BR1M @ BROOOOM?


Ramai yang percaya PRU ke-13 adalah yang paling sengit pernah dilalui oleh mana-mana pemimpin politik kita sama ada daripada pihak Kerajaan apatah lagi pembangkang.  Ini kerana selepas tsunami politik yang melanda negara pasca  PRU ke-12 pada Mac 2008, landskap politik Malaysia telah sama sekali berubah.

Bayangkan tiada siapa menyangka begitu buruk prestasi BN dalam PRU ke-12 sehingga beberapa tokoh yang merupakan pemimpin tertinggi parti kalah dalam pilihanraya 2008 yang lalu.  Nama-nama besar seperti Datuk Seri Samy Veloo, Presiden MIC, Tan Sri Koh Tsu Koon, Presiden Gerakan, Datuk Kayeas, Presiden PPP yang semuanya merupakan parti komponen BN kalah di kawasan yang mereka tandingi.

Kini selepas lebih lima tahun, selepas puas berteka-teki dan sekurang-kurang menyempurnakan empat tahun pemerintahan Perdana Menteri yang keenam, Najib Tun Razak mengumumkan pembubaran parlimen dengan ‘tersasul’ pada 3 April 2013. 

Apa yang menarik selepas itu adalah perang manifesto di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Najib. Manifesto Barisan Najib yang bertemakan ‘Menepati Janji, Membawa Harapan’  tidak membawa sebarang perkara baru selain mengiyakan bantuan yang bersifat jangkapendek seperti BR1M, BB1M, BAP1M, malah terdapat janji untuk menambahkan BR1M menjadi RM1200 daripada nilai sekarang sebanyak RM500.

Mengurangkan harga kereta secara berperingkat juga diumumkan di dalam manifesto BN yang sebelum ini dikecam hebat oleh para pemimpin BN.    BN juga berjanji akan membina 1 juta rumah dengan 500,000 unit rumah PR1MA, anehnya harga rumah dalam PR1MA yang paling murah adalah sekitar RM120,000 dengan keluasan 815 k.p.  Program Perumahan 1Malaysia (PR1MA) yang dilancarkan pada 4 Julai 2011, disasarkan kepada isi rumah berpendapatan RM2500 hingga RM7000 sebulan.

Jika dikira, sebuah isi rumah yang berpendapatan RM2500, tentulah tidak layak untuk memohon pinjaman bank jika ingin membeli rumah yang paling murah dalam program PR1MA iaitu RM120,000.  Jadi janji di dalam manifesto BN seolah-olah tidak mungkin dinikmati oleh majoriti rakyat Malaysia yang layak menerima BR1M!

BN menempelak Pakatan Rakyat dengan mengatakan mewujudkan peluang pekerjaaan sehingga 1 juta adalah mustahil, namun yang lebih mustahil ialah membina 1 juta unit rumah untuk rakyat, jika separuh yang dibina di bawah PR1MA adalah sukar untuk dimiliki oleh majoriti rakyat Malaysia. 

Berbeza dengan manifesto Pakatan Rakyat yang lebih realistik dengan  cadangan untuk menghapuskan tol secara berperingkat, ini adalah lebih dekat dengan majoriti rakyat yang terbeban dengan tol saban hari, saya sendiri membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 untuk tol setiap bulan, maka jika dapat dikurangkan sebanyak satu pertiga, saya dapat menjimat sehingga RM1800 setiap tahun!

Tawaran lain oleh Pakatan Rakyat ialah memberikan pendidikan percuma sehingga ke peringkat universiti, sesuatu yang kelihatannya sukar dicapai namun bukanlah sesuatu yang mustahil, jika pun tidak dihapuskan kadar faedah boleh dikurangkan atau tanpa faedah bagi pinjaman pelajaran.

Sistem penguatkuasaan Automatik (AES) adalah salah satu yang hangat diperdebatkan sehingga memaksa kerajaan BN menangguhkan pelaksanaannya, namun dalam manifesto Pakatan Rakyat, ia dijanjikan untuk dihapuskan sama sekali, sesuatu yang bersifat lebih menyeluruh.

Yang paling menarik ialah apabila Barisan Najib mendahului dengan menandatangani Ikrar Integriti Pilihanraya yang tidak diambil peduli oleh para pemimpin pembangkang kerana mereka menjanjikan Dasar Banteras Rasuah Negara (DEBARAN).

Negeri Selangor misalnya telah pun mengamalkan pemberian air percuma sebanyak 20 meter padu yang bernilai RM11 setiap bulan yang tidak pernah kita mimpikan sepanjang 50 tahun BN memerintah.  Begitu juga tidak siapa yang tahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor juga adalah pemegang saham dalam konsesi tol Besraya di Cheras sehinggalah dimaklumkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat ketika krisis laluan di Bukit Mahkota Cheras, sesuatu yang cuba diselindungkan oleh pemerintahan BN selama ini.

Dengan manifesto yang dipenuhi pelbagai ‘hand out’ yang bersifat semantara dan jangka pendek, BN tidak pun menawarkan sebarang benda yang ‘baru’ dalam manifesto ini berbanding Pakatan Rakyat yang menawarkan penyelesaian ‘jangka panjang’ yang lebih bermanfaat kepada seluruh rakyat dan bukan kumpulan kecil dan tertentu.

Jika harga minyak diturunkan, tol dikurangkan secara berperingkat, pendidikan percuma sehingga ke universiti, pengiktirafan kaum wanita di semua peringkat, apa lagi yang mahu ditagih daripada BN selepas lebih setengah abad memerintah negara ini.  Jika analogi BR1M untuk jangka pendek dan BROOOOM untuk penyelesaian jangka panjang, siapa yang patut dipilih.  Jom  beralih arah perubahan.  Ini kalilah!

Ulasan

bro berkata…
broom la bro...
Tanpa Nama berkata…
ayuh kita pilih broooom...
SIS berkata…
pilih broooom..inikalilah

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?