NEGARA RESOLUSI

Sajak ini tidak mungkin tersiar dalam akhbar arus perdana! Akhiran yang rasanya sesuai untuk penghujung tahun 2008. Nikmati.

negara resolusi
(apologi buat saudara seislamku – hishamuddin hussein)


saban hari
saban minggu
saban bulan
saban tahun

lelaki itu
dari janggut sejemput
hingga sepanjang bayi
delapan hari

dia terus
berdiskusi
berseminar
bersidang
bermultaqa

acapkali di bawah pokok ketapang
dengan teman-teman sealiran
rakan seangkatan
sambil menghirup teh tarik
atau terkadang kopi tawar
ketika negara dilanda krisis gula
sambil mengulangbaca
resolusi empat belas perkara

terkadang pula
di hotel tiga atau empat bintang
menghadiri seminar
bertaraf kebangsaan
dirasmi datuk menteri
sambil dalam ucapan berapi
menyeru peserta menghasil resolusi
yang mampu menganjak generasi!

selepas tiga hari dua malam
berkurung diri dalam hotel mewah
dibiayai dana kerajaan
timbalan menteri
penuh istiadat
menerima resolusi dua puluh satu perkara
antaranya:
memperkasa bahasa kebangsaannya!

lelaki itu dalam keterharuan
hampir menitis airmata
sempat berdoa
moga menteri tidak bertukar
atau resolusi tidak terdampar

sesekali pula
di pulau percutian
hotel bertaraf lima atau enam bintang
dalam persidangan antarabangsa bertaraf dunia
maaf lelaki itu tidak turut serta
kerana menurut urusetia
hanya jemputan kepada
yang terbilang saja.

lelaki itu tetap bangga
mengikuti perkembangan
dalam akhbar berdada bidang
persidangan antarabangsa
dirasmi datuk menteri perdana
dihadiri pelbagai ketua
dalam dan luar negara

persidangan antarabangsa bertaraf dunia
dialihbahasa lewat sepuluh saat
penterjemah berimbuhan
empat bulan gaji kerani bank
yang dinafikan
hak bonus kontraknya.

akhirnya selepas tiga malam empat hari
berkurung diri hotel lima atau enam bintang
berulit kemewahan
timbalan menteri perdana
dalam upacara penuh istiadat berwacana budaya
atas nama menjual negara ke mata dunia
menerima resolusi empat puluh satu perkara pelbagai bahasa
antaranya:
mengurus kekayaan secara berhemah!

lelaki itu
selepas enam puluh lapan tahun
menghirup udara hayatnya
selepas lima puluh tahun merdeka negara kecintaannya
dia kira masih terjajah
sambil menghitung
jumlah resolusi simpanannya
telah dua puluh dua puluh resolusi
dalam koleksinya!

lelaki itu
sambil memanggung kepala
berkerut dahinya
memikirkan dedikasi buku terbarunya:
'2020 Kompilasi Resolusi: Hadiah Negara Merdeka'
sambil merangka pula
kertas cadangan
buat teman-teman jerung politik
merencana penubuhan
YAYASAN RESOLUSI NEGARA
buat menyedut dana
yang masih begitu banyak
hasil sumber kekayaan negara.

lelaki itu akhirnya tersentak
bisiknya lemah:
ini negara merdeka
ini negara resolusi!




mohamed nasser mohamed
desa mewah, semenyih
disember 2007

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
salam tuan sakat- puisi yg kritis,setuju kita bnyk beresolusi,semasa belajar pun byk persidangan/seminar diakhiri resolusi tanpa apa2 tindakan pun..
Tanpa Nama berkata…
salam, setuju sgt kita ni bnyk sgt retorik.puisi yg bagus dan saya amat yakin tidk mungkin tersiar diakhbr arus perdana..
Tanpa Nama berkata…
salam tuan ks saya pernah melihat sajak ini diulas dlm berita harian selpas majlis baca puisi pena, tak silap laporan nazmi yaakob..syabas ..
Tanpa Nama berkata…
kat mesia ni org suka sgt buat resolusi lpas 2 hampeh..elok juga sajak ni..caya la bro..
Tanpa Nama berkata…
agak2 menteri mana yg bnyk wat resolusi..lu cuba teka la..maaf tak de hadiah..
Tanpa Nama berkata…
yg ni cam kena ngan menteri ppsmi aje..lu pikirla sendiri..
Tanpa Nama berkata…
salam tuan, syabas tn..puisi yang mengungkap perasaan tuan KS yang peka..negara M'sia yang tercinta penuh dengan resolusi2 yang padat tapi tiada resolusi yang mencapai matlamat..hanya memenuhi kantung2 mereka yang rakus..klau ramai yang mcm tn ks kan bagus..
puisi begini memang hangat. mana mungkin mencuri ruang di media arus perdana. tapi, apa salahnya sesekali kita hidangkan yang hangat2. bukankah hidangan hangat lebih sedap daripda hidangan sejuk!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?