CINTA IBU HALIMAH SUJUD DI KAKI…

SN Arena Wati - meninggalkan khazanah sastera yang cukup gah dan bernilai
meninggal dunia pada 25 Januari 2009)


Selepas menyertai Seminar Pemikiran Sasterawan Negara: A Samad Said pada 13-15 Mei 2008, pada 9 dan 10 Jun pula seminar yang sama berlangsung dengan membincangkan pemikiran Sasterawan Negara Arena Wati.

Memanglah banyak penambahbaikan berbanding seminar A. Samad Said pada tahun lepas, yang paling ketara ialah kehadiran Ketua Pengarah DBP yang turut merasmikan seminar pada kali ini.

Sepanjang dua hari berseminar (saya memang meluangkan masa bagi seminar ini) banyak yang dikupas mengenai SN Arena Wati yang sangat prolifik berkarya, puluhan novel, cerpen, esei, drama dan syair.

Saya tertarik dengan kisah cinta SN Arena Wati dan isterinya Ibu Halimah Sulong yang dinikahinya pada tahun 1954 dengan empat syarat yang harus dipenuhi oleh SN Arena Wati: hendaklah sanggup meninggalkan keluarga untuk tinggal bersamanya, sanggup menjadi rakyat Tanah Melayu, hidup bersamanya hingga mati, dan sedia untuk berbakti kepada Tanah Melayu.

Uniknya kisah cinta Ibu Halimah di tahun 50an ialah kesanggupan Ibu Halimah yang ketika itu menjadi guru untuk pergi ke Makasar seorang diri untuk mengambil dan seterusnya menikahi Arena Wati pada 20 Mei 1954 bersamaan 17 Ramadan 1373, selepas perkenalan hampir 5 tahun.

Sebagai seorang gadis melayu yang hidup dalam lingkungan adat, budaya dan tradisi tentulah dianggap tidak manis dan tindakan Ibu Halimah dianggap luar biasa.

Kisah cinta Ibu Halimah dan Arena Wati memang cukup membuka mata, apa tidaknya kalau hal ini berlaku pada masa ini (itupun ada yang tidak berani membelakangkan keluarga!) tentulah dianggap biasa, tetapi tindakan seorang gadis pingitan pada tahun 1954 memang luar biasa keberanian dan cintanya.

Seminar selama dua hari merangkumkan 30 kertas kerja yang mencakupi pelbagai aspek dalam karya Arena Wati, tetapi insiden pada hari pertama selepas ucaptama oleh Prof. Dr. Kamaruddin Mohd Said memang cukup menghibakan.

Episod memalukan ini berlaku pada sesi kedua selepas pembentangan semasa soal-jawab terhadap pembentang A. Halim Ali. Seorang peserta seminar dari Makasar, bertanya tentang tiga hujung yang menjadi falsafah dan ikutan masyarakat Makasar di perantauan. Tiga hujung yang dimaksudkan ialah hujung lidah (lisan), hujung pena (tulisan) dan hujung kemaluan (zuriat). Apakah ada kombinasi penggunaan tiga hujung ini terpancar dalam karya Arena Wati, khususnya dalam karya Endang Gulingku (1991- Penerbit UKM).

Sdr. A. Halim Ali yang membentangkan kertas kerja ”Kemudi Perjalanan Hidup Arena Wati Dalam Enda Gulingku” sebelum itu, baru sahaja ingin menjawab persoalan tadi, tiba-tiba terganggu (malah kami dalam dewan seminar itu turut tergamam) apabila anak lelaki Arena Wati dengan muka marah dan bengis (kayak orang Bugis), memanggil si peserta yang juga tetamu dari Makasar dan memaksanya bersujud memohon maaf dari ibunya – Ibu Halimah.

Tidak cukup dengan itu, si anak tadi mengarahkan peserta itu keluar dari dewan seminar serta merta. Akibat insiden menghibakan ini, kesemua peserta dari Makasar yang berjumlah 16 orang telah tiada dalam dewan seminar sehingga selesai pada hari kedua seminar tersebut.

Secara peribadi saya amat terganggu dengan insiden tersebut sehingga pada hari kedua, apabila Tuan Haji Razali Endun bertanya sesuatu dan memberi komen yang tidak begitu positif hingga menjadi usikan yang menyeronokkan ketika makan tenghari!

Paksaan untuk sujud di kaki memanglah mengaibkan si pelakunya atas alasan apa sekali pun, tiada hak memaksa seseorang sujud di kaki manusia. Manusia hanya berhak sujud pada Tuhannya. Apakah ini cakra waruga Bugis yang sangat dibangga-banggakan dan diwariskan oleh Arena Wati lewat karya-karyanya? Dewan Bahasa dan Pustaka selaku penganjur wajar di beri pujian mengendalikan seminar ini, tetapi insiden hitam memang sukar dikikis dari ingatan. Sebagai pencinta sastera Malaysia, saya memohon maaf kepada tetamu dari Makasar dan rombongannya atas penghinaan yang menimpa mereka.

”Ambil secawan ehsan. Adun dengan kasih sayang. Kukus dalam dandang kesabaran. Jerang atas tungku iman kepada Allah. Hidang dalam dulang senyum riang. Suap dengan tangan kemahiran. Kunyah dengan mulut yang bestari. Maka bergembira dan bersyukurlah, kerana dengan itu engkau telah menikmati rezeki yang direstui...”

(petikan dari novel Begawan (1996), m/s: 81)
Share this article :
 

+ komen + 5 komen

ustazah
16 Jun 2009 12:45 PG

salam tuan, saya kira si yang dipaksa tentulah lebih aibnya,kasihan tetamu dari Makasar. Apa dah jadi dengan kempen 'Budi Bahasa Budaya Kita' ...

anak alam
16 Jun 2009 12:51 PG

kalau aku, aku terajang aje anak si SN tu yang kurang ajar..memalukan rakyat Malaysia..

SIS
16 Jun 2009 9:24 PG

salam tn ks...gembira tn telah kembali dan berkongsi pengalaman.. kesabaran pasti dapat mengatasi keegoaan... kesabaran yg tinggi juga pasti dapat menyatukan dua hati...bersabar menghadapi hidup yg penuh pancaroba pasti ketemu bahagia dihujungnya...moga dikurniakan kesabaran itu...

Mama
16 Jun 2009 9:19 PTG

salam..zaman dulu klau membelakangkan keluarga krn cinta suatu yang amat luarbiasa...zaman kini klau tidak membelakangkan keluarga krn cinta pulak yang dikatakan luarbiasa!!!dunia dah terbalik...

17 Jun 2009 3:18 PTG

Catatan di link ini juga menarik untuk diikuti. rentetan daripada catatan sdr : http://nassury.blogspot.com/2009/06/anak-sasterawan-negara-hina-tetamu.html

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger