WAKIL RAKYAT NAIK GAJI 300 PERATUS, RAKYAT 13 PERATUS!
Seronok rasanya menjadi Menteri
di Sarawak, apa tidaknya mereka bakal mendapat kenaikan gaji sebanyak tiga kali
ganda. Yang lebih menyeronokkan adalah
bahawa kenaikan ini diterima oleh para ADUN Sarawak apabila mereka
meluluskan Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Undangan
Negeri (Gaji, Pencen & Gratuiti).
Alasan yang diberikan adalah
faktor geografi bahawa Sarawak adalah sangat besar dan tiada pernah ada
kenaikan sejak tahun 1992. Kenaikan pada kali ini juga melibatkan gaji Speker,
ADUN, Timbalan Spekaer, Setiausaha Politik, di samping Ketua Menteri, Menteri
dan Timbalan mereka.
Gaji untuk Ketua Menteri akan
naik kepada RM39,000 daripada RM13,000 sebelum ini. Menteri kanan dan Speker pula akan menerima
gaji sebanyak RM30,000 berbanding RM9,000 sebelum ini. ADUN pula akan menerima kenaikan sehingga RM15,000
daripada RM4500 pada masa ini.
Setiausaha politik pula akan menerima RM9,000 berbanding RM3,000 yang
mereka terima pada masa ini.
Apa yang lebih menyeronokkan
mereka ialah mereka bakal menerima tunggakan sehingga 17 bulan. Masing-masing akan menerima tunggakan di
antara RM102,000 hingga RM442,000. Rasanya
selepas ini tentulah rakan-rakan mereka di negeri-negeri lain mula mengeluh dan
membandingkan gaji masing-masing.
Menariknya, Ketua Menteri Sarawak
juga telah menaikkan gaji para Ketua Masyarakat menjelang Pilihanraya Umum
ke-13 yang lalu apabila Pakatan Rakyat menawarkan untuk menaikkan gaji Ketua
Masyarakat seramai 5456 orang di seluruh Sarawak sekiranya memenangi PRU
tersebut, namun janji ini dipintas oleh Ketua Menteri Sarawak yang sebelum ini
saban kali merungut kekurangan bajet.
Gaji Ketua Masyarakat dinaikan
daripada RM450 kepada RM800 dengan tunggakan bermula Januari 2013!
Adakah usaha menaikkan gaji Ketua
Masyarakat, para ADUN, Menteri dan Speaker satu strategi ‘jahat’ untuk
membolehkan Ketua Menteri yang paling lama di Malaysia ini terus mengekalkan
cengkaman kuasanya? Mungkin ini adalah
usaha ‘membeli jiwa’ dan menutup mulut untuk terus bergelar Ketua Menteri.
Adakah Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak mampu memaksa Taib Mahmud mengotakan janjinya untuk melepaskan
jawatan Ketua Menteri selepas berlangsungnya Pilihanraya Negeri pada 2011 yang
lalu.
Mungkin ada kewajarannya, negeri
terbesar di Malaysia menaikkan gaji para ADUN mereka namun apa yang lebih wajar
ialah melihat sama kemelut rakyat khususnya di pedalaman yang serba ketinggalan
daripada arus kemodenan malah mungkin juga berada di bawah paras kemiskinan.
Apakah kewajaran Kerajaan Sarawak
menaikkan sehingga 300 peratus gaji para ADUN dan Menteri mereka apabila gaji
kakitangan awam hanya ‘mengengsot’ pada kadar kurang 15%. Mungkin inilah sebabnya negara memerlukan
pembangkang yang efektif bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa
sewenang-wenangnya di samping memastikan proses semak dan imbang yang lebih
berkesan.
Kita tentu tidak lupa apabila
pembangkang membantah kenaikan gaji Ahli Parlimen sehingga memaksa Kerajaan
membatalkan untuk mengkaji kenaikan gaji dan elaun ahli Parlimen pada Oktober
2011. Nampaknya lain pula di Sarawak
apabila mereka memilih untuk diberikan kenaikan sehingga 300 peratus! Selamat berpesta tanpa pembangkang!
Ulasan