GENDANG SUDAH DIPALU


Gendang Pilihanraya Umum ke-13 yang dijadualkan pada 5 Mei telah selesai  fasa kedua iaitu penamaan calon pada hari semalam.  Seramai 1900 orang calon akan berjuang untuk merebut 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Contoh daftar SPR pincang - ihsan malaysiakini.com
Selain itu, inilah pertama kali dalam sejarah penyertaan calon bebas yang terbanyak iaitu seramai 270 orang.  Malah juga tercatat dalam sejarah, bagaimana terdapat ahli-ahli parti yang bertanding atas tiket calon bebas kerana tidak terpilih dan merasakan mereka adalah ‘calon boleh menang’.

Di kerusi Parimen P42, Tasek Gelugor, misalnya menyaksikan Datuk Seri Mohd Shariff Omar yang pernah mewakili parlimen tersebut pada tahun 1999 dan 2004 bertanding atas tiket Bebas kerana tidak dipilih oleh pucuk pimpinan walaupun pernah dijanjikan secara lisan oleh pucuk pimpinan sebelumnya.

Ini penyokong tegar BN!
Begitu juga, Naib Ketua Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim yang mengumumkan perletakan jawatannya dalam UMNO melalui laman sosial mukabuku semalam, bertanding atas tiket Bebas kerana tidak berpuas hati dengan tawaran oleh Pengerusi BN, sebagai calon DUN Bukit Chandan dan kemungkinan terpilih sebagai Exco.  Namun semua ini diketepikan oleh Datuk Kamilia yang juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kangsar.

Namun, suara akar umbi masih diambil kira oleh pucuk pimpinan BN apabila, calon N32 Seri Setia di Parlimen P104 Kelana Jaya, digantikan oleh Datuk Abdul Halim Samad, apabila calon sebelumnya yang dipilih oleh pucuk pimpinan ‘menarik diri’.

Di N25, Kajang pula menyaksikan mantan ADUN sebelum ini, Cikgu Lee tidak terpilih dan digantikan oleh Lee Chin Cheh, malah disertai oleh tiga calon bebas dan seorang calon BERJASA dan BN, menjadikan pertandingan enam penjuru di sini.

Menariknya pada PRU kali ini ialah, penyertaan dua pemimpin tertinggi kumpulan pendesak Melayu, PERKASA yang bertanding atas tiket BN, iaitu Datuk Ibrahim Ali di P 22 Pasir Mas, yang merupakan ‘kubu’ beliau sejak menyertai politik.  Manakala, di P108 Shah Alam pula menyaksik seorang lagi pemimpin kumpulan pendesak Melayu, Zulkifi Nordin bertanding di atas tiket BN menentang calon PAS, Khalid Samad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula ditentang oleh Mohd Faris Musa dalam perlawanan satu lawan satu di P85 Pekan, manakala Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ditentang oleh calon PAS di P143 Pagoh.  Apakah kedua-dua kerusi ini akan terus kekal di tangan pimpinan tertinggi UMNO dan BN ini?  Atas kertas, memangnya kelihatan mudah bagi mereka memenanginya, namun dalam PRU 13, kemungkinan bagi para pemimpin tertinggi BN untuk terlepas kerusi bukan sesuatu yang tidak mustahil.

Dalam PRU pada kali ini juga menyaksikan sekurang-kurangnya ada tiga  orang artis menawarkan diri sebagai calon.  Namun begitu, kesemua mereka merupakan calon Pakatan Rakyat dan Bebas, apakah ini bermakna bahawa artis-artis di bawah naungan pemerintah selama lebih setengah abad ‘tidak begitu berani’ untuk menawarkan diri sebagai pemimpin?

Penyanyi dan pelakon, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin yang mewakili PAS akan bertanding satu lawan satu dengan mantan  Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad di  P127 Jempol.  Seorang lagi artis, Dayangku Intan akan bertanding di P157 Pengerang, menentang calon dua kali ‘menang tanpa bertanding’ Datuk Seri Azalina Othman yang tidak terpilih sebagai menteri cabinet dalam kepimpinan Perdana Menteri!

Di P95 Tanjung Karang pula penyanyi 80an anak kelahiran Tanjung Karang, Herman Tino bertanding atas tiket Bebas menentang Datuk Noh Omar calon BN dan mantan Ahli Parlimen dan Menteri Pertanian dan Agrotani serta Mohd Rashdi Deraman dari PAS.

PRU ke-13 pada kali ini juga menyaksikan nama-nama besar parti bertanding untuk menentukan karier atau ‘kubur’ politik masing-masing misalnya penasihat DAP, Lim Kit Siang bertanding di kerusi Parlimen P162 Gelang Patah menentang Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang beralih ke kerusi Parlimen.
Walauapapun, PRU ke-13 yang begitu lama dinantikan oleh rakyat Malaysia yang telah mual dengan aksi para pemimpinnya, akan menjadi penentu dan hala tuju sistem politik dan demokrasi tulin di negara kita. 

PRU ke-13 juga bakal melakarkan sejarah jika calon-calon Bebas yang memilih untuk meninggalkan parti mereka seperti Datuk Seri Mohd Shariff Omar dan Datuk Kamilia Ibrahim menang dalam perhitungan politik mereka bagaimana pucuk pimpinan parti masing-masing supaya tidak memperlekehkan aspirasi dan tuntutan akar umbi terhadap bakal pemimpin yang mereka mahukan.

Sungguhpun dikhabarkan banyak kepincangan dalam daftar pemilih SPR, ini adalah masa yang terbaik bagi Perdana Menteri untuk mengarahkan SPR untuk melihat kepincangan ini dan menampilkan daftar pemilih yang tidak berulang dengan nama seperti ‘ab rapar awang’ atau ‘fatimah ismail’ atau pengundi melebihi usia 100 tahun yang meragukan.  Jika Perdana Menteri tidak melakukkannya, rakyatlah sepatutnya bertindak bijak.  Ini kalilah!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
pilihan ganmbar tepat...
Tanpa Nama berkata…
mana mngkin bee end melihat daftar spr..
anep berkata…
tn ks..dah jadi blogger politik..tapi tak apa..idup tn ks..
SIS berkata…
gendang rakyat dipalu bertalu-talu, tapi bee end masih tuli, ahli bee end ramai yg tak sebulu, 5 mei bakal hilang byk undi...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?