SPR & MOMOKAN DEMOKRASI!


Kini kurang daripada dua minggu, rakyat Malaysia yang telah mendaftar sebagai pengundi akan menunaikan tanggungjawab mereka untuk melaksanakan amanah untuk memilih para pemimpin mereka dalam Pilihanraya Umum ke-13.

Pada 5 Mei nanti, seramai 13,268,002 pengundi berdaftar setakat yang diwartakan oleh SPR pada 11 April yang lalu akan membuang undi.  Daripada jumlah tersebut, seramai 161,251 adalah daripada kalangan tentera dan pasangan mereka, di samping 111,136 pengundi pula daripada kalangan polis dan pasangan mereka.  Selain itu, seramai 2954 pula mendaftar sebagai pengundi luar negara.  Kesemua mereka akan mengundi awal pada 30 April.

Apa yang menarik dalam PRU pada kali yang ke-13 ini adalah penggunaan dakwat kekal bagi mengelakkan pengundi berulang kali.  Usaha ini adalah sebahagian daripada desakan dalam tiga siri Bersih iaitu pada 10 November 2007, 9 Julai 2011 dan yang terakhir pada 3 April 2012.

Walaupun sebanyak lapan tuntutan dikemukakan dalam tiga siri bersih yang antara lain adalah: bersihkan daftar pemilih, reformasikan undi pos, gunakan dakwat kekal, akses media yang bebas & adil, tempoh berkempen minima 21 hari, kukuhkan institusi awam, hentikan rasuah, dan hentikan politik kotor.

Tuntutan pertama – bersihkan daftar pemilih, masih belum sepenuhnya kerana masih terdapat keraguan, misalnya yang dihebahkan baru-baru ini mengenai ‘ab rapar awang’ dan ‘fatimah ismail’ serta bilangan pengundi ‘melebihi usia lebih seratus tahun’ yang meragukan, masih menjadi igauan kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan integriti.

Tuntutan kedua – reformasikan undi pos, walaupun bilangan undi pos pada PRU ke-13 adalah hanya 2954 orang, namun satu lagi istilah yang menggerunkan adalah ‘pengundi awal’ yang merangkumi pihak tentera dan polis serta pasangan mereka dan petugas SPR yang kesemuanya berjumlah 512, 387 mengambilkira petugas SPR sebanyak 240,000 orang dalam PRU ke-13 ini.  Pendedahan oleh mantan pegawai atasan tentera bagaimana mereka menandakan kertas undi dalam PRU yang lepas tentulah akan menimbulkan kesangsian apakah perlakuan yang sama bakal berulang dalam PRU kali ini.

Penggunaan dakwat kekal, salah satu tuntutan oleh Bersih, telah pun diambilkira oleh SPR dan pada kali ini penggunaan dakwat kekal akan pertama kali digunakan.  Namun yang menjadi persoalannya apakah ini dapat menjamin, pengundi seperti ‘ab rapar awang’ tidak mungkin dapat mengundi lebih dari sekali.  SPR juga tidak menunjukkan kepada rakyat umum bagaimanakah proses penggunaan dakwat kekal ini atas faktor keselamatan.  Adakah ia benar-benar kekal memandangkan SPR kelihatan seperi ‘komponen’ BN yang ke-15 selepas PERKASA.

Akses kepada media secara bebas dan adil, masih jauh panggang dari api, walaupun tawaran Menteri untuk memberikan ruang selama 10 minit kepada parti pembangkang ditolak mentah-mentah, namun usaha membuka ruang media secara bebas dan adil khususnya di rangkaian televisyen dan radio milik kerajaan terus dinafikan.
 
Pada PRU kali ini, tempoh berkempen rasmi adalah selama  15 hari selepas proses penamaan calon pada 20 April yang lalu agak munasabah walaupun yang dituntut adalah tempoh minima selama 21 hari.

Rasuah dan politik kotor masih menjadi mainan para pemimpin lebih-lebih lagi para pemimpin BN yang menjadi peneraju ‘kerajaan sementara’ pada masa ini.  Apakah janji-janji oleh para pemimpin tinggi BN boleh dianggap ‘rasuah politik’ terpulanglah pada tafsiran kerana menawarkan sesuatu pada ketika berkempen jelas sebagai rasuah politik.

SPR sebagai badan yang diberi amanah untuk mengendalikan pilihanraya umum di negara kita sepatutnya bertindak memantau dan menguatkuasakan keadilan dan kebebasan media serta akses kepada media kerajaan secara lebih terbuka.  Selain itu, daftar pemilih yang bersih (istilah yang digunapakai adalah pendaftar yang sah) sebenarnya tidak banyak dilakukan dalam usaha mewujudkan daftar pemilih yang bersih.

Ini kerana selepas daftar pemilih diwartakan masih terdapat nama-nama pengundi yang meragukan seperti yang dilaporkan dalam media oleh parti-parti lawan.  Jika tiada tindakan proaktif diambil oleh SPR untuk membetulkan dakwaan-dakwaan ini, benarlah seperti yang dilabel oleh rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi tulin bahawa SPR adalah komponen ke-15 BN.  Rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi tulin seharusnya menolak ‘penipuan terancang’ seperti ini oleh SPR.  Ini kalilah!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
setuju espeear komponen be end..
Tanpa Nama berkata…
petugas spr pun 240 ribu..ramainya..
SIS berkata…
ada kwn tu tempat mengundi masa PRU12 didewan mengikut alamat spt di IC tp kali ni PRU 13 semakan di SPR, tiba2 namanya berada ditempat lama masa PRU 11..tu apa crite plak...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?