kaki sakat

Blog ini adalah medan perkongsian pengalaman samada pengalaman kehidupan, membaca, menonton, menghadiri aktiviti seni baik teater, puisi dan kesan terhadap buku-buku, filem-filem, teater dsb. Selamat menikmati Terima kasih.

Khamis, Julai 09, 2009

SELAMAT TINGGAL PPSMI ...


Akhirnya Kerajaan ‘Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan’ dengan segala keberanian membuat keputusan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Walaupun keputusan ini tidak akan berkuatkuasa serta merta seperti masa pelaksanaannya pada tahun 2003, malah akan mengambil masa sehingga 2012, untuk peralihan sepenuhnya.

Sekurang-kurangnya pengumuman ini akan mampu memberi tidur yang lena kepada semua pejuang bahasa dan penentang dasar PPSMI ini. Apatah lagi ia diumumkan beberapa hari menjelang 100 hari kepimpinan Kerajaan ‘Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan’, juga beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihanraya kecil DUN Manik Urai yang bakal berlangsung pada 14 Julai nanti, walaupun bukan berdasarkan pertimbangan politik, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Pelajaran dan Timbalan Perdana Menteri.

PPSMI dengan segala keangkuhan dan kegelojohan pencetusnya telah menimbulkan pelbagai polemik, malangnya tidak ketika diterajui oleh pencetusnya sehingga kepada penggantinya pun tetapi selepas hampir enam tahun perlaksanaanya. Secara peribadi saya tidak nampak apa salahnya dasar ini malah merasakan bahawa sepatutnya diteruskan dengan penambahbaikan khususnya dari segi pelaksanaannya.

PPSMI bukan sahaja menelan berbillion duit rakyat bagi menjamin perlaksanaanya, dikhabarkan paling tidak RM12 billlion (sila rujuk: Berapa kos PPSMI? - http://profabdullah1.wordpress.com/). Saya tidak begitu pasti berapa banyak jumlah wang tersebut, tetapi apapun saya percaya desakan dan tentangan yang sungguh-sungguh terhadap dasar ini tentulah kerana ianya kurang menepati aspirasi rakyat seluruhnya.

Kepada teman-teman pejuang bahasa dan penentang dasar PPSMI, mungkin selepas ini terpaksa pula berjuang untuk memastikan bahawa Bahasa Melayu terus dimartabatkan di bumi bertuah ini!

Selasa, Julai 07, 2009

MUSIM MENUAI…


Sawah Padi - gambar diambil dari petronasadventure.com

Antara usaha awal mantan Perdana Menteri Malaysia yang kelima – Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu menjadi Perdana Menteri ialah penubuhan Institut Integriti Malaysia yang diisytiharkan pada 5 November 2003, dan menjadi realiti pada 4 Mac 2004.

Selepas beberapa lama sehingga melepaskan jawatannya kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, integriti terus menjadi salah satu kata kunci dalam minda seluruh rakyat Malaysia.

Kerajaan Pulau Pinang pada Jun lalu memilih Yusuf Musa sebagai pemenang pertama Hadiah Integriti Pulau Pinang kerana berjaya membongkar penyelewengan oleh seorang kakitangan Mahkamah Syarie negeri itu melibatkan RM500,000. Yusuf Musa, Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang mengesan penyelewengan selepas meneliti fail-fail dalam urusan tugasnya.

Kecemerlangan Integriti yang dirintis oleh Pak Lah tidak terhenti setakat itu, pada 2 Mei 2009, dua orang anggota polis Detektif Koperal Mohd. Surani Sarbini dan Lans Koperal Mohd. Tarmazi Arbayee tidak pernah gelap mata apabila ditawarkan rasuah termasuk wang tunai RM500,000. Habuan itu adalah sebagai dorongan bagi melepaskan sebuah lori yang mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati ia membawa kotak dan bungkusan mengandungi syabu seberat 978 kilogram dengan nilai RM280 juta.


Saya percaya lebih ramai seperti Surani dan Tarmizi di luar sana, tetapi saya juga amat yakin bahawa masalah integriti di negara kita bukan masalah Institut Integriti atau SPRM sahaja, malah integriti mungkin menjadi barah yang ‘membunuh’ jika tindakan Surani dan Tarmizi dikaburi pula oleh pegawai dan pemimpin mereka yang lebih rakus dan menganggap rasuah dan habuan sebagai rezeki yang tidak patut ditolak. Meminjam kata si Nabil Raja Lawak – lu pikirlah sendiri!

MIKAEEL, FARRAH DAN CINTA TAK KESAMPAIAN SEORANG LELAKI…


Dua minggu lepas pada awal pagi Jumaat, jam 5.26 pagi, dunia kehilangan ikon seni - Michael Jackson.

Sukar untuk saya mengatakan saya bukan peminat Michael Jackson walaupun sekadar mengikuti perjalanan seninya sejak saya mula pandai membaca akhbar. Mula menyanyi ketika usia 4 tahun dan terus bergelumang dalam dunia seni sebagai ‘Raja Pop’ sehingga ke akhir hayatnya.

Michael Jackson tidak pernah sunyi dari dari masalah dan skandal malah setiap perlakuannya mempunyai nilai berita yang tinggi. Siapa pernah lupa kisah dia memegang anaknya dibalkoni dalam keadaan yang mencemaskan. Walaupun selepas kematiannya, perihal bagaimana dia menemui ajalnya masih lagi menjadi persoalan: mengambil preskripsi dadah bagi membolehkan kecergasannya sehinggalah kepada hutang dan tuduhan bahawa dia bukanlah ayah sebenar kepada tiga orang anaknya.

Michael Jackson disamakan dengan Elvis Presley yang mati pada usia 42 tahun akibat mengambil dos berlebihan. Kedua-dua mereka dianggap aneh dan misteri. Hari ini Mikaeel dikebumikan selepas hampir 12 hari kepulangannya ke rahmatullah. Moga rohnya dicucuri rahmat. Amin.

Pada hari yang sama ketiadaan Mikaeel, seorang lagi selebriti yang terkenal sebagai salah satu watak ‘Charlie’s Angels’Farrah Fawcett meninggal selepas sekian lama bergelut dengan barah yang menyerangnya sejak sekian lama. Siapa pernah lupa Angel ini yang berambut coklat keemasan, sewaktu saya mula pandai menonton TV dan menggunakan lidi mencocok kawan-kawan yang lambat mengaji kerana tidak mahu terlepas menontonnya kerana TV tidak akan dibuka selagi ada yang belum habis mengaji.

Entahlah dalam usia sekitar 8 atau 9 tahun, saya sudah jatuh cinta dengan si Angel berambut emas ini ketika itu sekitar 24 atau 25 tahun usianya. Tetapi cinta saya hanya bertahan selama sejam tayangan Charlie’s Angel, selebihnya hanyut kerana mandi sungai atau main galah panjang.

Si Mikaeel yang sunyi atau Farrah yang berjaya meruntun hati lelaki saya dan teman-teman memang pernah menghuni ruang nostalgia dalam diri saya. Mikaeel biarpun telah tinggal legenda – kejayaannya meruntuhkan tembok warna kulit dengan stail, bakat, gaya dan egomya yang tersendiri, sesuatu yang sukar ditandingi! Selamat tinggal Mikaeel dan Farrah!

Sabtu, Jun 20, 2009

SELAMAT HARI BAPA

Bapa Kemerdekaan Malaysia - YAM Tunku Abdul Rahman

Esok 21 Jun, hari Ahad ketiga dalam bulan Jun, itu tarikh sambutan Hari Bapa. Sebagai bapa memanglah mengharap ucapan dan hadiah tetapi yang lebih manis ialah kesungguhan anak-anak untuk menjadi anak-anak yang soleh. Itulah harapan arwah ayah saya ketika ditanya mengenai sambutan Hari Bapa sewaktu saya masih di bangku sekolah rendah lagi.

Biar apa sahaja gelaran kepada seorang bapa berasaskan latar agama, sosio dan budaya seseorang, fungsi kebapaan tidak pernah terabai sungguhpun ibu dianggap insan utama seperti yang disebut dalam kitab suci Al-Quran.

Selepas menjadi bapa kepada lima orang cahaya mata, seorang teman saya yang sering menempelak kakaknya yang terlalu memanjakan anak-anaknya, kini baru terasa selepas diri menjadi bapa. Hati seorang bapa memang sukar diteka. Tidak seperti si ibu, tidak banyak puisi dan madah mengenai si bapa, namun bapa tetap kekal sebagai idola dan wira di hati si anak, sekurang-kurangnya itulah tanggapan saya kepada bapa saya.

Kepada semua yang bergelar bapa walau dalam frasa apa sekalipun: SELAMAT HARI BAPA!

HSKU, TETAMU KEHORMAT & INSOMNIA..

Tetamu Kehormat menyampaikan hadiah kepada pemenang -
ihsan akhbar Utusan Malaysia

Semalam saya memenuhi jemputan teman saya untuk menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 (HSKU). HSKU yang telah mamasuki tahun ke-24 penganjurannya memang unik dan dianggap berprestij. Apa tidaknya HSKU mencatat sejarah tersendiri dengan majlis berlangsung di Istana Budaya, ASTRO sebagai penyiar rasmi dan tambahan acara sampingan HSKU iaitu Majlis Baca Puisi yang berlangsung pada 12 Jun lalu dan acara Utusan Sukma Sepagi Bersastera yang bakal berlangsung pada 22, 23 dan 25 Jun nanti.

Majlis itu diserikan dengan kehadiran tetamu kehormat: baca: TETAMU KEHORMAT. Tetamu Kehormat yang dimaksudkan ialah mantan Perdana Menteri, YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali. Saya kira teman saya yang terlibat sebagai sekretariat HSKU tentu dapat tidur lena selepas majlis itu, lain pula dengan saya, saya meninggalkan majlis itu selepas SN/SR baca sajaknya. Bukan apa, saya sudah hilang tumpuan. Saya amat pasti, saya tidak mungkin dapat melelapkan mata kalaupun saya pulang sekitar jam 9.30 malam, dan tepat seperti jangkaan saya saya hanya tertidur sekitar jam 2.00 pagi, sesuatu yang jarang saya alami.

Ucapan Tuan Hugh W. Thomson, Pengerusi Subsidiari-subsidiari Exxon Mobil di Malaysia dan Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan menyebut tidak kurang dari 14 kali, ucapan terima kasih kepada YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sudi hadir ke majlis itu, sesuai dengan status sebagai Tetamu Kehormat.

Seusai ucapan Tan Sri Mohamed Hashim, ialah bacaan sajak oleh SN/SR A. Samad Said berjudul ‘Peludah Bahasa’. Kalaupun saya tidak yang mendapat pendidikan khusus dalam sastera tapi tahu kepada siapa sajak tersebut ditujukan walaupun bukan secara khusus, saya percaya hadirin juga dapat mengagaknya juga.

Saya tidak pasti apa betul pengamatan saya, tetapi meneliti bahasa badan YABhg. Tun dan Tan Sri, saya dapat mengagak sesuatu yang kurang senang dengan sajak SN/SR A. Samad Said tadi, dan emosi saya bergejolak meyebabkan saya hilang tumpuan dan memilih untuk permisi dari majlis itu.
Senarai pemenang HSKU 2008 -
ihsan akhbar KOSMO
Mungkin itu adalah wadah terbaik untuk menyampaikan hasrat SN/SR yang menentang PPSMI melalui sajak ‘Peludah Bahasa’. Tetapi memilih untuk menyampaikan hasrat dalam sesebuah majlis yang dihadiri oleh ‘mangsa’nya yang berstatus Tetamu Kehormat adalah di luar kewajaran dan norma budaya masyarakat Melayu kalaupun bukan Malaysia!

Mungkin ada rasional SN/SR A. Samad Said memilih atau mungkin menghasilkan sajak tersebut khusus untuk majlis tersebut, tetapi inilah pandangan peribadi saya (bukan bertujuan mempertikaikan SN/SR A. Samad Said).

Tuan Thomson yang baru menjejak kaki ke bumi Malaysia ini tahu adab dan sopan dalam majlis seumpama itu, dan memulakan ucapannya dalam Bahasa Melayu walaupun agak kaku tonanya.

Seperti SN/SR A. Samad Said yang memilih untuk membacakan sajak pilihannya, dalam negara demokrasi (pedulilah jika demokrasi NegaraKu semakin menipis dan tercalar), kesukaran saya melelapkan mata memaksa saya berkongsi catatan ini!


Catatan Kaki: Terima kasih kepada teman dari sekretariat HSKU yang memanjangkan jemputan kepada saya. InsyaAllah kalau ada kesempatan akan hadir dalam majlis tahun depan pula, itupun kalau dijemput!

Selasa, Jun 16, 2009

20 JUN - MANIFESTASI PELARIAN

Gambar Ihsan UNHCR

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah menetapkan 20 Jun pada setiap tahun sebagai Hari Pelarian Sedunia. Betullah kata pepatah: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, jika diberi pilihan tentulah lebih seronok di negeri sendiri daripada merantau ke negara orang, sekurang-kurangnya itulah yang diluahkan oleh warga Bangladesh yang membantu saya untuk mengisi minyak kereta ketika berkunjung ke stesen kerang saban kali. Itu cerita pendatang asing yang sah tinggal di negara ini, apa agaknya nasib pelarian yang lari dari sesebuah negara bergolak misalnya, pelarian Rohingya.

Hari Pelarian Sedunia dengan objektif untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat terhadap nasib dan masa depan golongan pelarian di seluruh dunia telah diraikan secara global sejak tahun 2000.

"Real People, Real Needs" Rakyat Sebenar, Keperluan Sebenar, tema yang dipilih untuk mengenang nasib pelarian pada tahun ini - pelarian adalah golongan yang berkeperluan sama seperti anda dan saya. Dengan angka lebih 42 juta pelarian di bawah kanta dan radar tanggungjawab Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR), kekurangan keperluan asas dalam hidup – air bersih, makanan, sanitasi, tempat tinggal, penjagaan kesihatan dan perlindungan dari keganasan dan penderaan memaksa mereka sentiasa bergelut untuk terus hidup secara bermaruah di bumi ini.

Di Malaysia sahaja, mengikut statistik UNHCR setakat 31 Disember 2007, jumlah pelarian berdaftar ialah 164,400 yang mencakupi pelbagai kategori termasuk yang mengharapkan suaka politik. Pelarian Filipina yang kebanyakannya menghuni di perairan Sabah berjumlah hampir 70 ribu, pelarian Myanmar juga berjumlah hampir 70 ribu diikuti Indonesi yang berjumlah lebih 21 ribu orang.

Warga dunia menjadi pelarian melalui pelbagai konflik dalaman dan perang saudara dan perang sesama negara.

Khemah sementara di luar Stadium Nasional, Dili - Gambar ihsan UNHCR

Malaysia pernah menjadi rumah kepada lebih ramai pelarian malah pelarian Vietnam pernah ditempatkan di Pulau Bidung, juga di penempatan berhampiran tol Sungai Besi lebih dua dekad yang lalu. Namun begitu penarafan oleh Jawatankuasa Bagi Pelarian dan Pendatang Amerika Syarikat (USCRI) pada tahun 2008 meletakkan Gred F bersama-sama Thailand, Bangladesh dan China kerana pelarian yang ditahan berkemungkinan dihadapkan ke mahkamah!

Apakah peningkatan statistik pelarian saban tahun, nilai kemanusian warga dunia semakin menipis seperti lapisan ozon?

CINTA IBU HALIMAH SUJUD DI KAKI…

SN Arena Wati - meninggalkan khazanah sastera yang cukup gah dan bernilai
meninggal dunia pada 25 Januari 2009)


Selepas menyertai Seminar Pemikiran Sasterawan Negara: A Samad Said pada 13-15 Mei 2008, pada 9 dan 10 Jun pula seminar yang sama berlangsung dengan membincangkan pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati.

Memanglah banyak penambahbaikan berbanding seminar A. Samad Said pada tahun lepas, yang paling ketara ialah kehadiran Ketua Pengarah DBP yang turut merasmikan seminar pada kali ini.

Sepanjang dua hari berseminar (saya memang meluangkan masa bagi seminar ini) banyak yang dikupas mengenai SN Arena Wati yang sangat prolifik berkarya, puluhan novel, cerpen, esei, drama dan syair.

Saya tertarik dengan kisah cinta SN Arena Wati dan isterinya Ibu Halimah Sulong yang dinikahinya pada tahun 1954 dengan empat syarat yang harus dipenuhi oleh SN Arena Wati: hendaklah sanggup meninggalkan keluarga untuk tinggal bersamanya, sanggup menjadi rakyat Tanah Melayu, hidup bersamanya hingga mati, dan sedia untuk berbakti kepada Tanah Melayu.

Uniknya kisah cinta Ibu Halimah di tahun 50an ialah kesanggupan Ibu Halimah yang ketika itu menjadi guru untuk pergi ke Makasar seorang diri untuk mengambil dan seterusnya menikahi Arena Wati pada 20 Mei 1954 bersamaan 17 Ramadan 1373, selepas perkenalan hampir 5 tahun.

Sebagai seorang gadis melayu yang hidup dalam lingkungan adat, budaya dan tradisi tentulah dianggap tidak manis dan tindakan Ibu Halimah dianggap luar biasa.

Kisah cinta Ibu Halimah dan Arena Wati memang cukup membuka mata, apa tidaknya kalau hal ini berlaku pada masa ini (itupun ada yang tidak berani membelakangkan keluarga!) tentulah dianggap biasa, tetapi tindakan seorang gadis pingitan pada tahun 1954 memang luar biasa keberanian dan cintanya.

Seminar selama dua hari merangkumkan 30 kertas kerja yang mencakupi pelbagai aspek dalam karya Arena Wati, tetapi insiden pada hari pertama selepas ucaptama oleh Prof. Dr. Kamaruddin Mohd Said memang cukup menghibakan.

Episod memalukan ini berlaku pada sesi kedua selepas pembentangan semasa soal-jawab terhadap pembentang A. Halim Ali. Seorang peserta seminar dari Makasar, bertanya tentang tiga hujung yang menjadi falsafah dan ikutan masyarakat Makasar di perantauan. Tiga hujung yang dimaksudkan ialah hujung lidah (lisan), hujung pena (tulisan) dan hujung kemaluan (zuriat). Apakah ada kombinasi penggunaan tiga hujung ini terpancar dalam karya Arena Wati, khususnya dalam karya Endang Gulingku (1991- Penerbit UKM).

Sdr. A. Halim Ali yang membentangkan kertas kerja ”Kemudi Perjalanan Hidup Arena Wati Dalam Enda Gulingku” sebelum itu, baru sahaja ingin menjawab persoalan tadi, tiba-tiba terganggu (malah kami dalam dewan seminar itu turut tergamam) apabila anak lelaki Arena Wati dengan muka marah dan bengis (kayak orang Bugis), memanggil si peserta yang juga tetamu dari Makasar dan memaksanya bersujud memohon maaf dari ibunya – Ibu Halimah.

Tidak cukup dengan itu, si anak tadi mengarahkan peserta itu keluar dari dewan seminar serta merta. Akibat insiden menghibakan ini, kesemua peserta dari Makasar yang berjumlah 16 orang telah tiada dalam dewan seminar sehingga selesai pada hari kedua seminar tersebut.

Secara peribadi saya amat terganggu dengan insiden tersebut sehingga pada hari kedua, apabila Tuan Haji Razali Endun bertanya sesuatu dan memberi komen yang tidak begitu positif hingga menjadi usikan yang menyeronokkan ketika makan tenghari!

Paksaan untuk sujud di kaki memanglah mengaibkan si pelakunya atas alasan apa sekali pun, tiada hak memaksa seseorang sujud di kaki manusia. Manusia hanya berhak sujud pada Tuhannya. Apakah ini cakra waruga Bugis yang sangat dibangga-banggakan dan diwariskan oleh Arena Wati lewat karya-karyanya? Dewan Bahasa dan Pustaka selaku penganjur wajar di beri pujian mengendalikan seminar ini, tetapi insiden hitam memang sukar dikikis dari ingatan. Sebagai pencinta sastera Malaysia, saya memohon maaf kepada tetamu dari Makasar dan rombongannya atas penghinaan yang menimpa mereka.

”Ambil secawan ehsan. Adun dengan kasih sayang. Kukus dalam dandang kesabaran. Jerang atas tungku iman kepada Allah. Hidang dalam dulang senyum riang. Suap dengan tangan kemahiran. Kunyah dengan mulut yang bestari. Maka bergembira dan bersyukurlah, kerana dengan itu engkau telah menikmati rezeki yang direstui...”

(petikan dari novel Begawan (1996), m/s: 81)

Isnin, Jun 15, 2009

MENUNGGU KATA DARI TUHAN..


Gambar-gambar diambil dari: http://www.flickr.com/photos/zahirudin/

Jumaat lepas, saya menerima pesanan ringkas awal pagi dari Sdr. Dinsman yang mahukan saya menguar-uarkan teater MENUNGGU KATA DARI TUHAN. Saya sendiri belum berkesempatan menghayatinya, hambatan tugas dan kesihatan sering tidak mengizinkan. Khabarnya teater ini telah dipentaskan di beberapa lokasi tetapi yang uniknya ialah inilah teater pertama (serasa saya, harap betulkan) yang dipentaskan di dalam masjid, kali pertama di Masjid Batu, Permatang Pauh pada 30 Mei lepas.


Pementasan dalam masjid kali ini akan diadakan seperti berikut:

Lokasi: Masjid Kg. Tunku, Sungai Way, Selangor

Tarikh: 27 Jun 2009 (Sabtu)

Masa: Selepas Solat Maghrib

Pelakon: Sabri Yunus Pemuzik: Sani Sudin

Harap dapat meluangkan masa untuk menghayati teater ini.

Sabtu, Jun 06, 2009

BINGKISAN DARI MUKTAMAR...



Hari ini saya meluangkan masa melawat Muktamar PAS ke-55 yang berlangsung di Stadium Shah Alam, bukanlah atas tiket politik, bukan juga sebagai simpatis tetapi lebih sebagai pengunjung biasa-biasa sahaja untuk melihat gerai-gerai jualan yang mengambil peluang memperagakan bahan jualan - dari tudung, pakaian wanita, minuman kesihatan, buku-buku politik dan pelbagai jenis barangan.

Seperti juga ketika Perhimpunan Agung UMNO yang penuh sesak dengan pengunjung untuk melihat barangan yang dipamer, seperti pesta adanya memang menggamit hati.

Berkunjung ke Muktamar pada kali ini saya sempat membeli sejumlah buku sebagai bahan bacaan dan koleksi. Antaranya ialah Fenomena Nizar dan Wajah Baru Politik Malaysia.

Fenomena Nizar terbitan Jun 2009 melihat perjalanan politik bekas Menteri Besar Perak: Datuk Seri Ir. Mohd Nizar Jamaluddin. Merakamkan perkhabaran dan pergolakan politik di Perak. Dua speaker, dua Menteri Besar, cabar mencabar di Mahkamah, mesyuarat bawah pokok, semua dirangkum dalam buku kecil ini. Nama Nizar sudah semacam ikon. Tidak ramai di luar lingkungan PAS mengenali dan tahu mengenai NIzar sebelum 8 Mac 2008, yakni sebelum PRU 12. Tetapi segalanya berubah apabila terpilih mengetuai Perak sebagai Menteri Besarnya selepas perkenan oleh DYMM Sultan Perak.

Rentetan peristiwa sehingga memaksa Perak berMenteri Besar dua, berspeaker dua. Yang lainnya telah kita semua faham dan maklum. Rakyat Perak dan seluruh negara masih menunggu tindakan pembubaran DUN Perak yang dianggap paling wajar bagi menyelesaikan kemelut ini.



Wajah Baru Politik Malaysia tulisan Ahli Parlimen Parit Buntar Dr. Mujahid Yusuf Rawa mengupas landskap politik Malaysia khususnya selepas Tsunami Politik pasca PRU 12 yang lalu.

Buku-buku terbitan Anbakri Publika (http://www.anbakri.com/) yang begitu prolifik menerbitkan buku-buku walaupun baru ditubuhkan. Syabas.

Jumaat, Jun 05, 2009

APA KHABAR PEMBULI JALAN RAYA..?

“APA khabar?Lupa banyak. Bicara sikit" kata Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang merupakan presiden kulit hitam pertama di Amerika dalam loghat Indonesia - catatan wartawan The Star, Shahnaz Habib.

Hari ini bacaan The Star saya terganggu kerana berita di muka surat 3 - Road bully in his 30s assaults 72 year old man. Pembuli Jalan cederakan warga tua berusia 72 tahun. Apa ini kata saya. Mana hilang rasa hormat kepada warga tua yang dilaungkan dalam kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita! Sekadar slogan?

Walauapapun saya benar-benar terganggu dengan berita itu. Sdr. Rocky Bru (http://www.rockybru.com.my/) dalam blognya memberikan butiran mengenai pemandu yang biadap dan menakutkan. Pihak polis seharusnya menggiatkan usaha untuk menahan pemandu ini. Butirannya:



TOYOTA AVANZA




WARNA HIJAU

NO. PENDAFTARAN: WRW 8402

PEMANDUNYA: USIA 30AN
LOKASI KEJADIAN: DAMANSARA DAMAI


Jika anda tahu mengenai pemandu ini atau kenderaan yang dinyatakan anda mungkin berhadapan dengan pembuli jalan. Laporkan segera ke balai polis berhampiran.

Apa khabar pembuli jalan raya, lenakah tidurnya?