PESALAH JADI VIP?

Sekurang-kurang itulah tanggapan saya dan juga mungkin rakyat Malaysia yang mendukung Rukunegara khususnya prinsip yang keempat – Kedaulatan Undang-undang.  Apa tidaknya jika anda mengalami keadaan di mana pesalah di dalam kenderaan polis diiringi untuk hadir ke mahkamah dengan deringan siren untuk memberi laluan.   Itulah ‘istimewa’ menjadi pesalah.

Khabarnya pihak Wisma Putra bakal menghantar seorang diplomatnya ke New Zealand pada hari Jumaat ini bagi berdepan dakwaan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita di sana. 

Diplomat berkenaan ditangkap pada 10 Mei yang lalu, atas tuduhan serangan seksual, pecah rumah dan cubaan merogol di rumah mangsa di Brooklyn.  Dia dihantar pulang ke New Zealand selepas kerajaan New Zealand menfailkan permohonan rasmi untuk ekstradisi tertuduh.

Kerajaan Malaysia akan menghantar diplomat berkenaan pada hari Jumaat ini diiringi oleh polis New Zealand.  Khabarnya, tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah pada pagi Sabtu menjelang ketibaannya di New Zealand.

Pada 22 Mei yang lalu, kerajaan membawa pulang diplomat berkenaan daripada New Zealand selepas tidak mahu menggugurkan taraf diplomatnya.  Kini selepas lebih lima bulan kembali ke tanah air dan menjalani rawatan psikiatri, dia dihantar semula bagi menghadapi tuduhan ke atasnya.

Di New Zealand pula, mangsa dikatakan menyelar tindakan Menteri Luarnya dan dikatakan gagal melaksanakan tugasnya.  Malah Ketua Pegawai Eksekutif Kementerian Luar dan Perdagangan (MFAT) New Zealand, khabarnya telah memohon maaf secara terbuka di samping surat permohonan maaf kepada mangsa tersebut.

Kelihatannya, New Zealand serius bagi memastikan mangsa mendapat hak dan pembelaan sewajarnya.  Namun kita di Malaysia atas nama ‘rakan baik’ mengambil masa yang agak lama sehingga memaksa New Zealand membuat permohonan rasmi ekstradisi tertuduh ke negara mereka.

Sama ada dakwaan bahawa kerajaan kita cuba untuk meminta New Zealand menggugurkan tuduhan adalah isu yang lain dan tidak timbul memandangkan kenyataan tegas Menteri Luar tempohari. 

“jangan fikir hanya kerana dia seorang diplomat, dia boleh terlepas hukuman.  Imuniti sebagai seorang diplomat bukan lesen untuk melakukan jenayah”.

Namun kelengahan kita menghantar pulang tertuduh selepas hampir lima bulan dengan alasan New Zealand belum lagi membuat permohonan rasmi juga boleh difikirkan semula. 

Walauapapun kerajaan seperti kenyataan tegas Menteri Luar bolehlah membiarkan proses undang-undang mengambil tempatnya, apatah lagi dilakukan oleh seorang diplomat, di sebuah negara yang menjadi rakan rapat negara kita.  Yang lebih penting adalah ianya adalah kes jenayah.

Semoga episod membawa pulang diplomat atau mana-mana rakyat kita sekalipun atas alasan ‘menjalani rawatan psikiatri’ tidak lagi digunapakai.  Ini kerana sebenarnya ramai rakyat Malaysia yang melakukan kesalahan di luar negara masih menjalani proses undang-undang di negara di mana kesalahan dilakukan. 


Adakah kerana hanya seorang diplomat kita tidak mendaulatkan undang-undang dan menghormati hak rakan baik kita!

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?