APA YANG DIHARAPKAN DARI BAJET 2015?

Dewan Rakyat akan memulakan sesi sidang terakhir bagi tahun 2014 pada pagi ini dan khabarnya akan terdapat juga protes mengenai kenaikan harga barang khususnya minyak yang dinaikkan sebanyak 20 sen pada 2 Oktober yang lalu.

Lazimnya, kenaikan atau penuruan harga barangan mahupun perkhidmatan  adalah selepas pengumuman bajet saban tahun.  Nampaknya pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib lebih proaktif.  Mungkin ada rasionalnya harga minyak dinaikan menjelang pembentangan bajet supaya Bajet 2015 tidak diberi jolokan Bajet Naik Harga!

Bajet 2015 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah yang keenam selepas mengambilalih tampuk pimpinan negara pada 2009.

Khabarnya bajet pada kali ini menjanjikan pelbagai insentif kepada rakyat seperti lazimnya.  BR1M yang diperkenalkan Datuk Seri Najib pada 2012 akan ditambah nilainya.

Kakitangan awam juga telah meletakkan harapan untuk menerima bonus dua bulan gaji.  Presiden CUEPACS, Azih Muda telah dilaporkan agar Kerajaan mempertimbangkan dengan serius tuntutan bonus dua bulan untuk kakitangan awam.  Dengan kenaikan kos sara hidup dan harga barang dan perkhidmatan, tentulah kakitangan awam mengharapkan Kerajaan mendengar rintihan mereka.

Suatu ketika dahulu ketika negara di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri (sekarang Tun) Abdullah Badawi, terdapat kenaikan harga minyak yang signifikan dan salah satu daripada alasan yang diberikan ketika itu adalah bahawa penjimatan daripada subsidi yang dikurangkan akan digunakan untuk memperbaiki sistem pengangkutan awam khususnya di bandar-bandar besar.

Sehingga kini selepas 6 kali bajet dibentangkan oleh penggantinya, masalah pengangkutan awam masih belum selesai.  Lihat sahaja bagaimana pengangkutan awam di stesen keretapi misalnya di KTM Kajang dan Batu Tiga (sekadar contoh), bagaimana perkhidmatan teksinya begitu ‘cekap’ mengenakan bayaran ‘lumayan’ kepada penumpang bagi destinasi kurang 5 kilometer!

Sungguhpun terdapat bas perantara yang disediakan di sesetengah stesen KTM, namun usaha ini belum menyeluruh.

Walaupun tidak banyak pilihan, masih ramai yang menggunakan perkhidmatan seperti KTM dan LRT untuk ke tempat kerja dengan meninggalkan kenderaan mereka di stesen-stesen KTM.  Di Shah Alam dan Petaling Jaya misalnya terdapat bas percuma disediakan dengan inisiatif Majlis Bandaraya Petaling Jaya, begitu juga perkhidmatan bas berwarna ungu Go KL oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Bagi rakyat kecil seperti saya, tentulah mengharapkan supaya kos sara hidup tidak terus melambung khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar.  Jika saya memilih untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam, tentulah juga mengharapkan prasarana yang menyeluruh bagi menghubungkan destinasi ke stesen KTM dan LRT lebih pantas dan murah.


Cukuplah kerajaan memberikan alasan-alasan bebal yang tidak masuk akal apabila berhujah mengenai pengurangan subsidi minyak misalnya.  Kerana alasan-alasan bebal sebenarnya menambahkan rasa mual rakyat terhadap pemimpin (baca: Menteri) yang memberikan kenyataan bebal seolah-olah lebih berminat untuk menjaga kerusinya daripada kebajikan rakyat!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
harapan saya minyak turun 40 sen..

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?