MISI OH MISI!
Pada 12 Mei yang lalu adalah Hari
Jururawat Sedunia. Pada tarikh ini,
sumbangan jururawat seperti profession lain adalah diingati sebagai hari menghargai golongan jururawat di seluruh
dunia. Pun begitu, di negara kita,
sambutan hari jururawat seolah-olah tidak begitu diambil berat, malah peranan
media amatlah kurang untuk memberi hebahan kepada umum. Yang lebih menyedihkan adalah penglibatan
para pemimpin khususnya Perdana Menteri yang amat berbeza dengan profession
lain seperti polis, tentera dan guru.
Kerjaya jururawat adalah kerjaya
mulia, kisah bagaimana jururawat mengorbankan masa dan tenaga untuk memberikan
perkhidmatan kepada masyarakat umum tanpa mengira waktu adalah sesuatu yang
sukar digambarkan.
Kisah, Florence Nightingale yang diingati sebagai “The Lady With The Lamp’’ kerana sanggup mengharungi kepekatan
malam melawat askar-askar yang tercedera ketika berlakunya Perang Crimean yang
berlaku di antara Oktober 1853 dan Februari 1856, adalah manifestasi Hari
Jururawat diraikan di seluruh dunia.
Walaupun Barat meraikan dan
mengangkat Florence Nightingale sebagai jururawat pertama di dunia, namun umat
Islam tidak harus lupa jururawat pertama dalam Islam adalah Rufaidah binti Sa’ad
(570-632M). Rufaidah yang hidup dalam
zaman Nabi Muhammad SAW telah menyertai beberapa peperangan, antaranya ialah
Perang Badar (624M), Perang Uhud (625M), Perang Khandak (627M) dan Perang
Khaybar (629M). Dalam peperangan ini
Rufaidah bertindak sebagai jururawat membantu ayahnya seorang doktor.
Selain membantu askar Islam dalam
peperangan, Rufaidah juga berusaha melakukan penyelidikan mengenai punca
berlakunya sesuatu penyakit. Dalam
keghairahan kita mengangkat apa yang disogok oleh Barat, kita terlupa peranan
jururawat oleh Rufaidah binti Sa’ad telah lahir hampir 1200 tahun lebih awal sebelum kelahiran
Florence Nightingale.
Walaupun saya pernah menulis
mengenai Hari Jururawat pada tahun 2009, namun selepas itu, saya tidak banyak
menulis, namun pada tahun ini, saya agak tersentak menerima pesanan ringkas
dalam telefon bimbit saya daripada seorang kenalan baik saya.
“pasal
hari jururawat esok 12 Mei, orang tak pernah ingat & hargai, PM kita ingat
hari polis, tentera & guru sahaja, hari jururawat tiada siapa yang ingat,
padahal orang pertama yang sambut dia lahir kat dunia ini adalah jururawat,
naik gaji pun polis, tentera sahaja setiap tahun”
11 Mei 2013
Mungkin, pihak-pihak seperti Kementerian Kesihatan dan Persatuan
Jururawat Malaysia perlu menggembeleng usaha memartabatkan profession jururawat
serta pengiktirafan dan kebajikan sewajarnya kepada golongan ini. Mungkin tidak terlewat untuk saya mengucapkan
‘Salam Hari Jururawat’!
Ulasan