AL-QURAN, SUDOKU & ILHAM KEHIDUPAN ...

Kitab Suci Al-Quran




Kegilaan 'Sudoku'

Saya bukan ingin mencanang diri sendiri, tetapi ketika saya masih di bangku sekolah rendah, saya telah mampu menghafal Surah Yasin yang berjumlah 83 ayat. Itu dulu, dan kini saya memerlukan Surah Yasin bagi membaca Yasin. Apabila latihan membaca Al-Quran dan usaha untuk hafalan tidak dilakukan, itulah jadinya. Namun saya kini berusaha untuk kembali menghafal Surah Yasin.

Selepas saya menjadi pengguna aktif iPhone, saya sentiasa bereksperimen dengan pelbagai aplikasi dalam iPhone saya. Antaranya ialah menggunakan aplikasi Al-Quran. Aplikasi Al-Quran dalam iPhone merupakan bacaan dan terjemahan lengkap kitab suci Al-Quran yang bukan sahaja boleh dibaca malah boleh diperdengarkan bacaannya oleh qari-qari tersohor. Maka menjadi rutin saya menggunakan aplikasi ini bagi membolehkan usaha hafalan ayat-ayat suci Al-Quran.

Selain menggunakan pelbagai aplikasi dan e-book yang didatangkan dengan iPhone, saya juga memuat turun pelbagai permainan minda. Salah satu permainan minda yang menjadi kegilaan saya ialah ‘sudoku’. Saya memang pengemar tegar permainan ‘sudoku’ sejak pandai bermainnya. Malah ruangan ‘sudoku’ di akhbar-akhbar sering menjadi contengan saya. Apabila terdapat versi percuma permainan sudoku ini yang boleh dimuat turun, saya dan anak-anak saya tidak melepaskan peluang.

Sudoku adalah permainan minda dan silangkata pernomboran berasaskan logik. Objektifnya ialah mengisikan nombor-nombor dari angka 1 hingga 9 dalam petak-petak secara menegak dan melintang . Setiap nombor pada setiap baris sama ada menegak atau melintang hanya boleh ada sekali sahaja. Cabarannya ialah bagaimana melengkapkan angka-angka ini dengan pantas dan tanpa kesalahan. Namun begitu dalam versi iPhone, tiga kali kesalahan masih dianggap ‘perfect’!

Malah terdapat juga keadaan kita perlu mengagak ‘trial and error’ bagi mendapatkan nombor untuk diisi dengan betul. Seperti realiti kehidupan kadang-kadang kita perlu dan terpaksa belajar dari kesilapan bagi membetulkan langkah seterusnya. Saya kira berasaskan analogi inilah bagaimana Rumah Harapan yang sekarang didebatkan pelbagai pihak dengan pelbagai pandangan pro dan kontra tentang misi dan visi Rumah Harapan ini diwujudkan bagi memberi harapan dan peluang kedua seseorang itu membetul dan menyedarkan kesilapannya! Syabas kepada Kerajaan Negeri Melaka yang telah berusaha mengwujudkan rumah ini.

Walaupun saya agak lama bermain sudoku dalam versi cetak, tetapi apabila bermain versi di iPhone, makin banyak yang boleh menjadi ilham dan melayari kehidupan ini dan hubungkait dengan kehidupan seharian. Begitu juga Al-Quran, keghairahan untuk menambah surah-surah hafalan lebih teruja berbanding membaca naskhah cetak Al-Quran di samping menghayati terjemahan Kitab Suci Al-Quran.

Strategi yang digunapakai di dalam permainan sudoku juga boleh dipraktikan dalam kehidupan seharian selain daripada kesungguhan untuk menyelesaikan sudoku ini adalah seperti mencari jalan keluar dari pelbagai kemelut kehidupan, di dalam sudoku angka-angka di kanan kiri, atas dan bawah menjadi petunjuk untuk memasukkan angka yang seterusnya. Betullah sudoku hanya ciptaan manusia yang dicipta Allah SWT, sesungguhnya Kitab Suci Al-Quran menyimpan pelbagai rahsia untuk ditafsir dan digunapakai dalam kehidupan ini.

Malah realiti dalam sudoku yang membenarkan tiga kali kesalahan dan masih dianggap ‘perfect’ mungkin juga bertolak dari realiti kehidupan sebenar apabila seseorang itu – jatuh bangun, jatuh bangun, jatuh bangun untuk kembali berlari dalam kehidupan yang serba pantas ini!


Ulasan

siti berkata…
salam tuan, Al-Quran adalah lengkap dan mengandungi rahsia Allah SWT, saya juga gemar bersudoku!
wanman68 berkata…
jatuh bangun dalam kehidupan adalah lumrah, maka jadilah al quran sebagai pedoman
Semenyih Baru berkata…
maaf mencelah. Cadangan Pertemuan Blogger Semenyih. http://semenyih-baru.blogspot.com
SIS berkata…
Manusia sering lupa pd manualnya sendiri..iaitu Al-Quran..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?