AL-QURAN, SUDOKU & ILHAM KEHIDUPAN ...

Kitab Suci Al-Quran




Kegilaan 'Sudoku'

Saya bukan ingin mencanang diri sendiri, tetapi ketika saya masih di bangku sekolah rendah, saya telah mampu menghafal Surah Yasin yang berjumlah 83 ayat. Itu dulu, dan kini saya memerlukan Surah Yasin bagi membaca Yasin. Apabila latihan membaca Al-Quran dan usaha untuk hafalan tidak dilakukan, itulah jadinya. Namun saya kini berusaha untuk kembali menghafal Surah Yasin.

Selepas saya menjadi pengguna aktif iPhone, saya sentiasa bereksperimen dengan pelbagai aplikasi dalam iPhone saya. Antaranya ialah menggunakan aplikasi Al-Quran. Aplikasi Al-Quran dalam iPhone merupakan bacaan dan terjemahan lengkap kitab suci Al-Quran yang bukan sahaja boleh dibaca malah boleh diperdengarkan bacaannya oleh qari-qari tersohor. Maka menjadi rutin saya menggunakan aplikasi ini bagi membolehkan usaha hafalan ayat-ayat suci Al-Quran.

Selain menggunakan pelbagai aplikasi dan e-book yang didatangkan dengan iPhone, saya juga memuat turun pelbagai permainan minda. Salah satu permainan minda yang menjadi kegilaan saya ialah ‘sudoku’. Saya memang pengemar tegar permainan ‘sudoku’ sejak pandai bermainnya. Malah ruangan ‘sudoku’ di akhbar-akhbar sering menjadi contengan saya. Apabila terdapat versi percuma permainan sudoku ini yang boleh dimuat turun, saya dan anak-anak saya tidak melepaskan peluang.

Sudoku adalah permainan minda dan silangkata pernomboran berasaskan logik. Objektifnya ialah mengisikan nombor-nombor dari angka 1 hingga 9 dalam petak-petak secara menegak dan melintang . Setiap nombor pada setiap baris sama ada menegak atau melintang hanya boleh ada sekali sahaja. Cabarannya ialah bagaimana melengkapkan angka-angka ini dengan pantas dan tanpa kesalahan. Namun begitu dalam versi iPhone, tiga kali kesalahan masih dianggap ‘perfect’!

Malah terdapat juga keadaan kita perlu mengagak ‘trial and error’ bagi mendapatkan nombor untuk diisi dengan betul. Seperti realiti kehidupan kadang-kadang kita perlu dan terpaksa belajar dari kesilapan bagi membetulkan langkah seterusnya. Saya kira berasaskan analogi inilah bagaimana Rumah Harapan yang sekarang didebatkan pelbagai pihak dengan pelbagai pandangan pro dan kontra tentang misi dan visi Rumah Harapan ini diwujudkan bagi memberi harapan dan peluang kedua seseorang itu membetul dan menyedarkan kesilapannya! Syabas kepada Kerajaan Negeri Melaka yang telah berusaha mengwujudkan rumah ini.

Walaupun saya agak lama bermain sudoku dalam versi cetak, tetapi apabila bermain versi di iPhone, makin banyak yang boleh menjadi ilham dan melayari kehidupan ini dan hubungkait dengan kehidupan seharian. Begitu juga Al-Quran, keghairahan untuk menambah surah-surah hafalan lebih teruja berbanding membaca naskhah cetak Al-Quran di samping menghayati terjemahan Kitab Suci Al-Quran.

Strategi yang digunapakai di dalam permainan sudoku juga boleh dipraktikan dalam kehidupan seharian selain daripada kesungguhan untuk menyelesaikan sudoku ini adalah seperti mencari jalan keluar dari pelbagai kemelut kehidupan, di dalam sudoku angka-angka di kanan kiri, atas dan bawah menjadi petunjuk untuk memasukkan angka yang seterusnya. Betullah sudoku hanya ciptaan manusia yang dicipta Allah SWT, sesungguhnya Kitab Suci Al-Quran menyimpan pelbagai rahsia untuk ditafsir dan digunapakai dalam kehidupan ini.

Malah realiti dalam sudoku yang membenarkan tiga kali kesalahan dan masih dianggap ‘perfect’ mungkin juga bertolak dari realiti kehidupan sebenar apabila seseorang itu – jatuh bangun, jatuh bangun, jatuh bangun untuk kembali berlari dalam kehidupan yang serba pantas ini!


 

KECIK-KECIK TAK NAK MAMPUS …

Maaflah kerana tajuk entri yang kurang sopan, bukan niat saya memilih tajuk entri sedemikian, tapi itulah realiti suara hati saya. Membaca dan mendengar kisah ibu bapa tiga remaja yang berusia 14 tahun hilang selepas keluar membeli pakaian raya.

Sebenarnya tiga remaja yang dimaksud tidak hilang malah memilih secara sukarela untuk hilang kerana dikhabarkan berkunjung ke rumah kenalan lelaki mereka di Teluk Intan. Mereka khabarnya sering menghubungi dan dihubungi rakan-rakan sekolah, malah pernah memberitahu supaya keluarga tidak bimbang kerana mereka akan pulang juga akhirnya. Itu yang dikhabarkan lewat pesanan ringkas kepada teman-teman mereka!

Ibu seorang daripada remaja tersebut, Che Norliah Che Mat, 47, berkata, dia tidak lalu makan dan tidak lena tidur kerana mengenangkan anak perempuannya itu.

‘‘Sekarang saya tak ingat lain, apa pun yang berlaku, saya minta sangat-sangat agar mereka pulang, kami tak marah,”

Pada hari Isnin lepas, pihak polis telah pun menemui ketiga-tiga remaja ini berserta dua orang kenalan lelaki di sebuah rumah di Pulau Pinang. Mereka khabarnya baru sahaja mengenali kenalan mereka dalam tempoh kurang sebulan!

Kini baru saya faham, mengapa ada kes-kes di mana anak-anak perempuan dibakar di Pakistan, India dan di negara Arab hanya kerana memilih untuk mengikuti kenalan lelaki mereka yang tidak direstui oleh keluarga, kerana pada tanggapan masyarakat mereka, lebih baik mati daripada mendapat malu!

Bayangkanlah bagaimana bimbang seorang ibu apabila anak gadisnya yang baru berusia 14 tahun dan di bangku sekolah, ‘hilang’ setelah keluar dari rumah untuk urusan yang telah dimaklumkan. Dikhabarkan juga seorang ibu remaja yang ‘hilang’ ini yang merupakan penjual nasi lemak begitu lemah kerana tidak berselera untuk menjamah makanan kerana saban masa fikirkan perihal anaknya, dan si anaknya pula berseronok ke sana kemari dengan kenalan lelaki, betullah kata: KECIK-KECIK TAK NAK MAMPUS, BESAR MENYUSAHKAN EMAK BAPAK!

(Nota Kaki: Apologi kepada Sdr. Uthaya Sankar SB kerana gagal menggunakan Bahasa Melayu yang betul!)

 

ITNM, PENCINTA BUKU & TANGGA 30 TAKAH …

Semangat 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan

Hari Selasa lepas, selepas sekian lama begitu terhambat dengan kesibukan bekerja, saya mengambil kesempatan daripada situasi kurang sibuk selepas Hari Raya untuk menghadiri Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 yang diadakan di Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM). Khabarnya seminar ini, yang diusahakan oleh Komuniti Buku Online adalah buat kali keempat diadakan sejak tahun 2006.

Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010 yang memfokuskan budaya membaca karya terjemahan dirasmikan oleh Datuk Mohamed Nor Khalid, kartunis Lat yang menyampaikan ucaptama bertajuk: Penghayatan Karya Terjemahan Melalui Watak Komik. ITNM yang telah beberapa tahun berkunjung ke Pesta Buku Frankfurt telah melancarkan karya Datuk Lat, Kampung Boy dalam versi terjemahan di pesta tersebut pada tahun lepas. Datuk Lat mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya dan bagaimana idea dicetuskan bagi menghasilkan Kampung Boy yang sebenarnya adalah koleksi kartun-kartun beliau yang disiarkan di dalam akhbar New Straits Times sejak tahun 70an.

Seminar sehari ini menghimpunkan sepuluh kertas kerja mencakupi pelbagai aspek pembacaan karya-karya terjemahan dan dari pelbagai perspektif – penterjemah, pembaca dan pengarang. Pengalaman proses penterjemahan Pengembaraan Ibnu Batutah yang disampaikan lewat kertas kerja berjudul: Pengalaman Estetika Membaca Karya-karya Terjemahan Perspektif Penterjemah oleh Tuan Syed Nurul Akla Syed Abdullah yang menterjemahkan karya besar itu yang mengambil masa hampir sepuluh tahun dan melalui pelbagai pengalaman oleh penterjemahnya. Kisah pemilihan kosa kata yang tepat misalnya ‘jana bijana’ yang digunakan dalam Pengembaraan Ibnu Batutah merujuk kepada tanah kelahiran.

ITNM yang menjadi tuan rumah tidak menghampakan walaupun khabarnya ramai yang tersesat dan lewat sampai. Seminar yang diadakan di tingkat 6 bangunan ITNM itu sebenarnya tidak boleh dinaiki dengan lif, naik ke tingkat 5 dengan lif dan panjatlah tangga untuk ke tingkat enam, apa ada hal satu tingkat aje, sebenarnya banyak ‘hal’ kerana ketika saya menaiki tangga ke tingkat enam, saya terkejut apabila beberapa petugas ITNM sedang mengangkat kerusi roda seorang peserta seminar. Bayangkan lebih tiga puluh anak tangga yang terpaksa diharungi oleh anak-anak muda ITNM ini, syabas! Selepas memasuki dewan seminar pula, mata saya tersorot kepada satu sosok tubuh di atas pentas yang juga berkerusi roda – salah seorang moderatornya, Sharom TM Sulaiman.

Rupanya komuniti pembaca di Malaysia sebenarnya amat gigih lewat Seminar Pencinta Buku Malaysia 2010, walaupun terpaksa berkerusi roda dan tanpa kemudahan, namun semangat membaca amat dalam walaupun terpaksa melepasi tiga puluh anak tangga di ITNM ini. Syabas! Sila betulkan kenyataan : Rakyat Malaysia Malas membaca?

 

1 MALAYSIA SEKADAR LABEL & SLOGAN?


“1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.” – YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia

Apabila gagasan 1Malaysia diperkenalkan YAB Perdana Menteri selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada 2008, ramai yang menganggapnya sebagai satu gagasan yang mampu mengangkat dimensi perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini ke tahap yang lebih tinggi. Malah gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan memungkinkan perpaduan boleh dipupuk berasaskan gagasan ini. Tentulah seluruh rakyat Malaysia turut merasakan semangat ‘kekitaan’, apatah lagi dilaungkan oleh pemimpin nombor satu!

Selepas beberapa ketika satu demi satu 1Malaysia muncul, kelab, yayasan, nombor pendaftaran kenderaan, klinik, dan yang terkini ialah susu 1Malaysia – ketika melancarkan Program Juara Rakyat peringkat negeri Sabah di Sandakan pada 16 September yang lalu. Antara lain tujuan susu 1Malaysia penting bagi melahirkan generasi baru negara yang lebih kuat, tegap dan cerdas, dan dinamik. Saya bukan mempertikaikan kepentingan susu kepada kanak-kanak, malah susu telah diketahui sebagai sumber kalsium yang tinggi. Saya juga tidak mempertikaikan program susu sekolah ini, program susu sekolah bukanlah sebuah program yang baru. Malah saya tidak mahu mempertikaikan kemampuan Sabah sebagai negeri pengeluar susu terbesar di negara ini. Program bantuan susu telah bermula sejak tahun 60-an lagi dan telah memberi impak positif terhadap perkembangan tumbesaran kanak-kanak terutamanya kanak-kanak miskin dan kurang berkemampuan. Program ini kemudiannya telah dikenali sebagai Program Susu Sekolah mulai tahun 1981.

Namun begitu Program Susu Sekolah tidak pernah sunyi daripada pelbagai masalah sepanjang pelaksanaannya. Pernah beberapa kali dihentikan akibat keracunan kepada murid-murid yang meminumnya sehingga Kementerian Pelajaran mengambil keputusan memberhentikan Program Susu Sekolah serta merta pada Ogos 2007.

Malah, Timbalan Menteri Pelajaran pernah memberitahu Dewan Rakyat bahawa Program Susu Sekolah ini akan ditangguh sehingga pengilang terbabit mematuhi syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan sijil "Hazard Critical Control Point" (HACCP), selain memastikan edaran dan penyimpanan yang sesuai dengan keperluan susu yang dibekalkan. Itu ialah apa yang dilaporkan pada April tahun ini.

Soalnya bukanlah mengenai susu yang bakal memberi manfaat kepada ramai murid-murid sekolah randah di seluruh negara bermula bulan hadapan, tetapi ialah reputasi susu yang bakal dibekalkan, bolehkah dijamin akan tidak berulang insiden yang membabitkan kualiti susu tersebut sehingga menjejaskan kesihatan dan mengakibatkan kemudaratan kepada murid-murid ini. Apakah piawaian susu 1Malaysia ini akan jauh lebih baik daripada yang dihasilkan oleh pengilang-pengilang bertaraf multinasional? Apakah kita begitu mudah melabelkan susu yang belum terbukti piawaiannya sebagai susu 1Malaysia?

Kita tentulah tidak mahu, label 1Malaysia menjadi begitu murah dan mudah digunakan sewenangnya berbanding matlamat ketika gagasan ini diperkenalkan pada asalnya. Selepas ini mungkin pelbagai lagi produk akan dilabel dengan 1Malaysia, misalnya selipar 1Malaysia! Apabila kualiti susu 1Malaysia mengalami masalah seperti program susu sebelum ini – maka imej 1Malaysia akan dilihat sebagai satu bahan jenaka, sekurang-kurangnya itulah tanggapan daripada aspek pemasaran! Selamat menikmati Susu 1Malaysia, Oktober nanti.

Nota Kaki: Tulisan ini tidak bermaksud memperlekeh gagasan 1Malaysia, YAB Perdana Menteri, sekadar pandangan peribadi dan tidak bermaksud melukakan hati penyokong-penyokong tegar gagasan ini!

 

TIADA TAJUK

Saya tidak tahu mengapa ramai yang bertanya saya mengapa tiada sebarang entri mengenai tragedi yang menimpa Allahyarham Datuk Sosilawati, jutawan kosmetik dan tiga rakannya yang lain yang dibunuh dengan amat kejam dizahirkan di dalam blog saya. Bukan saya tidak peka dengan kejadian yang menimpa dan menggemparkan seluruh negara ini. Malah saya tidak pernah sedikit pun tidak mengingati peristiwa ini dalam kotak ingatan saya.

Tetapi mengikuti perkembangan di media cetak dan elektronik dan juga blog dan tulisan-tulisan lain, serta ingatan pihak polis mengenai spekulasi berhubung kes ini, saya berpegang kepada pendirian bahawa biarlah pihak polis dengan segala kebijaksanaan mereka menyiasat secara menyeluruh dan mencakupi semua aspek sebelum sesiapa mengulas mengenainya. Ini adalah kerana sifir yang mudah, si yang dituduh bukannya calang-calang orang, seorang peguam yang telah biasa dan arif dengan selok belok perundangan, sebarang kesilapan malah tanggapan umum yang dizahirkan di dalam blog dan media lain tentu akan mengundang kesilapan yang akhirnya memungkinkan si tertuduh ini terbebas atas sebab-sebab teknikal.

Walaupun saya amat yakin dengan usaha pihak polis dan pendakwaan yang bakal dikenakan kepada tertuduh yang jelas dan nyata telah membuka mata pelbagai pihak bagaimana sebenarnya lebih banyak kejadian yang telah berlaku dan dituding kepada si tertuduh. Kepada semua, harapan saya biarlah pihak polis menyelesaikan penyiasatan mereka secara menyeluruh kerana semua tulisan yang bersifat provokatif dikhuatiri akan melemahkan pendakwaan kepada si tertuduh.

Kepada keluarga mangsa tragedi 20 Ramadan 1431, semoga akan lebih tabah mengharungi kehidupan ini dan berdoa semoga hukuman setimpal akan dijatuhkan kepada semua yang terlibat dalam jenayah terancang yang begitu kejam ini. InsyaAllah. Tulisan ini merakamkan setinggi takziah kepada semua keluarga mangsa dan mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan yang kejam ini.

 

ANAK YATIM, RAMADAN & SYAWAL …

Tangan kanan memberi
Sorokkan tangan kiri
Derma bukan tontonan
Lakukan dalam sepi
Sematkanlah keikhlasan
Huraikanlah kebuntuan

Kerana sesuatu
Suratan kehidupan
Mengharap dan dipinta bantuan

Harta bukan milikmu
Untukmu hanya rezeki
Terkurang himpun lagi
Terlebih memberilah
Begitu lebih kurangnya
Sedikit tulisan janji

(Lirik lagu: Derma Bukan Tontonan - Herma Tino)


Ramadan tahun ini telah berlalu, dengan penuh kemanisan dan kesyahduan, meratapi sehingga bertemu Ramadan yang akan datang. Saban kali Ramadan menjengah begitu juga anak-anak yatim menjadi rebutan pelbagai pihak untuk melakukan amal jariah. Daripada orang perseorangan yang mahu menambah pahala dan amalan bersedekah di bulan mulia ini sehinggalah kepada syarikat-syarikat korporat yang melaungkan ‘tanggungjawab sosial’ sebagai sebahagian akidah mereka.

Tidak salah untuk melakukan amalan mulia ini, namun apabila kerancakannya lebih dalam bulan Ramadan sehingga anak-anak yatim ini seperti (bukan tangapan terhadap semua) diabaikan dalam sebelas bulan yang lain, tentulah meruntun kekecewaan yang bukan sedikit. Ketika Ramadan, kelompok anak yatim menjadi komoditi paling berharga malah aktiviti meraikan mereka sama ada berbuka puasa, membeli pakaian raya, atau majlis penyampaian sumbangan dan sedekah seolah-olah menjadi bahan publisiti dan bukannya mengungkapan keikhlasan kepada sipemberi.

Seusai Ramadan, anak-anak yatim ini akan kembali kepada dunia mereka, meyelusuri kehidupan yang seadanya sehinggalah kehadiran Ramadan yang akan datang pula. Syarikat-syarikat korporat dan orang perseorangan (bukan semua) yang begitu ghairah menyampaikan itu dan ini ketika bulan Ramadan seolah-olah tidak nampak apa-apa atau merasakan apa-apa ketika dalam sebelas bulan yang berikutnya!

Bukankah lebih baik jika satu kaedah pendermaan yang lebih sistematik kepada anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan ini dapat dirangka secara jangka panjang tanpa tumpuan yang berlebihan hanya dalam bulan Ramadan, yang mungkin pula akan memberikan perspektif yang salah kepada golongan bukan Islam yang menyatakan orang Islam hanya menderma dalam bulan Ramadan sahaja!

Tulisan ini tidak bermaksud memperlekeh sumbangan dan amal jariah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan, bukan itu maksudnya. Yang diinginkan ialah menyumbang seadanya sepanjang masa kepada golongan yang memerlukan. Salam Syawal.

 

DIPERSILAKAN TUAN ...

Apabila membaca khabar mengenai seorang paderi Kristian yang akan melakukan upacara pembakaran Al-Quran sempena mengingati serangan September 11, 2001 yang lalu, saya agak tergamam. Hal ini pertama kali dikhabarkan pada penghujung Julai yang lalu.

Paderi Terry Jones dari The Dove World Outreach Center yang berpengkalan di Gainesville, Florida, Amerika Syarikat, khabarnya mengetuai gereja tidak bermazhab. Saya agak tergamam kerana idea ini dicetuskan oleh seorang paderi sebuah gereja kecil dan label ‘antarabangsa’ yang digunakan juga mengundang kelucuan bagaimana seorang warga sebuah negara maju dan merupakan kuasa besar mempermainkan label antarabangsa!

Sebagai seorang paderi, saya fikir tentulah Terry Jones telah khatam kitab Injilnya dan juga telah tahu kandungan keseluruhan Al-Quran yang dianggapnya ‘jahat’. Soalnya apabila seorang paderi yang sepatutnya mempunyai kadar toleransi agama yang tinggi, tetapi sebaliknya mengundang idea murahan seperti ini apatah lagi menyentuh perihal agama yang lain.

Idea murahan ini khabarnya ditentang oleh Presiden Obama yang bimbang dan mengharapkan agar toleransi agama sentiasa menjadi tunjang dan amalan kehidupan sejagat. Mungkin fahaman Kristian tidak bermazhab Terry Jones memungkinkan perlakuan dan menghina agama yang lain!Mungkin fahaman Kristian tidak bermazhab Terry Jones juga diajar untuk tidak menghormati pemimpin dan agama lain. Sekurang-kurangnya itulah tanggapan saya apabila membaca tentang idea murahan yang dicetuskan oleh paderi Terry Jones.

Kepada paderi Terry Jones, sekiranya ilham dari doa tuan menginginkan tuan bertindak sedemikian maka lakukanlah sekiranya itu adalah pilihan yang sewajarnya sebab hal sedemikian adalah perlakuan jijik dan memualkan apabila tuan melabelkan kitab sebuah agama lain sebagai ‘jahat’. Bukankah semua agama di dunia mengajar pengikutnya menghormati agama dan pegangan kaum yang lain. Bukankah semua bentuk kitab harus juga dihormati oleh orang biasa pun apatah lagi oleh seorang paderi seperti tuan!

Tuan sepatutnya menggunakan peluang untuk melawat negara-negara Islam seperti Malaysia bagaimana toleransi beragama menjadi tunjang dalam kehidupan seharian. Bukalah minda, bukalah hati!

 

SALAM AIDIL FITRI

(Gambar diambil dari:blog.mynothing.net)

Akhirnya Syawal bakal menjelang, esok kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri selepas melengkapkan 30 hari Ramadan. Walaupun ada pelusuk dunia yang telah pun menyambutnya hari ini, tapi itu bukan persoalannya. Walaupun ada kalangan rakyat negara ini yang mengingkari arahan dan ketetapan mengenai sambutan Aidil Fitri, itu pun bagi saya adalah kes yang terpencil. Bukan apa, pun bukan siapa-siapa, sengaja sekadar menguji kesabaran rentetan dari Ramadhan yang telah ditinggalkan, moga Ramadan kali ini lebih baik dari sebelumnya, InsyaAllah.

Kepada semua pengunjung blog ini, samada yang mengikuti secara tekun atau sesantai mungkin, sepuluh jari disusun memohon ampun dan maaf sekiranya ada kata-kata yang tidak menyenang, ada ungkapan yang tidak memberangsangkan ataupun ada pandangan yang tidak disetujui kerana bukan tugas blog ini untuk memuaskan hati mana-mana pihak atau tangan-tangan yang tersembunyi tetapi sekadar renungan dan catatan dari kacamata sejujurnya.

Moga Aidil Fitri ini akan merapatkan ukhwah sesama kita, moga memaafi zahir dan batin akan menjadi amalan sentiasa. Salam Lebaran 1 Malaysia!

 

SELAMAT BERSARA TAN SRI KPN


Menjelang raya ketiga nanti, Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara akan bersara dari jawatannya secara rasmi. Selepas 41 tahun mengabdi diri kepada pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan selepas menjadi KPN selama hampir 4 tahun, akhirnya beliau bersara selepas mencapai usia 60 tahun.

Memang sebagai seorang yang paling utama dalam pasukan PDRM, seorang KPN dianggap berkuasa, autoriti dan dihormati. Malah jawatan seorang KPN perlu mendapat perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Walaupun ura-ura mengenai kontrak beliau sebagai KPN tidak akan disambung telah bertiup kencang, namun pendedahan Tan Sri Musa mengenai tiada surat rasmi mengenai perkara tersebut oleh pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) amatlah mengecewakan.

Malah menurutnya lagi, hal tersebut hanya diketahui pada sidang media yang turut dihadirinya. Bayangkanlah perasaan seorang yang telah berkhidmat dengan begitu cemerlang (kalau tak cemerlang tak kan jadi KPN) dan mengakhirinya khidmatnya dengan cara yang begitu tidak sopan dan tidak dihormati. Jika ini boleh berlaku kepada seorang KPN, maka bayangkanlah kepada orang-orang kecil seperti anda dan saya!

Rupanya kempen ‘Budi Bahasa Budaya Kita’ gagal dipraktikkan di KDN! Kepada Tan Sri Musa Hassan, mantan Ketua Polis Negara bermula 12 September nanti, Selamat Bersara!

 

IKLAN TV3 ...

Saya tidak sempat menonton iklan hari raya TV3, yang dihebohkan telah ditarik balik. Saya hanya sempat menonton Buletin Utama pada hari semalam yang memaklumkan mengenai penarikan balik iklan ini. Namun begitu saya berkesempatan menontonnya melalui YouTube, dan agak terperanjat dengan pendekatan yang diambil oleh pengarahnya dalam iklan tersebut. Walaupun pihak pengurusan telah menarik balik iklan ini dan telah pun memohon maaf di atas keterlanjuran penyiaran iklan ini, namun apa yang bermain di benak saya ialah bagaimana proses kawalan kreatif dalaman oleh pihak TV3.

Hal pertama yang disedari ialah bagaimana iklan ini dihasilkan oleh seorang yang bukan Islam, bukan Melayu (bukan maksud saya menidakkan kekreatifan beliau) tetapi semangat Syawal tentulah lebih akrab dengan pengarah kreatif yang beragama Islam sekurang-kurangnya. Iklan yang khabarnya dihasilkan dengan belanja sebanyak RM200,000 telah begitu sahaja diperap akibat kurangnya sensitiviti si pengarah kreatifnya. Malah dengan begitu ramai yang terlibat dengan penghasilan iklan tersebut, saya agak terkejut bagaimana hal sedemikian boleh terlepas pandang!

Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng, mungkin juga seperti YB Teo Nie Ching yang menyampaikan ‘tazkirah’ di sebuah surau di Kajang, bersifat ikhlas mahu menghasilkan sesuatu yang terbaik, namun apabila menjadi tidak sensitif dengan persekitaran sekeliling tentulah pula mengundang tohmahan dan fitnah.

Kepada TV3, moga insiden ini akan menjadi iktibar untuk lebih berhati-hati dalam memberi amanah terhadap tugasan kepada kakitangannya. Iklan-iklan perayaan TV3 tidak pernah gagal manambat hati penonton-penonton setianya.

 

APA KESUDAHANNYA PROTES BENDERA?

Demonstrasi ‘berbayar’ warga Indonesia yang mengelarkan diri mereka kumpulan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) yang melancarkan protes terhadap Malaysia kononnya akibat penahanan tidak beretika oleh agensi marin Malaysia pada Ogos lepas.

Insiden yang sudah melewati dua minggu ini masih di tahap yang membimbangkan, malah agensi-agensi pelancongan melaporkan kejatuhan tempahan untuk ke negara jiran tersebut ekoran bimbang terhadap keselamatan. Bendera yang kononnya mempertahankan kedaulatan negara mereka pula menggesa rakyatnya yang bekerja di negara ini kembali dan meninggalkan Malaysia, namun usaha ini dipandang sebelah mata oleh kebanyakan rakyat Indonesia sama ada yang PADI mahupun PATI. Keamanan negara ini dan kesenangan untuk ‘membuat’ duit adalah punca pelawaan untuk kembali ke negara mereka ditolak mentah-mentah.

Jumaat lepas, saya seperti biasa singgah di sebuah gerai ayam panggang dan salai berhampiran Pajam, ternyata si penjual yang diamanahkan mengendalikan gerai tersebut melabelkan anggota Bendera sebagai ‘bebal’ dan tidak punya kerja selain dari membuang masa berdemonstrasi. Walau apa pun tuduhan mereka mengenai agensi penguatkuasaan Marin kita sepatutnya diselesaikan secara berhemah tanpa menjejaskan atau mengejutkan keamanan yang selama ini begitu ampuh.

Mungkin ada kebenaran mengenai tuduhan protes Bendera ini, namun mengambil tindakan dengan unjuran demonstrasi bukanlah pilihan yang terbaik. Semasa insiden tersebut difahamkan kedua-dua belah pihak telah sama-sama menawan rakyat mereka, pihak Indonesia dikhabarkan telah menawan nelayan kita dan pihak berkuasa Malaysia juga telah menawan rakyat mereka, malangnya rakyat Indonesia yang ditahan adalah penguatkuasa Indonesia.

Jika dikumpul rakyat Indonesia yang berkerja di negara ini sama ada yang haram mahupun yang mempunyai keizinan, saya percaya tiada siapa yang mampu menyangkal bagaimana Malaysia di anggap lubuk ‘emas’ kepada sebahagian besar mereka: dengan ketiadaan pekerjaan, mereka mampu menyara keluarga di kampung, membiayai pembelian harta sama ada tanah, rumah dan sebagainya malah ramai di antara mereka yang mampu menyekolahkan anak-anak mereka di kampung halaman mereka. Malah keperluan dapur anak-anak dan saudara mara mereka di sana juga dikirim dari Malaysia. Bukan tidak biasa, minyak masak, gula dan pelbagai keperluan dikirim dari Malaysia oleh mereka.

Walau apa pun, kita masih berharap rundingan dua hala di Kota Kinabalu esok (6 September) mampu merungkai kemelut dan mengakhiri protes BENDERA ini!

 

BLOGGER DIDAKWA KERANA SATIRA?

Saya menyalahkan kesibukan saya untuk tidak mengikuti perkembangan bagaimana seorang blogger ‘Hassan Skodeng’ didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 2 September lepas. Hassan Skodeng yang dimiliki oleh Irwan Abdul Rahman yang juga merupakan editor eksekutif ruangan Lifestyle & Entertaiment akhbar The Malay Mail mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat dan memulakan penghantaran komen palsu berhubung artikel TNB to sue WWF over Earth Hour di laman blog miliknya di Internet.

Penulis blog itu didakwa telah membuat dan memulakan komen palsu itu di laman blog http://nose4news.wordpress.com dengan niat hendak menyakitkan hati orang lain, tulisan ini dimuatkan dalam laman blog miliknya melalui entri bertarikh 25 Mac 2010 yang lalu.

Saya sempat membaca entri tersebut dan merasakan ia hanyalah sebuah entri berbentuk satira yang harus dilihat sebagai sebuah karya fiksyen. Jika dinilai usaha Namewee mengF*** jauh lebih teruk dari tulisan Irwan Abdul Rahman, adakah sikap pengurusan TNB yang melakukan selective prosecution!

Saya percaya jika saya mengetahui lebih awal mengenai pendakwaan ini, InsyaAllah saya akan menghadirkan diri ke Mahkahmah Sesyen Petaling Jaya kerana saya sentiasa mengunjungi tempat ini bagi menyatakan sokongan terhadap teman-teman yang berkunjung ke sini!

 
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger