HARI AIDS SEDUNIA - KHUTBAH JUMAAT


(Petikan Khutbah Jumaat - 28 Nov 2009, teks disediakan oleh JAKIM)


Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita semua memperkasakan takwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan-Nya di dunia dan di akhirat.

Sempena dengan sambutan Hari AIDS Sedunia pada 1 Disember 2008 ini, maka mimbar ini akan membicarakan khutbah bertajuk "ISLAM PRIHATIN PADA HIV/AIDS".

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

AIDS ialah Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit yang disebabkan oleh virus HIV melalui pelbagai cara seperti perhubungan seks, perkongsian jarum suntikan dan pemindahan darah. Mereka yang dijangkiti HIV positif dikatakan pesakit AIDS.

Di Malaysia, kes pertama HIV/AIDS dikesan pada tahun 1986, dan sehingga 2007 terdapat seramai 80,938 orang pembawa HIV dan 13,635 orang penghidap AIDS direkodkan. Sehingga kini seramai 11,539 orang penghidap AIDS telah meninggal dunia dan kira-kira 72% daripada mereka adalah orang Islam. Purata sehari pembawa baru HIV yang dikesan ialah 13 kes sehari, AIDS pula 3 kes sehari dan yang melibatkan kematian 5 kes sehari.

Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), setakat ini perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah dikenalpasti menjadi penyumbang utama iaitu sebanyak 57.39% dan diikuti perhubungan seks dan melalui jangkitan ibu hamil sebanyak 32.9% dalam penyebaran HIV/AIDS. Pada masa ini penawar penyembuhan HIV/AIDS, belum ditemui.

Penghidap HIV/AIDS sama halnya dengan pesakit-pesakit yang lain seperti pesakit jantung, buah pinggang, kencing manis, barah dan lain-lain penyakit kronik yang mengharapkan bantuan dan simpati orang ramai. Walau bagaimanapun berdasarkan pemerhatian masih terdapat di kalangan masyarakat yang menganggap penghidap HIV/AIDS seorang yang sangat hina dan menjijikan sehingga kehidupan mereka dipinggirkan.

Apa yang menyedihkan kita, terdapat laporan penghidap HIV/AIDS yang beragama Islam ini mencari perlindungan di pusat-pusat jagaan bukan Islam dan meninggal dunia di situ. Persoalan besar timbul ialah apakah pandangan jijik ini selari dengan ajaran Islam?.

Mimbar ingin mengingatkan bahawa bersangka buruk dan memandang hina kepada orang yang dalam keadaan sakit sangat dibenci di dalam Islam. Prasangka buruk terhadap pembawa HIV/AIDS menyebabkan mereka menyisihkan diri daripada masyarakat dan mencari perlindungan di tempat yang lain.

Hadirin Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada manusia. Dalam usaha menunjukkan Islam adalah agama rahmat, maka Islam menyuruh umatnya agar sentiasa menghormati sesama insan dan menolong mereka yang mengalami musibah. Prinsip 'menolong dalam hal kebajikan' sangat dituntut oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 71:

Maksudnya: "Dan orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat baik, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta ta'at kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Pada masa ini terdapat 22 buah pertubuhan sukarela bukan Islam (NGOs) yang menjaga dan mengambil berat terhadap kebajikan penghidap HIV/AIDS ini. Manakala pertubuhan sukarela Islam yang prihatin tentang isu yang sama adalah 3 buah sahaja. Jika orang bukan Islam bersungguh-sungguh bersifat prihatin dan ihsan, mengapa pula umat Islam tidak bersifat sedemikian?.

Sejajar dengan semangat ajaran Islam dan menjaga nama baik umat Islam, maka mimbar menyeru ibubapa, kaum kerabat, jiran tetangga dan umat Islam sekalian bersikap prihatin membantu mereka yang menerima musibah HIV/AIDS ini agar tidak terjebak kepada akidah yang lain. Sebagai kesimpulannya, beberapa pengajaran yang dapat dipetik daripada khutbah hari ini ialah:

Islam menegah sikap memandang hina, prasangka dan menindas kepada mangsa HIV/AIDS demi masa depan mereka;
Islam menuntut kita mengasihi insan lemah dan menghulurkan bantuan setiap masa; dan
Islam menuntut tanggungjawab bersama dalam menegakkan kebenaran dan meruntuh kemungkaran.

Mengakhiri khutbah mimbar ini menyeru, marilah kita bersama-sama menyemai perasaan kasih sayang dan memberi layanan secara adil kepada individu yang dijangkiti HIV/AIDS supaya mereka dapat menjalani kehidupan sepertimana insan-insan yang lain; di samping berusaha bersama-sama mencegah anggota masyarakat daripada ancaman dadah dan AIDS.

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
T kasih tuan..saya masih menaruh harapan
Tanpa Nama berkata…
semuanya bermula dari institusi masjid , pegawai masjid dan ajknya harus mengembalikan fungsi masjid sebagai pusat penyelesaian masalah umat islam bukan nya pusat serenti.
AKHIR ZAMAN,apabila amanah diserahkan pada yang bukan ahlinya.
Tanpa Nama berkata…
cayala kaki sakat, x sangka bahan kutbah pun leh jadi bahan dlm ni..syabas kpd kretiviti tuan..lg pun jumaat lpas aku trlepas jumaat..t kasih.
Tanpa Nama berkata…
Kagum dengan semangat Pn. Noraini yang sanggup menjaga dan memberi kasih sayang kepada kanak-kanak Aids..Kasih sayang adalah kunci utama penyelesaian kepada byk masalah..bukan setakat dengar khutbah dengan telinga yang pekak dan mata tertutup..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?