BLUSUKAN ALA AZMIN ALI

Pemimpin dan pengurus mempunyai pelbagai gaya pengurusan.  Antara gaya pengurusan yang menjadi sebutan adalah MBWA (Management by Walking Around).  Ianya digambarkan sebagai teknik pengurusan yang klasik di mana para pengurus berusaha mendapatkan seberapa banyak informasi dari lapangan.

Kisah Khalifah Omar Abdul Aziz tercatat dalam sejarah Islam antara pemimpin yang sentiasa turun padang.  Malah bukan itu sahaja, beliau turun padang dengan cara menyamar supaya identitinya tidak dikenali dan bagi mendapatkan maklumat setepat dan sebenar mungkin.

Dalam pentadbiran negara kita, seperti yang pernah dikisahkan oleh almarhum ayahanda saya adalah kisah Dato’ Hassan Ibrahim (mantan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan) yang banyak kali turun padang dengan cara menyamar.  Khabarnya beliau pernah menyamar sebagai ceti lengkap dengan bedak putih yang digunakan oleh kaum Hindu pada dahi mereka.

Dato’ Hassan Ibrahim adalah juga pengarang yang telah menghasilkan novel Satira, Tikus Rahmat pada tahun 60an.

Kini timbul pula kisah Menteri Besar Selangor yang baharu turun padang untuk mengetahui masalah dan perjalanan pentadbiran di Selangor daripada kaca mata beliau sendiri.

Khabarnya, YAB Azmin Ali membuat ‘terjahan’ untuk mengetahui sendiri masalah pungutan sampah di Selangor.  Masalah pungutan sampah di Selangor telah berlanjutan agak lama seusia dengan masalah air juga.  Sejak penghujung tahun 2012, masalah kutipan sampah telah mula timbul dengan pelbagai pendekatan dan kaedah bagi membendung masalah ini, namun masih tidak begitu efektif.

Semalam, dilaporkan melalui media sosial bagaimana Menteri Besar Selangor yang baru ini tidak teragak-agak untuk mengotorkan bajunya bagi melihat sendiri aspek kutipan sampah di Selangor.  Walaupun akan ada pemimpin khususnya daripada kalangan pembangkang di Selangor yang akan beranggapan tindakan YAB Azmin Ali sekadar publisiti, namun jangan lupa ianya bukan sekadar ‘cakap tak serupa bikin’.

Kisah blusukan (istilah Indonesia bermaksud turun padang) digunakan kepada Jokowi ketika beliau menjadi Gabenor Jakarta beberapa ketika dahulu.  Kisah para pemimpin dan pengurus turun padang sepatutnya menjadi amalan, pernah juga para pemimpin negara menggunakan pengangkutan awam untuk merasai sendiri pengalaman rakyat menggunakan pengangkutan  awam.

Namun, kadang-kadang kisah blusukan atau turun padang mungkin tidak lebih daripada gimik politik dan retorik semata-mata.   

Model kepimpinan Saidina Umar Al-Khatab yang sentiasa turun padang melihat rakyatnya pada waktu malam ketika mereka sedang tidur dan terserempak dengan seorang wanita tua yang sedang memasak sesuatu, yang pada ketika itu sebenarnya sedang merebus batu untuk anak-anaknya yang sedang kelaparan.

Kerana prihatin dengan nasib tidak terbela wanita tua tersebut, Khalifah Umar membawa sendiri keperluan wanita tersebut sehingga diungkapkan wanita itu “sesungguhnya tuan yang sepatutnya menjadi Amirul Mukminin, bukannya Umar AlKhatab”.

Samada YAB Azmin Ali benar-benar ikhlas melakukan perkara yang dilakukan bukanlah soalnya.  Itu urusan beliau dengan Allah SWT, namun harapannya akan lebih ramai daripada kalangan pengurus dan pemimpin di semua peringkat melakuan amalan turun padang secara konsisten untuk mengetahui sendiri denyut nadi rakyat.  

Jangalah selepas paparan di dalam program realiti seperti Bersamamu, baru berduyun-duyun bantuan tiba.  Pegawai-pegawan pusat zakat, baitulmal dan kebajikan masyarakat juga harus sentiasa turun padang untuk mengesan dan mengagihkan bantuan seawal mungkin.

Secara peribadi tindakan  MB Selangor yang baru, mungkin akan membuka mata kakitangan awam di peringkat negeri untuk sentiasa bersiapsiaga untuk tidak ‘diterjah’ oleh Menteri Besar. 

Tahniah YAB Datuk Menteri Besar Tuan Azmin Ali!


Ulasan

Tanpa Nama berkata…
SYABAS MB...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?