DEMI KELANGSUNGAN, APA SAHAJALAH LABU!
Nampaknya realiti politik di
negara kita lebih menarik daripada program realiti di kaca televisyen. Benarlah kata seorang ‘otai’ yang satu ketika
dahulu menyanjung mantan Perdana Menteri ke-empat Malaysia, rakyat Malaysia
kini ‘terlalu berpolitik’ sehingga semua benda ditentukan oleh orang politik.
Lihat sahaja, ‘perkahwinan’ Barisan Najib dengan Pertubuhan Hak Asasi
Kaum India (Hindraf), sehingga membentuk satu memorandum persefahaman. Dalam majlis menandatangani ‘Blueprint – A New Dawn For Malaysians
Indians’ , Najib menyatakan langkah ini adalah satu perkembangan positif
dalam politik Malaysia khususnya BN.
Nampak sangat Barisan Najib begitu terdesak untuk mengekalkan kuasa
dengan mengadakan ‘marriage of convenience’
bersama Hindraf.
Apa yang gagal diselami oleh BN
adalah ‘perkahwinan’ dengan Hindraf adalah satu tamparan kepada sekutu mereka
dalam BN iaitu MIC. Apakah ini
menggambarkan bahawa MIC sebenarnya gagal memperjuangkan nasib kaum India di
negara ini sehingga memerlukan sebuah pertubuhan yang baru seperti Hindraf?
Parti induk kaum India di
Malaysia, MIC nampaknya seperti gagal untuk berfungsi membantu kaum India di
negara ini, sekurang-kurangnya itulah tafsiran apabila Barisan Najib menerima
Hindraf sebagai rakan sekutu mereka.
Pakatan Rakyat yang sebelum ini
menolak pelan tindakan Hindraf di mana Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim
bertegas tidak akan menandatangani sebarang perjanjian dengan mereka. Nampaknya Barisan Najib lebih terkehadapan
untuk menjadikan Hindraf rakan sekutu mereka, dengan harapan untuk memulihkan
sokongan kaum India bagi mencapai hasrat memenangi majoriti dua pertiga dalam
PRU ke-13. Hindraf adalah ‘kuda
tunggangan’ baru BN, selepas MIC menjadi selipar buruk.
BN dikatakan akan membentuk unit
khas kerajaan persekutuan untuk masyarakat India di bawah Jabatan Perdana
Menteri yang merangkumi Special
Implementation Task Force (SITF) yang memfokus kepada isu dokumen
pengenalan diri seperti kewarganegaraan, kad pengenalan dan sijil kelahiran.
Selain itu, fokus kepada sekolah
Tamil juga dijanjikan oleh BN, di samping meningkatkan penyertaan masyarakat
India dalam sektor Kerajaan dan GLC. Ini
janji oleh BN.
Jika selama lebih 55 tahun,
masyarakat India terabai di bawah MIC dan BN, apakah ini langkah terdesak
Barisan Najib untuk memenangi hati masyarakat India menjelang PRU ke-13. Bukankah, Najib dan Muhyiddin melaungkan di
sana-sini bahawa selama ini masyarakat India tidak dipinggirkan, sekolah Tamil
tidak diabaikan.
Jika janji selama ini ditepati,
mengapa perlu berjanji dengan Hindraf?
Inilah contoh bagaimana BN sangat terdesak untuk memenangi PRU ke-13,
dan sebenarnya apa yang dilaungkan oleh Najib bahawa kaum India tidak pernah
dipinggirkan hanyalah ‘retorik’ semata-mata.
MIC atau Najib dan BN sebenarnya
tidak banyak melakukan apa-apa untuk kaum India, yang dilaungkan hanyalah
‘janji dicapati’!
Selain Hindraf, Barisan Najib pun
sanggup memberikan laluan kepada orang yang pernah menghina parti ‘keramat’
mereka dan penghinaan terhadap kaum India oleh calon kerusi Parlimen P108 Shah
Alam , Zulkifli Nordin dengan alasan calon ini telah pun memohon maaf daripada
kaum India, namun adakah orang UMNO boleh memaafkan ‘parasit politik’ seperti
calon Parlimen Shah Alam? Nampaknya PRU
ke-13 adalah masanya untuk memulakan perubahan.
Ini kalilah!
Ulasan