PILIHANRAYA KECIL P132 PORT DICKSON PENUHI AGENDA NEGARA
Ramai
yang melihat dan mengikuti dengan rapat perjalanan politik mantan Timbalan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak beliau dipecat dari kabinet
pada September 1998. Selepas menunggu
selama dua dekad, semalam Parti Keadilan Rakyat mengumumkan bahawa Datuk Seri
Anwar Ibrahim bakal bertanding di kerusi Parlimen P132 Port Dickson. Kerusi ini dimenangi oleh calon PKR – Datuk Danyal
Balagopal Abdullah pada Pilihanraya Umum yang baru lalu dengan majoriti
sebanyak 17,710 undi.
Sebenarnya
tiada apa yang memungkinkan pemegang kerusi ini mengosongkan kerusinya selain memberi laluan kepada Presiden partinya bagi
membolehkan menjadi Ahli Dewan Negara dan seterusnya diangkat menjadi Perdana
Menteri Malaysia yang ke-8. Itu sahaja,
tiada agenda lain.
Pilihanraya
Kecil seumpama ini bukanlah perkara yang baru, ianya telah dilakukan
berkali-kali, namun yang menariknya pada kali ini adalah pilihan Datuk Seri
Anwar Ibrahim untuk bertanding di kerusi Parlimen P132 Port Dickson yang bakal
menjadi denai laluannya ke Parlimen.
Parti
PAS melihat bahawa mengadakan pilihanraya kecil khususnya yang terbaru sebagai
satu pembaziran wang dan masa rakyat.
Betul, hal ini memang tidak dapat dinafikan. Siapa pun tidak dapat menyangkal bahawa
mengadakan pilihanraya kecil apatah lagi dalam keadaan sekarang tentulah
dilabel sebagai pembaziran.
Memanglah
benar, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir memberikan tempoh memerintah hanya
untuk dua tahun sahaja sebelum peralihan kuasa dapat dilakukan. Namun siapa sahaja yang pernah bersemuka dan
melihat sendiri keadaan Tun Dr. Mahathir tentu dapat menerima bagaimana
perlunya perjalanan Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Parlimen perlu disegerakan.
Dengan usia mencecah 93 tahun, walaupun masih
kuat daripada segi mentalnya, namun fizikal Tun Dr. Mahathir tentulah tidak
dapat dibohongi. Memanglah rakyat
melihat keadaan Perdana Menteri di kaca televisyen, namun hakikat keadaan
fizikal beliau walaupun tidak merosot, jelas kelihatan pergerakannya yang
terbatas.
Adakah
kita sebagai seorang anak mahu melihat ‘bapa’ yang berusia 93 tahun, mahu terus
dihambat memikirkan hal-hal negara jika pilihan untuk penggantinya telah
tersedia.
Rakyat
Malaysia tentulah tidak lupa bagaimana munculnya Parti Keadilan Rakyat yang
menggunakan simbol ‘mata’ daripada insiden ‘lebam mata itu’. Tidakkah mereka boleh berfikir secara
rasional bagaimana hak politik Datuk Seri Anwar Ibrahim dinafikan selama dua
dekad. Apakah Tun Dr. Mahathir mahu
terus diheret dalam usia emasnya.
Pandangan
peribadi saya, pilihanraya kecil P132 Port Dickson atau apa sahaja kerusi yang
difikirkan wajar harus dilihat sebagai sesuatu yang mendesak demi memastikan
kesinambungan politik dan memenuhi agenda negara supaya peralihan kuasa dapat
dilaksanakan secara tertib.
Biarlah
Tun Dr. Mahathir diberikan ruang secukupnya untuk berehat dan menikmati hasil
usahanya menerajui Pakatan Harapan dalam usaha menumbangkan regim Barisan
Nasional dalam pilihanraya umum yang baru lepas. Selepas lebih enam dekad Barisan Nasional
memerintah negara, menafikan kemenangan BN bukanlah satu hal yang mudah dan
remeh, Tun Dr. Mahathir berjaya melakukannya.
Jika
parti PAS menganggap bahawa pilihanraya kecil P132 Port Dickson sebagai satu
pembaziran, sepatutnya memilih untuk memberi laluan supaya Datuk Seri Anwar
Ibrahim menang tanpa perlu pertandingan, tentulah parti PAS akan sentiasa
dikenang dalam sejarah politik negara sebagai parti yang menyelamatkan duit
rakyat.
Gaya
berfikir PAS tentulah lebih ke hadapan, pilihanraya kecil memberi laluan untuk
bakal Perdana Menteri – membazir, membeli dan menggunakan kereta Mercedes Benz
adalah satu keperluan!
Selamat
berpilihanraya kecil P132 Port Dickson!
Ulasan