SERONOKNYA JADI MAJIKAN DI MALAYSIA


Menonton Buletin Utama di TV3 malam tadi hampir meruntun air mata lelaki saya. Apa tidaknya, dua berita utama yang disiarkan merujuk kepada bagaimana kakitangan Dawama Sdn Bhd diberikan cuti tanpa gaji sehingga satu tarikh yang tidak dimaklumkan. Manakala pemandu syarikat bas CityLiner yang beroperasi bagi laluan Butterworth ke Parit Buntar pula diberhentikan tanpa sebab.

Kisah Dawama bukanlah cerita baru, saya baru sahaja menulis mengenai isu Dawama yang sepatutnya ditamatkan konsesi mereka serta merta dalam entri semalam, nasib 380 pekerja bolehlah dibayar pampasan berdasarkan tahun mereka berkhidmat atau mungkin juga boleh difikirkan jika boleh diserap semula ke DBP berdasarkan budi bicara dan keperluan.

Majikan seperti Dawama seolah-olah tidak mempunyai nilai kemanusiaan malah bertindak sewenang-wenangnya dengan pekerja mereka. Seolah-olah jasa para pekerja seperti tidak bernilai langsung. Bukankah para pekerja diwakili oleh kesatuan mereka, sepatutnya mereka dimaklumkan bentuk tindakan (jika mereka ikhlas) untuk membela kebajikan para pekerja mereka.

Seperti para pengguna di negara kita, para pekerja juga seperti tidak terbela, mereka sewenang-wenangnya menutup atau menghentikan operasi mereka dan membiarkan para pekerja mereka terkapai-kapai seperti anak ayam kehilangan ibu. Malah tidak banyak yang pernah kita dengar majikan yang didakwa kerana memberhentikan para pekerja mereka tanpa notis dan pampasan.

Di Malaysia, seingat saya belum pernah majikan didakwa kerana gagal memberikan notis sewajarnya apatah lagi pampasan dengan alasan mereka tidak punya apa-apa selepas kegagalan operasi perniagaan mereka. Mungkin kesatuan sekerja di Malaysia patut bersifat proaktif, malah ketika Kerajaan melaksanakan pendaftaran para pendatang asing di bawah program 6P, para majikan melalui pertubuhan mereka begitu lantang memohon lanjutan bagi tempoh pendaftaran, namun apabila majikan seperti Dawama ataupun CityLiner bertindak sewenang-wenangnya memberhentikan pekerja mereka dengan pelbagai cara adakah Persekutuan Majikan Malaysia menegur majikan-majikan semacam ini?

Betullah kadang-kadang menjadi majikan menyeronokkan di Malaysia, kerana kadang-kadang Kerajaan dilihat lebih membela para majikan daripada pekerja!

Ulasan

arip berkata…
majikan kat m'sia cam hampeh..
SIS berkata…
kesian pekerja yang diarah bercuti tanpa gaji..dah la di bulan puasa dan akan menyambut hari raya..mmg DAWAMA tidak berhati perut..
Tanpa Nama berkata…
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?