APA PERLU PEMBIDA NOMBOR PLAT DILINDUNGI?

Kegilaan untuk mendapatkan nombor plat kenderaan pilihan di Malaysia bukanlah suatu yang asing.  Malah saya sendiri sentiasa membida nombor-nombor pilihan hati.  Ianya tidak salah malah pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai agensi tunggal berhubung urusan pendaftaran dan pengeluaran nombor plat kenderaan melakukannya secara berterusan.

Khabarnya telah banyak hasil untuk kerajaan yang dikutip daripada bidaan seumpama ini.  Suatu ketika dahulu, kisah Sultan Johor yang membida nombor plat kenderaan bagi siri WWW juga diketahui semua.

Sebab apa dan berapa yang dibelanjakan oleh seseorang untuk membida nombor plat pilihan mereka juga dipamerkan secara telus oleh pihak JPJ selama ini, malah rakyat kecil seperti saya dan anda boleh sahaja ke mana-mana pejabat JPJ negeri untuk melihat siapa mendapat apa dan membelanjakan berapa. 

Malah juga boleh membuat kesimpulan (walaupun tidak semesti tepat) mengapa seseorang itu berusaha untuk membida nombor pilihan mereka.  Misalnya kaum Cina tidak mungkin memilih nombor 4 kerana dianggap tidak begitu bertuah.  Selain daripada dibida oleh pembeli kereta, nombor pilihan juga dibida oleh individu atau syarikat untuk tujuan diniagakan semula.  Ianya semacam satu cabang perniagaan!

Tidak pernah berlaku kekecohan mengenai bidaan nombor plat kenderaan.  Malah saban minggu terdapat bidaan, ini kerana pergerakan nombor antara satu negeri dan negeri yang lain adalah berbeza.

Baru-baru ini, timbul pula kisah mengenai sipolan membida dua buah nombor dengan jumlah lebih RM300,000. Saya tidak menganggap sebagai satu kesalahan kerana ia adalah mengikut kemampuan masing-masing.

Namun lain pula ceritanya apabila JPJ hanya mencatat sebagai ‘Anggota Pentadbiran Kerajaan’ bagi nombor 1, 2, 7, 9 dan 10 bagi siri BMW.  Dan nilai bidaan mereka juga dinyatakan sebagai RM0.00 iaitu nilai sifar.

Ironinya, bagi nombor-nombor lain (hanya bagi nombor bilangan 1 hingga 10) didedahkan, malah kerabat Raja dan dan Sultan juga dinyatakan.  Apakah melindungi nama-nama mereka yang berjaya mendapatkan nombor plat kenderaan yang eksklusif seperti itu juga termasuk dalam skop bidang tugas JPJ.

Pada saya mudah, jika anda mahu membida nombor-nombor pilihan dengan apa sahaja nombor dan bayaran, anda juga haruslah bersedia untuk didedahkan identitinya.  Jika tidak ambil sahaja mana-mana nombor mengikut turutan yang biasa.  Jika tidak mahu menggunakan identiti sendiri anda juga boleh berbelanja lebih sedikit dengan menggunakan proksi, sama ada orang seperti saya, dreber atau orang gaji anda.

Maka selepas ini, nama saya juga akan terpampang sebagai pembida bagi nombor-nombor eksklusif walaupun ianya hanyalah sebagai proksi.  Modalnya selain daripada nilai bidaan hanyalah sebuah motosikal tidak lebih daripada RM3000 dan kos-kos lain untuk melakukan pertukaran nombor.

Sebagai sebuah agensi kerajaan bukanlah tugas JPJ untuk melindungi siapa sahaja yang membida nombor-nombor pilihan, malah rakyat seperti saya dan anda juga berhak untuk mengetahui siapakah yang berjaya mendapatkan nombor tersebut dan berapa pula perbelanjaannya.  Bukankah hasilnya akan disalurkan kepada kerajaan dan rakyat.

Diharapkan JPJ tidak lagi perlu berdolak dalik berhubung pembida nombor mereka dengan hanya menyatakan sebagai ‘Anggota Pentadbiran Kerajaan’ dan nilai sifar.

Jangan lupa, antara objektif JPJ yang digariskan dalam Kod Etika dan Kod Tatakelakuan JPJ adalah “mewujud dan mentadbir sistem pendaftaran dan pelesenan semua jenis kenderaan bermotor yang berintegriti, berkesan dan selamat”.

Selain itu, JPJ juga mencatatkan Kejujuran dan Integriti sebagai kod yang pertama antara 32 kod tatakelakuan warga JPJ Malaysia.  Antara lainnya ialah “adalah menjadi satu kewajipan kepada warga JPJ untuk menwujudkan kepercayaan masyarkat kepada mereka dari segi kejujuran dan integriti yang ditunjukkan oleh mereka.  Seorang warga JPJ mestilah sentiasa telus dalam menjalankan tugas untuk mengelakkan dipandang serong oleh individu, institusi atau masyarakat”.


Ketelusan dan integriti bukan sekadar cakap ianya juga patut dilihat dilakukan.  Janganlah dilabel, cakap tak serupa bikin!
Share this article :
 

+ komen + 2 komen

Tanpa Nama
9 Oktober 2014 9:51 PG

setuju ngan tn ks..kalau takut tahu nama ambik je nombor tururtan..

Tanpa Nama
9 Oktober 2014 8:20 PTG

telus yang tirus..ut

Catat Ulasan
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. kaki sakat - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website Published by Mas Template
Proudly powered by Blogger