OBAMA, OSAMA & 'SEMAK' - Surat Terbuka Untuk Tuan Barack Obama


Tahniah kepada tuan kerana terpilih sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke-44, tapi saya sedikit keliru apabila tuan dilabelkan sebagai Presiden kulit hitam yang pertama memandangkan tuan adalah kacukan hitam Kenya dan putih Kansas, tapi itu hanyalah sedikit yang lebih bersifat teknikal.

Walaupun saya hanya mengenali tuan melalui buku Dreams from My Father · The Audacity of Hope dan The Audacity of Hope, saya percaya wawasan perubahan yang tuan canangkan dalam kempen-kempen tuan mampu ditunai dan direalisasikan.

Saya secara peribadi percaya ramai rakyat dunia berharap dan mendoakan kemenangan tuan demi perubahan yang tuan janjikan kerana saya telah lebih dua dekad tertipu dengan janji manis pemimpin-pemimpin saya kerana gagal berfungsi seperti pada awalnya bak kata pepatah bahasa kami 'hangat-hangat tahi ayam'. Pernah doa panjang saya untuk mendapatkan seorang pemimpin yang dianggap 'Tuan Bersih' berakhir dengan kekecewaan yang amat tragis. Ungkapan sulongnya: 'Bekerja Bersama Saya' kini menjadi momokan dan gurauan yang mendukacitakan saya.

Kejayaan tuan malah saya yakin seluruh warga dunia beranggapan sebagai kejayaan demokrasi dunia amnya dan demokrasi Amerika Syarikat khususnya.

Adalah tidak adil bagi saya merencanakan tugas dan keutamaan tuan sebagai seorang Presiden Amerika Syarikat tetapi sayugia suka saya berkongsi dengan tuan bahawa negara tuan sentiasa dilabel sebagai 'Polis Dunia'! Harapan saya, imej sebagai 'Polis Dunia' yang tuan warisi dari Presiden tuan sebelum ini dapat diperbetul dan diperindahkan ataupun tuan boleh mencadangkan penubuhan 'Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja' seperti yang dilakukan oleh pemimpin negara kami. Suruhanjaya ini amat berkesan dengan lebih 125 cadangan yang baik namun dari segi implementasinya masih ditahap minima! Saya percaya cadangan ini tidak mungkin dianggap meniru atau menciplak idea sebuah negara kecil seperti negara kami.

Saya bukanlah seorang yang tidak berhati perut untuk melihat perubahan yang tuan janjikan dilaksanakan dalam sekelip mata, tapi sekurang-kurangnya tuan janganlah bercita-cita untuk menghapuskan Osama sehingga ke lubang cacing kerana Presiden tuan sebelum ini bercita-cita sedemikian, saya khuatir dia tentu tidak dapat melelapkan mata kerana hajat yang tidak sampai selepas lapan tahun memegang tampuk kuasa dan kerakusan.

Akhir sekali tuan, saya ingin berkongsi bahawa perkataan Syarikat dalam Amerika Syarikat membawa maksud 'Company' dan di negara kami semua perlakuan 'Syarikat' samada 'Berhad' atau 'Sdn. Bhd.' tertakluk kepada Akta Syarikat 1965! Dengan penjelasan itu harapan saya tuan tidak akan sekadar menjadi Presiden 'Syarikat' tetapi menjadi Presiden Amerika Syarikat!

Saya percaya semangat Timur tuan masih menebal memandangkan tuan pernah bermastautin di Jakarta, Indonesia- jiran serumpun kami, malah lawatan tuan ke negara-negara Timur Tengah sewaktu berkempen menguatkan lagi semangat ini. Hubungan baik Timur-Barat memang telah sedia bercambah dengan subur dalam diri tuan, memandangkan ibu bapa tuan adalah penuntut di Pusat Timur-Barat, Universiti Hawaii. Pertemuan dan perpisahan memang kerja Tuhan, tetapi apabila tuan mendapat seorang ayah baru, Lolo Soetoro, semangat Timur dalam diri tuan berterusan. Harapan saya sebagai seorang Presiden sebuah negara yang dianggap paling berkuasa, tunjang ketimuran akan sentiasa terpelihara dalam diri tuan!

Meminjam kata Tuan Nicholas Sarkozy, Presiden Perancis : "rakyat Amerika Syarikat sebenarnya memilih perubahan, keterbukaan dan harapan baru"

Sebelum saya terlupa, tuan Presiden sebelum tuan: Tuan Bush yang dalam bahasa kami bermaksud 'Semak' dan tuan telah berjaya menebas 'semak' dan membuka lorong dan laluan perubahan untuk ke Rumah Putih, tahniah sekali lagi!
Share this article :
 

+ komen + 11 komen

masjani
6 November 2008 12:54 PTG

Tabik spring bro...tahniah coretan yang menarik..

karim yusof
6 November 2008 12:57 PTG

Dalam cam tu pun bleh pekena lagi..betul la KAKI SAKAT! Syabas catatan yang kreatif!

Tuan Haji
6 November 2008 1:08 PTG

Tuan saya kira pembaca orangnya..tahniah tulisan yang menarik..

kaki tidur
6 November 2008 9:08 PTG

Tuan Bersih bakal jadi lagenda..

Bush Jr.
6 November 2008 9:09 PTG

Si Obama ni agama apa yea..sbb salasilah agak mengelirukan ..harap ada penjelasan dalam entri yang lain nnti..

6 November 2008 9:47 PTG

Tahniah OBAMA krn berjaya memenangi hati rakyat Amerika dan Tahniah juga pada Tuan krn berjaya memenangi hati peminat KakiSakat. Semoga harapan menjadi realiti bukan saja pada Amerika tapi juga dunia sebelah sini..Semalam pasaran saham dunia melonjak naik selepas kemenangan OBAMA..tapi hari ni saham jatuh merudum..nape ye? Tuan ada idea why?

halim
6 November 2008 9:59 PTG

pendek, padat & menarik..teruskan komentar yg jujur ini..

anak jati
6 November 2008 10:02 PTG

pisang emas di bawa belayar
masak sebiji di atas peti
blog tuan hangat dan segar
moga tuan tidak berhenti

6 November 2008 10:25 PTG

Buah Cempedak di luar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Kakisakat memang selalu segar
Sakat menyengat ada makna kan..kan.

hafiz
6 November 2008 10:53 PTG

Entri yang menarik ..jujur

9 November 2008 1:10 PTG

tahniah kerana berjaya mengenakna mereka semua hurm..

salam

aiman link blog saudara

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger