakal mengambil tindakan perundangan di samping perarakan besar-besaran untuk menyampaikan memorandum bantahan kepada DYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agong, khabarnya pada 7 Mac 2009, nanti.
Saya tidak mahu mengulas panjang berhubung perkara ini kerana telah banyak ditulis dan dibahaskan oleh ‘pejuang-pejuang’ bahasa di Negara kita!

Tetapi yang menariknya kepada saya ialah usaha para ‘pejuang-pejuang’ bahasa di Negara kita yang seolah-olah menghalalkan cara (tanggapan peribadi saya) mengenai bagaimana Bahasa Melayu di kesampingkan (kalau pun tidak dikatakan dibelakangkan). Sebagai contoh, Edaran Otomobil Nasional (EON) sepatutnya EAN – Edaran Automobil Nasional, perkara ini pernah disentuh oleh Sdr. Johan Jaafar (kini Datuk) dalam kolumnya beberapa tahun lalu.


Apabila Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani membuat penjenamaan semula Bank Pertanian kepada nama yang lebih progresif – Agro Bank, seolah-olah perkataan Pertanian yang berbahasa Melayu ini tidak cukup progresif, agaknya! Dan lahir pula ‘Pertaniaan Adalah Perniagaan’.
Baru-baru ini pada 14 Januari 2009, Kerajaan Negeri Kedah memutuskan supaya ejaan nama Alor Star diubah ke nama asalnya, Alor Setar untuk digunakan secara rasmi.

Ejaan asal Alor Setar diubah kepada ’Alor Star’ semasa Datuk Seri Syed Razak Syed Zain menjadi Menteri Besar Kedah pada lewat 1990-an dan ia dikekalkan sehingga Barisan Nasional (BN) Kedah kalah pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

Memanglah ada kewajaran gesaan Persatuan Sejarah Malaysia Kedah, berhubung penukaran nama ini ke nama asalnya ‘Alor Setar’ bagi mengekalkan sejarah ia diambil bersempena nama pokok setar yang ditemui di negeri ini.

Soalnya apakah Kerajaan sedia ada tidak cukup peka untuk mendengar sungutan dan rungutan para ‘pejuang-pejuang’ Bahasa ataupun Persatuan Sejarah Malaysia Kedah, sekadar contoh dalam tulisan ini. Sehingga untuk merealisasikan penukaran nama Alor Setar ke nama asalnya memerlukan Kerajaan Negeri ditukar dahulu, jika itulah realitinya, meminjam cakap si Nabil – Juara Raja Lawak Astro, ‘lu pikirla sendiri!
 

TOLONG JAGA KEBERSIHAN & PENJUAL MINYAK BOTOL!


Gambar ini saya rakam di sebuah sekolah rendah di Putrajaya. Anda tafsirlah sendiri.



Yang ini pula di Bandar Tasik Selatan di pinggir ibu kota. Menjual minyak dalam botol, harga RM4.00 dengan isian botol mineral 1500 ml, itu pun tidak penuh! Sebenarnya langkah penjual ini patut dipuji atas inisiatif keusahawanannya, manakan tidak mengambil peluang apabila ada.

Stesen 'kerang' yang terletak di Bandar Tasik Selatan lebih kurang 1 km dari tempat jualan minyak botolnya telah hampir 3 bulan tidak beroperasi, alasannya yang diletakkan ialah kerja-kerja pengubahsuaian sedang berjalan, namun tiada kerja apa pun yang berjalan!

Dan dengan adanya Kem Tentera, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Maktab Tentera DiRaja, sebuah Sekolah Menengah, dua buah Sekolah Kebangsaan, sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan Cina, sebuah Sekolah Kebangsaan Tamil dan sebuah Sekolah Rendah Agama, saya kira lebih 30,000 (anggaran sahaja) warga Pekan Sungai Besi dan Bandar Tasik Selatan yang merana kerana penutupan 'sementara' stesen minyak 'kerang' itu.

Mungkin Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) boleh melakukan sesuatu bagi mengurangkan kesulitan semacam ini, ataupun jika stesen 'kerang' itu adalah milik pengedar, langkah-langkah sementara boleh dilakukan oleh 'kerang' induk sehingga masalah dengan pengedar tersebut dapat diatasi.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, mungkin boleh membantu merealisasikan impian si penjual minyak botol ini, kerana rasanya belum ada usaha-usaha memperbanyakkan usahawan stesen minyak Bumiputera secara sistematik di MECD. Lagipun ibu pejabat Tekun Nasional hanya sebatang rokok dari lokasi kejadian! Jenguk-jenguklah.


Catatan Kaki: Usaha merakamkan gambar jualan minyak botol pada kali pertama tidak berhasil kerana 'rayuan' si penjual minyak yang khuatir tindakan 'keusahawanannya' mungkin mengundang masalah lain! Gambar ini dirakam dari jarak jauh, bagi mengurangkan masalah si pemilik blog!
 

MENGINSAFI KEMATIAN DALAM ‘MAUT’


(Poster filem ihsan dari budiey.com)

"Katakanlah (wahai Muhammad);"Nyawa kamu akan diambil oleh Malaku'l-Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika habis ajal kamu,kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu (untuk menerima balasan)".

Surah As-Sajdah (Ayat 11)

Selepas sajak ‘Kematian’ menjadi isu di sekolah-sekolah kerana dianggap keterlaluan dan menakutkan murid-murid sekolah, kini muncul Filem ‘Maut’ buah tangan terbaru Badarudin Azmi selepas filem ‘Syaitan’ pada tahun 2007. Filem ini yang terperap hampir dua tahun dan melalui pelbagai halangan di Lembaga Penapisan Filem (LPF) yang menyaksikan lebih 10 babak dipotong disamping perubahan judulnya yang asal iaitu: ‘Malaikat Maut’

'Maut' membuka tirai penayangan filem Melayu 2009 selepas 15 hari tahun 2009 membuka tirainya. Apa yang saya tidak faham kenapa lewat sehingga 15 hari, bukankah filem Melayu bersusun-susun menunggu tayangan.

‘Maut’ merangkaikan tiga buah kisah yang berbeza yang berlaku dalam bulan Syaaban, Ramadan dan Syawal menerusi kaca mata dan pengamatan tiga watak yang berbeza. Simbolik daun gugur ialah kematian.

Membicarakan mengenai kematian, alam barzakh, siksaan kubur dengan elemen-elemen keruntuhan moral anak-anak muda, black metal, bertatu dan gejala sosial di kalangan muda mudi.

Hasrat Bade untuk menghasilkan sebuah filem yang mampu menjentik minda mungkin disalahertikan sebagai membicarakan perkara-perkara yang tidak wajar dibincangkan- perkara-perkara samiyat. Mungkin filem semacam ini perlu diusahakan bersama dengan agensi-agensi kemajuan Islam seperti JAKIM, dan dibuat ala docudrama dan diedarkan ke sekolah-sekolah menengah bagi mendidik para pelajar di peringkat awal lagi.

Walauapapun rintangan bagi menghasilkan sehingga kita mampu menikmati filem ini sepanjang 90 minit dalam pawagam berhawa dingin, adalah suatu usaha terpuji yang sama sekali lari dari filem-filem komersil lain atau filem cinta yang berlambak di pasaran sekarang ini. Tahniah dan syabas kepada Bade kerana ‘Maut’ mampu menginsafi kita terhadap kematian walaupun terganggu dengan hilai tawa anak muda di baris belakang!
 

UMNO, PKR, PAS, LEPAS ITU…DAP?


Itulah urutan kemenangan Pilihanraya di Malaysia sejak PRU 12 tempohari. Selepas UMNO memenangi banyak kerusi di PRU 12, diikuti pula PKR yang memenangi semula kerusi Permatang Pauh yang dikosongkan untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen. Itu pada penghujung bulan Ogos 2008.

Kini selepas penangguhan Persidangan UMNO ke bulan Mac 2009, PAS memenangi pula kerusi P036 Kuala Terengganu. Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen P036 berikutan kematian mengejut penyandangnya, Allahyarham Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia pada 27 Oktober lalu.

Ironinya kedua-dua Pilihanraya Kecil samada di Permatang Pauh mahupun Kuala Terengganu selepas lima bulan, PKR dan PAS menang bergaya dengan penambahan majoritinya. Di Permatang Pauh (P044), PKR berjaya menambah 857 undi berbanding BN yang kehilangan 1,426 undi. Ketika Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR) bertanding mempertahankan kerusi itu pada 2008, beliau memperoleh 30,338 undi berbanding Pirdaus Ismail dari BN yang mendapat 16,950 undi. Bagaimanapun pada pilihan raya kecil, Anwar memperoleh 31,195 undi sementara Arif Shah (BN) mendapat 15,524 undi.

Dalam pilihan raya kecil P036 Kuala Terengganu, PAS memperoleh 32,883 undi - meningkat 949 undi berbanding Mac lalu, 31,934 undi. BN pula mendapat 30,252 undi berbanding 32,562 undi (2008) - hilang 2,310 undi.

Dan lima bulan dari tarikh PRK di Kuala Terengganu akan ada pula Pilihanraya Kecil melibatkan calon DAP pula. Tapi itu hanya ramalan, realitinya tiada siapa dapat menduga. Seperti pemilihan calon PRK samada di Permatang Pauh atau di Kuala Terengganu, ulasannya ialah : CALON YANG TEPAT.

Dengan ‘CALON YANG TEPAT’ telah dua kali Barisan Nasional tersungkur, mungkin betul ungkapan - ‘kita sebenarnya tidak kalah, cuma tidak menang !

Selamat memilih CALON YANG TEPAT !
 

SURAT TERBUKA UNTUK TUAN BARRACK OBAMA - HARAPAN DAN PERUBAHAN



Apa khabar Tuan, harap Tuan dalam keadaan sihat walafiat dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT. Kurang dari 24 jam lagi, majlis pemasyuran Tuan sebagai Presiden Amerika yang ke-44 akan bermula sebaik sahaja jam berdenting 12 kali waktu tengahari, 20 Januari 2009 nanti.

Harapan saya, Tuan akan terus berusaha memperkasakan kebebasan sejajar dengan tema pemasyuran Tuan sebagai Presiden – Kelahiran Kebebasan Baru!, frasa yang Tuan kutip dari ucapan Presiden Abraham Lincoln ketika Perang Saudara Amerika Syarikat.

Sebenarnya kejayaan Tuan menjadi Presiden Amerika Syarikat akan menjadi tumpuan sejauh mana Tuan mampu mengotakan janji-janji perubahan demi Amerika yang baru. Malah perkataan impian dan perubahan telah saling digunakan dengan begitu meluas sepanjang tempoh dua tahun kempen Tuan ke Rumah Putih. Pendirian Tuan berhubung penglibatan tentera Amerika dalam peperangan di Iraq dan sekutu negara tuan di Gaza, walaupun sebelum ini diragui dan dicap sebagai akan sama seperti Presiden sebelum Tuan, saya amat berharap Tuan akan membuat 'kejutan' dan mengubah persepsi buruk ini.

Kejayaan Tuan menerajui negara 'Polis Dunia' adalah kerana janji perubahan yang Tuan canangkan sewaktu berkempen. Jutaan warga Amerika yang menyokong Tuan, menderma untuk kempen-kempen Tuan, menghadiri kempen-kempen sebagai bukti sokongan terhadap Tuan. Harapan saya semoga Tuan akan sentiasa berusaha mengotakan janji-janji yang telah Tuan lontarkan.

Saya tidak mahu menggesa Tuan berhubung hal-hal domestik dalam negara Tuan, tetapi izikan saya mengingatkan Tuan terhadap tanggungjawab Tuan sebagai Presiden negara 'Polis Dunia' saya agak kecewa dengan pendirian negara Tuan yang mengambil pendirian berkecuali ketika resolusi mengenai gencatan senjata di Gaza. Ketika tulisan ini, serangan Israel terhadap Gaza telah masuk hari ke-23, dan ketika Tuan mengangkat sumpah sebagai Tuan Presiden Amerika Syarikat yang baru pada 20 Januari nanti, telah masuk ke hari ke-25. Saya percaya sebagai seorang yang masih tebal dengan sifat ketimuran, Tuan akan melakukan langkah-langkah drastik yang menyenangkan seluruh warga pencinta keamanan di mana sahaja mereka berada.

Saya percaya sikap dan pendirian Tuan amat berbeza dengan Tuan Presiden sebelum ini yang amat gemarkan perang dan peperangan. Semoga Tuan akan menjadi pencinta keamanan yang praktikal dan tidak hanya bersifat slogan dan retorik.

Saya bukanlah mahu merpertikaikan pendirian Tuan sebelum Tuan dimasyurkan sebagai Presiden Amerika, kerana ketika Tuan melawat Israel, Tuan tidak banyak mengiktiraf penderitaan rakyat Palestin dan serangan Israel di Gaza, namun doa saya dan mungkin juga doa setiap warga dunia yang mecintai keamanan, bahawa pendirian Tuan terhadap Israel, Gaza dan rakyat Palestin akan menjadi titik tolak tuan menduduki kerusi Presiden Amerika Syarikat. Selamat Bertugas, Tuan Presiden Negara 'Polis Dunia'!
 

MENGENANG BAPA PEMBANGUNAN MALAYSIA - TUN ABDUL RAZAK

(YAB Dato' Sri Najib dan ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak)

Saya teringat kata-kata YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sewaktu merasmikan program ‘Legasi Tun Razak’ pada 15 Jun 2007 : Dato’ Sri Najib maybe his biological son, but I am his political son.. ( Dato’ Sri Najib adalah anak kandungnya (Tun Razak), tetapi saya adalah anak didik politiknya).

Pada 14 Januari 1976, YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Datuk Hussein Onn, dalam nada sebak dan sedih melalui kaca televisyen dan radio mengumumkan ke pulangan ke rahmatullah, Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdul Razak Hussein di London pada usia 53 tahun kerana penyakit leukemia yang dihidapinya sejak tahun 1969,namun merahsiakannya daripada pengetahuan keluarga kerana tidak mahu kesihatan menjadi penghalang, dan mengenepikan kepentingan diri serta berkorban untuk membina agama, bangsa dan negara.

Tun Abdul Razak akan sentiasa diingati sebagai seorang Perdana Menteri berjiwa rakyat dan tebal dengan semangat untuk membantu rakyat miskin dan terpinggir di Negara ini. Lihat sahaja legasi Tun Abdul Razak di sekeliling kita: MARA, Barisan Nasional, FELDA, Buku Hijau, Buku Merah, FELCRA, Dasar Ekonomi Baru, Rancangan Baru Malaysia, Rukunegara, dan pelbagai program dan perencanaan demi melahirkan Malaysia yang progresif.

Selain kegigihan Tun Razak memacu desa dan kota untuk memenuhi impian bangsa dan negara, Bilik Gerakan Negara, Negeri dan Daerah, Buku Merah, Buku Hijau, Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua adalah contoh pratikal kaedah beliau melaksanakan perancangan pembangunan.

Allahyarham Tun Razak merupakan seorang pemimpin yang jujur, ikhlas dan kuat bekerja demi kepentingan rakyat. Sebagai contoh pada tahun 1962, Tun Razak telah membuat lawatan sejauh 43,000 batu (kira-kira 68,800km) menerusi jalan raya, kapal terbang, helikopter, bot, berbasikal dan berjalan kaki meliputi lawatan ke 45 bilik gerakan negeri dan 118 bilik gerakan daerah di seluruh negara.

Allahyarham Tun Abdul Razak akan sentiasa dalam ingatan seluruh rakyat Malaysia merentas generasi kerana pelbagai kejayaan, dua yang terpenting ialah Tun Razak berjaya membantu menamatkan konfrontasi dengan Indonesia dan menjalinkan hubungan rasmi pertama negara di rantau ini dengan China di mana kedua-dua kejayaan itu menjadi batu tanda bersejarah dalam diplomasi antarabangsa negara.

Semoga roh Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Bapa Pembangunan Malaysia akan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. Amin.

Al-Fatihah.
 

PRIVATE NUMBER, PILIHANRAYA KECIL P 36 & GADIS SEKSI DI STESEN 'KERANG' TAMAN BAIDURI!


Saya tidak berapa pasti samada kita sedar atau separa sedar mengenai penggunaan telefon bimbit kita, yelah samada kira benar-benar menggunakan kemudahan tersebut atau menjadi hambanya. Rasional saya berkata demikian ialah kesungguhan saya menggunakan telefon saya seperti hamba sahaya gayanya. Samada urusan perniagaan, santai atau keluarga samada rasmi mahupun tidak, telefon bimbit saya sentiasa menjadi peneman walaupun terkadang saya tidak membawa dompet saya atau MyKad!

Disiplin penggunaan telefon saya jauh di bawah paras berkawad pelatih PLKN. Namun begitu, sejak akhir 2005 saya telah membuat satu ketetapan bahawa saya tidak akan menjawab sebarang panggilan yang tidak memaparkan nombor si pemanggil, apa saja istilahnya – ‘private number’ , ‘no number’. Malah perkara ini telah pun saya tegaskan berkali-kali kepada teman-teman dan rakan niaga saya yang akan mengadu saya tidak menjawab panggilan mereka.

Rasionalnya apabila ditanya oleh rakan-rakan tadi ialah saya tidak mampu membeli ‘panadol’ sekiranya saya mahu mengurangkan pening kepala saya memikirkan dengan siapa saya bercakap dalam telefon tadi, atau katalah saya dipujuk menyertai skim cepat kaya atau sipenjual kad percutian, mahupun sipenjual insuran tidak beretika. Jadi bagi mengelakkan perkara memeningkan kepala seperti ini saya mengambil ketetapan untuk tidak menjawab panggilan telefon yang tidak memaparkan nombor sipemanggilnya!

Saya sukar menerima justifikasi kenapa sipemanggil tadi tidak mahu nombor telefon bimbit mereka dipaparkan. Apa rasionalnya, bukan ke susah untuk membalas panggilan jika ter 'miss call'. Apa yang mereka takutkan, apa yang mereka khuatirkan.

Sejak dua minggu lalu, akhbar-akhbar sibuk melaporkan mengenai perjalanan Pilihanraya Kecil P 36 – Kuala Terengganu. Menariknya dalam PRK ini ialah laporan pelbagai dimensi: pemilihan calon yang tepat, janji manis PRK, janji manis pasca PRK, pelbagai projek pembangunan yang telah dirancang jauh sebelum PRK, nasihat-nasihat pakar, perang poster, ceramah, malah disulami pula gambar-gambar dengan pelbagai latar: calon menimang bayi, menemui pengundi etnik yang pelbagai, Menteri menyampaikan bantuan yang telah lama dirancang, calon memeluk pengundi, calon menyampai sumbangan, melawat mangsa bencana dan pelbagai lagi gambar-gambar yang meruntun hati dan naluri sang pengundi.

Petang tadi ketika pulang dari pejabat saya mengisi minyak kereta di sebuah stesen minyak kerang dan menariknya ialah apabila seorang gadis seksi (mungkin pandangan kabur sebab penat kerja kot) bertanyakan arah ke sebuah taman perumahan di ibu kota. Saya pun seperti pemandu pelancong yang berpengalaman memberikan arah secara terperinci untuk ke taman yang dimaksudkan. Selepas itu ketika melangkah ke kereta saya, gadis itu berlari anak dan meminta nombor telefon saya (entah-entah si penjual insuran bisik hati kecil saya) saya memberikan kad nama dan meminta nombor telefonnya dan dia pun memasukkan nombor saya untuk di miss call. Sejurus saya melangkah ke dalam kereta, saya mendapat panggilan ‘no number’. Aduh ini tentu gadis seksi tadi!

Catatan Kaki: Tulisan ini ilham dari anak saya yang baru empat hari melangkah ke tadika, katanya hari ini dia belajar membuat topeng!
 

MENJAJAT HATI SEORANG AYAH DALAM 'ABHIYUM NAANUM'

Sebahagian adegan dalam 'Abhiyum Naanum'

Baru-baru ini saya berkesempatan menonton sebuah filem Tamil: 'Abhiyum Naanum' (bermaksud- Abhi dan Aku).

"Abhiyum Naanum" sebuah kisah bagaimana hubungan akrab seorang bapa yang penyayang dengan anak gadisnya dari usia yang kecil sehingga anak gadis itu menjadi dewasa dan melangsungkan perkahwinan.

Kisah yang diceritakan dari perspektif seorang bapa kepada seorang bapa lain beranak kecil yang ditemui secara tidak sengaja di taman ketika dia berjogging. Filem ini menyelit banyak adegan yang boleh dilihat dalam kehidupan seharian seperti mana seorang bapa menghadapi hari pertama persekolahan anaknya. Watak-watak dalam filem bersifat realistik dan senang ditemui dalam kelompok masyarakat.

Nilai kekeluargaan yang jarang dipaparkan dalam filem digarap dengan begitu meyakinkan dan berjaya meninggalkan kesan sinematik yang berpanjangan. Emosi dan kegembiraan seorang bapa membesarkan anaknya telah berjaya dimanipulasi dengan cemerlang dalam filem ini. Lihat saja adegan di mana si anak mengejutkan bapanya di tengah malam dan membawanya menaiki bot sambil menjerit kepada bulan sebagai memenuhi impian si bapa!

Hidup ini indah! Filem dalam apa bahasa pun mampu mengocak emosi walaupun tanpa sarikata dalam bahasa yang kita fahami!

 

APABILA MENTERI SUKAN KURANG SEMANGAT KESUKANAN!

Menteri Belia dan Sukan - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Cadangan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghantar skuad pelapis ke Sukan SEA Laos, Disember ini bukan sahaja kurang disetujui oleh kebanyakan persatuan sukan malah membelakangkan semangan kesukanan dan semangat setiakawan ASEAN.


Sukan dwitahunan itu yang diperkenalkan sejak tahun 1959 dahulunya dikenali sebagai Southeast Asian Peninsular Games dengan hos pertama oleh kota Bangkok. Pada tahun 1977, ketika edisi yang kesembilan sukan tersebut ditukar kepada South East Asian Games di mana negara kita menjadi tuan rumahnya.


Edisi ke dua puluh lima yang bakal berlangsung di Laos pada Disember ini memang mengundang elbagai persoalan misalnya pengguguran acara-acara yang mana negara kita berpotensi meraih pingat emas. Rasional penganjuran sukan ini ialah bagi merapatkan hubungan, kerjasama, persefahaman di kalangan negara-negara ASEAN.


Pemilihan acara sukan oleh sesebuah negara tuan rumah adalah hak dan perogratif mereka sebagai tuan rumah dan sudah tentu terdapat kecenderungan untuk mengenepikan acara sukan yang tidak mungkin menjadi lubuk emas mereka sebagai tuan rumah dan apabila Menteri Belia dan Sukan kita 'melatah' dan menganggap ia sukan yang 'kurang penting' maka apa rasionalnya bersukan tanpa semangat kesukanan yang jitu? Apakah sekadar menjadi Menteri tanpa penghayatan?
 

MINYAK & AIR - BERCAMPUR TIADA!

Saya terserempak dengan dua kain pemidang ini, dan amat menggamit saya untuk merakam dan berkongsi demi manfaat bersama.


Kain pemidang ini saya temui di sebelah stesen minyak yang baru dibuka berhampiran Bulatan Kampung Pandan, mungkin sahabat editor saya Sdr. Rozlan (http://www.celikhuruf.blogspot.com/) boleh komen! Mungkin terlalu ghairah untuk menjadi saudagar minyak?


Yang ini pula saya temui di Saujana Impian, Kajang. Saya tidak mahu mengulas kerana akan menuntut banyak jawapan yang tidak mungkin dapat saya penuhi. Pinjam cakap si Nabil (Raja Lawak - lu pikirla sendiri!)
 

TALI PINGGANG KELEDAR PENUMPANG BELAKANG!

Gambar hiasan: Gambar ini dipilih sebab
keldai dan keledar berkongsi 'anagram' yang sama!

Hari ini kita menyambut Tahun Baru 2009. Hari ini juga penggunaan tali pinggang keledar penumpang belakang mula dikuatkuasa. Yang menariknya peraturan pemakaian tali pinggang keledar disusuli pula dengan kempen kesedaran pemasangan tali pinggang keledar. Berdasarkan kenyataan Kementerian Pengangkutan, sebanyak RM40 juta dibelanjakan tahun sebelumnya (2007), RM45 juta tahun lepas (2008) dan RM45 juta lagi untuk tahun ini (2009), dengan segala alasan dan kewajaran.

Majoriti penggunaan kenderaan di Malaysia ialah kenderaan penumpang dengan kapasiti penumpang seramai lima orang. Flashback sebentar: Dalam ucapan Presiden UMNO pada September 1982, YAB Perdana Menteri ketika itu, YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad pertama kali telah menyarankan matlamat kependudukan 70 juta. Beliau berpendapat bahawa Malaysia akan lebih berjaya dengan penduduk sebanyak 70 juta. Saranan ini kemudiannya telah dijelaskan dan dikemukakan sekali lagi oleh beliau dalam ucapannya semasa membentangkan kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat pada 29hb. Mac 1984. Untuk makluman ketika itu, populasi Malaysia ialah sekitar 14 juta orang.

Unjuran kewajaran ini ialah bagi setiap keluarga mempunyai sekurangnya lima orang anak.

Tulisan ini tidaklah bermaksud mempersoalkan kewajaran peraturan pemakaian tali pinggang keledar belakang ataupun mempersoalkan dasar kependudukan 70 juta.

Dengan majoriti penggunaan kenderaan penumpang berkapasiti 5 orang (yang dibenarkan) adakah sebuah keluarga yang mempunyai lima orang anak (menyahut seruan Kerajaan bagi mencapai matlamat kependudukan 70 juta) terpaksa meninggalkan dua orang anak setiap kali mahu berpergian, atau harus di saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar atau membawa penumpang berlebihan. Setakat tulisan ini, maklumat penyamanan terhadap penumpang atau pemandu kenderaan belum diputuskan (contoh yang baik – Malaysia Boleh!)

Dengan mengehadkan jumlah penumpang kenderaan penumpang kepada lima orang, mungkin akan timbul masalah lain pula, keluarga yang mempunyai lima orang anak atau lebih terpaksa pula mendapatkan kenderaan tambahan, apa kewajarannya. Mungkin ada anak yang terpaksa ditinggalkan bagi mematuhi peraturan seperti pemakaian tali pinggang keledar. Memanglah ada jalan penyelasaiannya – dapatkan kenderaan pelbagai guna pula (MPV) tapi soalnya berapa ramai rakyat negara ini yang mampu memilikinya.


Dan hari ini 01/01/2009, setakat jam 3.18 petang, Utusan Malaysia melaporkan sebanyak 242 saman dikeluarkan berhubung kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar belakang. Menurut Pengarah Penguatkuasa JPJ, Salim Parlan, berkata mulai hari ini, kesemua pengguna kenderaan wajib memakai tali pinggang belakang dan kompaun sebanyak RM300 akan dikenakan bagi pengguna kenderaan yang enggan berbuat demikian.


Soalnya jika penumpang belakang yang bakal disaman, saya percaya anak-anak saya akan mengumpul saman terbanyak kerana akan sentiasa ada dua orang yang disaman setiap kali bertembung dengan penguatkuasa JPJ ataupun saya akan disaman sekiranya pemandu yang dipilih untuk disaman berhubung kegagalan memastikan penumpang belakang tidak memakai tali pinggang keledar mereka. Kepada mereka-mereka yang memegang tampuk kuasa jenguk-jenguklah rintihan rakyat kebanyakan dan jangan hanya membuat dasar dan peraturan dalam bilik berhawa dingin tanpa mengambil kira realiti kehidupan rakyat Malaysia.

Kerajaan sewajarnya menangguhkan penguatkuasaan berhubung perkara ini, agar rakayat tidak terus dihimpit keresahan dan ketidaktentuan bagi membolehkan penguatkuasaan ini dapat diperhalusi dari semua aspek supaya dapat menyakinkan rakyat secara total.


Catatan Kaki: Apabila saman yang dikumpul sudah banyak, proses naik turun mahkamah pula akan jadi isu – sebelum itu, Datuk Suret Singh ada dua orang anak untuk dijual berminat ke? Sila hubungi pemilik blog.
 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger