DARI ATHEIST KE ISLAM – PERJALANAN SPIRITUAL



Lahir dan membesar sebagai seorang tanpa agama atau Atheist sehingga mencapai usia 21 tahun, tidak menghalang G. Willow Wilson untuk memeluk dan menjalani kehidupan sebagai seorang Islam. Segalanya bermula dari doanya supaya penyakitnya disembuhkan dalam masa tiga hari, namun ianya tidak menjadi kenyataan. Tetapi seperti telah ditakdirkan bahawa Willow Wilson yang mentatu bahagian bawah badannya dengan frasa Al-Haq yang bermaksud kebenaran, akhirnya memeluk Islam di awan biru dalam perjalanan ke Mesir untuk menjadi pengajar di Sekolah Bahasa.

Kembara Willow Wilson ke Mesir menemukan cintanya kepada Omar, kenalan sahabat karibnya, Ben. Kisah dia memeluk Islam tidak diketahui oleh Omar sehingga dia melafazkan cinta kepada pemuda Mesir yang berjaya menambat hatinya. Jo, rakan serumahnya yang mengikuti kembaranya sebagai satu eskapism juga tidak menyedari Islamnya sehingga dia membuat pengakuan. Kisah wanita muda ini diungkap begitu indah dalam ‘The Butterfly Mosques’ oleh Willow Wilson, graduan sejarah dari Universiti Boston.

The Butterfly Mosque bukan kisah cinta malah juga bukan novel fiksyen tetapi sebuah memoir yang merakamkan budaya dan agama Islam dari kacamata seorang Barat. Bezanya lakaran Willow Wilson lewat memoirnya menepikan tanggapan buruk atau label terroris yang sering digunakan kepada umat Islam. Namun sebagai seorang wanita muda di bumi Mesir, pun begitu terdidik, boleh pula terpengaruh dengan peringatan temannya bahawa dia perlu membawa bekalan tuala wanita seolah-olah wanita di Mesir tidak mengalami kedatangan haid!

Pengarang The Butterfly Mosque - G Willow Wilson

Saya mengakrabi The Butterfly Mosque sambil merangka projek baru, membaca memoir setebal 304 halaman dalam dua petang selepas waktu kerja. Sebagai seorang pencatat Willow Wilson melakarkan begitu rinci pertemuan dengan bakal ibu dan bapa mertuanya seorang penterjemah dan pelukis. Aspek kekeluargaan dalam The Butterfly Mosque memang begitu menyerlah, sesuai dengan diri Willow Wilson yang begitu akrab dengan ibu bapanya.

Dalam memoir ini, Willow Wilson begitu teliti mencatat mengapa dia begitu tertarik dengan Islam dan perincian kisah pemelukkannya langkah demi langkah. Kisah pengembaraan Willow Wilson dan rakannya Jo di kota di Mesir, persepsi mereka terhadap lelaki Arab Mesir yang melihat wanita Barat seperti Willow Wilson dan Jo dengan pandangan prejudis, apatah lagi ditemani lelaki Mesir.

The Butterfly Mosque adalah rakaman jujur Willow Wilson dalam perjalanan spiritualnya memeluk dan menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim bermula di Mesir dan kemudiannya di negara kelahirannya di Amerika Syarikat. Membaca memoir ini sebagai seorang yang sejak lahirnya Islam, saya merasa amat kerdil bagaimana Islam saya tidak begitu teruji sebagaimana Willow Wilson lewat The Butterfly Mosque nya.

Ulasan

anep berkata…
salam tuan, saya jatuh cinta dengan pengarangnya..tolong
SIS berkata…
kita bila diuji sikit je dah tergadai semua...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?