PERJALANAN NOSTALGIA


Apabila saya diminta menyumbang sebuah artikel dengan skop tokoh atau usahawan di negeri Selangor bagi sebuah majalah terbitan agensi Kerajaan Negeri Selangor, saya tiba-tiba teringat seorang yang pernah saya kenali ketika zaman kecil saya.

Ketika kecil saya membesar di persekitaran kedai runcit dan kedai kopi di kampung saya yang berhadapan dengan sawah padi. Mandi sungai sehingga meninggalkan parut di peha kiri saya adalah satu-satunya ingatan tentang kenakalan dan ingkar nasihat orang tua-tua pada masa itu. Apa tidaknya ketika saya berada sekitar darjah empat atau lima, salah satu hobi ialah mandi sungai walaupun tanpa pengetahuan orang tua dan abang saya.

Setelah beberapa lama berjaya untuk tidak dihidu aktiviti nakal kami, pada suatu hari ketika membuat terjunan sisi dari jambatan, paha saya terlanggar paku dan darah membuak-buak di sungai, apatah lagi panic lah seluruh anggota geng jahat kami. Saya pun dengan muka ‘macho’ menahan sakit dan pulang seperti biasa walaupun darah mengalir ke kaki, sampai sahaja di rumah, saya hampir pitam dan barulah disedari bahawa saya mengalami luka dan pendarahan yang teruk.

Ketika sampai di hospital, saya sudah separuh pengsan. Sedar sahaja, saya dimaklumkan oleh abang saya, peha saya telah dijahit dan ditampal dengan daging lain. Khabarnya daging kambing, entahlah saya pun tidak begitu pasti, itulah parut yang saya warisi sehingga kini sebagai harga kenakalan saya.

Tokoh yang saya ketengahkan bagi artikel tersebut ialah seorang tokoh sederhana dengan produk kampungnya yang kini telahpun memasuki pasaran eksport. Tokoh ini sebenarnya ialah sahabat abang saya yang telah berkecimpung dalam perniagaannya sejak hampir tiga dekad yang lalu. Ketika mula-mula sampai, saya terus sahaja bercerita mengenai perniagaannya dengan anak sulungnya yang kini menerajui syarikatnya sebagai pengurus.

Apabila tokoh tadi sampai untuk sesi temuramahnya, dia terus perasan kehadiran abang saya, namun tidak menyedari kehadiran saya kerana rancak menceritakan pengalaman perniagaannya. Namun setelah hampir sepuluh minit berlalu, barulah beliau perasan dengan kehadiran saya yang dikenali sewaktu saya masih kecil sehinggalah tamat Sijil Peperiksaan Malaysia sebelum saya meninggalkan kampung halaman saya kerana melanjutkan pelajaran.

Banyaklah kisah-kisah yang dibualkan dan putaran nostalgia menjadi begitu mengasyikkan kerana selepas sesi tersebut, saya dibawa oleh abang saya mengunjungi tapak kedai kami dahulu yang kini kosong. Sekali lagi kenangan lalu teman-teman abang saya dan juga pelanggan almarhum ayah saya seorang demi seorang mengenang kembali laluan hidup khususnya yang melibatkan saya yang tidak ditemui lebih 30 tahun yang lalu. Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
budak2 biasalah..
haji manap berkata…
nostalgia mengingatkan kita bagaimana Allah mahu kita pula mengingatiNYA..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?