TERIMA KASIH USTAZ

(Ini entri terakhir, khabarnya dinukil ketika Allahyarham di Hospital)

Saya menghadam novelnya ketika Seorang Tua Di Kaki Gunung menjadi teks subjek Kesusasteraan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Malah membaca ‘Sangeetha’, novel besar Azizi Haji Abdullah yang setebal 560 halaman itu, membuat saya cukup teruja untuk meletakkan Azizi Haji Abdullah setaraf Sasterawan Negara. Azizi Haji Abdullah yang lebih mesra dipanggil Ustaz adalah nama yang besar dalam dunia kesusasteraan kita.

Malah ketika bersama beliau dalam satu majlis selama dua hari satu malam anjuran Seniman Paksi Rakyat Malaysia (Paksi) yang diadakan di Kuala Pahang, Puan Ainon Mohamad, bos dan tuan punya Penerbitan PTS sering mengungkapkan Ustaz Azizi Haji Abdullah sebagai ‘bakal Sasterawan Negara’. Itu kisah pada Oktober 2008 yang saya kongsikan di dalam entri ini http://kakisakat.blogspot.com/2008/11/santai-paksi-nelayan-perahu-kecil.html.

Ketika itu, saya sempat berkongsi pandangan dengan Ustaz Azizi Haji Abdullah mengenai gejala Mat Rempit yang begitu diperkatakan ketika itu, malah Ustaz khabarnya mempunyai sebuah modul yang ingin dipanjangkan kepada Menteri yang akan diusahakan seusai pertemuan di Kuala Pahang itu. Saya sempat bertukar-tukar nombor telefon, malah sempat menghantar pesanan ringkas setiap kali ada tulisan atau perkembangan tentang dirinya.

Apabila saya terpilih menyertai bengkel penulisan kritis yang saya catatkan dalam http://kakisakat.blogspot.com/2011/05/bicara-titi-hayun.html, sekitar Mei lepas atas pelawaan Sdr. Dinsman. Saya dimaklumkan bahawa usaha awal Bengkel di Titi Hayun itu adalah usaha Ustaz Azizi Haji Abdullah, malah lokasinya juga dipilih oleh beliau. Ketika kami sedang berbengkel Cikgu Azmi memaklumkan bahawa keadaan Ustaz yang ketika itu terlantar di Hospital sudah beransur baik. Itu sekitar bulan Mei lepas.

Ketika umat Islam menanti rahmat pahala seperti beribadat 1000 bulan dalam rahmat Lailatul Qadar, Ustaz Azizi Haji Abdullah meninggalkan kita semua pada 7.50 pagi semalam. Semoga rohnya dicucuri rahmat khaliqNYA. Pengalaman singkat bersama ustaz akan sentiasa tersimpan rapi dalam lipatan kenangan. Terima kasih Ustaz!

Ulasan

adi berkata…
Alfatihah..semoga rohnya dicucri rahmat Allah swt..Amiiiiiiiiiinn..
SIS berkata…
saya peminat setia ustaz..dan akan terus meminati tulisannya.. AlFatihah..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?