1 ASIA, 1 SUARA!

Saya sentiasa menyokong usaha rakyat Malaysia untuk mencipta nama atau menyumbang di peringkat antarabangsa.  Salah satu impian saya adalah untuk melihat karyawan kita terpilih sebagai penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan.  Walaupun telah ada rakyat Malaysia yang menjadi penerima Hadiah Nobel baru-baru ini, ianya masih jauh untuk melihat hadiah bagi kategori sastera.

Semalam Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengumumkan secara rasmi akan bertanding bagi jawatan exco Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2015-2018.

Rasanya tidak salah bagi Tengku Abdullah selaku teraju utama bola sepak negara untuk menawarkan diri merebut jawatan exco tersebut.

Pedulilah jika mutu bola sepak kita di tahap yang mengecewakan rakyat dan peminat bola sepak, atau terdapat persatuan bola sepak negeri yang menjadi ‘kaki buli’, sesuatu perlu dilakukan.  Tiada gunanya kita  terus menangisi mutu bola sepak negara tanpa mengambil apa-apa tindakan di ‘luar kotak’.

Sebagai seorang pemimpin sukan, apatah lagi sukan seperti bola sepak, memanglah wajar dan kena pada masanya pemimpin kita dilonjakan di peringkat yang lebih tinggi.

Di peringkat negara-negara Asia Tenggara, hanya Thailand yang diketahui mempunyai wakil mereka menduduki kerusi exco FIFA.  Wakil Thailand, Worawi Makudi telah menduduki kerusi exco FIFA sejak 1997.  Tengku Abdullah selain menjadi Presiden FAM, juga menduduki kerusi Naib Presiden Persekutuan Bola Sepak Asian (AFC). 

Khabarnya hasrat Tengku Abdullah telah disuarakan kepada Perdana Menteri dan mendapat reaksi positif.  Memang sepatutnya pun pemimpin tertinggi negara memberikan sokongan kepada wakil dari Malaysia untuk menduduki kerusi exco badan tertinggi bola sepak dunia.

Nampaknya, Tengku Abdullah telah benar-benar bersedia untuk memastikan manfaat daripada kejayaan menduduki kerusi exco FIFA akan dapat dirasai bukan sahaja oleh sukan bola sepak Malaysia malah juga di negara Asia.

“Saya berhasrat untuk berkhidmat kepada Asia sebagai pemain pasukan di peringkat global, pada masa sama bekerja dengan Presiden FIFA, Datuk Joseph Sepp Blatter dan Presiden AFC Sheikh Salman Ebrahim Al Khalifa untuk membawa benua Asia ke tahap yang sepatutnya iaitu kuasa besar dunia dalam bola sepak.
Kami adalah benua terbesa, kita harus mula memainkan peranan. Sebagai anggota exco FIFA akan datang, saya percaya kita (negara-negara Asia) perlu diberi lebih banyak tempat pada pusingan final Piala Dunia berbanding empat slot ketika ini”.
Harapannya, agar dengan penyertaan Presiden FAM di peringkat pengurusan bola sepak antarabangsa, sukan dan mutu bola sepak negara dapat dikembalikan kegemilangannya.

Sebagai rakyat Malaysia yang cintakan sukan bola sepak, semua pihak termasuk FAM, persatuan bola sepak negeri, Kementerian Belia dan Sukan serta Kerajaan haruslah berganding bagi memastikan impian Malaysia yang disandarkan kepada Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah akan dapat direalisasikan. 

Selamat maju jaya bola sepak negara!


Selamat maju jaya Tengku Abdullah, Presiden FAM dalam misi membawa suara Asia ke persada dunia!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
semoga berjaya!

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?