BAPAK KAU, BAPAK AKU!


Isunya ialah apabila Menteri Keselamatan Dalam Negeri yang belum lagi panas kerusi kabinetnya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  meminta mereka yang tidak puas hati dengan sistem pilihanraya di negara ini untuk berhijrah ke negara lain.

“Jika golongan ini  mahu menerima pakai list system atau single transferable vote seperti mana yang digunakan oleh negara-negara republik, sepatutnya mereka berhijrah ke negara-negara berkenaan untuk mempraktikkan kepercayaan politik mereka.”

Tentulah gesaan yang seperti ini dianggap tidak matang, bongkak dan angkuh oleh seorang menteri kanan seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.  Walaupun kemudiannya dinyatakan oleh Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa gesaan tersebut adalah peribadi sifatnya, dan tidak mencerminkan pendirian kerajaan keseluruhannya.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam perhimpunan Suara Rakyat Suara Keramat edisi Negeri Sembilan di Seremban pada 18 Mei yang lalu, berang dengan kenyataan Zahid telah bertanyakan soalan ini.

“Kamu ingat negara ini bapa kamu punya? Ini cara menghina rakyat”

Zahid pada sesi sidang akhbar semalam  telah dengan lantang menjawab:

“Negeri ini pun bukan negeri bapa dia punya.  Memang bukan milik bapa saya, Ini pun bukan negeri bapa dia”

Seronok juga melihat telatah bagaimana menteri dan mantan menteri di Malaysia melatah dan bersikap kebudak-budakan.  Saya teringat filem P. Ramlee mengenai isu ‘bapak kau, bapak aku’.  Mungkin ini masanya melihat semula kematangan politik cara Malaysia.

Isu yang cuba dibangkitkan oleh pembangkang amat mudah difahami namun mungkin cara yang digunapakai adalah terlalu ‘baru’ kepada kerajaan BN yang telah lebih setengah abad dibantu oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang kelihatannya seperti komponen ke-14 BN. 

Isu bagaimana para pengundi diperdaya untuk mempercayai bahawa ‘dakwat kekal’ yang kononnya akan tahan sehingga 5 ke 7 hari sebenarnya tidak kekal, bukankah itu penipuan yang paling jelas, malah telah ada laporan polis yang dibuat oleh anggota tentera yang mana Datuk Seri Zahid pernah menjadi Menterinya!

Tentulah menjadi kemarahan Datuk Seri Zahid kerana mempersoalkan malah memperlekehkan sistem yang digunapakai oleh SPR, kerana pada pendapat BN, ini adalah sistem terbaik dan SPR adalah yang paling telus dan terbaik di dunia untuk mengendalikan pilihanraya di negara ini.

Sistem yang digunapakai di negara ini memang yang terbaik, namun pengendaliannya oleh SPR sebagai badan yang diamanahkan untuk melaksanakan dan mengendalikan Pilihanraya Umum di negara ini sangat mengecewakan, seperti yang dilaporkan oleh banyak pihak kecuali media arus perdana di bawah naungan BN.

Adakah Datuk Seri Zahid tidak tahu atau pura-pura tidak tahu bahawa rakyat sebenarnya sedar perjalanan pilihanraya jika benar berlangsung dengan adil, bersih dan telus, mustahil ratusan ribu rakyat akan berani dan sanggup turun ke perhimpunan Suara Rakyat Suara Kerama, Black 505 dengan berhujan, tanpa diupah dan dalam notis yang begitu singkat.

Apapun yang terbaik ialah mendakap kuasa dan amanah yang diberikan dengan lebih berhemah, tanpa sikap atau pendekatan politik yang memualkan.  Rasanya jika seorang Menteri yang benar-benar boleh menyelami hati nurani rakyat, tentulah ungkapan-ungkapan yang tidak begitu lunak dikeluarkan dan mengguriskan bukan sahaja pembangkang tetapi rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka.  Ini kepala bapak kau punya, Ini kepala bapak aku punya! Ooops, bapak-bapak tak mainlah!

Ulasan

Tanpa Nama berkata…
hi hi hi..malaysia boleh..
SIS berkata…
klau sapa tak setuju dgn undang2 malaysia boleh keluar dr malaysia...mmm...apa kata 'klau sapa2 yang tidak setuju dgn hukum Allah boleh keluar dr mukabumi Allah'...

Catatan popular daripada blog ini

ANTARA 'LEGASI' DAN 'PEWARISAN' …

BAJET POTONG POKOK

NOSTALGIA - APA ADA PADA NAMA?