ANAK YATIM, RAMADAN & SYAWAL …

Tangan kanan memberi
Sorokkan tangan kiri
Derma bukan tontonan
Lakukan dalam sepi
Sematkanlah keikhlasan
Huraikanlah kebuntuan

Kerana sesuatu
Suratan kehidupan
Mengharap dan dipinta bantuan

Harta bukan milikmu
Untukmu hanya rezeki
Terkurang himpun lagi
Terlebih memberilah
Begitu lebih kurangnya
Sedikit tulisan janji

(Lirik lagu: Derma Bukan Tontonan - Herma Tino)


Ramadan tahun ini telah berlalu, dengan penuh kemanisan dan kesyahduan, meratapi sehingga bertemu Ramadan yang akan datang. Saban kali Ramadan menjengah begitu juga anak-anak yatim menjadi rebutan pelbagai pihak untuk melakukan amal jariah. Daripada orang perseorangan yang mahu menambah pahala dan amalan bersedekah di bulan mulia ini sehinggalah kepada syarikat-syarikat korporat yang melaungkan ‘tanggungjawab sosial’ sebagai sebahagian akidah mereka.

Tidak salah untuk melakukan amalan mulia ini, namun apabila kerancakannya lebih dalam bulan Ramadan sehingga anak-anak yatim ini seperti (bukan tangapan terhadap semua) diabaikan dalam sebelas bulan yang lain, tentulah meruntun kekecewaan yang bukan sedikit. Ketika Ramadan, kelompok anak yatim menjadi komoditi paling berharga malah aktiviti meraikan mereka sama ada berbuka puasa, membeli pakaian raya, atau majlis penyampaian sumbangan dan sedekah seolah-olah menjadi bahan publisiti dan bukannya mengungkapan keikhlasan kepada sipemberi.

Seusai Ramadan, anak-anak yatim ini akan kembali kepada dunia mereka, meyelusuri kehidupan yang seadanya sehinggalah kehadiran Ramadan yang akan datang pula. Syarikat-syarikat korporat dan orang perseorangan (bukan semua) yang begitu ghairah menyampaikan itu dan ini ketika bulan Ramadan seolah-olah tidak nampak apa-apa atau merasakan apa-apa ketika dalam sebelas bulan yang berikutnya!

Bukankah lebih baik jika satu kaedah pendermaan yang lebih sistematik kepada anak-anak yatim dan golongan yang memerlukan ini dapat dirangka secara jangka panjang tanpa tumpuan yang berlebihan hanya dalam bulan Ramadan, yang mungkin pula akan memberikan perspektif yang salah kepada golongan bukan Islam yang menyatakan orang Islam hanya menderma dalam bulan Ramadan sahaja!

Tulisan ini tidak bermaksud memperlekeh sumbangan dan amal jariah yang dilakukan sepanjang bulan Ramadan, bukan itu maksudnya. Yang diinginkan ialah menyumbang seadanya sepanjang masa kepada golongan yang memerlukan. Salam Syawal.

Ulasan

siti berkata…
salam tuan, salam aidil fitri, setuju sangat dengan pandangan dan saranan tuan..
anep berkata…
bulan Ramadan lebih afdal untk bersedekah kot..walauapapun..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?