MENGENANG DATUK HASSAN AHMAD


Kali terakhir saya menemui beliau ialah ketika menghadiri Majlis Bahasa anjuran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan di mana beliau menyampaikan ceramah kepada penjawat awam Negeri Sembilan. Itu kira-kira dua minggu sebelum ketibaan Ramadan. Seusai majlis ceramahnya saya sempat menghantar hingga ke kereta sambil menitipkan pesanan yang selalu saya ulang ketika bersama beliau.

Sejak tahun 2005, sewaktu syarikat yang saya terajui diberi amanah untuk menjadi pengedar buku-buku terbitan Yayasan Karyawan di mana Allahyarham Datuk Hassan Ahmad menjadi penerajunya, saya sentiasa berusaha memenuhi sesi mengadap pada setiap hari Khamis. Seingat saya sesi ini tidak berlangsung hanya jika saya mempunyai mesyuarat rasmi yang tidak dapat dielakkan atau Datuk Hassan berada di luar Kuala Lumpur kerana urusan rasminya.

Sesi mengadap setiap Khamis adalah sesi yang sering saya hadiri di pejabat beliau hanya untuk berbual mengenai pelbagai perkara oleh Allahyarham. Kali terakhir sesi ini juga ialah pada awal bulan Julai yang lepas. Walaupun usia beliau telah menjangkau tujuh puluhan namun daya ingatan dan intelektualnya memang mengujakan. Banyak kisah yang dibualkan sepanjang beberapa tahun sesi mengadap saya, selain isu-isu semasa, politik, dan pelbagai perkara yang sering menggamit naluri ingin tahu saya.

Pada awal tahun ini, ketika dalam satu sesi mengadapnya, beliau bercerita tentang buku biografi mengenainya yang diusahakan oleh dua orang pensyarah Universiti Putra Malaysia. Katanya dalam biografi tersebut akan diceritakan pelbagai kisah perjalanan hidupnya mencakupi pengalaman beliau dengan beberapa orang Perdana Menteri khususnya yang dimulai ketika pemerintahan Tun Abdul Razak lagi.

Datuk Hassan Ahmad bukanlah seorang yang suka meminta-minta atau menggunakan kedudukannya untuk kepentingan peribadi. Bermula dari zaman Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Datuk Seri Najib, beliau tidak pernah meminta sama ada untuk dirinya mahupun Yayasan Karyawan yang dipimpinnya. Hal ini kadang-kadang menimbulkan ketegangan dalam sesi mengadap kami, namun secara berseloroh saya sentiasa mengingatkan beliau mengenai peluang-peluang ini.

Datuk Hassan Ahmad bukan sahaja diingati sebagai tokoh pejuang bahasa malah tokoh intelektual Melayu malah beliau merupakan anak Melayu pertama dianugerahi Doktor Falsafah dari Universiti Leiden di Belanda. Ketika perhimpunan 100,000 menentang Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), beliau bersama Sasterawan Negara/Sasterawan Rakyat A. Samad Said mengetuai perhimpunan ini yang berjaya membuat pihak Kerajaan memansuhkan PPSMI kemudiannya.

Ketika bersama beliau untuk beberapa tahun terakhir sejak mula berurusan dengan beliau sekitar tahun 2005, Datuk Hassan Ahmad seorang yang berterus terang dan malah seorang yang berani mengatakan kebenaran walaupun pahit. Banyak perkara yang saya pelajari dalam masa singkat mengenali tokoh ini. Semoga semangat juang dan jati diri bangsa Melayunya akan sentiasa terpancar dan menjadi ikutan pemimpin Melayu. Semoga roh Allahyarham akan sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT. InsyaAllah. Amin.

Share this article :
 

+ komen + 2 komen

anep
31 Ogos 2011 11:29 PTG

Al-fatihah...

Tanpa Nama
10 September 2011 8:46 PTG

tkasih ni nasir india ke?

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger