POLITIK BUDIMAN, POLITIK PULAS TANGAN & POLITIK SAMDOL


Pada pertengahan Januari yang lalu, ketika kami berbincang secara santai dalam sesi yang sering saya labelkan sebagai ‘perjumpaan pertubuhan haram’ dalam nada menyakat teman-teman dalam laman buku, salah satu argumentasi adalah mengenai perlakuan politik.

Politik budiman atau ‘gentleman’s politics’ menjadi satu yang sangat kerap kami debatkan dalam suasana yang kadang-kadang agak tegang.  Politik budiman merujuk kepada perlakuan ‘anak jantan’ yang berani mengakui hakikat keadaan.

Memberikan ruang 10 minit untuk meuar-uarkan manifesto oleh parti-parti yang bertanding khususnya kepada pakatan pembangkang yang kemudiannya ditolak mentah-mentah oleh mereka sehingga dilabel sebagai ‘angkuh’ oleh Menteri Penerangan, Komunikasi & Kebudayaan, sebenarnya adalah contoh bagaimana si Menteri yang kononnya memperjuangkan adab dan berbudi tidak bersikap dan bersifat budiman, sesuai dengan parti yang diwakilinya!

Dalam politik budiman, selepas pembubaran Parlimen,  taraf semua Ahli Parlimen dan ADUN adalah sama di mata rakyat dan kakitangan awam yang menjadi peneraju kerajaan sementara seharusnya bersifat lebih adil dan bersikap ‘gentleman’ yakni budiman.

Malangnya hal ini tidak menjadi realiti apabila jentera kerajaan dan kakitangan awam masih terus dipergunakan untuk tujuan politik, daripada memberi ruang yang sama kepada pemimpin Barisan Nasional, tiada ruang secukupnya diberikan kepada Pakatan Rakyat, seolah-olah peranan pembangkang sebagai elemen ‘check and balance’ tidak mempunyai sebarang makna terhadap kehadiran mereka khususnya dalam tempoh lima tahun sejak PRU ke-12 pada Mac 2008 yang lalu.

Lebel sebagai  sebuah negara demokrasi seolah hanyalah momokan, malah tahap ketulenan demokrasi di Malaysia bukan sahaja diragui malah seringkali menjadi ‘lawak jenaka’ yang cukup menghiburkan.

Lihat sahaja bagaimana media kerajaan seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dipergunakan sepenuhnya, malah Jabatan Penerangan, JASA dan lain-lain agensi kerajaan menjadi wadah kepada Barisan Nasional walaupun selepas parlimen dibubarkan benar-benar mengambarkan bagaimana ‘politik budiman’ adalah jauh panggang dari api atau hanyalah impian semata-mata.

Kisah bagaimana akhbar Harian Metro dikhabarkan menolak iklan berbayar oleh Kerajaan Pulau Pinang adalah satu lagi contoh ‘ketakutan’ parti Barisan Nasional.  Harian Metro salah sebuah akhbar dalam kumpulan Media Prima dikhabarkan menolak iklan program pembasmian kemiskinan di negeri pembangkang itu. 

Mungkin Harian Metro boleh mengatakan bahawa penolakan iklan berbayar seperti oleh Kerajaan Pulau Pinang adalah hak mutlak mereka sebagai sebuah entiti komersil, tetapi penolakan khususnya oleh sebuah akhbar yang menjadikan Barisan Nasional sebagai tuan politik mereka tentulah dapat diduga asasnya.

Selepas tsunami politik yang melanda negara pada PRU 12 yang lalu, reputasi Barisan Nasional sangat menyerlah sebagai ‘new kids on the block’ khususnya peranan cemerlang sebagai pembangkang di Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, malah mengatasi rekod berpuluh tahun mereka sebagai sebuah Kerajaan.  Sebagai pembangkang di negeri-negeri tersebut, Barisan Nasional sangat cemerlang malah seharusnya mendapat pujian.

Sebutlah apa sahaja yang tidak dilakukan oleh Barisan Nasional di negeri-negeri di mana mereka menjadi pembangkang, semuanya dalam usaha tersusun dan memanipulasi untuk merebut kembali negeri-negeri yang terlepas ini, malah politik budiman langsung tidak wujud yang ada hanyalah ‘politik pulas tangan’.

Apa yang dilakukan oleh Barisan Nasional yang mendakwa kejayaan negara ekoran transformasi ekonomi, politik dan kerajaan seolah-olah tidak selari sehingga rakyat yang rasional pemikirannya akan mempertikaikan jika betul ekonomi negara dengan pertumbuhan yang sihat, maka apa perlunya pemberian BR1M yang kini bakal diteruskan pula sebagai satu lagi ‘gula-gula politik’, sehingga kakitangan di syarikat berkaitan kerajaan seperti Telekom Malaysia, Pos Malaysia dan Petronas diberikan pula ‘imbuhan’ bagi ‘menghargai’ usaha mereka selama ini.

Di Malaysia dengan laungan demokrasi yang dijerit-jerit, apa yang dipraktikkan bukanlah politik budiman, tetapi politik pulas tangan dan politik samdol!

Ulasan

anep berkata…
terbaek...
Tanpa Nama berkata…
setuju tiada politik budiman oleh bee end..tamatkan riwayat..
SIS berkata…
terasa ingin membela kakitangan kerajaan..bkn melambangkan semua kakitangan awam menyokong bee end..krn tugas sbg kakitangan kerajaan kena buat apa yg kerajaan suruh..tu la pasal..walaupun dlm hati lain n menyampah betul..tambahan lg sbg hanya kakitangan bawahan...sbb tu kakitangan kerajaan pun berkuasa utk menentukan siapa kerajaan yg bakal menjadi majikan mereka pada setiap PRU...bukan setakat menjadi robot...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?